Background

Antara tradisi berilmu dan teka-teki yang karut

Sabtu lalu saya bersama Cikgu Azmi Ab Hamid di Penaga, Seberang Prai, bersama-sama dengan pimpinan PAS cawangan Taman Kuala Muda, juga pimpinan KeAdilan dan DAP, berbicara mengenai ilmu dan kepemimpinan, berdasarkan sebuah buku yang ditulis oleh seorang profesor Matematik yang juga mahir dalam bidang kepemimpinan.

Buku tersebut ialah sebuah buku yang selalu disebut dalam ruangan ini, iaitu “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman”, karya Dr Shaharir Mohd Zain (yang juga menulis buku yang menyanggah teori Einstein, “Kritikan Teori Kenisbian dan teori Quantum”).

Terima kasih kepada Mushthafa Kamal, Setiausaha PAS cawangan tersebut bersama kawan-kawannya yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis bicara buku. Sesuatu yang sangat jarang dibuat oleh organisasi politik, apalagi di peringkat cawangan. Syabas Sdr Mushthafa! (Segala kesulitan dan masalah yang dihadapi itu asam garam yang mematangkan perjuangan).

Hari itu kita duduk berbincang, dengan buku terbuka di tangan. Ada peserta yang membuka komputer riba di hadapannya, sambil mendengar dan mencatat. Dewan Ismail Che’ Chik Bakau Tua menjadi saksi sebuah peristiwa bersejarah, apabila para muslimat dan pemuda di perkampungan pesawah dan nelayan di Penaga itu hadir untuk suatu wacana ilmu, memperkatakan ciri-ciri kepemimpinan yang berkualiti, mengikut kajian dan catatan para sarjana tersohor sepanjang zaman, sejak tahun 1080 M hingga sekarang.

Alangkah berbezanya majlis ini, menyuburkan suatu tradisi keilmuan yang berasaskan pada tulisan (buku) yang boleh dirujuk dan diulang-ulangi membacanya, bukan sekadar mendengar ceramah yang tanpa bahan untuk rujukan bagi memastikan kesahihan ilmu yang didengar.

Demikianlah kita berusaha mengembangkan tradisi keilmuan seperti ini, agar ia dapat menyumbangkan sesuatu yang positif kepada pembinaan tamadun ummah hari ini. Secara kebetulan sahaja buku yang dipilih adalah mengenai peribadi Menteri Besar Kelantan, kerana dia memiliki ciri-ciri kepemimpinan unggul seperti yang pernah dibicarakan oleh para ilmuan yang merentasi zaman itu.

Telah beberapa kali buku ini dijadikan bahan perbincangan mengenai kepemimpinan, iaitu sejak ia dilancarkan di Masjid Batu, Permatang Pauh pada 11 Disember tahun lalu. Maka didapati ia sangat sesuai untuk dijadikan buku rujukan bagi panduan kepemimpinan untuk para pemimpin dan bakal pemimpin dalam masyarakat kita, khasnya bagi orang-orang PAS sendiri. (Saya sangat teruja apabila pimpinan DAP peringkat kawasan di Kepala Batas juga berminat dengan wacana buku ini).

Selain bertujuan untuk mengangkat kepemimpinan TG Nik Aziz itu supaya menjadi bahan perbincangan peringkat akademik, saya mengusahakan penerbitan buku ini juga dengan tujuan agar ia dapat dijadikan rujukan dan panduan kepada mereka yang berminat untuk menjadi pemimpin, khasnya pemimpin politik Pakatan Rakyat.

Dalam semangat itulah saya berbincang dengan Mushthafa Kamal, agar dia memulakan tradisi bicara buku ini di kalangan pimpinan PAS. Dan dalam semangat itulah juga kini saya dalam perbincangan dengan seorang pemimpin pemuda peringkat negeri, untuk menganjurkan majlis yang serupa di kalangan sahabat-sahabatnya.

Minat yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda ini nampaknya akan semakin menghampirkan saya kepada matlamat, apatah lagi bila pihaknya menggunakan istilah bengkel untuk program ini. Hanya dia tiba-tiba memikirkannya semula, kerana didengarnya ada kemungkinan PM Najib akan membubarkan Parlimen untuk PRU-13 pada bila-bila masa sekarang. Dikhuatiri program bicara buku boleh mengganggu fokus mereka kepada kerja-kerja untuk pilihanraya.

Demikian juga dengan yang satu lagi itu. Alasannya kerana ramai ahli mahukan program berkhatan beramai-ramai, sempena musim cuti sekolah yang sudah bermula, maka program bicara buku perlu ditunda terlebih dahulu. Ditunda hingga ke waktu yang belum dapat ditetapkan lagi tarikhnya. Itulah masalahnya. Biasanya apabila sesuatu “ditunda ke suatu waktu yang belum ditetapkan tarikhnya”, ia akan berakhir dengan tak jadi!

Itulah betapa sukarnya hendak membina tradisi “hidup berilmu” yang berasaskan pada ilmu yang boleh disemak kesahihannya, seperti yang ditunjukkan dengan jelasnya oleh Islam dalam tradisi Ilmu Hadis kita melalui sistem sanadnya itu. Ilmu yang sah itu mesti boleh disemak kesahihannya. Dan sistem berilmu dengan menggunakan buku adalah cara yang paling mudah untuk menyemak kesahihan ilmu.

Maka saya berhujah dengan kedua-dua pihak di atas, mengapa kita perlu membatalkan satu program disebabkan ada program yang lain? Mengapa kita perlu batalkan program bicara buku kerana menjangkakan pilihanraya akan diadakan dalam waktu terdekat?

Permainan atau keadaan menjangka pilihanraya akan diadakan bila-bila masa ini, inilah antara penyakit paling kronik dalam masyarakat kita. Duduk dalam keadaan tertanya-tanya dan menjangka-jangka ini, mengganggu terlalu banyak kerja dan urusan. Banyak kerja dan urusan terbatal dan tak menjadi disebabkan oleh permainan teka-teki yang karut ini.

Eloklah kalau Pakatan Rakyat menghapuskan saja perkara karut ini sekiranya menang dalam PRU akan datang. Atau bolehlah dimasukkan dalam janji pilihanraya, atau dalam ‘Buku Jingga’, sekiranya PR menang, tarikh PRU akan ditetapkan awal-awal, atau PRU tidak boleh diadakan lebih awal daripada tiga bulan sebelum tamat tempoh penggal lima tahunnya.

Langkah yang dibuat oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini suatu langkah yang patut dicontohi. Diumumkan awal-awal bahawa PRU negeri tidak akan diadakan sebelum Jun 2012. Itu bagus, supaya orang ramai tidak bermain teka-teki dan menjangka-jangka yang banyak mensia-siakan waktu itu.

Akhirnya sekali lagi kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada PAS cawangan Taman Kuala Muda. Teruskanlah menganjurkan majlis bicara buku, hingga ia menjadi satu tradisi yang kukuh di kalangan masyarakat kita.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply