Background

MB Selangor terima kritikan secara positif

Tahniah Tan Sri Khalid Menteri Besar Selangor! Tahniah kerana menerima kritikan yang dibuat secara terbuka di hadapan khalayak umum, tanpa menunjukkan tanda-tanda negatif dan tanpa kecenderungan untuk menafikan kebenaran kritikan dengan mengemukakan alasan-alasan.

Memang itu suatu hal yang tidak mudah untuk dilakukan, kalaulah bukan dengan kejujuran dan sikap terbuka yang sudah sebati dengan diri. Tetapi hari itu Tan Sri Khalid dengan tenang dan gelak ketawa seperti kebiasaannya, menerima setiap kritikan, bukan sahaja daripada saya tetapi juga daripada khalayak penulis yang hadir.

“Jadilah pendengar yang baik,” kata Razali Endun memulakan dialog dan tegurannya. “Be a good listener,” ulangnya dalam bahasa Inggeris pula.

“Jangan hanya pandai cakap saja!” Tegur wartawan veteran Ismas Saring, dalam suasana ceria gelak ketawa penonton. Dan MB pun turut juga menerima teguran orang Jeram itu dengan ceria dan gelak ketawanya.

Begitulah suatu majlis dialog yang berlaku dengan telus dan berterus-terang. “Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang telus,” kata Khalid, menambahkan lagi suasana keterbukaan dialog di Konvensyen Penulis yang diadakan sempena Hari Ilmu Selangor itu. Kira-kira 200 orang penulis dan wartawan hadir.

Sebelum itu, apabila Hajah Mastura Muhamad menceritakan bagaimana dia meyakinkan pihak di pejabat Menteri Besar Selangor mengenai dialog yang dicadangkannya antara Menteri Besar dengan peserta Konvensyen Penulis 26 Jun di Shah Alam itu, saya sudah dapat membaca akan keyakinannya terhadap sikap terbuka Menteri Besar itu.

Dengan saya pun Pengarah Perpustakaan Selangor itu menyatakan alasannya memilih Presiden Paksi untuk menyampaikan ucaptama, adalah kerana pengalaman Paksi menemui pelbagai masalah dan halangan dalam melaksanakan program-program seni-budaya di Selangor. Biar permasalahan yang benar-benar dialami itu dikemukakan dalam dialog dengan Menteri Besar, supaya Konvensyen Penulis yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu benar-benar membuahkan hasil, katanya.

Alhamdulillah. Kepercayaan saya terhadap keyakinan Mastura itu rupa-rupanya ternyata tepat. Selesai saya menyampaikan ucapan yang membawa kritikan pedas terhadap kerajaan pimpinannya, Tan Sri Khalid menghulurkan tangan untuk bersalam dengan muka yang tenang dalam senyuman.

Dan bukan sekadar itu sahaja. Dalam jawapannya selepas itu pun dia mengakui kebenaran kritikan saya itu dan dia menerimanya. Memanglah dia bercerita panjang kisah-kisah bagaimana dia berusaha menambah dana kerajaan negeri, dengan rumusannya di akhir ceritanya itu bahawa untuk menjawab pelbagai permasalahan seni-budaya yang ditimbulkan dalam dialog itu: “Kita mesti ada duit. Kalau tak ada duit macamana kita nak buat apa yang kita nak buat itu?”

Pada waktu itu saya percaya tak ada siapa pun yang terlintas dalam fikirannya bahawa di akhir sesi dialog itu Menteri Besar akan mengumumkan suatu peruntukan khas (yang baru diluluskannya pada waktu itu juga, bukan dari bajet kerajaan negeri tetapi dari MBI atau Perbadanan Menteri Besar), untuk aktiviti seni-budaya di Selangor sebanyak RM2.5 juta, yang terbuka untuk dimohon oleh persatuan-persatuan penulis dan seni-budaya mulai 1 Julai 2011.

Rupa-rupanya begitu caranya Menteri Besar ini memberi penyelesaian kepada masalah-masalah yang dibangkitkan kepadanya. Alhamdulillah.

Saya sebenarnya mengharapkan beliau untuk memahami permasalahan yang dihadapi bukan sahaja oleh golongan penulis dan budayawan di Selangor, tetapi juga yang dihadapi oleh masyarakat kita akibat daripada keterlaluan kita berpolitik dan menumpukan perhatian kepada soal-soal bisnes dan ekonomi sahaja, dengan mengabaikan kepentingan seni dan budaya, bagi mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam kehidupan.

Namun walau apa pun, seperti kebanyakan penulis dan budayawan yang hadir, saya pun gembira dengan pengumuman tambahan RM2.5 juta untuk aktiviti seni-budaya di Selangor itu. Sekurang-kurangnya inilah suatu hasil yang jelas dan konkrit, yang dicapai oleh Konvensyen Penulis anjuran PPAS dengan kerjasama Paksi itu.

Memanglah, dengan pengumuman itu sahaja tidak bermakna permasalahan seni-budaya di Selangor akan selesai. Tidak. Namun sebagai permulaan itu adalah sesuatu yang menjanjikan masa depan yang positif bagi seni-budaya. Dan Paksi bersyukur hasil perjuangannya telah dapat dinikmati oleh seluruh warga seni dan budaya di Selangor.

Bagi saya, yang pentingnya ialah Menteri Besar telah menunjukkan perhatiannya kepada persoalan seni-budaya. Itu sebenarnya satu permulaan yang lebih penting. Dan beliau sendiri mengakuinya selama ini perhatian memang kurang diberikan kepada seni-budaya.

Tidak kurang pentingnya ialah sikap terbuka untuk menerima teguran yang ditunjukkan oleh Tan Sri Khalid dalam sesi dialog berkenaan. Semoga ia menjadi suatu rakaman untuk diteladani oleh ramai lagi pemimpin-pemimpin kita, khasnya dalam Pakatan Rakyat.

Hadir sama dalam majlis dialog itu ialah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Hajah Halimah Ali; dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan, Puan Rodziah Ismail.

Saya percaya kedua-dua Exco berkenaan telah mendapat mesej yang jelas daripada Menteri Besar, untuk masing-masing melaksanakan aktiviti yang sesuai dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Namun yang lebih mengujakan saya ialah keterbukaan Dr Halimah menjanjikan beberapa program yang akan melibatkan peranan Paksi secara aktif dalam pelaksanaannya.

Apa pun, Paksi berterima kasih kepada Mastura kerana, seperti saya tegaskan dalam ucapan di hari bersejarah itu: “Paksi akhirnya bertemu juga dengan orang yang memahami aspirasi, cita-cita dan perjuangan serta tekad budaya atau cultural will-nya.”

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Leave a Reply