Background

Mengalu-alukan seorang ‘pejuang bahasa’ yang baru

Dinsman (Artikel 268, 25/11)
Mengalu-alukan seorang ‘pejuang bahasa’ yang baru

Ada dua tiga tajuk sudah siap beratur menunggu giliran untuk ditulis, sesuai dengan dua tiga peristiwa budaya yang penting. Tapi tiba-tiba kawan-kawan pula kecoh hal seorang pensyarah dari universiti di sebuah pulau di utara Malaysia yang menulis lagi pasal bahasa dan masalah PPSMI, yang caranya menulis itu agak pelik sedikitlah. Maka saya pun bacalah tulisan beliau itu dan muta’idlah keinginan untuk menjawabnya, lalu terpaksalah diketepikan dulu tajuk-tajuk yang sudah beratur itu untuk didahulukan maudhuk ini.

Arkian, ada pun pensyarah ini nampaknya seperti orang yang baru saja bangun dari tidur yang di dalam tidurnya itu dia telah mendapat satu mimpi yang menyuruh dia menulis mengenai soal bahasa dan masalah PPSMI, seolah-olah dialah seorang yang sangat arif mengenai perkara tersebut dan dialah seorang yang bersemangat waja untuk berjuang mendaulatkan bahasa Melayu, lalu dengan berpakaian seperti Hang Lekiu pahlawan zaman kesultanan Melaka itu dia pun tampil dengan keris terhunus di tengah-tengah khalayak, membuka pencak silatnya dan teruslah dia menghamburkan kata-kata dari dalam mimpinya itu tanpa peduli lagi untuk mengenali terlebih dahulu siapakah yang berada di kanan dan di kirinya dan siapakah yang berada di depan dan di belakangnya.

Aduhai, maka beberapa orang yang berada di kiri dan di kanan itu pun pedihlah juga cuping telinga mereka mendengar tutur kata yang sangat sumbang dan kecundang itu, bukan layaknya seorang pujangga yang tahu menghormati sahabat dan handai. Aduh, dia mengata-ngata pejuang bahasa yang pro-PPSMI telah tidak bertindak bijak kerana terpukau dengan janji manis Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, padahal dia tidak kenal pun siapakah yang dimaksudkannya pejuang bahasa itu.

Ha ha, dia nampaknya tidak tahu pun apa yang telah dan sedang berlaku dalam padang dan gelanggang serta medan perjuangan bahasa selama ini. Ha ha, inilah yang membuatkan kawan-kawan menjadi mashghul, kerana sepatutnya beliau itu menjelmakan dirinya terlebih dahulu di halaman GMP – Gerakan Mansuhkan PPSMI, dan bertanya khabar mengenai duduknya perkara yang sebenar, kerana gerakan memperjuangkan supaya dihapuskan PPSMI ini sudahpun lama diwujudkan dan telahpun bertempur di medan perang dengan ratusan ribu para pejuangnya yang hadir dari seluruh pelosok negeri.

Di manakah beliau itu pada ketika A Samad Said sedang kelemasan dek semburan gas pemedih mata dari soldadu ganas Umno-BN itu? Apakah beliau masih diulet mimpi-mimpi manis bersama para profesor kangkung di menara-menara ilmu yang sesat itu ataupun beliau juga hadir bersama dalam pertempuran yang dipimpin oleh Datuk Hassan Ahmad (semoga Allah merahmati rohnya) dan A Samad Said serta Prof Shaharir Mohd Zain itu?

Tidak mengapalah beliau hadir ataupun tidak dalam peristiwa yang bersejarah itu. Mungkin beliau ada penjelasannya sendiri. Tetapi berdasarkan tulisannya itu nampaknya beliau yang baru bangun dari tidurnya yang panjang ini tidak membuat usul periksa terlebih dahulu, melainkan meluru dengan membuta tuli sahaja. Tidak pasti siapakah yang dimarahinya dan siapakah yang dimusuhinya dan siapakah yang disimpatinya, atau apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenanrnya?

Sewaktu kali pertama dia membuat kemunculannya dulu, saya berhujah kepada kawan-kawan supaya kita menyambutnya dengan ramah dan baik walaupun dia tidak memberi salam pun kepada kita.

“Apa salahnya kita menyambut dia dengan baik, kerana dia nampaknya hendak menyokong kita juga walaupun cara dan pendekatannya itu agak kasar, sombong dan kurang beradab sikit. Tak mengapalah, kita pun barangkali dilihat orang begitu juga,” hujah saya kepada kawan-kawan yang sedanag gusar.

Saya memilih untuk melihatnya sebagai seorang penyokong baru kita. Dan kehadiran seorang penyokong baru yang seperti beliau itu amatlah berfaedah untuk perjuangan kita, samada perjuangan dalam medan bahasa dan sastera mahupun perjuangan dalam “berani berkata benar” di medan umum masyarakat kita hari ini yang semakin tidak faham dengan maksud ‘kebenaran’ itu sendiri pun.

Memang, bukannya mudah untuk mendapat seorang penyokong baru dalam suasana yang tidak menentu hari ini. Mungkin tutur katanya itu agak bercelaru dan tersilap tuju di sana sini. Tidak mengapalah. Yang pentingnya niat di dalam hatinya itu, atau ‘kesedaran’ di dalam dirinya (seperti kata yang diungkapkan Arbak Othman dalam analisa puisi di Melaka itu, dan mungkin akan diungkapkannya lagi 26 Nevember ini di surau KBD jalan Gombak).

Memang dia seperti tidak menyedari pun akan kewujudan dan peranan yang dimainkan oleh GMP selama ini. Maknanya, dia juga mungkin tak pernah membaca pun akhbar Harakah dan kolum Wacana  Budaya ini. Kalau dia membaca Harakah tidak mungkinlah dia tidak menge-tahui dan menyedari akan kerja-kerja yang dibuat oleh GMP dan juga Paksi selama ini. ‘Kan?

“Tetapi dia menulis dalam Harakah. Tak mungkin dia tak baca Harakah?” bidas kawan saya.

“Apa nak hairankan?” jawab saya. “Beberapa orang kawan kita daripada Asasi Kedah itu, yang puisi dan cerpen mereka dihantar dan disiarkan dalam Harakah, mereka masih lagi bersikap seperti orang Gapena yang Umno-BN itu, yang masih takut untuk ‘berani berkata benar’. Karya saja mereka hantar ke Harakah. Baca Harakah belum pasti.”

“Jadi, yang ini pun macam itu juga?” bingkas seorang kawan. “Mereka ini takut untuk ‘berani berkata benar’, atau memang tidak ada kesedaran?”

Tak mengapalah, walau apa pun. Kita jangan bermusuh dengan mereka.

Tetapi apabila dia muncul lagi dengan cara dan gaya yang tidak berubah seperti dulu juga, masih dengan bodoh-sombongnya itu walaupun berpakaian seorang cerdik pandai dan mahaguru di menara gading, dan kawan-kawan saya pun jadi masyghul lagi, maka saya pun terusik jugalah untuk membuat sedikit usikan kepadanya.

Arkian, maka tulisan ini pun mohon mengundur diri. Salam!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply