Ketua Pemuda PAS kawasan jawab Dinsman
Dinsman (Artikel 259, 17/10)
Ketua Pemuda PAS kawasan jawab Dinsman
Wacana Budaya minggu lalu, “Orang PAS tak minat kepemimpinan Nik Aziz?” mendapat banyak respon. Yang menyokong/bersetuju dan juga yang tak bersetuju. Semuanya saya hargai. Terima kasihlah kerana sudi memberi pandangan.
Walaupun semuanya saya hargai, tapi tak perlulah saya memberi respon balas kepada semuanya. Saya hanya ingin membuat respon kepada satu pandangan sahaja. (Yang lainnya ada yang telah saya respon terus melalui SMS). Satu pandangan ini saya pilih, pertamanya kerana ia datang daripada seseorang pemimpin PAS peringkat kawasan di Lembah Kelang, iaitu Ketua Pemudanya.
Pemimpin Pemuda yang seorang ustaz ini (mengikut nama yang diperkenalkannya melalui SMS), menghantar SMS panjangnya kepada saya pada hari Ahad 9 Oktober. Saya akan salinkan sepenuhnya tulisan beliau itu di bawah. Tujuannya supaya pembaca dapat membaca sendiri pemikiran dan sikap beliau terhadap isu yang saya timbulkan itu.
Saya berterima kasih istimewa kepada Ketua Pemuda kawasan ini, kerana kesudian beliau menulis SMS tersebut. Sebahagiannya saya setuju dengan beliau, manakala sebahagian lagi tidak. Tetapi walau apapun, saya tak akan memberikan jawapan atau respon balas saya terhadap pandangan beliau itu, pada kali ini.
Saya ingin melihat respon daripada anda para pembaca terlebih dahulu. Tak kiralah bagaimana pun anda melihatnya, dan dari aspek mana atau pendekatan apa sekalipun. Samada anda bersetuju dan ingin menyokong beliau dengan hujah-hujah anda tertentu, ataupun sebaliknya.
Saya melihat responnya itu sebagai satu pencetus dialog atau polemik yang sangat baik, dan boleh menyumbangkan beberapa pandangan bernas dan membina (berfaedah) khasnya kepada jemaah PAS.
Berdasarkan pada respon kepada Wacana Budaya minggu lalu, ada pelbagai pandangan. Sebahagiannya cukup menarik, menyentuh soal pemahaman terhadap sikap orang Melayu-Islam terhadap ilmu dan politik, yang saya kira perlu diberi perhatian yang lebih, atau diberi pemikiran semula.
Saya tidaklah kecewa dengan sambutan terhadap majlis Bicara Buku yang berkenaan, kerana sambutannya sangatlah menggalakkan. Yang saya timbulkan isunya ialah para pimpinan PAS yang saya jemput, tidak seorang pun yang hadir. Maka kekecewaan saya bukanlah bersifat peribadi, tetapi mempersoalkan apakah itu menunjukkan bahawa orang PAS tidak dididik untuk menghargai ilmu dan ilmuan?
Berikut ialah mesej yang dihantar oleh seorang Ketua Pemuda PAS kawasan dari Lembah Kelang itu, melalui SMS:
“Assalamualaik tuan Dinsman yang dihormati. Respon terhadap tulisan tuan dalam Harakah
1) Dalam PAS kita berjuang bukan kerana TG Nik Aziz atau TG Hadi dan sebagainya. Kita berjuang kerana mahukan keredhaan Allah SWT, untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini.
“2) Sesungguhnya pimpinan PAS di semua peringkat memang sangat sibuk. Sibuk kerana melaksanakan kerja-kerja Islam. Sebahagian mereka melaksanakan kerja Islam ini sepenuh masa. Kami yakin kesibukan ini sekadar di dunia, dan Allah SWT akan memberi kelapangan di akhirat nanti. Almarhum Dr Fathi Yakan rh berkata: ‘Tidak layak dikata seorang pejuang Islam kalau sekiranya masa rehatnya lebih banyak daripada masa berjuang.’
“3) Pemimpin PAS di semua peringkat insya Allah mengenali TG Nik Aziz dan TG Hj Hadi dengan baik, kerana itu kami sangat menghormati mereka.
“4) Sekarang pemimpin PAS semua peringkat memang sangat sibuk, kerana kami ada kerja yang lebih utama untuk dilaksanakan. Sesungguhnya pertembungan program sekarang ini adalah menjadi satu perkara biasa. Bila berlaku demikian perlu diutamakan program yang utama.
“5) Alhamdulillah, kerana sudah ramai ilmuan/cendekiawan yang berminat dengan pimpinan kita. Bagi pandangan saya program diskusi itu lebih sesuai dibentangkan kepada mereka yang di atas pagar, yang berminat kepada pemimpin kita. Jadi, baguslah jika sekiranya ada rakan dari parti lain berminat dengan pimpinan kita.
“6) Politik kami adalah politik Islam, yang di dalamnya ada dakwah, tarbiyah, jihad dan sebagainya. Jadi, biarlah bila ada orang kata PAS ini hanya sibuk berpolitik. Kami yakin Allah SWT meredhai cara politik kami, kerana PAS berpolitik mengikut acuan Allah SWT berdasarkan al-Quran dan Assunnah.
“7) Apabila kita menganjurkan sesuatu program, jika sekiranya tak mendapat sambutan, janganlah kita segera menyalahkan sesiapa. Salahkan diri kita dahulu. Kata Prof Dr Yusuf al-Qardhawi: ‘Orang yang ikhlas, bila gagal dalam sesuatu dia akan menyalahkan dirinya dahulu.’ Maksudnya kita bermuhasabahlah dahulu, mungkin ada kesilapan kita kenapa program kita tak dapat sambutan. Adakan postmortem, insya Allah jumpa penyelesaiannya.
“8) Akhirnya, saya mohon maaf banyak-banyak kepada tuan, saya sekadar nak berkongsi dan respon terhadap tulisan tuan. Diharapkan tuan teruskan kerja-kerja tuan dalam usaha menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam pada seluruh manusia serta berusaha membuka minda manusia.”
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)