Kejayaan IBBR dan kesilapan ilmuan
Dinsman
(Artikel 354, 16/11)
Kejayaan IBBR dan
kesilapan ilmuan
Bagaimanakah
kita mengukur kejayaan aktiviti seni-budaya seperti Jelajah Budaya 1 (Ilmuan
Budaya Bersama Rakyat – IBBR) di Klang, 10-11 November lalu? Bagi saya
ukurannya ialah keberkesanannya, dilihat dalam perspektif tujuan dan matlamat
yang ingin dicapai ketika sesuatu program itu dirancang.
Apakah
tujuan dan matlamat diadakan program IBBR? Pertama, untuk mengaktifkan atau
mengadakan program seni-budaya itu sendiri, secara berskala agak besar, agar
kehadirannya disedari oleh orang ramai pelbagai peringkat dan golongan. Tujuan
dan matlamat ini rasanya memang tercapai.
Kedua,
menyatakan penghargaan kepada para budayawan tempatan atas sumbangan mereka,
dan memilih seorang daripada mereka untuk dinobatkan sebagai Tokoh Budaya
Daerah berkenaan. Tujuan dan matlamat ini pun tercapai. Dan pemilihan Ruminah
Sidek atau Mak Mah sebagai tokoh berkenaan, tentunya menarik perhatian orang
ramai. Kebetulan pula malam sebelumnya dia juga dipilih sebagai Pelakon Wanita
Terbaik (Drama) dalam Anugerah Skrin 2012.
Tiga
orang aktivis seni-budaya daerah Klang telah diangkat untuk penilaian akhir
oleh jawatankuasa khas pemilihan. Mereka ialah Ismas Saring, Ibrahim Ghaffar
dan Ruminah Sidek. Mengapakah Ruminah Sidek yang akhirnya dipilih sebagai Tokoh
Budaya Klang? Apakah pelakon wanita veteran ini sumbangannya lebih besar
daripada dua orang tokoh penulis berkenaan?
Tentulah
jawatankuasa khas pemilihan mempunyai alasan dan hujah yang kukuh kenapa mereka
memilih Ruminah Sidek. Seperti saya sebut sebelum ini, ia “suatu keputusan yang
berkemungkinan akan dipersetujui oleh orang ramai dan kemungkinan juga akan
dipertikaikan. Agak kontroversi. Di kalangan panel pun nampaknya mereka
berdebat agak lama. Pelbagai kriteria diperhalusi pada tiga orang tokoh yang
diangkat ke penilaian akhir, hinggakan definisi intelektual sendiri pun
diperdebatkan.”
Jadi
tak perlulah saya perpanjangkan lagi hal itu. Anugerah itu pun telah
disampaikan kepada wakilnya oleh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan
Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri Selangor. Ruminah tak dapat hadir
pada malam 10 November itu kerana sedang menjalani penggambaran di Kuala
Kangsar. Insya Allah mungkin beliau akan hadir dalam majlis Anugerah Budaya
Daerah lain selepas ini.
Itu
dua kejayaan. Kejayaan lain? Saya secara peribadi sangat tertarik dengan kuliah
yang disampaikan oleh Prof Shaharir Mohd Zain di Masjid Darul Muttaqin, Sg
Udang, pada pagi 11 November. “Bagaimana kini al-Quran menjadi sumber ilmu?” – tajuk
kuliahnya. Sangat menarik, dan sangat penting isi kandungannya.
Memberi
kesedaran kepada umat Islam hari ini tentang betapa bodohnya kita selama ini,
maksudnya para sarjana dan ilmuawan kita, yang cuba mencari dan mengemukakan
ayat-ayat al-Quran bagi membenarkan banyak penemuan-penemuan sains yang dibuat
oleh para saintis dunia yang bukan Islam (kebanyakannya tidak percaya kepada
Tuhan – atheis).
Pelik
‘kan ? Para ilmuan dan sarjana Islam berusaha dan membuat kajian
ayat-ayat Quran untuk membuktikan kebenaran apa-apa yang ditemui melalui kajian
oleh para saintis bukan Islam. Tak pelikkah? Kita mengiyakan kebenaran para
saintis bukan Islam, dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Ertinya kita
menggunakan al-Quran untuk mengakui kebenaran ilmu-ilmu bukan Islam itu.
Kononnya
kita hendak mengatakan bahawa al-Quran itu benar, kerana kajian-kajian para
saintis bukan Islam pun membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Sedangkan,
tegas Prof Shaharir dalam kuliahnya yang menjadi sebahagian daripada acara
Jelajah Budaya (IBBR) itu – penemuan-penemuan oleh para saintis dan sarjana
Barat bukan Islam itu belum pasti benar.
Ini
saya anggap satu kejayaan dari agenda budaya IBBR atau Jelajah Budaya I di
Klang itu. Paksi akan terus bawa kuliah Shaharir ini ke tempat-tempat lain lagi
dalam siri Jelajah Budaya.
Kejayaan
IBBR Klang seterusnya? Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan di masjid
Darul Muttaqin – itu saya anggap suatu aktiviti seni-budaya yang biasa. Begitu
juga pertandingan mewarna di kalangan 100 kanak-kanak yang dibuat di Sek. Ren.
Agama Sg Udang itu. Juga persembahan nasyid oleh kumpulan Safiya dan Dhuha. Juga
pembacaan puisi oleh A Samad Said, Zurinah Hassan, Pyanhabib, Ismas Saring dan
Ibrahim Ghaffar.
Acara
Dialog Budaya isu-isu semasa dengan dua orang Sasterawan Negara A Samad Said
dan Anwar Ridhwan pada petang Sabtu itu pun menarik. Begitu juga dengan
persembahan gamelan, cempuling dan silat seranteh. Rasanya persembahan muzik
tradisional pimpinan Mois Subari dan Zuha Hj Suhadi itu pun patut juga dibawa
dalam Jelajah Budaya di daerah-daerah lain akan datang.
Satu
perkara yang saya suka dengan Jelajah Budaya di Klang ini ialah melihat gambar
A Samad Said dengan rambut dan janggutnya yang istimewa unik itu tersenyum
dalam bunting dan sepanduk yang
bergantungan di tiang-tiang lampu di kiri-kanan jalan dan di beberapa simpang di
sekitar Sg Udang. Terasa suasana dan kesan seni-budaya itu menular kepada
khalayak yang luas.
Juga
saya gembira dengan penglibatan beberapa orang dari pihak Majlis Perbandaran
Klang, pejabat Adun Selat Klang, Sekolah Rendah Agama Sg Udang, dan Masjid
Darul Muttaqin, dalam menjayakan aktiviti seni-budaya ini. Semoga mereka akan
terus aktif menganjurkan program seni-budaya.