Background

PERGINYA SEORANG SASTERAWAN RAKYAT

Perginya seorang sasterawan rakyat

ABD SHUKUR HARUN
shukurharun@yahoo.com

Kepergian sasterawan rakyat, Azizi Abdullah pagi 21 Ogos lalu dalam usia 69 tahun amat terasa bukan saja di kalangan penulis, tetapi juga di kalangan rakyat prihatin yang sedang mengharapkan kemunculan ramai penulis yang bersedia berada di barisan depan dalam memperjuangkan hak rakyat.

Rakan-rakan di dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan juga rakan penulis yang lain merasakan kepergian Almarhum Azizi sebagai kehilangan yang sukar dicari ganti.

Beliaulah antara penulis yang membela rakyat miskin, selain dari Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan yang terdahulu, Ishak Haji Muhamad, Ruhi Hayat, Usman Awang dan penulis dari Angkatan Sasterawan 50. Justeru dengan kehadiran karya Almarhum menyebabkan ia menjadi seorang sasterawan yang akan terus diingati.
Walaupun karya Almarhum Azizi membela rakyat miskin dan mengkritik pemerintah yang dilihatnya angkuh dan tidak mempedulikan hak rakyat, namun beliau tidak berkompromi dengan nilai estetika di dalam karyanya itu, ertinya karyanya masih sarat dengan nilai seni yang tinggi dan sama sekali tidak terasa sebagai tulisan propaganda. Inilah bakat kesenimanan Almarhum yang menyebabkannya menjadi sasterawan besar.

Kebanyakan novel yang dihasilkannya serta beberapa eseinya yang dibukukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) – tempatnya bertugas selepas bersara - bernafaskan perjuangan kemanusiaan seperti novelnya Sangeeta, Daerah Beta dan lain-lain.

Seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Almarhum Azizi yang tumbuh dan berkembang di tengah suasana jelapang padi di Kedah  sangat rapat dengan kehidupan petani dan nelayan, justeru kehidupan golongan ini digarapnya dengan amat hidup dan mengesankan.

Beliaulah novelis yang sangat berjaya melukiskan watak petani miskin yang bergelut dengan lumpur, lintah, burung-burung dan sebagainya. Almarhum melukiskan bagaimana petani miskin makan bersama isteri di bawah teduhan pohon di sawah dengan keringat membasahi sekujur tubuh. Sebab itu ketika penyair/dramatis Dinsman dan teman lain menghantar SMS kepada saya di pagi 21 Ogos itu, menyampaikan khabar Azizi telah kembali mengadap Ilahi, saya merasa sangat pilu tidak terkatakan. Saya mengenal Azizi sejak lebih 30 tahun lalu dan pernah menumpang bermalam di rumahnya ketika kempen pilihan raya kecil Lunas, lama dulu.

Kali terakhir ketika kami, teman penulis di dalam Paksi - beberapa bulan lalu - berbincang dengannya, merancang untuk mengadakan kursus penulisan selama enam hari di resort Titi Hayun, Yan Kedah di mana A. Samad Said turut memberikan bimbingan bersama Dinsman, saya sendiri, Hasni Abas, Bara Jiwa, Razali Endon, dan Herry Nurdi dari Indonesia.

Sungguh sedih ketika program itu berlangsung, Almarhum Azizi yang sepatutnya memimpin program tersebut sudah dimasukkan ke hospital Pulau Pinang. Namun kami meneruskan juga program itu.

Ketika saya membaca cerpennya ‘Monyet Dan Lebuh Raya’, sebuah cerpennya di tahun 80-an, begitu mengesankan. Ia mengangkat tema rakyat dengan amat hidup dan segar. Kisahnya bagaimana warga monyet dan haiwan yang lain membayar dengan mahal harga pembangunan – terutamanya ketika pembinaan lebuh raya. 

Haiwan ini bukan saja kehilangan tempat tinggalnya di rimba itu, tetapi juga sesetengahnya mati bergelimpangan dilanyak oleh buldozer dan kenderaan lain ketika pekerja rancak membina lebuh raya.

Demikian juga dengan novelnya ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ kisah petani tua yang meneruskan hidup miskinnya sebagai petani. Ia melakarkan keluh kesah dan harapan petani untuk keluar dari kemiskinan di utara tanah air, suatu harapan yang hanya tinggal harapan.

Almarhum Azizi tidak hanya menjadi jurubicara rakyat pedalaman, pesawah dan nelayan, tetapi juga membela golongan miskin di kota, di kawasan gelandangan, kawasan rumah pangsa murah yang sempit, kotor dan melemaskan, didiami oleh golongan miskin di tengah kota. Ini diungkapkannya menerusi bukunya ‘Luka Rakyat’ terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

‘Luka Rakyat’ bukan sebuah cerita, tetapi ia adalah sebuah esei panjang mengemukakan kritikan sosial yang berbentuk satira. Ia mengkritik pemerintah dan golongan kaya yang mengabaikan kehidupan rakyat, justru ‘Luka Rakyat’, katanya, adalah ‘pesakit’ yang menunggu sembuh, malangnya ‘bomoh’ dan ‘doktor’lah sebenarnya pula yang luka parah.’

Perjuangan rakyat memugar tanah untuk sekadar melanjutkan hidup buat disambung oleh anak cucu, diungkapkannya dalam ‘Luka Rakyat’ ini. Betapa atas nama pembangunan, katanya, rakyat miskin dipaksa memberikan laluan. Kuasa dan akta menjadi senjata perampas tanah daripada golongan lemah sehingga ahli politik hanya menjadi petualang meminggirkan rakyat untuk kemudiannya melahap keuntungan di atas derita rakyat.
Katanya, untuk melihat kemiskinan yang menghimpit orang kampung bukannya susah. Kemiskinan ada di mana-mana. Di kampung-kampung memang kaya dengan kemiskinan. Kita juga tidak sukar mencari orang miskin, apalagi untuk mengenali mereka. Yang sukar kita temui ialah usaha daripada pihak yang bertanggungjawab meringankan kemiskinan mereka.
Mereka, katanya, tidak tahu politik apalagi hendak berpolitik. Tetapi politiklah yang sering menekan mereka, menjadikan mereka tidak mendapat keadilan dalam kehidupan.
Lebih 30 novel, ratusan cerpen dan puluhan esei yang dihasilkannya dengan memenangi pelbagai anugerah serta hadiah sastera termasuk SEA Write Award di Bangkok, menunjukkan ia adalah penulis besar rakyat yang berjejak di bumi nyata, walaupun tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Seperti kata Ahmad Lutfi Othman, kalaulah Almarhum Azizi tidak mempunyai pegangan politik yang berbeza dengan pemerintah, nescaya Almarhum sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Almarhum Azizi sangat ‘serasi’ dengan perjuangan Paksi, sebuah badan penulis dan penggiat seni bernafaskan rakyat  pimpinan Dinsman. Almarhum sering saja bersama kami di program Paksi baik di utara tanah air, mahupun di Kuala Lumpur.

Pada pendapat saya, Almarhum Azizi yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan pernah bertanding sebagai calon PAS dan kalah dalam pilihanraya 2004 di Kedah, telah melaksanakan tugasnya sebagai seorang Muslim melalui karyanya, menyeru kepada yang makruf dan menentang kemungkaran.

Almarhum Azizi tidak hidup dalam sebuah bayangan dan terapung-apung dalam sebuah khayalan intelektual yang akhirnya terhempas di lembah kekeliruan, tetapi ia sasterawan yang benar-benar berada di tengah realiti masyarakat dan sekaligus menjadi jurubicara mereka.

Seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Azizi hadir dan mengalir, dengan berani mengungkapkan mengenai hak-hak rakyat, mengkritik golongan yang difikirkannya tidak amanah dan menyalahgunakan kuasa. Semuanya ini menyebabkan Azizi bukan jenis penulis yang kata A. Samad Said, semata-mata golongan ‘Carma’ – cari makan.

Kini Almarhum Azizi tidak lagi bersama kita. Paksi kehilangan seorang teman karib, namun karyanya akan terus hidup, dibaca dan dihayati serta dikenang lama.

Al-Fatehah untuk Almarhum.

Categories: Share

Leave a Reply