Daulat bahasa Melayu dan jati diri bangsa
Dinsman (Artikel 264, 7/11)
Daulat bahasa Melayu dan jati diri bangsa
Kempen mendaulatkan Bahasa Kebangsaan terus dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka walaupun pada waktu yang sama pihak kerajaan sendiri menunjukkan tanda-tanda secara jelas yang mereka sama sekali tidak menghiraukan kempen tersebut, sebaliknya mereka lebih mendaulatkan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mereka, baik dalam urusan rasmi mahupun urusan tidak rasmi.
Maka pada waktu itu apabila saya ternampak iklan-iklan kempen tersebut, termasuk melalui billboard yang boleh dilihat di tepi lebuhraya, saya terfikir betapa kelirunya, betapa bebalnya dan betapa bodohnya orang-orang (Melayu) di negeri ini. Apa gunanya kempen tersebut? Apa tujuannya dibuat? Apa maknanya kalau dalam masa yang sama para pemimpin negara sendiri (Melayu dan bukan Melayu) lebih suka menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan seharian mereka (rasmi dan tak rasmi)?
Bahkan pelajar-pelajar yang tak pernah tahu bahasa Inggeris pun dipaksa supaya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? (Entah logik fikiran apa yang diguna pun tak tahulah!) Dan peliknya, ramai pula para ilmuan, sarjana dan pendidik kita yang berusaha mencari alasan dan hujah serta rasional bagi menyokong tindakan para pemimpin politik yang keliru (dan tak ada jati diri) itu.
Maka demikian jugalah reaksi spontan saya apabila terpandang pada billboard iklan kempen tersebut yang baru, baru-baru ini. Aduh, mereka buat lagi kerja bodoh yang membazir itu – kata hati kecil saya. Tetapi kemudiannya saya teringat pada beberapa kenyataan yang baru oleh Menteri Pelajaran (yang juga Timbalan Perdana Menteri) yang seperti menegaskan keputusan untuk menghapuskan PPSMI.
Bahkan bukan sekadar kenyataan untuk menghapuskan PPSMI sahaja, tetapi saya juga pernah terbaca beberapa berita dan kenyataan lain yang menunjukkan seperti adanya suatu gerakan baru di pihak kerajaan Umno-BN (yang tertentu) dan juga media penyokong kerajaan itu, untuk mendaulatkan semula penggunaan bahasa Melayu, khasnya dalam urusan rasmi kerajaan.
Dan entah secara kebetulan atau memang dirancang (hingga terjadi pada waktu yang bersesuaian) tiba-tiba pihak Gapena dan DBP pula menganjurkan Kongres Bahasa. Maka reaksi spontan saya (yang fikirannya masih dalam mood seperti di atas tadi) masih agak sinikal. Untuk apa diadakan kongres? Apa yang nak dibincang dalam kongres itu?
Telah berjuta kanak-kanak Melayu diperbodohkan dengan dasar gila PPSMI itu. Manakala Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang dulunya sangat berperanan dalam memajukan bahasa dan sastera Melayu, kini sejak dilaksanakan PPSMI hampir sepuluh tahun lalu dan sejak diswastakan beberapa jabatannya, sudah jadi sangat tidak bermaya dalam menjalankan tugas dan peranannya.
Maka untuk apa lagi kongres bahasa itu, yang dianjurkan oleh dua buah badan dan institusi terpenting dalam memelihara dan memajukan bahasa dan sastera Melayu itu? Setelah mereka sendiri membiarkan bahasa Melayu itu dihina, direndah-rendahkan dan dipinggirkan dari arus pembangunan dan kemajuan negara, sekarang mereka pula mengajak orang berkongres bahasa. Untuk apa?
Kalau hendak mendaulatkan dan memajukan bahasa Melayu, agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan NGO seperti Gapena yang mempunyai kuasa dan pengaruh yang diperlukan untuk maksud itu, tidak perlu lagi kepada kongres. Apa yang diperlukan hanya kembali kepada keadaan yang telah dicapai suatu waktu dulu, dimana bahasa Melayu sudahpun didaulatkan dan dilaksanakan penggunaannya dalam hampir semua sektor, dan sudahpun menjadi bahasa ilmu.
Malah suatu waktu dulu bahasa Melayu sudahpun menjadi bahasa perpaduan kaum di negara ini. Ia diterima dan digunakan oleh semua kaum. Tetapi kenapa kemudian keadaannya jadi mundur semula (kucar-kacir), dan sekarang kita menghadapi masalah perpaduan kaum yang semakin tidak sihat?
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan kaum ini sudah tidak dipedulikan oleh para pemimpin Umno-BN yang semakin keliru disebabkan mereka semakin lemas dalam perlumbaan untuk mengumpul harta dan kekayaan.
Inilah penyakit dan musibah apabila suatu bangsa tidak lagi mempedulikan soal jati dirinya. Cubalah fikirkan: suatu bangsa yang tidak ada perasaan cinta dan sayang kepada bahasa dan budayanya sendiri. Disebabkan terpesona dengan bayangan dan impian menjadi maju dan kaya, (terpesona dengan kempen ketuanan budaya Inggeris yang pernah menjajahnya, dan masih menjajah minda dan jiwanya), suatu bangsa yang tidak ada jati diri ini sanggup membuang bahasa dan budayanya sendiri, sedangkan itulah dia jati diri dan akar budinya!
Bangsa ini juga suatu waktu dalam sejarahnya pernah membuang tulisan Jawi yang menjadi miliknya dan khazanah tamadunnya yang unik dan sangat berharga itu!
Maka demikianlah saya perhatikan bukan sahaja di pihak yang menyebelahi PPSMI, malah di pihak yang mahukan PPSMI dihapuskan pun, faktor jati diri tidak dilihat mereka sebagai faktor yang penting. Padahal saya melihat faktor ini adalah asasnya, atau puncanya.
Disebabkan faktor lemahnya jati diri para pemimpin kita inilah maka berlakunya pelbagai permasalahan dalam masyarakat kita hari ini. Orang Melayu hari ini berada dalam keadaan yang keliru. Mereka keliru dalam pelbagai perkara, termasuklah dalam soal bahasa dan pendidikan, juga dalam soal politik.
Manusia itu kejadiannya memang berbangsa-bangsa dan berpuak-puak. Al-Quran sendiri menegaskannya demikian. Islam pun tidak menafikan faktor ini. Apabila kita cuba menafikannya maka akibatnya ialah kekeliruan yang sedang kita alami sekarang.
Permasalahan bahasa Melayu dan PPSMI ini bukan sekadar permasalahan bahasa dan pendidikan. Ia adalah permasalahan jati diri suatu bangsa.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)