Background

Syabas Adam Adli! Biarkan Hasan Ali

Bila diberitahu ada pelajar yang bertindak menurunkan bendera gambar Najib di PWTC, saya macam tak percaya, dan tak beri perhatian serius kepada berita itu kerana menganggap mungkin orang tersalah faham berita atau ada orang sengaja mereka-reka cerita. Saya sendiri memang tak ikuti berita, samada di televisyen mahupun akhbar harian.

Sehinggalah ada orang SMS kepada saya meminta carikan anak muda bernama Adam Adli, pelajar UPSI Tanjung Malim, untuk diajak ke program Paksi di Felda Sg Tengi pada 23 Disember, kerana pelajar ini seorang anak muda yang berani berkata benar.

“Paksi duk cari anak muda yang berani berkata benar, nah sekarang kita sudah ada orangnya. Adam Adli. Baca interviu dengan dia dalam Sinar. Memang dia berani dan tak takut berkata benar. Dia yang turunkan bendera gambar Najib tu.”

Wah, rupa-rupanya memang betul ada anak muda kita yang berani bertindak senekad itu. Menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, di laman PWTC pula tu!

Tabik Adam Adli! Kamu memang berani. Baca wawancara dengan kamu itu, memang jelas kamu berani dan tahu apa yang kamu buat. Syabas! Bukan setakat aksi nakal seorang anak muda, tetapi aksi yang lahir dari suatu kesedaran dan keyakinan diri.

Alhamdulillah, kita masih ada anak muda yang boleh kita harapkan untuk berjuang kerana kebenaran dan keadilan. Di zaman yang bukan sahaja anak-anak mudanya sudah kehilangan semangat perjuangan tetapi orang-orang dewasa yang intelektual, ilmuan, ulamak dan budayawan pun semuanya sudah menjadi manusia materialis yang tanpa kesedaran kebenaran kecuali segelintir sahaja, kita berasa sangat lega apabila muncul seorang yang seperti Adam Adli ini.

Ya betul, saya jadi macam tak percaya pada berita itu pada mulanya bukanlah kerana apa, kerana sudah terlalu lama melihat masyarakat kita yang semakin hari semakin hilang kesedaran terhadap harga diri, semakin hilang kesedaran terhadap kepentingan dan makna kebenaran dan keadilan, semakin tidak mempedulikan apapun yang terjadi di sekeliling, dan semakin mementingkan kesenangan hidup materialis.

Melihat kawan-kawan yang ramai di kalangan penulis, budayawan, ilmuan, intelektual dan agamawan pun semakin tidak mempedulikan kemungkaran yang dilakukan oleh tokoh-tokoh pimpinan dalam pelbagai bidang (bukan sahaja politik), menyebabkan kita seperti tidak mahu berharapan lagi.

Berjuang tetap berjuang, tetap meneruskan perjuangan, dan tetap positif dengan perjuangan. Tetapi oleh kerana realiti yang dihadapi hari-hari nampaknya seperti tidak juga membawa perkembangan yang diharapkan, maka harapan pun jadi seperti sudah membeku.

Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sebenarnya tidak pernah berhenti berusaha mencari sahabat-sahabat seniman dan budayawan yang masih punya kesedaran terhadap kebenaran, terutamanya di kalangan anak muda (dipelopori Rozan dan Benz). Maka itulah apabila tercetusnya peristiwa berani seorang pelajar menurunkan bendera gambar Perdana Menteri itu, kawan-kawan pun SMS mencadangkan supaya Paksi mencarinya untuk diajak bergabung dalam aktiviti-aktiviti seni-budaya Paksi.

Memang itu suatu peristiwa besar sebenarnya. Terima kasih Sinar kerana menangkap saat penting peristiwa itu dan memberi ruang untuk anak muda itu menyatakan gejolak rasa-fikir dan semangat ‘berani kerana benarnya’ itu; walaupun ramai ‘orang dewasa’ dan pemimpin establishment yang marah dan menuduhnya tidak beradab dan sebagainya.

Saya mengambil kesempatan ini menyatakan sokongan dan hormat kepada tindakannya yang sebenarnya sangat diharapkan dan sangat diperlukan oleh masyarakat kita hari ini. Ramai orang yang suka nak buat perkara macam itu sebenarnya, tetapi hanya seorang yang ada keberanian melakukannya. Syabas!

Hormat dan terima kasih juga kepada ayah dan ibunya yang bukan sahaja memahami tindakan anaknya itu, malah menyokongnya.

Kebetulan pula peristiwa ini terjadi di saat PAS sedang menghadapi suatu masalah rumit yang ditimbulkan oleh seorang Dr Hasan Ali, yang pernah menjadi Naib Presiden PAS, Pesuruhjaya Negeri Selangor, dan masih menjadi seorang Exco kerajaan negeri Selangor.

Entah bagaimana, saya tiba-tiba berasa peristiwa Hasan Ali itu tidaklah begitu penting lagi, dibandingkan dengan peristiwa Adam Adli ini. Yang itu merosakkan harapan, yang ini pula membawa harapan baru. Penting lagilah harapan baru ini. Tenggelamlah berita Hasan Ali yang cuba menarik perhatian umum dengan tindakannya menghentam pimpinan PAS itu.

Ya betul, seperti SMS Cikgu Khairuddin Masjid Batu kepada saya, katanya: “Bagi saya isu Dr Hasan hanya isu kecil yang bersifat setempat. Tidak akan berlaku perpecahan dalam PAS. Dr Hasan hanyalah tokoh kecil dalam PAS. Apa saja tindakan beliau samada keluar atau tidak, tak menjadi kudis bagi PAS.”

Kata Pengerusi Masjid itu lagi: “Ahli-ahli PAS telah biasa kehilangan pemimpin yang lebih besar dan pengaruh yang lebih kuat, seperti Asri Muda dan Nakhaei. PAS tetap utuh dan bertambah kuat.”

Betul, kita boleh lupakan saja isu Hasan Ali itu dan beri perhatian kepada kemunculan semangat baru seperti yang dibawa oleh Adam Adli ini. Harapan yang membeku pun jadi cair dan segar semula. Semoga ia adalah suatu permulaan bagi sesuatu yang lebih bermakna.

Dan semoga pemergian atau kehilangan Hasan Ali daripada jemaah PAS pun, di ambang pilihanraya umum yang semakin dekat ini, memberi kekuatan baru yang lebih berkualiti lagi kepada PAS. Atau seperti kata Adam Adli: Kita mahu “merasakan kemenangan” yang kita inginkan itu! Insya Allah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply