Background

Selepas Datuk Hassan siapakah meneruskan GMP?

Dinsman (Artikel 249, 9/9)
Selepas Datuk Hassan siapakah meneruskan GMP?

Berita kematian Datuk Hassan Ahmad tengahari 2 Syawal (31 Ogos) itu memang sebuah berita mengejut. Tak semena-mena seorang kawan yang di luar lingkungan sahabat-sahabat yang biasa bersama dengan Datuk Hassan menelefon saya memberitahu. Saya pun menghubungi kawan-kawan yang biasa bersama. Kebanyakannya dalam suasana berhari raya. Semua mereka terkejut mendengar berita itu.

Baru sahaja sepuluh hari yang lalu, 21 Ogos, Azizi Hj Abdullah meninggal. Beritanya tidaklah begitu mengejutkan kerana dia sudah berbulan-bulan dirawat di hospital. Berbeza dengan Datuk Hassan yang sehari sebelumnya, di pagi raya, masih saya menerima SMS daripada dia. Masih seperti biasa. Dan tiba-tiba pada 2 Syawal tanpa berita dia sakit atau apa-apa, tiba-tiba dia dikatakan sudah meninggal.

“Datuk Hassan kita?” Begitulah reaksi daripada beberapa orang kawan yang terkejut dan macam tidak percaya apabila disampaikan berita itu.

Demikianlah kematian. Saat tibanya boleh pada bila-bila masa sahaja. Kita bersedia atau tidak, kita percaya atau tidak, dia tiba-tiba sahaja boleh berada di depan kita, dan kita tak bisa berpaling lagi. Segala-galanya pun berakhirlah di situ. Begitu saja.

Namun kita yang masih hidup, perlu juga meneruskan kehidupan seperti biasa. Maka apabila orang seperti Datuk Hassan diangkat keluar meninggalkan alam ini, ada beberapa perkara yang bersangkutan dengannya, yang langsung memberi kesan kepada kita.

Pertama, kita akan kehilangan hujah-hujah yang sangat bernas yang selalu dikemukakan olehnya bagi mempertahankan kedaulatan dan kemunasabahan penggunaan bahasa Melayu, melalui tulisan-tulisannya dalam Dewan Masyarakat dan lain-lain, menentang dasar-dasar pelaksanaan bahasa yang berkaitan, yang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa walaupun ia tidak munasabah tetapi dilaksanakan juga disebabkan kuasa yang ada pada mereka.

Bacalah tulisannya berjudul “Perjuangan Bahasa Melayu yang tidak sudah-sudah. Mengapa?” dalam buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (hal.74-86), terbitan Paksi, 2010. Atau bacalah buku terbarunya, kumpulan tulisan-tulisannya dalam majalah Dewan Masyarakat, iaitu Kaca di Jendela (DBP).

Memang masih ada beberapa orang lagi tokoh bahasa yang boleh berhujah, tetapi nilai hujahnya tidaklah sama. Datuk Hassan bukan sahaja berhujah tetapi dia juga bertindak menyatakan penentangannya terhadap pihak kerajaan. Dalam hal inilah sebenarnya yang pemergiannya ke alam baqa itu menyebabkan kita sangat terasa kehilangannya. Siapakah lagi selepas dia, tokoh bahasa, yang berkalibar dan berpengaruh (di kalangan menteri-menteri pun) tetapi sanggup turun ke jalanraya bagi menyatakan penentangan?

Datuk Hassan (bekas Pengarah DBP, dan bekas ketua saya di situ) ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Di bawah kepemimpinannyalah lebih 100 ribu rakyat Malaysia telah turun ke jalanraya Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris) pada 7 Mac 2009. Dan kerana tindakan beraninya itulah maka ‘dasar gila’ yang dipaksakan pelaksanaannya oleh Perdana Menteri Dr Mahathir itu telah disemak semula dan dijanjikan pemansuhannya pada tahun hadapan.

Tetapi baru-baru ini menteri berkenaan yang berkuasa itu mencuba pula untuk memanipulasi janji tersebut, dengan membayangkan kemungkinan akan menggunakan juga bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Maka Datuk Hassan pun memanggil mesyuarat GMP pada 24 Ogos lalu. Saya kebetulan bertembung dengan program lain, maka tak dapat hadir. Jadi tak tahu apa yang telah dibincangkan.

Apa pun, persoalannya sekarang ialah siapakah yang akan menggantikan Datuk Hassan sebagai Pengerusi GMP, dan meneruskan perjuangan yang mendapat sokongan rakyat seperti yang terbukti pada peristiwa 7 Mac 2008 itu?

Dalam GMP sekarang Timbalan Pengerusi ialah Prof Shaharir Mohd Zain, Setiausaha ialah Hasni Abas, dan penasihat ialah Sasterawan Negara A Samad Said. Ketiga-tiga mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing, yang memang melayakkan mereka untuk mengambil tanggungjawab itu. Memanglah ada beberapa keistimewaan Datuk Hassan, selain daripada kewibawaannya sebagai pakar bahasa, yang tidak ada pada tiga tokoh tersebut. Namun itu tidaklah menjadi kelemahan pada mereka, kerana mereka pun ada keistimewaan sendiri.

Tetapi walau apa pun, ruangan ini bukanlah tempatnya untuk saya membicarakan soal itu. Saya menimbulkannya sekadar menyatakan kita kehilangan seorang pemimpin yang penting, sehingga Samad Said membisikkan kewajaran disemadikan jenazahnya di Makam Pahlawan; kerana yang pahlawan itu jangan hanya difikirkan orang politik sahaja. Saya sangat bersetuju dengannya.

Selain itu saya juga teringat, Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sudahpun membuat persetujuan dengan Datuk Hassan, untuk sama-sama menganjurkan wacana ilmu dalam bentuk seminar, bicara buku dan syarahan, berdasarkan buku-buku karya agung yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan, yang dia menjadi Pengerusi dan ketua pentadbirnya.

Kami sudahpun merancangkan aktiviti budaya ilmu ini, dengan Hasni Abas sebagai penggerak utamanya. Acara pertama yang dirancang agak menarik, iaitu syarahan budaya yang akan disampaikan oleh Datuk Hassan sendiri, membicarakan mengenai orang Melayu hari ini, berdasarkan pada pesan-pesan dan falsafah mengenainya yang dikutip dan disarikan daripada beberapa buku karya agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain.

Sayang sekali rancangan itu tak kesampaian.

Dalam kolum ini juga pernah saya tulis bahawa kita hanya mempunyai sekitar 30-40 orang sahaja penulis/seniman yang berani berkata benar di negara ini. Pada 21 Ogos lalu telah pergi seorang Azizi Hj Abdullah, kemudian pada 31 September pergi pula seorang Datuk Hassan Ahmad. Sebelum itu pada 30 Julai kita kehilangan seorang seniman berani menyatakan kebenaran apabila meninggalnya pelukis Syed Ahmad Jamal. Maka semakin berkuranganlah penulis/seniman kita yang pejuang kebenaran.

Pemergian tiga orang tokoh budayawan kita yang penting itu dalam satu tempoh waktu yang begitu dekat, apakah hikmahnya? Tentu ada hikmahnya. Dan tentunya kekurangan ini perlu kita atasi. (Takkan kita nak merintih dan tangisi saja!) Soalnya, bagaimana?

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply