Jelajah Budaya bersama masjid di Rawang
Dinsman
(Artikel 356, 26/11)
Jelajah Budaya bersama
masjid di Rawang
Setelah
berjaya di Klang pada 10 dan 11 November, Seniman Paksi Rakyat terus bergerak
ke Rawang membawa program Jelajah Budaya Selangor (JBS), bagi memeriahkan lagi
acara “Jom P Masjid” musim ke-3 di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan pelbagai
program seni dan budaya yang kemuncaknya mengangkat seorang tokoh tempatan
untuk menerima Anugerah Tokoh Budaya Selangor Daerah Gombak.
10
November lalu Rominah Sidek telah diangkat menjadi Tokoh Budaya Selangor Daerah
Klang. Siapakah pula yang akan diangkat menjadi Tokoh Budaya Selangor Daerah
Gombak dalam program Jelajah Budaya Selangor 2 (JBS-2) yang akan diadakan di
Rawang pada 1-2 Disember ini? Sama-samalah kita tunggu.
Menariknya
program JBS-2 di Rawang ialah ia dianjurkan bersama dengan masjid. Masjid Nurul
Iman Rawang sudah dua tahun menganjurkan “Karnival Jom P Masjid” – suatu
karnival atau program keramaian untuk orang awam berkunjung beramai-ramai ke
masjid sebagai satu usaha bagi mengimarahkan lagi masjid sebagai pusat tumpuan
penduduk setempat.
Kali
ini karnivalnya yang ketiga, dibuat selama tiga hari dan terbuka kepada orang
ramai, daripada pagi hingga ke malam. Ada
berbagai-bagai acara – pameran, jualan pelbagai barangan termasuk makan-minum,
ceramah, forum, hiburan, sukaneka rakyat, pertandingan memasak dan sebagainya. Ditambah
pula dengan program-program seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat
(Paksi), maka diharapkan bertambahlah kemeriahannya dan bertambahlah juga
manfaatnya kepada masyarakat setempat.
Program
“jelajah budaya” selain menjadi acara pertemuan budayawan-seniman-ilmuwan
bersama rakyat melalui aktiviti persembahan seni-budaya, ceramah dan kuliah
ilmu serta dialog budaya, juga berusaha menemukan semula tokoh-tokoh
seni-budaya yang pernah aktif, dan juga badan-badan kesenian tempatan.
Ramai
seniman-budayawan telah mengesahkan akan hadir di Masjid Rawang pada 2
Disember, untuk acara Dialog Budaya dan Malam Jelajah Budaya 2. Antaranya ialah
Sasterawan Negara A Samad Said, aktivis Hishamuddin Rais, kartunis Zunar,
Pyanhabib, Nur Hanim Khairuddin, Sutung Umar Rs, Sani Sudin, Amni Jagat dan
aktivis Paksi sendiri termasuk Razali Endun, A Shukur Harun, Hasni Abas, Kassim
Muhamad, Dr Alinor, Shazly Abdullah dan penulis sendiri.
Percubaan
Shazly Abdullah sebagai pengacara pada Malam JBS di Sekolah Rendah Agama Sg
Udang di Klang itu telah menarik perhatian ramai kawan-kawan, maka dia terus
dikekalkan sebagai pengacara untuk program JBS di Rawang juga. Sebagai seorang
penyanyi nasyid, pengendali motivasi dan mantan imam masjid (KLCC), Shazly
memiliki beberapa kepandaian yang dapat membina personalitinya sebagai
pengacara. Insya Allah kita mengharapkan yang terbaik darinya nanti di Malam
JBS-2.
Sementara
itu seorang penulis veteran yang namanya pernah terkenal pada tahun-tahun
60an-70an dulu melalui cerpen-cerpennya, tetapi sudah lama berehat dari
menulis, kini menjadi teruja dengan peristiwa Jelajah Budaya ini hadir ke
daerahnya, lalu beliau berjanji akan turut sama membaca puisi bersama dengan
kawan-kawan pada 2 Disember nanti. Beliau ialah Othman Rasul, seorang ahli
qariah masjid Nurul Iman.
Kesediaan Masjid Nurul Iman
Rawang bekerjasama bagi menjayakan program seni-budaya ini adalah sesuatu yang
sangat menggembirakan pihak budayawan. Dan ini bukanlah kali pertama masjid ini
terlibat dengan aktiviti seni-budaya. Bersama dengan Paksi sahaja pun mereka
telah beberapa kali berganding bahu. Antaranya ialah mengadakan bengkel
penulisan dan bicara buku.
Sekarang pun selain program JBS
ini, Masjid Nurul Iman Rawang juga sedang mengadakan latihan teater kanak-kanak
“Ibnu Sina” dengan kumpulan Bingkas Kebayan dan Kaab Enterprise, di bawah
arahan Ladin Nuawi. Mengikut Ladin, inilah kali pertama dia bekerja membuat
teater kanak-kanak bersama dengan masjid; walaupun sudah lama dia berimpian
demikian.
Sempena
dengan Jelajah Budaya ini juga kita mementaskan teater Menunggu Kata Dari Tuhan
(MKDT). Tetapi oleh kerana kedua-dua pelakon MKDT tidak berkelapangan pada
tarikh-tarikh Karnival pada 30 November – 2 Disember itu, maka teater ini
dibuat agak lewat sedikit, iaitu pada 6 Disember. Ia akan dibuat di dalam
masjid berkenaan, dengan Bob Lokman membawa watak Kaab bin Malik. (11 November
lalu di masjid Sg Udang, Klang, watak itu dibawa oleh Sabri Yunus).
Program
JBS ini dirancangkan untuk dibuat di sembilan daerah di Selangor. Sekarang,
memasuki persiapan untuk progranm kedua ini dan ketiga di Tanjung Karang pada
14-15 Disember, pihak Paksi telah menemui pelbagai hal dan pengalaman yang menarik
dan bermanfaat untuk perkembangan dan kamajuan seni-budaya. Paling berfaedah,
rasanya, ialah hal-hal yang berhubungan dengan pengurusan, pentadbiran dan
perancangan seni-budaya itu sendiri.
Tapi
tak mengapalah. Itu cerita lain, yang lebih tertumpu kepada kerja-kerja yang
akan dilakukan oleh Paksi seterusnya nanti. Buat masa ini kita tumpukan dulu
perhatian kepada kerjasama kita dengan pihak masjid bagi menganjurkan pelbagai
aktiviti seni-budaya bersama dan serentak dengan program-program masjid sendiri
yang lebih bersifat keagamaan dan ibadah itu.
Tiga
hari program keagamaan dan seni-budaya berganding bahu, berkolaborasi dan
bersolidariti – kita mengharapkan yang baik-baik sahaja, insya Allah. Walaupun
kita ada beberapa acara muzik di dalam program tiga hari ini. Dan ini adalah
perhentian kita yang kedua dalam Jelajah Budaya. Bermakna perjalanan kita masih
jauh. Semoga Allah memberkati jua usaha ini. Amiin!