Background

‘Membeli-belah ilmu’ di Perpustakaan Selangor

Dinsman (Artikel 241, 25/7)
‘Membeli-belah ilmu’ di Perpustakaan Selangor

Hari itu beberapa orang penulis Paksi ada perbincangan dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), bertempat di bangunan Perpustakaan Negeri Selangor yang baru, di kawasan taman yang indah bersebelahan Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, (jalan masuknya bersebelahan dengan Kolej PTPL).

Puan Mastura Muhamad, Pengarah PPAS menyambut kami dengan mesra dan ramah. Tidak terus dibawanya kami ke bilik perbincangan, tetapi dibawa dulu melihat-lihat sekitar ruang dan tempat-tempat menarik dalam perpustakaan itu, bermula daripada ruang untuk kanak-kanak membaca dan berekreasi, hingga ke dewan menonton filem 6D, dan ruang gimnasium untuk lelaki dan untuk wanita.

Sungguh menarik dan menawan sekali. Shukur Harun pun seperti tidak sabar lagi hendak membawa cucu-cucunya datang ber‘main’ di ruang rekreasi yang bukan sahaja cantik itu, tetapi boleh merangsang kreativiti anak-anak.

Hari itu perpustakaan belum lagi dikunjungi oleh para penggunanya. (Ia mulai dibuka untuk kegunaan awam pada hari Jumaat 22 Julai). Maka sambil berjalan melihat-lihat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk pembaca, dan bagi mencapai objektif perpustakaan yang maksimum itu, kami terfikir juga akan kedudukan lokasinya yang agak jauh dari capaian orang awam, kecuali bagi mereka yang berkenderaan sendiri.

Bagi Mastura, itu adalah cabaran yang akan dihadapinya dengan penuh percaya akan potensinya yang cerah. Dia umpamakannya dengan kompleks beli-belah seperti Tesco, Giant dan sebagainya, yang orang akan berduyun-duyun mengunjunginya walaupun lokasinya agak jauh. “Yang pentingnya tarikan daripada kemudahan dan khidmat yang kita sediakan,” katanya dengan yakin.

“Ya, ini pun macam kompleks beli-belah juga,” sambut Shukur Harun. “Kita jadikan perpustakaan ini sebagai tempat membeli-belah ilmu.”

Ya, suatu idea yang sangat menarik. “Membeli-belah ilmu”!

Memang. Duduk di bahagian tengah bangunan itu, samada di tingkat satu atau tingkat empatnya, dan anda dapat melihat keseluruhan tingkatnya, anda akan terasa seperti berada di kompleks beli-belah mewah yang baru dibuka. Ya, peralatan dan perabutnya memang kelihatan mewah.

(Dan anda pasti terkejut apabila Mastura memberitahu kosnya. Dan anda pun akan ucapkan tahniah kepadanya, kerana berusaha mendapatkan barang-barang yang semewah itu, dengan kos yang begitu rendah! Bagaimana dia melakukannya? Itu satu cerita lain.)

Bayangkanlah, anda membeli-belah ilmu di sebuah pusat beli-belah yang mewah, dan anda tidak perlu pun mengeluarkan wang untuk belanja beli-belah ini!

Hari itu kami tidak sempat membelek judul-judul buku yang tersusun rapi di rak-rak pelbagai kategori ilmu yang disediakan oleh perpustakaan baru ini. Bukan kerana terpesona dengan panorama pemandangan tasik di hadapannya yang dapat dilihat dari setiap tingkat bangunan, tetapi oleh kerana waktu yang tidak mungkin mengizinkan. Orang seperti Kassim Muhamad (barabarajiwa.blogspot) misalnya, akan sanggup meluangkan masanya berhari-hari kalau bertemu dengan buku-buku yang sedemikian banyak.

Manakala orang seperti saya pula, apabila berada dalam kompleks beli-belah ilmu yang sedemikian istimewa itu – apa yang akan berlompatan dalam taman fikiran saya agaknya? Pertama sekali tentulah acara-acara seni budaya yang sesuai dengan sekitaran di situ.

Apa acaranya? Pertama tentulah teater. Tapi saya tidak mahu bercakap soal teater dulu di sini. (Lain kali kita cakap). Sekarang kita cakap soal buku, kerana ‘perpustakaan’ sehingga hari ini masih lagi disinonimkan dengan ‘buku’. Kandungan utama perpustakaan ialah buku. Himpunan dan sususan buku-buku pelbagai bidang dan pelbagai jenis, dari seluruh dunia, untuk dibaca oleh peminat-peminat buku di sekitarnya.

Maka acara seni budaya yang berkaitan dengan buku ialah bicara buku, diskusi buku, pelancaran buku; seminar, forum, syarahan dan bengkel yang berkaitan dengan buku dan penulis; pameran yang berkaitan dengan buku dan penulis, dan lain-lain yang seumpama dengannya.

Kita ambil program bicara buku dan diskusi buku misalnya. Sehingga kini apakah sudah ada perpustakaan di negara kita yang menjadikan program bicara/diskusi buku sebagai satu aktiviti pentingnya? Setahu saya tidak ada.

Maka ketika Mastura menunjukkan kami bilik-bilik dan dewan-dewan perbincangan dan tayangan yang pelbagai jenis kapasitinya itu (ada untuk empat orang, untuk lapan orang, 10 orang, 20 orang, 100 orang dan sebagainya), itulah yang bermain di fikiran saya. Kalaulah boleh dianjurkan diskusi atau bicara buku pada setiap bulan, misalnya, alangkah bagusnya!

Apatah lagi kalau ia dibuat sebagai acara tetap, sehingga membolehkan peminat-peminat buku dan budaya ilmu yang berada jauh dari Shah Alam pun dapat merancangkan jadual mereka untuk hadir.

Apabila ditunjukkan pula kafe yang terletak di suatu anjung bangunan itu yang menganjur ke tasik, dengan rekabentuknya yang menarik, (kata Mastura ia dibuat mengikut idea Sultan Selangor), saya terfikir mengenai tempat untuk penulis berjumpa kawan-kawan, sambil duduk minum-minum seperti yang dulu pernah berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka misalnya.

Sekarang tidak ada lagi tempat yang boleh dituju oleh golongan penulis, seniman dan budayawan apabila mereka ada waktu senggang dan ingin berehat dari membaca dan menulis, sambil berbincang dengan kawan-kawan. Dulu waktu Usman Awang di DBP, institusi itu pernah menjadi tempat tidak rasmi untuk fungsi tersebut.

Manalah tahu, perpustakaan baru PPAS ini boleh menghidupkan semula suasana itu, dengan mengadakan acara-acara ringan baca puisi, sepetang bersama tokoh penulis, persembahan santai lagu puisi atau lagu rakyat, dan yang seumpama itu. (Saya sekadar mencatatkan imaginasi saya yang terangsang apabila berada di tempat yang mempesonakan itu).

(Nota: PPAS akan menyediakan khidmat bas daripada tempat-tempat tumpuan ramai seperti komplek PKNS Shah Alam, untuk dibawa ke Perpustakaan yang baru ini).

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply