Background

Kalau 80 penulis pejuang kebenaran, bahagialah Malaysia!


Dinsman (Artikel 244, 5/8)
Kalau 80 penulis pejuang kebenaran, bahagialah Malaysia!

Ketika berhadapan dengan 82 orang peserta bengkel penulisan “Membangun Penulis Muda” yang berlangsung di hotel Concorde Inn, Sepang, 31 Julai, saya terfikirkan satu perkara. Saya terfikir kalaulah Malaysia mempunyai seramai ini penulis yang berani menyatakan komitmen kepada kebenaran, berjiwa rakyat, dan bersedia untuk mengambil risiko demi membela kebenaran dan keadilan, alangkah bahagianya Malaysia!

Dan itulah yang saya nyatakan kepada mereka sewaktu berucap ringkas sebelum merasmikan penutupan bengkel dua hari anjuran Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembngunan Modal Insan Selangor itu.

Namun selepas itu saya terfikir semula – betulkah begitu? Bahagiakah Malaysia kalau ada 80 orang penulis yang komited kepada perjuangan menegakkan kebenaran (Amar makruf nahyi mungkar)? Bahkan saya mengatakan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara yang diidam-idamkan itu – Baldatun thoiyibah wa-Rabbun ghafuur – Negara sejahtera yang mendapat keampunan Tuhan!

Saya sendiri terfikir semula selepas itu: Apakah begitu mudah untuk membahagiakan Malaysia? Untuk mencapai negara Baldatun thoiyibah wa-Rabbun ghafuur? Hanya perlu ada 80 orang penulis yang komited dan berjuang untuk kebenaran. Tidakkah saya terlalu bias atau terpengaruh dengan prasangka baik terhadap peranan penulis yang komited kepada kebenaran?

Tidak tahu mengapa fikiran itu tiba-tiba muncul sewaktu saya berdiri di hadapan penulis-penulis muda dari Selangor, Melaka dan Johor itu. Apakah kerana terlalu teruja? Tidak! Memang saya berfikiran demikian. Dan memang saya percaya – kalaulah kita ada 80 orang penulis yang komited kepada memperjuangkan kebenaran!

A Samad Said adalah seorang contohnya yang saya maksudkan sebagai penulis pejuang kebenaran itu. Prof Shaharir Mohd Zain yang baru dianugerahkan Tokoh Penulis Selangor itupun, walaupun dia tidak menulis sastera, tetapi dia juga adalah contoh yang saya maksudkan penulis pejuang kebenaran. Beberapa orang sahabat saya dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), seperti Azizi Hj Abdullah misalnya, juga tergolong dalam kelompok itu.

Memang tidak ramai. Barangkali kita ada sekitar 20 orang atau 30 orang sahaja. Ya! Penulis yang komited memperjuangkan kebenaran, yang semestinya terlebih dahulu dia tahu membezakan mana yang kebenaran dan mana yang bukan kebenaran, yang antara ciri utamanya telah saya sebut tadi, Amar makruf nahyi mungkar itu.

Tidak sahaja tahu dan faham makna dan maksud Amar makruf nahyi mungkar, tetapi juga mempunyai suara hati (conscience) yang sentiasa mendorongnya untuk bertindak. Tidaklah seperti para mufti kita yang bungkem sahaja melihat kemungkaran dilakukan di depan mata, dan membiarkan fitnah dijadikan mainan di kalangan kuasawan zalim yang mereka dampingi. (Tidakkah mereka memalukan ummah?)

Demikianlah maka saya membayangkan kalaulah kita ada 80 orang penulis yang sedemikian itu di Malaysia! Lapan puluh orang sahaja! Tidak perlu banyak lebih daripada itu. Lapan puluh orang yang berfungsi dan berperanan aktif berjuang untuk kebenaran. Cubalah anda fikirkan – tidakkah Malaysia akan menjadi sebuah negara yang sejahtera dan bahagia?

Untuk melahirkan ramai penulis di zaman yang serba maju dengan peralatan maklumat dan ilmu yang canggih hari ini, tidaklah begitu sukar. (Tetapi ini untuk melahirkan penulis pejuang kebenaran). Bahkan untuk melahirkan ribuan profesor pun rupa-rupanya tidaklah sukar juga. (Baru-baru ini mereka menubuhkan Majlis Profesor Negara dengan jumlah profesor yang katanya sekitar 1,600 orang. Betulkah?) Tetapi peliknya kita tidak pernah pun merasakan wujud kehadiran mereka dalam masyarakat di negara ini.

Tak mengapalah. Itu hal lain. Kita kembali kepada masalah kita sekarang – untuk melahirkan 80 orang penulis yang pejuang kebenaran. Macam A Samad Said, macam Prof Shaharir, macam Azizi Abdullah. Lapan puluh orang sahaja. Bukannya banyak pun. Mengapa kita tidak usahakan untuk melahirkannya?

Ya, barangkali kita tidak pernah terfikir pun perkara ini sebelum ini, ‘kan! Saya pun secara tidak sengaja terfikirkannya. Bukannya kita hendakkan apa pun. Seperti yang selalu disebut dalam kolum ini, penulis dan budayawan mempunyai perspektif tersendiri dalam melihat masyarakatnya. Yang berbeza daripada orang politik, dan berbeza daripada orang niaga. Yang boleh memberi keseimbangan kepada masyarakat yang terlalu sangat berpolitik dan terlalu sangat mengejar keuntungan niaga.

Saya melihat hasil yang positif untuk masyarakat (dan ummah), yang secara kebetulan bersesuaian pula dengan semangat dan perjuangan yang dibawa oleh gerakan Reformasi dan Pakatan Rakyat (PR) sekarang. Malah ia boleh sangat membantu. Makanya saya terfikir: mengapa tidak pihak kerajaan negeri-negeri PR misalnya, memikirkan usaha-usaha yang boleh dibuat bagi melahirkan golongan penulis pejuang kebenaran ini?

Ya, pihak kerajaan negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insannya telahpun mengorak langkah melaksanakannya. Bukan sahaja dengan menganjurkan bengkel penulisan dua hari untuk 82 orang penulis muda itu, tetapi juga beberapa aktiviti lain, seperti Konvensyen Penulis Selangor 26 Jun lalu.

Dengan mewujudkan anugerah Tokoh Penulis Selangor dan memilih Prof Shaharir Mohd Zain sebagai penerima pertamanya, sempena Konvensyen Penulis Selangor dalam acara Sambutan Hari Ilmu ke-2 itu, kita melihat Exco yang dipegang oleh Dr Halimah Ali telah memberi sumbangan yang sangat positif ke arah melahirkan golongan penulis yang dimaksudkan.

Eloklah kalau pihak Dr Halimah mahu melanjutkan lagi usaha baiknya itu, dengan memikirkan perkara yang kita timbulkan ini, iaitu bagi melahirkan 80 orang penulis pejuang kebenaran, dengan melaksanakan program-program secara terancang ke arah itu.

Tidaklah kita maksudkan 80 orang itu jumlah sebenarnya. Itu hanya kebetulan berdasarkan jumlah peserta bengkel berkenaan saja. Yang kita maksudkan ialah menambahkan lagi jumlah penulis yang berwibawa seperti tokoh-tokoh yang disebutkan tadi itu. Kalau sekarang kita ada sekitar 30 orang, cuba kita sasarkan tambah seramai itu lagi, misalnya. Wallohu-ak’lam!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply