Background

Mari kita ingati peristiwa besar menjelang Ogos ‘57

Ya, apa dia peristiwa besar menjelang Tanah Melayu diisytiharkan Merdeka pada akhir Ogos 1957?

Kebanyakan kita, saya percaya, tentu tak pernah fikirkan pun perkara ini. Apa dia peristiwa besar menjelang Ogos 1957 itu? Peristiwanya ialah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, di Johor Bahru, sebagai menyahut resolusi Kongreas Bahasa II yang diadakan pada tahun tersebut.

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, sebagai satu persediaan penting untuk mengisi kemerdekaan yang sedang hangat diperjuangkan pada waktu itu.

Orang sekarang mungkin terkejut dengan kenyataan saya ini. Apa? Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu agenda besar dan penting menjelang Merdeka 1957?

Ya! Kalau anda tak percaya, cubalah anda sebut apa agenda lain yang besar dan penting waktu itu, yang menjadi sebahgian daripada perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan? Tak ada. Dan Kongres Bahasa 1956 di Johor Bahru itu adalah perhimpunan orang Melayu yang besar dan terpenting, bertaraf nasional, selepas perhimpunan tahun 1946 (yang merumuskan penubuhan Umno) di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Memang ramai orang sekarang akan berasa pelik dan hairan – eh, kongres bahasa jadi satu perhimpunan nasional yang terpenting menjelang kita Merdeka tahun 1957? Ya! Kenapa, tak percaya?

Kita tak percaya sebab hari ini kita tak pernah terfikir pun yang soal bahasa itu satu soal penting dalam pengisian merdeka dan pembinaan bangsa dan negara berdaulat. Inilah hasil daripada sistem pendidikan kita yang pincang dan dasar kebudayaan kita yang cacat itu. (Atau kita pun sebenarnya tak pernah ada dasar kebudayaan?)

Inilah dia situasi kebangsaan dan kenegaraan kita hari ini. Satu institusi sepenting itu yang ditubuhkan menjelang kemerdekaan telah tidak dianggap penting oleh generasi hari ini, bukanlah satu perkara pelik. Ada yang lebih pelik daripada itu. Bank Bumiputra yang ditubuhkan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputra awal 1970-an, pun sudah tidak dianggap penting lagi.

Kehilangannya kerana ditelan oleh sebuah bank yang lebih kecil daripadanya, tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa pun. Sedangkan soal ekonomi itu, bagi orang sekarang ia dianggap lebih penting daripada soal bahasa dan budaya. Jauh lebih penting. Itu pun tidak dipedulikan. Inikan pula soal bahasa dan budaya.

Jadinya – apa sebenarnya yang dipedulikan oleh orang-orang sekarang?

Tak tahulah. Terlalu banyak masalah (yang lebih urgent) agaknya, hingga apa sebenarnya yang diperlukan dan dipedulikan oleh masyarakat kita hari ini pun tak ada siapa yang nak pedulikan. Masing-masing sibuk dengan hal/masalah/urusan/kepentingan masing-masing. Hinggakan orang yang sepatutnya jadi pemimpin masyarakat pun tidak faham lagi apa yang sepatutnya dia buat. Dan masyarakat pun terus juga tak peduli. Aduuuh! (Boleh sesat dalam permasalahan yang gawat begini).

Tak mengapalah. Mari kita balik kepada tajuk wacana kita. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan Gerakan Darurat Bahasa (GDB) akan menganjurkan majlis baca puisi khas sempena menyambut tarikh penubuhan DBP, 22 Jun ini (Rabu), bertempat di warung rakyat, depan bangunan DBP, Kuala Lumpur.

Ini kali kedua bacaan puisi diadakan di warung tersebut. Kali pertama ialah pada 15 Mac lalu, iaitu bacaan Yasin dan baca puisi “Selamatkan DBP”, anjuran GDB yang dipengerusikan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid (Presiden Teras Pengupayaan Melayu). Baca puisi “Selamatkan DBP” selepas itu diadakan juga di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam (KBD), Kuala Lumpur, pada 30 April.

Kalau anda masih ingat lagi catatan saya mengenai majlis baca Yasin dan puisi 15 Mac di warong rakyat itu, satu perkara yang menarik ialah jamuannya. Satu lepas satu dihidangkan. Tak tahu siapa yang menyediakannya. Apakah kali ini pun akan ada lagi hidangan demi hidangan seperti itu? Tak tahulah. Harap-harap ada-lah nanti ya!

Tapi itu bukanlah acara penting. Acara penting kita ialah mengingati peristiwa besar menjelang Ogos 1957 itu. Mengingati bagaimana agenda mendaulatkan Bahasa Melayu melalui satu tindakan yang tegas dan jelas, mendirikan sebuah institusi besar waktu itu, sebagai faktor penting dalam perjuangan dan pengisian kemerdekaan, dan seterusnya dalam pembinaan dan pembangunan negara-bangsa.

Mengikut Setiausaha GDB, Hasni Abas, ini bukanlah sekadar satu acara untuk bernostalgia mengingati kegemilangan zaman lampau yang telah berlalu. Tidak. Sama sekali tidak. Tetapi ini adalah acara untuk mengingatkan para pemimpin umat hari ini, betapa kita telah jauh menyeleweng daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita, hinggakan umat hari ini telah menjadi umat yang keliru, sesat dan ada juga yang sudah bangsat.

GDB sudahpun menghantar memorandum kepada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengemukakan tuntutan-tuntutan yang munasabah, pada 27 April lalu. Tetapi hingga hari ini belum ada jawapan daripada pihak menteri itu.

Hal ini telah dibincangkan dalam satu pertemuan eksklusif GDB dengan tokoh-tokoh bahasa seperti Datuk Hassan Ahmad dan Prof Shaharir Mohd Zain baru-baru ini. Dalam pertemuan itu Prof Shaharir menyatakan beliau sangat bimbang dengan suatu gerakan oleh sekumpulan orang yang sedang mendesak supaya bahasa Inggeris digunakan semula dalam pengajaran sains dan matematik.

Persoalan bahasa Melayu hari ini bagi Prof Shaharir adalah satu persoalan besar dan penting bagi rakyat Malaysia. Tetapi di manakah hilangnya para pejuang bahasa Melayu? Apa yang sebenarnya sudah terjadi kepada jiwa Melayu?

Barangkali Hishamuddin Rais akan memberi jawapannya, dari perspektifnya sendiri, pada malam 22 Jun ini. Kassim Muhamad juga sudah berjanji dengan sajak barunya.

Ya, apa pun, Hasni berharap para pejuang bahasa Melayu dan budaya Melayu akan hadir pada 22 Jun ini, di warong rakyat, untuk sama-sama duduk merenung akan nasib bahasa Melayu yang sedang tidak dipedulikan oleh bangsanya sendiri. “Makan-minum jangan bimbang,” kata Hasni, “sudah ada orang yang berjanji.”

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)

Categories: Share

Leave a Reply