Background

Budaya Malaysia pasca 1997

Dinsman (Artikel 256, 3/10)
Budaya Malaysia pasca 1997

Berikut ialah beberapa paragraf awal daripada sebuah esei mengenai budaya Malaysia pasca 1997, yang sedang saya siapkan untuk pengisian sebuah buku bersama beberapa penulis lain, yang dijangka akan diterbitkan tahun depan:

Dalam buku Gawat: Gagalnya Formula Mahathir (1998) saya mengatakan bahawa peristiwa Kegawatan atau Gawat Kewangan 1997 itu adalah bukti yang formula Dr Mahathir (Perdana Menteri Malaysia 1981-2003) membangun dan memajukan Malaysia dengan memajukan ekonominya terlebih dahulu dan percaya apabila ekonominya maju hal-hal lain pun akan ikut sama maju, adalah salah. Buktinya ialah peristiwa Kegawatan itu sendiri, yang terjadinya di luar jangkaan dan kawalan mana-mana pihak pun di Malaysia, sebaliknya terjadi disebabkan manipulasi pasaran oleh ‘pemain-pemain’ kewangan di peringkat antarabangsa. Maksudnya pembangunan ekonomi sesebuah negara hari ini adalah sentiasa terdedah kepada ancaman musnah oleh anasir-anasir luar yang di luar jangkaan dan kawalan kita. Perdana Menteri Dr Mahathir sendiri mengaku pada waktu itu bahawa akibat daripada peristiwa Gawat itu ekonomi Malaysia telah mundur kembali 40 tahun ke belakang. Pernyataan pengakuannya itu memang dilebih-lebihkannya untuk tujuan tertentu, tetapi hakikatnya ekonomi Malaysia memang mundur bertahun-tahun ke belakang, bahkan hingga ke hari ini pun kesannya masih belum dapat dipulihkan kembali kepada situasi seperti sebelum peristiwa Gawat itu.

Saya menimbulkan perkara ini dalam buku itu untuk membuktikan kebenaran pendapat bahawa kebudayaan atau seni-budaya juga memainkan peranan yang penting dalam membina dan membangunkan sesuatu masyarakat/negara. Adalah tidak wajar untuk meninggalkan pembinaan budaya dan menumpukan semata-mata pada usaha membina dan memajukan ekonomi. Dr Mahathir berhujah mengatakan bahasa Melayu dengan sendirinya akan dipandang penting dan dihormati serta akan dipelajari oleh masyarakat dunia apabila ekonomi Malaysia maju dan kukuh mencapai tahap yang dihormati oleh dunia suatu hari nanti. Soalnya bagaimana kalau ekonominya gagal dimajukan hingga ke tahap itu? Dan dengan berlakunya kegawatan itu dan ekonomi Malaysia runtuh, bagaimanakah pula dengan kebudayaannya? Kebudayaan tidak runtuh bersama dengan keruntuhan ekonomi tersebut. Tetapi kebudayaan juga tidak berkembang maju disebabkan tidak ada kesungguhan usaha yang dibuat untuk membina dan memajukannya. Cubalah kalau ada kesungguhan usaha untuk membina dan memajukan kebudayaan, serentak dengan usaha membina dan memajukan ekonomi pada waktu itu, tentunya kebudayaan Malaysia akan terus maju (tidak runtuh bersama keruntuhan ekonomi) dan mungkin boleh mengurangkan kesan buruk ekonomi dari kegawatan itu, dan semestinya impak sosio-politiknya (yang memberi kesan pula ke atas ekonominya) tidak akan seburuk seperti yang sedang dialami Malaysia hari ini.

Akibat pertama daripada Kegawatan Kewangan 1997 itu ke atas sosio-politik Malaysia ialah perselisihan pendapat antara Perdana Menteri Dr Mahathir dengan Timbalannya merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menangani krisis kewangan tersebut. Perselisihan itu menyebabkan Dr Mahathir mengambil ‘jalan lain’ bagi menyingkirkan Anwar. ‘Jalan lain’ yang diambil itu ternyata tidak dapat diterima oleh bukan sahaja Anwar Ibrahim tetapi juga ramai rakyat Malaysia, mengakibatkan tercetusnya Reformasi yang dipimpin oleh Anwar dan disokong serta didokong oleh parti-parti politik pembangkang, PAS, DAP dan PRM (dan KeAdilan yang ditubuhkan kemudian). Reformasi ialah gerakan politik untuk perubahan, khasnya perubahan kerajaan yang memerintah.

Dalam usaha bagi menghapuskan pengaruh dan ancaman Anwar (Reformasi) terhadap kekuasaannya, kita menyaksikan pelbagai tindakan Dr Mahathir yang telah merosakkan satu demi satu institusi dan nilai murni (akhlak) dalam masyarakat Malaysia. Misalnya pada 3 September 1998, berikutan penyingkiran Anwar daripada kabinet dan daripada Umno sehari sebelumnya (2 Sept), satu afidavit oleh pihak polis dikemukakan di mahkamah untuk kes Datuk S. Nallakaruppan (seorang sahabat Anwar), yang dituduh memiliki senjata api dan menghadapi hukuman mati. Afidavit itu (untuk memindahkan tempat tahanan Nallakaruppan) menceritakan segala macam kejahatan seksual Anwar, secara agak terperinci, dan ia disiarkan sepenuhnya dalam akhbar Malay Mail keluaran khas petang itu, diikuti dengan akhbar-akbar harian pagi esoknya. (Tidakkah jelas seperti ada konspirasi di belakangnya itu?) Maka bermulalah suatu era baru dalam perkembangan budaya di Malaysia, yang merobah sebahagian besar nilai-nilai murni masyarakatnya. Sesuatu yang sebelumnya tidak disiarkan di dalam media kerana wujudnya nilai akhlak yang menentukannya demikian, iaitu sesuatu yang mengaibkan dan memalukan apalagi yang menyentuh soal seks dan lucah, memang tidak diperkatakan di khalayak umum. Kini nilai akhlak yang mulia itu sudah dicemari dan dimusnahkan, semata-mata bagi membolehkan seorang musuh Perdana Menteri dimalukan, di‘aibkan dan dihancurkan kredibilitinya di khalayak umum agar pengaruh dan ancamannya terhadap Perdana Menteri dapat dihapuskan.

Tindakan akhbar-akhbar berkenaan melanggar tatasusila moral dan akhlak Islami itu adalah tindakan yang agak ‘jahat’, yang tak mungkin terjadi kalau para pengarang/editor akhbar serta editor berita di media elektronik waktu itu terdiri daripada orang-orang yang berprinsip, berakhlak Islami dan sedia mempertahankan nilai-nilai murni warisan bangsa dan agama. Dari sudut yang lain, hal tersebut dapat pula dilihat sebagai berkesannya penerapan nilai-nilai materialistik yang menjadi teras pemikiran dalam dasar kepimpinan dan pentadbiran Dr Mahathir selama 17 tahun menjadi Perdana Menteri (sejak Julai 1981). Nilai materialistik itu mengutamakan pencapaian-pencapaian di bidang ekonomi, kewangan, fizikal dan material, sekaligus menafikan keutamaan dan kepentingan moral dan akhlak serta nilai-nilai keagamaan yang tidak serasi dengan nilai materialistik itu. Demikianlah peristiwa penyebaran maklumat yang melanggar perbatasan moral dan akhlak Islami oleh media pada 3 dan 4 September 1998 itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah sosio-budaya di Malaysia. Bermula tarikh itu secara jelas media di Malaysia mengambil watak dan peranannya yang baru, berbeza daripada watak dan peranan yang dibawa oleh tokoh-tokoh media seperti Syed Sheikh Alhadi, Rahim Kajai, A Samad Ismail dan Said Zahari sebelumnya.

Media selepas itu khasnya akhbar-akhbar harian tidak segan silu lagi menyiarkan berita dan gambar-gambar seperti tilam bertompok air mani yang diusung masuk-keluar mahkamah, melaporkan perbicaraan kes Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat beberapa orang lelaki dan berzina dengan beberapa orang perempuan. Selama beberapa bulan rakyat Malaysia diajak dan diajar bercakap dan berfikir di sekitar hal-hal perlakuan seks melampaui batas dan kelucahan. Keadaan ini menimbulkan satu suasana yang sangaat ‘aib, memalukan dan menjijikkan bagi golongan yang masih berakhlak, hingga kemuncaknya melahirkan sebuah novel SHIT oleh Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara).

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply