Usman Awang tentunya bahagia disambut begini
Dinsman (Artikel 240, 18/7)
Usman Awang tentunya bahagia disambut begini
Ia sepatutnya dibuat pada 12 Julai, sempena tarikh lahirnya. Tetapi oleh kerana sesuatu yang tak dapat dielakkan, pihak surau itu menundakan tarikhnya kepada 23 Julai, Sabtu.
Sama sahajalah. Yang pentingnya kita mengingatinya. Tepat pada tarikh lahirnya atau beberapa hari terlewat, sama sahaja. Yang membezakannya ialah ingatan kita, iaitu samada kita mengingatnya ataupun tidak.
Terima kasih Siti Zainon Ismail, yang mengingatkan perkara ini. Dan dia memilih untuk bekerjasama dengan surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur . Kebetulan memang itu kampung kelahirannya Dan kebetulan dia pun sudah beberapa kali membuat acara kesenian bersama dengan surau itu.
Dan kebetulan juga penghulunya serta imamnya di surau itu ialah Cikgu Ishak Surin. Siapa itu Cikgu Ishak Surin? Kata kawan saya Kassim Muhamad: “Kita kena tulis satu buku pasal orang ini. Hebat sekali dia. Tentu banyak yang menarik dalam sejarah hidup dia, yang boleh diambil jadikan contoh oleh anak-anak muda hari ini.”
Itu Cikgu Ishak Surin. Yang pentingnya dia membuka ruang di suraunya itu untuk anak-anak muda membuat aktiviti seni-budaya. Orang seperti Rahmat Harun, Fared Ayam, Nikbinjidan dan ramai lagi. Mereka mempunyai tempat di laman surau itu untuk beraktiviti seni.
Baru-baru ini kita buat pelancaran Saf Anti Fitnah (SAF) di situ. Tak berapa lama kemudian kita lancarkan pula “Kembang”, yang bertujuan untuk menjalankan kempen membaca. Pun di situ. Dan sebelum itu kita anjurkan Himpunan Seniman-Budayawan kerana menyokong penduduk Kampung Bandar Dalam berjuang mempertahankan warisan mereka daripada dicerobohi pihak berkuasa.
Dan sempena dengan itu kita terbitkan sebuah antologi puisi 56 orang penyair, “Kampung Warisan Kuala Lumpur”. (Siapa yang berminat nak miliki buku puisi yang bersejarah ini, silalah hubungi saya. Atau hubungi Pyanhabib pun okey! RM10 saja, tak termasuk pos.)
Sebelum itu Siti Zainon pernah buat pelancaran bukunya oleh A Samad Said, dan dia juga mengadakan pameran seninya di situ. Alhamdulillah! Di Kuala Lumpur kita ada Madrasah Tarbiyah ini, dan di Seberang Perai Pulau Pinang kita ada Masjid Batu, (di Permatang Pauh). Dua institusi ibadah yang aktif dengan aktiviti seni-budaya.
Tentunya kita harap tidak hanya dua ini sahaja institusi surau dan masjid yang mesra seni-budaya di negara ini. Tentu ada lagi yang lain yang mungkin saya tak tahu. Tolonglah maklumkan kepada saya. Mungkin kita boleh saling membantu dan bekerjasama.
Okey, sementara itu kita balik kepada cerita awal tadi, mengenai majlis mengingati Usman Awang, yang diinisiatifkan oleh Siti Zainon Ismail bersama anak Usman Awang sendiri, Lyna Usman. Dibuat di surau. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, misalnya pernah dibuat bersama dengan Institut Terjemahan Negara di laman institut tersebut, di Wangsa Maju. Ada lakonan Rahim Razali yang melakonkan Jebat dalam drama Matinya Seorang Pahlawan dan sebagainya.
Kali ini pula dibuat di ruang perpustakaan sebuah surau. Bagi saya, alhamdulillah. Dalam keadaan institusi bahasa kita yang didanai kerajaan berjuta-juta (dengan duit rakyat) itu sedang memerlukan bacaan Yasin kerana tenatnya, (DBP), apalah yang hendak diharapkan padanya.
Kalaulah itu dilihat sebagai melambangkan betapa lemahnya tenaga batin para ahli bahasa, ahli sastera dan ahli budaya kita, khasnya kelompok yang bernaung di bawah payung Gapena yang gah dan gigih dengan pencarian Melayu mereka itu… Alahailah nasib!
Maka saya amatlah bersyukur Siti Zainon, Lyna dan Cikgu Ishak mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini, yang kebetulan masanya sangat-sangatlah sesuai – sedang panas-panas lagi dengan peristiwa ‘demam kuning’ 9 September itu. Ia memang bertepatan dengan semangat Usman Awang sendiri – seorang pejuang rakyat dan pejuang kemanusiaan!
Usman Awang tentunya bahagia dengan sambutan ulangtahunnya kali ini. Apatah lagi himpunan 100 ribu pejuang yang menuntut pilihanraya bersih dan adil itu pula antara yang berjalan di saf paling depannya ialah sahabat karibnya A Samad Said. (Kalaulah saja Usman Awang masih ada, dan dia berganding bahu dengan A Samad Said. Dua orang Sasterawan Negara memimpin kebangkitan rakyat Malaysia ! Oh alangkah hebatnya.)
Barangkali Hishamuddin Rais boleh tolong sambungkan cerita itu pada malam 23 Julai nanti. Hishamuddin pun memang mempunyai ceritanya sendiri dengan Usman Awang, sebelum dia memulakan kembara panjangnya ke luar negeri pada tahun 70-an dulu.
Saya pun tidak pasti bagaimana pengisiannya pada malam itu, kerana belum berbincang dengan Siti Zainon dan Lyna (sewaktu menulis catatan ini). Mengikut katanya, acara bermula sejak petang lagi, dengan pembacaan karya-karya Usman Awang oleh anak-anak muda Kampung Bandar Dalam.
Hanya Cikgu Ishak mengharapkan ramai kawan-kawan seniman dari generasi muda akan hadir seperti pada acara Himpunan Seniman-Budayawan pertama di situ dulu. Mereka yang meminati dan menghargai karya-karya Usman Awang yang menjulang tinggi semangat kerakyatan dan kemanusiaan – datanglah!
Mari kita sama-sama menghidup-segarkan kembali roh dan idealisme perjuangan Usman. Seperti saya sebut tadi, inilah masanya yang paling sesuai untuk kita menghayati semula karya-karya kerakyatan Usman Awang.
Manalah tahu – Rahmat Harun yang baru-baru ini mengejutkan kita dengan persembahan seni solonya di Warong Rakyat – memamah sepiring cili api hingga lumat, segenggam demi segenggam, lalu diluahkan menjadi huruf-huruf D-B-P, sempena baca puisi ulangtahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka itu; akan tampil pula dengan persembahan yang lebih mengejutkan! Siapa tahu!
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)