Dawama dah tutup. DBP nak ke mana?
Dinsman (Artikel 244, 5/8)
Dawama dah tutup. DBP nak ke mana?
Seperti yang memang dijangka sejak awal tahun lagi, akhirnya Dawama, syarikat yang dipilih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diserahkan sebahagian daripada jabatannya apabila diswastakan pada tahun 2002 itu, terpaksa ditutup.
Pada hari bekerja yang terakhir menjelang Ramadhan, Jumaat 29 Julai, di saat-saat sedang bersiap untuk pulang, seramai kira-kira 380 orang pekerjanya menerima notis seperti berikut:
“Adalah dimaklumkan bahawa pada masa ini terdapat pertikaian antara Dawama Sdn Bhd (Dawama) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disebabkan perkara kemungkiran yang dilakukan oleh DBP di bawah perjanjian Konsesi Penswastaan bertarikh 19 Jun 2002.
“Disebabkan kemungkiran yang belum diremedikan oleh pihak DBP, Dawama sedang menghadapi masalah kewangan untuk membiayai operasi harian termasuk bayaran gaji kepada semu kakitangannya.
“Sehubungan dengan itu, Dawama telah memutuskan untuk memberikan cuti tanpa gaji kepada saudara/saudari berkuatkuasa 1 Ogos 2011 sehingga DBP meremedikan kemungkiran tersebut.”
Apakah ertinya notis itu kalau bukan syarikatnya ditutup dan para pekerjanya diberhentikan begitu sahaja tanpa mengikut peraturan?
Memang kita sudah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku. Para pembaca kolum ini tentu sudah membaca catatan saya bertarikh 21 Februari 2011, yang dimulakan seperti berikut:
“Kata Hasni, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian setiap tahun sejak diswastakan kepada Dawama pada tahun 2002, sebanyak kira-kira RM20 juta hingga RM40 juta setahun.
“Orang lain buat penswastaan untuk untung. DBP buat penswastaan untuk rugi? Apa tidaknya? Lihat sajalah perjanjiannya. Hasil jualan buku, kalau buku teks sekolah DBP dapat 30 peratus, Dawama dapat 70 peratus. Kalau buku yang bukan buku teks sekolah, DBP dapat 20 peratus sahaja. Sedangkan kerja-kerja editing semuanya dibuat oleh DBP. Bahkan royalti juga dibayar oleh DBP.
“Kata Hasni, setiap buku yang diterbitkan, DBP pasti rugi. Lagi banyak dicetak atau diterbitkan, lagi banyak DBP menanggung ruginya.
“Dan bukan itu sahaja. Sejak diswastakan lima bahagian iaitu Bahagian Perniagaan, Bahagian Percetakan, Bahagian Pracetak, Bahagian Reka Bentuk dan Bahagian Stor, kepada Dawama; beberapa syarikat penerbit, pencetak dan pengedar yang selama ini bernaung atau berpayung di bawah DBP, telah banyak yang gulung tikar, disebabkan tidak lagi mendapat kerja daripada DBP atau Dawama.”
Itu catatan saya dalam Wacana Budaya 21 Februari. Sebelum itu pada 16 Februari beberapa pertubuhan NGO yang prihatin dengan masalah bahasa, sastera dan budaya Melayu telah mengadakan pertemuan dan membincangkan masalah “Pengurusan, Integriti dan Prospek Masa Depan DBP dalam Memartabatkan Bahasa”.
Di situlah Hasni Abas selaku bekas Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP mengemukakan maklumat-maklumat penting seperti di atas. Pertemuan yang diinisiatifkan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Muhd Azmi Ab Hamid itu kemudian menamakan kumpulan mereka Gerakan Darurat Bahasa (GDB).
Kemudian pada 11 Mac saya tulis lagi dalam kolum ini mengenai DBP. Antara lainnya, “…maklumat terbaru daripada pihak dalaman DBP agak memeranjatkan. Kata mereka, syarikat yang buat penswastaan DBP sekarang dalam keadaan tenat. Dilanda masalah kewangan. DBP kena belanja ratusan juta untuk selamatkan syarikat itu.”
Memandangkan keadaan yang nampaknya seperti darurat itu, pada 15 Mac GDB pun mengadakan satu pertemuan kecil “Baca Yasin dan Puisi Selamatkan DBP”, di suatu sudut di hadapan bangunan lama DBP. Dalam ucapannya di akhir majlis itu Muhd Azmi membaca-kan draf Perisytiharan Selamatkan DBP, yang mengemukakan empat tuntutan berikut:
“Pertama, membatalkan penswastaan yang telah merugikan dan membebankan tanggungan kewangan DBP.
“Kedua, menyusun semula kepimpinan Lembaga Pengelola DBP, mengikut tujuan Lembaga, agar wibawa dan integriti DBP dipulihkan segera.
“Ketiga, struktur pengurusan dan perjawatan dalam DBP dikembalikan mengikut kaedah, prosedur dan tatacara yang sepatutnya, berdasarkan merit keperluan dan kepakaran bahasa dan penerbitan, sebagaimana yang dikanunkan dalam Akta DBP.
“Keempat, Jabatan Sastera dan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam hendaklah dikembalikan kepada statusnya yang asal.”
Perisytiharan Selamatkan DBP yang disebut Muhd Azmi sebagai “Perisytiharan 10 Rabiul-Akhir” itu kemudiannya disesuaikan menjadi sebuah memorandum, dan memorandum itu pun kemudiannya telah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 27 April 2011. Tetapi hingga hari ini belum ada jawapannya, walaupun dijanjikan akan dijawab segera.
Demikianlah maka pada 1 Ramadhan lalu kira-kira seratus orang telah berkumpul di depan pintu masuk ke pejabat Dawama di Ulu Kelang, kebanyakannya para pekerja yang telah dicutikan tanpa gaji dan tanpa had masa itu, untuk membincangkan nasib dan masa depan mereka dan juga masa depan bahasa dan sastera Malaysia, telah diperintah supaya bersurai oleh beberapa orang anggota polis.
Demikianlah ya, Malaysia kita, yang sedang memproses diri untuk menjadi sebuah negara polis, agaknya. Dalam keadaan para pekerja yang teraniaya kerana diberhentikan tanpa sebarang perkiraan terhadap nasib mereka itu berkumpul di depan pejabat mereka yang pintu pagarnya dikunci itu, nak berbincang mengenai nasib malang mereka, pun tak dibenarkan.
Kalaulah Timbalan Perdana Menteri itu mahu memberi penyelesaian kepada masalah ini, dan bertindak terhadap memorandum yang diserahkan kepadanya tiga bulan lalu, tentulah perkara ini telah dapat diselesaikan dengan mudahnya. Tak perlulah polis nak melukakan perasaan orang yang sudahpun dilukakan itu.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)