Background

Dinsman (Artikel 335, 13/8)
Kampung Delek mini Serambi Mekah

Ada sebuah kampung di negeri Selangor, dalam daerah Kelang, arah ke Pelabuhan, di bawah DUN Selat Kelang, telah diisytiharkan sebagai “Mini Serambi Mekah”. Kampung itu namanya Kampung Delek. Siapa mengisytiharkannya saya pun tak pasti. Yang saya tahu ini ialah projek Dr Halimah Ali, Adun kawasan tersebut merangkap Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Saya telah beberapa kali ke kampung tersebut, termasuk mengadakan persembahan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” (MKDT) di dalam masjidnya, Masjid Nurul Amin, pada 9 Jun, (lakonan Bob Lokman); dan yang terakhir pada 5 Ogos minggu lalu, bersama SN A Samad Said, membaca puisi dalam majlis perasmian “Ramadhanku Yang Bermakna”.

“Ramadhanku Yang Bermakna” ialah satu program Ihya’ Ramadhan hasil idea Dr Halimah, yang akan dijalankan di Kg Delek dan berpusat di Masjid Nurul Amin selama seminggu, bermula 5 Ogos dan akan berakhir pada 12 Ogos (23 Ramadhan). Program ini juga adalah sebagai pengisian projek Mini Serambi Mekah.

“Ramadhanku Yang Bermakna” (RYB) melibatkan ramai pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), UiTM dan Inpens, yang hadir berkampung di situ bersama-sama dengan pelajar-pelajar beberapa IPT dan sekolah yang terdapat di Kg Delek sendiri, seperti Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmu Selangor (KITTIS), Kompleks Tahfiz Sofiyudin (Komtas), Sekolah Islam Al-Farabi, dan Kelas Agama Menengah Arab (KAMA).

Pelbagai program ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan telah disediakan oleh pihak Urusetia RYB, untuk dijalani oleh para pelajar tersebut, dengan matlamat menjadikan Ramadahan ini sebagai Ramadhan “yang bermakna” bagi mereka. Bahawa Ramadhan bukan sekadar berpuasa, tetapi ada pelbagai ibadah lagi yang dijanjikan Allah dengan fadhilat berlipat ganda untuk dilakukan sepanjang Ramadhan.

Saya tertarik dengan idea Dr Halimah menjadikan sebuah kampung dalam kawasan DUN Selat Kelang itu sebagai Mini Serambi Mekah. Kita selalu mendengar adanya Serambi Mekah sahaja, iaitu yang digelarkan pada Kelantan disebabkan terdapat banyak ciri-ciri keilmuan Islam termasuk pengajian cara pondok di sana. Sekarang ada pula “mini” kepada Serambi Mekah, di Selangor.

Beberapa buah pusat pengajian Islam sudahpun didirikan di Kg Delek, seperti KITTIS, Komtas, KAMA dan Al-Farabi, sebagai usaha bagi merealisasikan Mini Serambi Mekah itu, di samping Sekolah Rendah Agama (JAIS) yang sedia wujud, dengan pelajarnya sekarang lebih 2,000 orang.

Sebuah taman istimewa berkonsepkan tanaman-tanaman yang namanya disebut dalam al-Quran, telah diwujudkan di sekolah tersebut, iaitu Quranic Botanical Garden. Tok Guru Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan) sempat dibawa melawat taman istimewa ini, sewaktu beliau hadir memberi tazkirah Zuhur di masjid Nurul Amin, awal Jun lalu.

Mengikut Hj Azmi, Ajk Masjid Nurul Amin dan pembantu khas Exco Dr Halimah, kini ada banyak program keagamaan yang sedang dijalankan di Kg Delek. Di Masjid Nurul Amin sendiri, katanya, selain tazkirah Maghrib yang diadakan pada setiap lepas solat Maghrib (ditukar kepada lepas solat Terawih pada bulan Ramadhan), kuliah Subuh dan kuliah Dhuha juga diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, manakala untuk Muslimat pula diadakan kuliah khas Muslimat sebanyak tiga kali pada setiap minggu. 

Pada 10 Ogos ini berlangsung pula suatu Bengkel Sumbangsaran Konsep Mini Serambi Mekah, bertempat di KITTIS. Ramai mereka yang berkenaan dijemput hadir untuk memberi idea dan pandangan mengenai bagaimanakah sepatutnya Mini Serambi Mekah itu; apakah yang perlu dibuat dan diadakan lagi di Kampung Delek bagi menepati gelarannya sebagai Mini Serambi Mekah.

Dalam ucapannya merasmikan “Ramadhanku Yang Bermakna”, Dr Halimah beberapa kali merujuk ayat al-Quran Baldatun Thoiyibah wa-Rabbun Ghafuur. “Negara yang baik yang mendapat keampunan Tuhan.” Itulah idealnya sebuah negeri atau negara atau sebuah daerah mengikut pandangan Islam. Sebuah masyarakat yang kehidupannya mematuhi syariat dan hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah, seperti terdapat dalam al-Quran dan Sunnah.

Mereka berdebat di peringkat negara bagaimanakah sebenarnya ciri-ciri sebuah Negara Islam. Apakah ia mesti dipanggil Negara Islam atau boleh juga disebut Negara Berkebajikan dan sebagainya. Sebahagian ahli dan pemimpin PAS bertegas mahukan sebutan Negara Islam, tanpa mempedulikan bantahan keras yang dinyatakan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh itu. Manakala Tok Guru Nik Aziz sudah lama mengambil jalan damainya sendiri dengan diam-diam melaksanakan syariat Islam sedaya yang termungkin oleh kemampuannya di Kelantan.

Alhamdulillah, Kelantan sudah menghampiri konsep negara yang dikehendaki oleh Al-Quran dan Sunnah itu, tanpa perlu terlibat dan terperangkap dengan perdebatan politik negara Islam vs negara sekular itu. Yang pentingnya ialah penghayatan dan pelaksanaan ajaran Islam, bukannya penjenamaannya mengikut fahaman pihak-pihak tertentu hari ini.

Dan di peringkat yang lebih kecil, seorang Adun dan Exco di negeri Selangor pula seperti mengikut jejak langkah yang diambil oleh Tok Guru Nik Aziz itu – cuba menerapkan ajaran Islam ke dalam kehidupan harian sebuah masyarakat di sebuah kampung yang sederhana besarnya. Alhamdulillah! Syabas dan tahniah Dr Halimah Ali.

Suatu langkah yang sungguh bijak. Melaksanakan dan menghayati ajaran Islam itu dalam daerah kemampuan dan kekuasaan kita sendiri.

Banyak perkara yang boleh dilakukan sebenarnya, walaupun daerah kekuasannya tidaklah sebesar mana. Tetapi cukuplah, untuk ruang pelaksanaan syariat seperti yang dikehendaki oleh Allah. Laksanakanlah, praktislah dan terapkanlah ajaran Islam yang murni dan penuh hikmah itu, secara bijaksana, dalam ruang yang tersedia di hadapan kita, tanpa perlu berkonfrantasi dengan mana-mana pihak pun.

Marilah kita sama-sama menyaksikan keindahan dan kesyumulan Islam itu, di Kampung Delek! Semoga Allah mempermudahkan!

Dinsman (Artikel 334, 10/8)
Mengapa jemaah Masjid Batu suka buku?

Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, (namanya memang begitu – “Masjid Batu”) ada keistimewaan tersendiri buat saya dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Ia masjid yang sangat mesra dengan seni-budaya. Ia membuka kemungkinan bagi pementasan teater dibuat di dalam masjid. Di situlah buat pertama kalinya teater Menunggu Kata Dari Tuhan dipersembahkan di dalam masjid, iaitu pada 30 Mei 2009.

Khamis lalu saya hadir lagi ke masjid itu, bersama Shukur Harun. Programnya: pelancaran buku Shukur Harun yang baru terbit, Gelombang di Pesisir Waktu, dan buku saya Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya (PPSB).

Ada sebuah esei berjudul “Kalaulah ada 50 masjid seperti Masjid Batu”, di antara 29 buah esei di dalam buku PPSB (yang ditujukan kepada para pemimpin di Malaysia) itu. Dan selain itu hal Masjid Batu juga dibincangkan dalam sebuah lagi esei iaitu “Bicara Buku dan masyarakat yang rosak”.

Mengapa saya mendambakan “Kalaulah ada 50 masjid seperti Masjid Batu”? Kerana masjidnya yang cantik dan besar? Tidak. Masjidnya sederhana saja besarnya dan cantiknya. Tetapi kerana jemaahnya atau ahli qariahnya yang sangat responsif terhadap seni-budaya, khasnya terhadap buku dan bicara ilmu.

Mengapakah mereka begitu menunjukkan minat terhadap bicara ilmu dan buku? Inilah yang menjadi persoalan dalam kepala saya. Mengapa? Apakah yang membezakan mereka daripada kelompok-kelompok masyarakat yang lain atau di tempat lain? Siapakah mereka? Apakah mereka terdiri daripada para ilmuan, intelektual dan budayawan? Atau apakah ia juga ada hubungannya dengan sifat suka menderma atau bersedekah (infaq) yang juga dapat dilihat dengan mudah di kalangan jemaahnya?

(Mereka baru saja menyiapkan bangunan baru masjid itu, yang seluruh perbelanjaannya adalah daripada sumbangan para jemaah dan anak-anak qariah. Petang itupun sebelum berbuka, pihak masjid memberi bantuan kepada fakir miskin dan anak yatim, hasil daripada sumbangan para jemaah masjid.)

Soalan-soalan itu masih tiada jawapannya. Sementara itu Paksi juga telah menjalinkan hubungan dengan beberapa buah masjid dan surau kerana menjalankan aktiviti seni-budaya. Antaranya yang paling banyak bekerjasama dengan kami mengadakan aktiviti ialah surau Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, Kuala Lumpur.

Berbagai-bagai aktiviti seni-budaya telah kami buat di situ, (termasuk siri Bengkel Penulisan pada setiap bulan), hinggakan pihak surau yang dipimpin oleh Cikgu Ishak Surin itupun bersetuju menubuhkan “Madrasah Seni” di situ. Tetapi, satu perkara yang ia tidak dapat mengikut jejak langkah Masjid Batu ialah – ahli jemaahnya tidak begitu berminat membeli buku (seperti jemaah Masjid Batu).

Mengapa? Apakah kerana di surau ini terdapat sebuah perpustakaan yang mempunyai banyak buku? Maka kalau mereka hendak membaca buku mereka boleh saja meminjamnya daripada perpustakaan itu. Atau kenapa? Mungkinkah kerana bilangan jemaahnya yang kecil? Ya, mungkin, kerana ia hanya sebuah surau.

Namun itu tidak juga dapat menjawab soalan mengapa jemaah Masjid Batu suka membeli buku, dibandingkan dengan jemaah di masjid-masjid lain. (Yang kami mempunyai pengalaman mempromosi buku. Kami pun sebenarnya tidaklah begitu banyak pengalaman mempromosi buku. Hanya di beberapa buah masjid sahaja. Mungkin ada lagi jemaah masjid lain yang lebih responsif tetapi kami tidak tahu.)

Persoalan kita sebenarnya bukanlah persoalan membeli buku. Persoalan kita ialah minat kepada ilmu. Suka membeli buku itu ialah satu daripada petanda minat kepada ilmu. Dan dari pandangan seni-budaya, suka kepada buku adalah suatu petanda menunjukkan masyarakat yang sihat dan berbudaya tinggi.

Majlis bicara buku adalah suatu program ilmu dan seni-budaya sekaligus. Ia suatu program yang sangat baik untuk memupuk dan membentuk masyarakat yang sihat. Namun peliknya ia sangat kurang dianjurkan dan apabila dianjurkan pun selalunya kurang mendapat sambutan. (Kecualilah yang dianjurkan sesekali dengan cara istimewa oleh pimpinan tinggi politik, dan dengan tujuan politik).

Dalam konteks inilah kita melihat peristiwa di Masjid Batu itu sebagai sesuatu yang patut diteladani atau diperbanyakkan dalam masyarakat kita. Ia menunjukkan bahawa majlis Wacana Ilmu atau Bicara Buku itu bukanlah sesuatu yang istimewa untuk orang-orang bijak pandai dan golongan intelektual sahaja.

Malah, seperti yang selalu disebut oleh Dr Alinor dan Prof Shahrir, masyarakat yang dianggap sebagai intelektual di universiti pun hari ini tidak berminat dengan buku. Mereka hanya membaca buku kerana keperluan kerjaya, bukannya kerana mencintai ilmu. Yang benar-benar mencintai ilmu sangatlah kurang.

Menyedari hal inilah maka Paksi melihat program bicara buku sebagai aktiviti yang perlu diperbanyakkan, termasuk di masjid-masjid. Ia bukanlah suatu program yang besar, hebat dan istimewa, yang memerlukan persiapan dan protokol segala macam. Ia hanya suatu program biasa. Tetapi ia perlu dibuat selalu (maksudnya banyak kali) dan secara berterusan. Jangan hanya sekali setahun, atau sesekali apabila dilihat ada kepentingan politik sahaja.

Seniman Paksi Rakyat bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja dan di mana sahaja, bagi menganjurkan majlis bicara buku. Walaupun untuk kumpulan kecil beberapa orang sahaja pun, tidak mengapa. Yang pentingnya ia perlu dimulakan. Dan apabila ia dibuat secara berterusan, lambat laun kumpulan kecil itu akan semakin bertambah keahliannya dan lama kelamaan akan menjadi besar.

Cikgu Khairuddin pengerusi Masjid Batu tentulah mempunyai jawapan tersendiri kepada beberapa persoalan yang telah saya bangkitkan di atas tadi. Kalau ada pihak masjid lain di mana-mana yang berminat untuk berkongsi pengalaman dengannya, barangkali beliau tidak akan keberatan untuk berbuat demikian.

Dinsman (Artikel 333, 30/7)
Isu air Selangor: Siapa lebih cekap?

Lihat dari perspektif rakyat, apa sebenarnya isu air di Selangor ini? Kerajaan Negeri salahkan Syabas (syarikat yang dilantik oleh kerajaan Umno-BN bagi menguruskan air secara swasta di Selangor), Syabas salahkan Kerajaan Negeri, dan Kerajaan Pusat juga salahkan Kerajaan Negeri, dan sokong Syabas. Nampak macam Kerajaan Negerilah yang salah.

Tapi isu di sini sebenarnya apa? Kenapa Syabas menyalahkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri salahkan Syabas dan Kerajaan Pusat pun salahkan Kerajaan Negeri – ini sebenarnya kenapa? Apa isu sebenarnya di sini? Kenapa masing-masing nak salahkan pihak yang lain itu?

Cuba kita lihat bagaimana isu ini mula terjadinya. Setahu saya, dan setakat yang saya boleh faham (sebagai seorang rakyat biasa yang tidak arif mengenai selok-belok kontrak perjanjian dalam penswastaan air di Selangor ini, yang dibuat sebelum Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor), isu ini bermula apabila kerajaan PR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim membuat keputusan memberi air percuma (sebanyak 20 meter padu) setiap bulan kepada rakyat Selangor.

Itulah mulanya. Kenapa saya kata itulah mulanya? Kerana tindakan Khalid Ibrahim itu jelas bertentangan dengan semangat dan falsafah pemerintahan kerajaan Umno-BN yang sentiasa mengintip peluang untuk mengkayakan kroni-kroni mereka. Pihak pimpinan Syabas (yang gaji CEO-nya saja pun dikatakan hampir setengah juta RM setiap bulan) tentunya sudah dapat menghidu berita buruk yang bakal menimpa masa depan mereka.

Daripada situ lagi – titik mula tercetusnya apa yang dikatakan krisis air di Selangor ini – kita sepatutnya sudah boleh membaca apakah sebenarnya isunya. Isunya bukan krisis air. Isunya ialah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dibawa oleh pimpinan Khalid
Ibrahim dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor itu. Dasar itu adalah satu tamparan kuat di muka pimpinan Umno-BN. Dan gegaran dari tamparan itu paling kuat dirasakan pada penswastaan. Maka sejak itu lagi pimpinan Syabas sudah merasakan bangunannya sudah mulai bergoyang (dan akan runtuh).

Dan apabila Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Air Selangor yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Selangor untuk mengambil alih Syabas, Isnin 23 Julai lalu, keputusan itu memang sudahpun dijangka. Tak mungkin kerajaan Umno-BN (yang sudah merasa tamparan Khalid di mukanya itu) akan bersetuju dengan cadangan kerajaan PR Selangor itu.

Sebab apa tak setuju? Pertama, kalau dia setuju bererti awal-awal lagi dia sudah mengaku kalah. Dia mengaku yang Syabas gagal menjalankan tugas (seperti dalam perjanjian), seperti yang didakwa oleh Khalid, dan dia mengaku akan kelemahan sebuah syarikat besar yang selama ini menjadi harapan mereka (Umno-BN) dalam beberapa tujuan yang bersifat politik dan kewangan.

Kedua, kalau dia setuju bererti dia mengaku kalah kepada Tan Sri Khalid dalam persaingan politik. Seperti disebut di atas tadi, isu ini sebenarnya bukan isu air tetapi isu dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) lawan dasar Penswastaan kerajaan Umno-BN, (yang dipelopori oleh Dr Mahathir), yang satu demi satu menampakkan kegagalannya, sekaligus membuktikan kelemahan dan kesilapan pimpinan Umno-BN.

Ini sebenarnya bukan isu kecil, dan bukan juga isu besar sebesar RM8.65 bilion (nilai loji Langat 2 yang dijadikan tumpuan dalam krisis antara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan pusat) itu sahaja. Nilai dan makna serta implikasi politik yang sebenar daripada isu yang berpusat pada krisis air Selangor ini adalah jauh lebih besar daripada itu.

Pada mulanya ia mungkin hanya isu perniagaan dan kewangan, iaitu jangkaan pendapatan Syabas yang akan merosot disebabkan keengganan kerajaan Selangor kepada beberapa rancangan dan cadangan Syabas, seperti pembinaan loji Langat 2 dan kenaikan tarif air. Maka pihak Syabas pun menjalankan kempen di media awam bagi meyakinkan orang ramai terhadap krisis air yang semakin meruncing, yang akan dihadapi oleh rakyat Selangor sekiranya kerajaan negeri terus enggan meluluskan cadangan Syabas itu. Tujuan kempen tersebut ialah untuk memberi tekanan kepada kepimpinan Khalid Ibrahim supaya bersetuju dengan cadangan Syabas berkenaan. Itu sahaja.

Mereka menjangkakan Khalid akan tertekan, kerana mereka menggunakan strategi dan taktik bermain dengan emosi dan kerisauan rakyat, apatah lagi di musim yang semakin hampir dengan pilihanraya umum ke-13 ini. Nampak! Awal-awal lagi mereka sudah mempolitikkan isu ini.

Siapa yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan rakyat? Pakatan Rakyat pimpinan Khalid Ibrahim (dan Anwar Ibrahim) atau Umno-BN pimpinan Najib (yang dalam isu ini diwakili oleh tokoh perniagaan CEO syarikat Syabas itu)? Pelik ‘kan?

Di situ pun sudah nampak peliknya. Mereka (Umno-BN) mewakilkan orang bisnes dan syarikat yang bermotifkan keuntungan besar (lihat pada gaji CEO-nya saja pun sudah menggerunkan kita) untuk berlawan dengan sebuah kerajaan negeri, bagi meyakinkan rakyat – siapakah yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan rakyat.

Namun, walaupun langkah mereka itu pelik, tetapi agak menarik untuk diperhatikan oleh mereka yang berminat dengan perkembangan masyarakat. Lihat bagaimana faktor ekonomi (perniagaan dan motif keuntungan kewangan) boleh mempengaruhi rakyat ramai dalam mengambil keputusan politik. Walaupin ia pelik, kita jangan pandang ringan kepada strategi dan taktik ini, kerana strategi dan tektik inilah yang sedang menguasai politik dunia hari ini.

Dan yang menariknya lagi di sini ialah – di pihak kerajaan negeri Selangor pula, yang dihadapi oleh pihak Umno-BN dan Syabas itu, secara kebetulannya dia juga adalah seorang tokoh korporat yang pernah dikenali kerana strategi Dawn Raid-nya yang telah menggegarkan dunia bisnes di London kerana pengambilalihan syarikat Guthrie (daripada milik British kepada milik Malaysia), sewaktu dia menerajui PNB suatu ketika dulu.  

Saya walaupun kurang menyenangi tokoh ini kerana sikapnya yang kurang mesra dengan seni-budaya, namun dalam hal yang sedang dibicarakan ini saya amat yakin dengan kemampuannya. Bukan saja yakin, tetapi saya juga suka memerhati gerak dan langkahnya untuk mendapatkan kemenangan di pihaknya. Insya Allah.

Dinsman (Artikel 332, 27/7)
20 tahun lalu Nik Aziz pernah minta

Sempena Ramadhan saya mengambil kitab Tafsir Surah Yunus oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat terbitan MHI Publication, (diusahakan oleh Maahad Dakwah wal-Imamah, Kota Bharu), untuk menelaah ulang. Sampai pada tafsir ayat kelima, “Dialah yang menjadikan matahari cerah dan bulan bercahaya dan menetapkan baginya beberapa manzil supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hisab…,” Tok Guru Nik Aziz melencong keluar sedikit daripada aliran tafsirnya.

“Saya hendak sebut hari ini,” katanya, “di balaisah-balaisah kampung, biasanya tok-tok guru mengajar, ustaz-ustaz mengajar… umumnya dia mengajar bab fikah, hal zakat, kahwin, mandi junub, sembahyang, puasa. Boleh dikatakan zaman-berzaman lagi balaisah-balaisah dan masjid-masjid diguna untuk pengajian fikah, tauhid, tajwid dan sebagainya. Tidak ada orang mengajar geografi di atas balaisah, tidak ada orang mengajar kesihatan di atas balaisah, tidak ada orang mengajar sains di atas balaisah, sedangkan ayat tadi menunjukkan matahari yang Tuhan buat kesannya amat besar dan berguna dalam kehidupan makhluk, di samping memberi sinaran cahayanya yang cerah.”

Buku tafsir ini sebenarnya adalah salinan daripada teks kuliah mingguan pagi Jumaat Nik Aziz di Dewan Zulkifli Muhammad (sekarang Dataran Ilmu), Kota Bharu, pada Mac hingga November 1991, iaitu empat bulan setelah beliau menjadi Menteri Besar. Tafsir ayat lima ini dikuliahkan pada 10 Mei 1991.

Seterusnya kata Tok Guru Nik Aziz, waktu itu: “(Ayat 5 surah Yunus ini) bukan ayat fikah, bukan ayat tauhid, tetapi ayat geografi yang membawa juga kepada fikah dan tauhid. Mengapa tidak ada cikgu kita menggunakan ayat ini untuk mengajar geografi di balaisah?”

Yang menarik perhatian saya ialah idea Nik Aziz supaya tafsir al-Quran bukan sahaja dibuat oleh orang-orang agama, tetapi oleh orang-orang yang tahu ilmu geografi, kesihatan, sains dan ekonomi; kerana al-Quran juga mengandungi ayat-ayat yang memerlukan ilmu berkenaan untuk memahaminya.

Kata Tok Guru Nik Aziz lagi: “Awak yang mengaji di sekolah, lulus sampai boleh jadi doktor, tolong sebar ilmu kesihatan ini di balaisah juga. Jangan biarkan balaisah bagi orang kampung mengajar fikah dan tauhid sahaja, seakan-akan Tuhan tidak buat benda lain selain fikah dan tauhid. Sedangkan sebanyak mana ilmu atas muka dunia samada yang dikaji oleh orang putih, orang Jepun, semuanya turun daripada langit belaka.”

Keyakinan Nik Aziz terhadap ketinggian dan kesempurnaan Islam dan al-Quran begitu hebat sekali. Ini terlihat pada kata-katanya: “Perkara ini perlu diberitahu di atas balaisah (surau) – oleh orang yang pandai – kepada masyarakat semua supaya lahir satu masa kelak tidak ada orang yang lebih pandai di atas muka dunia selain daripada orang Islam.”

Ternyata Nik Aziz sejak tahun 1991 itu lagi sudah menyimpan satu harapan dan cita-cita yang begitu tinggi – ingin agar suatu hari nanti orang Islam yang menguasai ilmu-ilmu yang tinggi dan berpengaruh di dunia, melebihi orang bukan Islam.

Perhatikanlah hujahnya ini. “Sekarang timbul orang Amerika pandai, orang Jepun pandai, hingga sampai kita jadi serabut bagaimana orang kafir pandai daripada aku. Dia tidak sembahyang tetapi cerdik daripada aku. Macamana? Kerana kamu bodoh! Kamu ada al-Quran tetapi kamu tidak baca. Kalau baca pun bertujuan hendak hambat pelesit. Kalau ada budak-budak dikekah pelesit baru gaduh baca Yasin. Yasin bukan untuk hambat pelesit, tetapi untuk hambat jahil dalam dirimu sendiri.”

Dalam kuliahnya itu Nik Aziz begitu sekali mengharapkan orang-orang yang mempunyai ilmu kedoktoran, misalnya, agar sudi menyebarkan ilmu mereka di masjid-masjid dan surau-surau – “supaya orang kampung tidak lagi berpenyakit cacing, demam kura, digigit nyamuk Aedes, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. Insya Allah lepas ini balaisah tidak lagi hanya diguna untuk mengajar ilmu fikah dan tauhid, bahkan diguna untuk mengajar sebanyak mana ilmu yang diturunkan Allah melalui al-Quranul-karim.”

Orang yang pandai ilmu ekonomi dan perniagaan juga diharapkan oleh Nik Aziz supaya mengajar di masjid dan surau, “supaya orang kampung merasa bahawa tidak ilmu fikah sahaja turun dari langit, ilmu berniaga juga dari langit.”

Malah Nik Aziz mengharapkan: “kepada cikgu-cikgu yang faham ilmu-ilmu begitu, cuba tulis sejenis buku atau kitab dengan bahasa yang rendah sedikit, supaya tok lebai kampung boleh faham.”

Tidak itu sahaja harapan Nik Aziz. Dia malah sampai berfikir ke arah menjadikannya benar-benar dilaksanakan. “Kalau payah sangat,” katanya, “kita boleh buat kursus. Pihak Majlis Agama Islam, pihak Jabatan Hal Ehwal Islam, pihak Pejabat Menteri Besar boleh belanja duit sedikit, panggil tok-tok guru kampung buat kursus tiga hari dua malam. Tuan-tuan ajar kitab geografi ini untuk mengenal Tuhan. Tuan-tuan ajar kitab vitamin ini supaya orang kampung tahu bahawa kesihatan berpunca dari vitamin dan (seterusnya)…”

Itu harapan Nik Aziz sewaktu awal-awal menjadi Menteri Besar lagi – Mei 1991. Maka saya bertanya, bagaimanakah keadaannya sekarang? Apakah harapan dan cita-citanya itu telah dilaksanakan? Atau sejauh manakah harapan dan cita-cita yang diucapkan Nik Aziz 20 tahun yang lalu itu telah dilaksanakan setakat ini? 

Saya sendiri tidak tahu. Tidak pernah mendapat maklumat mengenai perkara itu, dan tidak pernah pun mendengar kawan-kawan dan kenalan di Kelantan bercakap mengenainya – baik semasa saya menyiapkan buku “10 Tahun Membangun Bersama Islam”, atau semasa menyiapkan buku “100 Fakta Kelantan Mengubah Malaysia”, atau sewaktu menyiapkan dokumentari “20 Tahun Membangun Bersama Islam”.

Sewaktu pertama kali membaca Tafsir Surah Yunus ini beberapa tahun dulu, saya sudahpun membaca perkara ini, tetapi waktu itu tidaklah ia menangkap sangat fikiran dan perhatian. Berbeza apabila saya membacanya semula kali ini. Saya melihatnya sebagai satu perkara yang sangat penting. Terutamanya harapan dan cita-cita Tok Guru Nik Aziz bahawa: suatu hari nanti orang Islam yang menguasai ilmu-ilmu yang tinggi dan berpengaruh di dunia, melebihi orang bukan Islam.

Mengapa perkara ini tidak mendapat perhatian serius kita selama ini?