Background
Dinsman (Artikel 391, 22/7)
Mahfuz dan ‘Kuasa Budaya Dunia’

Ada sebuah berita kecil dalam Harakah 10 Ramadan (19 Julai), di muka surat F18 – Laporan Parlimen. Tajuknya “PAS cadang wujudkan Institut Diplomasi Budaya”.  Macam nak terkejut juga saya baca tajuk itu. Eh, betul ke ni? Atau ada tersalah cetak? “Institut Diplomasi Budaya”? Macam tak pernah dengar pun istilah macam itu.

Baca isinya. “Dato’ Mahfuz Omar (PAS – Pokok Sena) berharap agar Kerajaan BN khususnya melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewujudkan Institut Diplomasi Budaya bagi mewujudkan perpaduan masyarakat serta pembinaan tamadun daripada pelbagai aspek bangsa dan budaya.

“Katanya, tidak cukup jika kerajaan sekadar berbangga mahu mewujudkan Malaysia sebagai negara yang berbudaya tetapi gagal mengangkat negara selama ini sebagai kuasa budaya dunia.

“Beliau berkata, untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agar sukar tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya agak mudah, kerana negara ini merupakan sebuah negara yang terkumpul tamadun besar dunia di dalamnya.”

Lagi memeranjatkan! “..sebagai kuasa budaya dunia” Hebat! Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS itu bercakap pasal “kuasa budaya dunia” – Malaysia patut diangkat menjadi sebuah ‘kuasa budaya dunia’. Dan penjelasannya yang walaupun dilaporkan pendek sahaja, satu para sahaja, tapi cukup menarik:

“..untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya, agak mudah.”

Setuju! Memang saya setuju. Tapi sejak bila pula Mahfuz menjadi seorang tokoh politik yang berminat dengan budaya ini? Ingatan saya segera menyemak beberapa rekodnya sebelum ini. Ya, memang, waktu dia jadi Ketua Dewan Pemuda dulu ada beberapa program berbentuk budaya pernah dianjurkannya, dan melibatkan saya juga dalam program-program itu.

Tetapi selepas itu sudah lama kita tak dengar berita dia buat apa-apa yang berhubungan dengan seni-budaya. Barangkali ada, cuma saya yang tak dengar, tak tahulah. Tetapi mengapa ditimbulkan itu? Kalau 15 Julai lalu dia membangkitkan isu budaya di Parlimen, dan bercakap pula mengenai Malaysia yang sepatutnya diangkat menjadi sebuah ‘kuasa budaya dunia’, tidakkah itu suatu yang sangat penting?

Pada saya itu idea yang sangat penting. Idea mengenai ‘kuasa budaya dunia’ itu. Mengenai Institut Diplomasi Budaya tadi agak kurang jelas. Kata kawan saya, ia agak mengelirukan. Mengapa “diplomasi budaya”? Tidakkah Institut Pemikiran Budaya atau Institut Pemahaman Budaya lebih sesuai dan tepat maksudnya? Apakah kita hendak menggunakan budaya untuk tujuan berdiplomasi antara kaum?

Tak mengapalah. Apa pun, di samping sekalung tahniah untuk Mahfuz, saya kira Dr Mujahid Yusoff dan Dr Hatta Ramli juga patut kita ucap tahniah, kerana mereka juga telah bangun menyokong idea Mahfuz itu, di Parlimen. Dr Mujahid malah mencadangkan supaya rakyat Malaysia tidak lagi dipanggil dengan nama kaum atau keturunan masing-masing, tetapi cukup dengan panggilan bangsa Malaysia, atau orang Malaysia.

Dr Hatta Ramli pula menimbulkan isu kerakusan pihak berkuasa Umno-BN yang telah, sedang dan akan memusnahkan satu demi satu warisan budaya kita, kononnya kerana hendak ‘membangun’. Sahlah orang-orang Umno-BN dan konco-konco mereka itu tidak nampak nilai tinggi warisan ‘budaya dunia’ yang ada di negara kita, seperti yang Mahfuz telah nampak itu.

Okey, setelah menyuarakannya di Parlimen, apa pula selanjutnya? Inilah persoalan yang penting difikirkan, kalau kita menganggap isu yang disuarakan oleh Mahfuz itu satu perkara yang penting. Yakni isu ‘kuasa budaya dunia’ itu.

Mengenai cadangan penubuhan Institut Diplomasi Budaya itu, kerana ia dicadangkan kepada kerajaan Najib, saya tidak fikir Najib akan menerimanya. Kalau diterima pun, kata seorang lagi kawan saya dalam Paksi, sudah ada tokoh-tokoh budaya Gapena yang sedang menunggu untuk menjawat jawatan Ketua Pengarahnya; dan seterusnya akan jadilah institut budaya itu satu lagi komponen Umno-BN. (Fahamlah ‘kan!)

Maka kalau Mahfuz serius hendakkan sebuah institut budaya itu, kata kawan saya, eloklah ditujukan cadangan itu kepada pihak Pakatan Rakyat. Ya, mengapa tidak? Kalau kita mahu, Pakatan Rakyat boleh menubuhkannya. Tidak perlu tunggu kita menguasai Putrajaya baru kita hendak melakukan apa-apa yang perlu kita lakukan itu. Perkara seperti institut budaya ini, misalnya, boleh kita tubuhkan sekarang.

Dan idea mengenai ‘kuasa budaya dunia’ itupun bolehlah diterapkan secara beransur-ansur melalui institut tersebut.

Saya memang tertarik dengan pandangan Mahfuz bahawa “untuk memulihkan ekonomi yang merudum mungkin agak sukar, tetapi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menguasai budaya, agak mudah.” Saya pernah berhujah dengan jalur fikiran yang hampir sama begitu ketika saya mengkritik formula pentadbiran Dr Mahathir dalam buku saya “Gawat: Gagalnya Formula Mahathir” (1998) dulu.

Kini, alhamdulillah, kalau Mahfuz seorang Naib Presiden PAS berfikiran begitu, maka perjuangan seni-budaya yang dibawa oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) selama ini nampaknya akan menjadi agak mudah.

Insya Allah, mari kita ambil idea ‘kuasa budaya dunia’ oleh Mahfuz ini, untuk kita tekuni bersama, untuk kita perkembangkannya, perjelaskannya, dan melihatnya dalam pelbagai aspek dan pelbagai kemungkinan, dan kita jadikannya agenda penting kita bersama. Harap-harap Mahfuz bersetuju, dan Mujahid serta Hatta Ramli juga akan menyokong.


(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)  
Dinsman (Artikel 387, 28/6)
Eropah lebih Islamik daripada Malaysia

Kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam. Dr Muhaimin, Kassim dan saya dalam sebuah kereta. Tujuannya, ada perjumpaan dengan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor. Bagi pihak Lajnah Kebudayaan PAS, Dr Muhaimin menjemput kami bersama beberapa orang lagi, termasuk Aishah dan Ito, bersama-sama menemui Exco tersebut, bagi membincangkan hal-hal kesenian dan kebudayaan.

Ketika dalam kereta dalam perjalanan itu Muhaimin timbulkan soal teater, kerana ia menjadi salah satu topik yang akan dibincangkan nanti. Dia ingin mendapatkan gambaran bagaimana aktiviti teater yang sedang wujud dalam negara kita sekarang, khasnya mengenai bajet atau perbelanjaan bagi mementaskan sesebuah teater.

Saya pun menjelaskan sedikit sebanyak mana yang saya tahu, berdasarkan pengalaman. Penjelasan saya itu menyebabkan dia membuat kesimpulan dan bertanya: “Kalau begitu, pementasan teater memang tidak boleh membuat untung dari segi kewangan?”

Kecuali mereka yang mempunyai pengaruh kuat dalam politik, dan boleh menggunakan pengaruh itu untuk menyebabkan ada pihak yang sanggup membeli pementasannya sehingga RM1 juta untuk satu malam. Yang itu boleh buat untung – kata saya.

Bagaimana di luar negeri?

Di luar negeri pun sama, kecuali Broadway musical di Amerika yang dibuat secara komersil. Di Eropah sendiri pun yang terkenal dengan tradisi teaternya yang hebat itu, teaternya hidup dengan subsidi dan grant daripada kerajaan. Orang seperti Tone Brulin yang sepanjang hidupnya selama 60 tahun berteater tak henti-henti di serata dunia itu (kini berusia lebih 85 tahun), adalah kerana grant yang diberikan oleh kerajaannya – Belgium.

“Ini yang sukar hendak kita jelaskan dan yakinkan kepada pemimpin-pemimpin politik kita. Kalau tak boleh untung, kenapa kerajaan mesti keluarkan peruntukan untuk buat teater? Macamana kita nak berhujah dengan pihak kerajaan?”

Mungkin Muhaimin pun tahu bagaimana hendak berhujah itu. Cuma dia hendak dengar pandangan saya. Tetapi Kassim lebih dulu menjawab: “Kami selalu berhujah dengan membandingkan antara ‘landskap tanah dan pokok’ dengan ‘lanskap minda dan jiwa’. Kerajaan kita hanya beri perhatian kepada ‘landskap tanah dan pokok’; sedangkan ‘landskap minda dan jiwa’ itu lebih penting. Teater termasuk dalam ‘landskap minda dan jiwa’.”

Sementara Kassim menjelaskan itu, saya terfikirkan hal lain, yang saya ungkapkan selepas itu: “Cuba kita bandingkan masyarakat Eropah dengan masyarakat kita. Apa yang kita faham sebagai “nilai-nilai Islam” yang bersifat universal itu, lebih banyak diamalkan dalam masyarakat Eropah daripada masyarakat kita, walaupun masyarakat Eropah itu kebanyakannya bukan Islam.

“Gejala sosial dalam masyarakat mereka tidak seteruk seperti dalam masyarakat Islam di negara kita. Itu antara untung yang mereka dapat daripada peruntukan yang mereka belanjakan kepada seni-budaya, termasuk teater.”

Dan saya melanjutkan lagi: “Sebab itu saya sangat tertarik dengan cerita Dr Abu Hasan Hasbullah. Dia menceritakan dia pernah kehilangan dompet duitnya di Austria (Eropah), dua kali, dan kedua-dua kali itu dia mendapat semula dompetnya itu. Ada orang jumpa dan mengembalikannya kepada dia.

“Begitu juga dia pernah tertinggal jaketnya di sebuah hotel di Vienna. Balik di Kuala Lumpur baru dia sedar, dan dia telefon hotel tersebut, pihak hotel itu sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk menghantar jaket itu kepada dia. Bayangkan itu!”

Cuba kalau di Malaysia – bukan dompet yang dijumpai tercicir, dompet yang di dalam beg tangan yang dipegang erat oleh orang pun diragut. Dan diragut dengan kasar dan ganas hingga pernah menyebabkan orang kehilangan nyawa.

Sedangkan masyarakat Malaysia ini majoritinya Islam. Dan bukan setakat itu sahaja. Dalam masyarakat kita sekarang ini penuh dengan dakwah di sana sini. Orang-orang agama bercakap lantang di televisyen, di radio, dijemput berceramah dan mendapat sambutan hebat.

“Ah, saya dah meluat dengar orang-orang agama yang bercakap hebat tetapi hanya bercakap saja dan tak pernah buat apapun selain daripada bercakap. Saya lebih hormat kepada Kak Intan di Alor Setar yang sanggup pelihara 800 ekor anjing terbiar itu…”

Ada sahabat saya yang sudah sampai ke tahap itu marahnya kepada orang-orang agama kita yang semakin pandai bercakap di waktu gejala sosial dalam masyarakat kita semakin menjadi-jadi dan mereka semakin ghairah bercakap, kerana ada orang yang ghairah juga meminta dan membayar mereka untuk bercakap.

Sedangkan masyarakat di Eropah itu? Mereka bukan masyarakat Islam pun! Tetapi sifat dan sikap mereka sebahagiannya lebih menghayati sifat dan sikap yang dituntut oleh Islam. Mengapa terjadi begitu, sedangkan di sana tidak ada dakwah Islam yang ghairah seperti di sini?

Saya tidak pasti apakah lintasan fikiran saya di tengahari ketika berbincang santai bersama Muhaimin dan Kassim itu betul atau tidak, tetapi itulah yang saya fikirkan. Dan fikiran itu saya lontarkan kepada mereka, dan mereka pun tidak menolaknya. Maka saya fikir betullah apa yang saya fikir itu.

Bahawa masyarakat Eropah itu lebih bersifat dan bersikap Islamik begitu kerana mereka juga menghargai dan menghayati seni-budaya, termasuk teater, (walaupun mereka bukan orang Islam); manakala masyarakat kita khasnya masyarakat Islam, tidak menghargai seni-budaya dan teater. Memang ada pengecualiannya, tetapi terlalu kecil.


Maka saya harap Dr Muhaimin Sulam sedang memulakan suatu gerakan kebudayaan yang baru di kalangan PAS, dan saya harap gerakan ini mendapat sokongan penuh daripada pimpinan PAS pelbagai peringkat, terutama peringkat atasannya. 
Dinsman (Artikel 386, 24/6)
‘Jadikan ia milik bersama PAS’

Tak semena-mena ada seorang daripada Temerloh Pahang sms kepada saya agak panjang lebar mengenai sikap para pemimpin PAS terhadap Kelantan. Dia merujuk kepada buku saya Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan. Dia bersetuju dengan pandangan saya mengenai Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz, tetapi dia hairan dan pelik kerana tidak ada pemimpin PAS yang menyokong dan menyambut pandangan saya di dalam buku itu.

Saya katakan kepada dia, bukan tidak ada pemimpin PAS yang menyokong pandangan saya mengatakan Kelantan di bawah Tok Guru Nik Aziz itu sebagai Model Pentadbiran Islam terbaik di dunia masakini. Ada. Cuma perkara itu tidak dinyatakan kepada khalayak umum atau dihebohkan.

“Sepatutnya perkara itu diketengahkan dan dijadikan satu milik bersama PAS,” katanya. “Pencapaian Tok Guru Nik Aziz itu adalah satu bukti kejayaan perjuangan PAS selama ini. Tak banyak orang PAS yang sedar perkara ini. Saya pun tak tahu kalau saya tak baca buku Dinsman. Jadi pihak pimpinan PAS Pusat sepatutnya mengambil inisiatif untuk menghebahkan perkara ini kepada semua ahli PAS.”

Saya berterima kasih kepada dia kerana menyokong pandangan saya di dalam buku itu. Mengenai pandangan dia yang mengatakan pimpinan PAS patut begini-begitu itu, saya kata “Saya tak mahu komen apa-apalah. Saya sudah tuliskan apa-apa yang sepatutnya saya tulis, dan saya sedang berusaha untuk membuat beberapa promosi lagi terhadap ‘produk’ yang telah dihasilkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu.”

Saya beritahu dia mengenai seminar peringkat serantau yang saya dan kawan-kawan sedang usahakan dengan Cikgu Azmi (Mapim) dan Wan Nik (Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan). untuk membincangkan Kelantan sebagai Model Pentadbiran Islam masakini dengan sarjana-sarjana dari Indonesia, Filipina dan Selatan Thailand.

Dr Ismail Yusuf yang membuat kajian tesis Ph.Dnya mengenai pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan juga menyokong usaha ini, dan telah menyiapkan kertaskerjanya mengenai seminar tersebut. Insya Allah ia akan dilangsungkan sekitar bulan September atau Oktober nanti.

Peminat WB dari Temerloh itupun rupa-rupanya sudah maklum juga akan perancangan seminar tersebut. “Itu satu usaha sdr yang bagus,” katanya, bukan melalui sms tetapi kali ini dia terus bercakap melalui telefon. “Saya akan hadir seminar itu. Tolong daftarkan nama saya. Nanti saya bayar yurannya,” katanya.

Dan dia terus mensyarahkan kepada saya rasa kesalnya terhadap pemimpin PAS yang tidak melakukan sesuatu yang dia fikir patut mereka lakukan. “Itu jelas satu pencapaian yang besar dan penting. Selama 23 tahun Tok Guru Nik Aziz mengusahakannya dengan tekun, sabar, gigih; kenapa mereka tak mahu angkat perkara itu untuk dijadikan satu bahan kempen dalam PRU yang lepas?”

Belum sempat saya membalas syarahnya itu dia bertanya saya pula: “Itu boleh jadi satu bahan kempen PRU yang bagus, ‘kan?”

Memanglah saya bersetuju dengan pandangan dia. Buku itu pun memang saya terbitkan pada waktu yang sesuai, untuk dijadikan bahan kempen PRU13. Tetapi setakat itu sahajalah. Samada ia disambut oleh pimpinan PAS untuk dijadikan bahan kempen mereka atau tidak, saya tak tahulah.

“Tak ada,” balasnya. “Saya tak berjumpa pun, dan saya tak pernah dengar pun ada pemimpin PAS yang berhujah dalam kempen mereka dengan menceritakan kejayaan-kejayaan dalam pentadbiran Tok Guru Nik Aziz di Kelantan. Tak ada. Saya selalu dengar ceramah, saya tahulah. Tak ada seorang pun pemimpin PAS yang berhujah dengan bukti-bukti kejayaan PAS di Kelantan itu.”

Tak mengapalah, kata saya. PRU pun sudah lepas. Sekarang kita tumpu kepada seminar yang kita akan buat ini. Saya cuba memutuskan hujahnya supaya tidak berpanjangan.

Dia kemudiannya bertanya pula mengenai rancangan saya hendak buat filem “Tok Guru”, yang ada disebut dalam salah satu bab buku itu. Saya jawab, “Insya Allah, saya akan usahakan.”

“Tapi Tok Guru Nik Aziz dah tak jadi Menteri Besar lagi. Macamana?”

“Boleh dibuat,” jawab saya. “Dia dah tak jadi Menteri Besar pun kita masih boleh buat filem mengenai dia.”

“Bukan filem dokumentarilah?” tanya dia.

“Ya, bukan filem dokumentari. Filem lakonan. Tapi kalau nak buat filem dokumentari pun boleh.” Dan apabila dia ingin tahu lagi mengenai filem tersebut, saya mohon dia agar menangguhkan dulu percakapan mengenai hal itu, kerana perancangannya masih jauh lagi. “Saya sekarang nak ulang cetak buku Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaan itu.”

“Sdr nak tolong jual buku saya?”

Saya tahu dia tidak menjangka saya akan ajukan soalan itu. Dia seperti terkejut. “Oh, boleh juga,” katanya, dan menyambung: “Ya, boleh, boleh.”

Dan saya masuk lagi dengan cadangan supaya dia sendiri cuba menganjurkan satu majlis membicarakan atau memperkenalkan topik “Kejayaan Nik Aziz di Kelantan” itu kepada pihak pimpinan PAS di peringkat daerahnya.

Pun dia seperti tidak menduga akan menerima cadangan seperti itu daripada saya. “Cubalah,” kata saya. Kita tengok selepas ini, apakah pimpinan PAS di tempat sdr akan bercakap mengenai kejayaan Islam di Kelantan itu atau tidak?


Dinsman (Artikel 385, 21/6)
‘Harapan Malaysia selepas PRU13’

Beberapa minggu menjelang PRU13, saya diundang menyertai sebuah forum. Tajuknya ‘Harapan Malaysia dalam PRU13’. Begitulah lebih kurang. Saya terasa terlalu klisye dan hambar tajuk itu. Membicarakan sesuatu yang saya fikir semua orang sudah tahu. Maka saya memohon maaf tidak dapat menyertai forum tersebut.

Tetapi dalam pada itu diam-diam tajuk itu mengintai-intai juga dalam fikiran saya. Mengapa ‘harapan Malaysia dalam PRU13’? Mengapa tidak ‘harapan Malaysia selepas PRU13?’ Terjadi semacam dialog kecil dalam fikiran saya.

Saya berfikir bahawa ‘harapan Malaysia selepas PRU13’ itu yang lebih membawa makna.
Kalau ‘dalam PRU13’ ia bersifat terlalu sementara. Sekejap sahaja tempohnya. Sedangkan tempoh yang lebih panjang dan bermakna ialah selepas itu. Apakah harapan Malaysia selepas PRU13?

Dan diam-diam juga saya membuat catatan. Ada sesuatu yang terbetik dalam fikiran saya waktu itu yang merangsang saya mencatatkannya. Walaupun saya telah menyatakan tidak hadir dalam forum tersebut. Lagipun, yang saya catatkan ini mungkin tidak sesuai dengan tajuk forum itu. Catatan saya begini:

Apa harapan rakyat Malaysia dalam PRU13? Tentulah rakyat mengharapkan PRU ini akan membawa keputusan yang menyebelahi mereka, ‘kan? Maksudnya rakyat yang sokong BN tentulah mengharapkan BN menang, dan rakyat yang sokong PR pula tentulah mengharapkan PR menang.

Dan ada harapan lain lagi selain daripada menang dalam PRU itu. Dan inilah, saya fikir, yang lebih pentingnya. Siapa pun yang menang dalam PRU – BN ataupun PR – rakyat mengharapkan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih baik daripada yang ada hari ini.

Jadi soalannya bukanlah harapan rakyat dalam PRU13. Soalan sebenarnya ialah harapan rakyat selepas PRU13. Walau siapa pun yang menang. Baik parti yang kita sokong menang, mahupun parti yang kita tidak sokong yang menang, kita tetap mempunyai harapan agar masyarakat Malaysia selepas PRU nanti menjadi lebih baik.

Menang dalam PRU itu bukanlah matlamat akhir. Ramai orang menganggap menang dalam PRU adalah matlamat akhir. Itu tanggapan salah. Kemenangan itu hanya matlamat sementara sahaja. Kalau itu menjadi matlamat akhir, taqdirnya tiba-tiba parti kita atau parti yang kita sokong tidak menang, apa akan jadi? Takkanlah kita akan menjalani hidup tanpa harapan selepas itu, disebabkan oleh parti kita tidak menang.

Tetapi nampaknya kebanyakan rakyat Malaysia sudah jadi begitu. PRU itu seolah-olah menjadi matlamat akhir. Segala-galanya ditumpukan dan diletakkan di situ. Parti kita mesti menang. Kalau parti kita tak menang, habislah kita. Habislah segala harapan kita. Sebab itulah maka Najib sampai mengatakan yang dia akan pertahankan Putrajaya itu hingga ke titisan yang terakhir.

Padahal – kenapa segala harapan kita mesti habis di situ? PRU hanya satu daripada proses dalam kelangsungan hidup bermasyarakat dan bernegara. Ada banyak proses lain lagi dalam kelangsungan hidup kita, yang tidak semestinya bersifat politik seperti PRU itu. Dan pada proses-proses yang lain itu juga kita boleh letakkan harapan.

Mengharapkan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih baik selepas PRU13 juga bererti kita mempunyai harapan yang positif kepada PRU (suatu proses dalam berpolitik); dan dalam masa yang sama kita juga menempatkan harapan pada proses-proses kelangsungan hidup yang lain itu, khasnya melalui gerakan-gerakan sosial, keagamaan dan seni-budaya.

Saya terfikir bahawa terjadinya pelbagai fenomena negatif dalam masyarakat kita hari ini bukanlah semata-mata kerana salahnya politik Umno-BN itu. Salah mereka itu memanglah salah. Dan banyak pun salah mereka itu. Tetapi bukanlah mereka saja yang salah. ‘Kan?

Sikap dan sifat masyarakat kita seluruhnya pun, yang keterlaluan berpolitik hingga tanpa disedari sedikit demi sedikit kita meminggirkan hal-hal lain yang berupa proses-proses kelangsungan hidup kita yang bukan politik itu, seperti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, keagamaan dan seni-budaya. Hal-hal ini juga jangan kita lupakan!

Demikianlah catatan ringkas saya waktu itu – menjelang PRU13. Sekarang, seperti kita semua maklum, PRU itu sudahpun berlalu, tetapi keadaannya sepertilah PRU itu belum berlalu. Terlalu banyak cacat cela di dalamnya, mengakibatkan keputusannya dipersoalkan oleh rakyat.

Memang! Namun sebahagian keputusan itu kita terima juga, maka kita pun telah membentuk kerajaan di negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dan kita akan meneruskan beberapa petisyen pilihanraya, dengan harapan keputusan PRU13 akan berubah menyebelahi PR.

Namun seperti dalam catatan saya tadi – PRU bukanlah matlamat akhir. Bahkan kalau kita menang petisyen pun, dan PR boleh membentuk Kerajaan Persekutuan pun, itu bukanlah matlamat akhir dari harapan rakyat sebenarnya. Matlamat akhir dari harapan rakyat ialah kehidupan yang lebih baik.

Bagaimanakah kita mendapatkan kehidupan yang lebih baik itu? Inilah persoalan yang sebenarnya. Dan persoalan ini sebenarnya tidak boleh dijawab hanya melalui aktiviti-aktiviti berpolitik sahaja. Kita memerlukan aktiviti-aktiviti lain juga – yang dalam proses kelangsungan hidup bermasyarakat yang disebut dalam catatan tadi itu.

Maksudnya, sikap dan sifat masyarakat kita yang keterlaluan berpolitik hingga tidak mempedulikan hal-hal lain (yang juga berupa proses kelangsungan hidup kita), khasnya aktiviti seni-budaya, itu juga perlu kita ubah.

Saya sudah selalu memperingatkan hal ini. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) pun selalu menekankan hal ini dalam program-program seni-budayanya. Tetapi setakat ini nampaknya kesannya tidaklah begitu memberangsangkan. Namun walau bagaimanapun, kita akan terus berusaha. Insya Allah!


Dinsman (Artikel 384, 10/6)
Merancang aktiviti seni-budaya pasca PRU13

Telah lebih sebulan berlalunya PRU13. Orang ramai masih bercakap mengenainya. Tak puas hati dengan keputusan dan sebagainya. Saya rasa tak usahlah saya pun terikut-ikut ke dalam arus itu. Biarlah saya meminggir sedikit dan bercakap mengenai seni-budaya (ya, seni-budaya!), mengenai perancangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) seterusnya, yakni selepas PRU13.

Sebelum ini ada semacam teka-teki – apakah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan kekal atau tidak? Kalau kekal bolehlah diteruskan aktiviti seni-budaya yang telah dijalankan oleh Paksi bersama kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim selama ini; dan kalau tak kekal terpaksalah Paksi berfikir semula bagaimana hendak meneruskan aktiviti seni-budayanya.

Alhamdulillah, Selangor kekal, walaupun Barisan Nasional mengisytiharkan akan menumpukan ikhtiarnya untuk merampas negeri yang merupakan lubuk kekayaan ekonomi di negara ini; dan walaupun di Kedah kerajaan PAS Ustaz Azizan tak dapat dipertahankan.

Tetapi sebaik sahaja TS Khalid mengumumkan barisan exconya, beberapa orang kawan menghantar mesej kecewa kerana tidak ada potfolio kebudayaan (sekali lagi) dalam senarai exco baru di Selangor. Dan apabila saya menyentuh soal perancangan seni-budaya Paksi, seorang kawan dengan cepat melemparkan komen sinisnya: “Bukankah di Selangor tidak ada Exco Kebudayaan?”

Saya jawab: Tidak mengapa. Penggal lalu ada Exco Kebudayaan pun Paksi tak berurusan dengan Exco Kebudayaan untuk menjalankan aktiviti seni-budaya di Selangor. Paksi berurusan dengan Exco lain. Tak ada masalah. Siri Jelajah Budaya Selangor (JBS) pun kita tak buat dengan Exco Kebudayaan. Kita buat terus dengan Menteri Besarnya yang meminati seni-budaya.

Jadi tak mengapalah. Asalkan pemimpin dan ketua pentadbirnya (Menteri Besar) mahu mendengar suara seniman-budayawan-ilmuwan, dan berminat dengan hal-hal seni-budaya; kita boleh bercakap dengan dia dan kemukakan cadangan-cadangan.

Sekarang, terlebih dahulu mari kita lihat apakah aktiviti-aktiviti seni-budaya yang telah dibuat oleh Paksi di Selangor. Kenapa Selangor? Kerana walaupun Paksi keahliannya di seluruh Malaysia tetapi buat peringkat ini ia berumah di Selangor. Aktivitinya dibuat juga di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Perak, Melaka, tetapi tumpuannya di Selangor. Kemudahan untuk bergiat juga banyak didapat di Selangor.

Okey, aktiviti lepas. Pertama tentulah wacana keilmuan, dalam bentuk bicara buku dan kuliah ilmu. Ini dibuat secara berterusan dari semasa ke semasa, bekerjasama dengan Exco Pendidi-kan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan; dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Juga kerjasama dengan beberapa buah masjid dan surau.

Program ini memang wajar diteruskan, dan dibuat dengan lebih terancang. Tiga tahun pengalaman telah memberi banyak maklumat berfaedah kepada Paksi – apa kelemahannya, di mana kurangnya dan sebagainya. Dan pengalaman juga menyatakan bahawa program ini memang diperlukan oleh masyarakat. Sangat diperlukan. Dan wajar dibuat lebih banyak lagi. Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya pun perlu dilibatkan dalam usaha untuk membangunkan budaya ilmu ini.

Kedua, persembahan teater. Sejak Janauari 2009 lagi Paksi sudah merancang dan memikirkan untuk menjadikan Shah Alam sebagai Pusat Teater Melayu, memandangkan Kuala Lumpur gagal dijadikan demikian. (Baca tulisan saya “Shah Alam sebagai Pusat Teater Kebangsaan” dalam buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, ms 63-66).

Dalam pertemuan bersejarah Paksi dengan MB Khalid Ibrahim pada malam Ramadhan 2012 itu pun perkara ini turut dibincang dan dipersetujui. Hanya pelaksanaannya sahaja sedikit bermasalah. Maka yang dapat dibuat oleh Paksi setakat ini hanyalah Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), yang telah dipentaskan lebih 60 kali di seluruh Semenanjung sejak awal 2009.

Makanya perancangan itu akan terus dibawa oleh Paksi, untuk direalisasikan pelaksanaannya, insya Allah sebelum akhir tahun ini.

Yang ketiga ialah siri Jelajah Budaya Selangor (JBS), yang dimulakan di Klang pada 10 November 2012, dan aktiviti terakhirnya di buat di Sg Merab Luar, Sepang pada 3 Mei, sehari menjelang hari mengundi PRU13. Ini suatu program seni-budaya yang unik. Suatu pakej yang di dalamnya terdapat pelbagai aktiviti.

Terpenting di antaranya ialah malam persembahan puisi dan lagu; mengangkat satu atau dua kumpulan seni tempatan bagi menjayakan persembahan pada malam tersebut; memilih seorang tokoh aktivis yang layak dianugerahi Tokoh Budaya Daerah; majlis apresiasi sastera (karya Sasterawan Negara A Samad Said) untuk pelajar menengah; kuliah ilmu Prof Shaharir MZ; dan persembahan teater MKDT.

Paksi sempat melaksanakan program ini sepenuhnya di enam daerah – Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Langat. Daerah Petaling dan Sepang hanya sempat dibuat acara malam persembahan sahaja. Dan persembahan di Sepang (Sg Merab Luar) itu lain dari yang lain. Ia dibuat bersama dengan Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera), yang pengisiannya lebih kepada ceramah intelektual.

Sudah tentu Paksi akan meneruskan program ini, dengan siri Jelajah Budaya Selangor II, iaitu setelah menyempurnakan program yang masih belum disempurnakan di daerah Kuala Langat dan dua lagi itu. Dan seperti pernah saya sebut sebelum ini, ada banyak yang ditemui oleh Paksi sepanjang melaksanakan JBS, yang menyatakan (membuktikan) beberapa perkara perlu dilakukan bagi memajukan aktiviti seni-budaya di Malaysia

Insya Allah, pasca PRU13 Paksi telah merancang beberapa program baru, bukan sahaja untuk dibuat di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain di Malaysia. Saya akan menulis mengenainya apabila sampai waktunya nanti.



Dinsman (Artikel 382, 27/5)
Cerita konspirasi terhadap Nik Aziz

Telah lebih dua minggu berlalu setelah Datuk Ahmad Yaakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan pada 6 Mei 2013, dan Datuk Husam Musa tidak terlantik ke dalam saf Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang baru itu; di Kuala Lumpur masih terdengar cerita-cerita yang kurang menyenangkan – kononnya ada konspirasi meminggirkan Tok Guru Nik Aziz dari jawatan Menteri Besar yang telah disandangnya selama 23 tahun itu.

Sewaktu saya berkunjung ke pejabat Harakah pun cerita konspirasi itu masih kedengaran di situ. Di kalangan kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat pun ada yang mempersoalkan cadangan Paksi bekerjasama (menganjurkan satu program) dengan kerajaan Kelantan pimpinan Ahmad Yaakob, dengan alasan tidak mahu bersyubhat dengan konspirasi.

Hingga saya pun menjadi hairan sendiri, mengapa pula saya yang dilihat (di kalangan kawan-kawan) lebih ‘hampir’ dengan TG Nik Aziz ini tidak pula berfikir atau terasa demikian? Padahal saya mengikuti (dari jauh) setiap perkembangan dan pergerakan TG Nik Aziz khasnya di hari bersejarah 5 Mei itu.

(Zali kawan saya merakam video pergerakan TG Nik Aziz sepanjang hari 5 Mei itu, dari pagi hingga ke malam, yang sepatutnya TG Nik Aziz mengumumkan keputusan di pejabat PAS Negeri di Bangunan Zulkifli Muhamad, Kota Bharu, malam itu tetapi beliau tidak hadir. Saya menonton keseluruhan rakaman video tiga jam itu.)

Keterkejutan orang menerima berita pengunduran TG Nik Aziz itu memang kita faham, walaupun saya tidaklah terkejut sangat, kerana berdasarkan apa yang saya selalu ikuti perkembangan hidup dan tugas Tok Guru (telah masuk tahun ke-23 menjadi Menteri Besar) yang telah mencapai usia 83 tahun, dan persoalan siapakah bakal penggantinya pun telah beberapa kali dibincangkan, maka soal kemungkinan Tok Guru akan berundur pada bila-bila masa sahaja itu memang sudah ada dalam fikiran saya. Jadi berita bahawa bukan TG Nik Aziz yang angkat sumpah pada petang Isnin 6 Mei itu tidaklah memeranjatkan sangat.

Dan mengapa harus fikirkan ada konspirasi? Kerana yang mengambil tempat Menteri Besar itu rupa-rupanya seorang tokoh yang kurang dikenali ramai di luar Kelantan. Itulah sebabnya barangkali. Apa sebab lain lagi?

Saya sering ke Kelantan dan acapkali berbincang dengan kawan-kawan di sana mengenai siapa bakal mengambil tempat MB apabila dikosongkan TG Nik Aziz (kerana faktor tertentu). Maka saya pun tak berasa pelik apa-apa dengan berita petang Isnin itu. Memang Ahmad Yaakoblah, siapa lagi?

Memang dia tidak sehebat atau setokoh TG Nik Aziz. Tetapi dialah yang paling layak di antara yang ada, dan dia pun sudah 10 tahun membantu TG Nik Aziz, sebagai Timbalan Menteri Besar, sejak 2004.

Lalu bagaimana timbulnya cerita konspirasi itu? Inilah peliknya. Mengenali TG Nik Aziz secara dekat, dan orang-orang di sekelilingnya, saya tak dapat melihat di mana wujudnya jalur yang boleh mencetuskan kita berfikir adanya konspirasi itu. Tak mungkin. Dan hal ini berbeza sangat dengan cerita yang cuba mensabitkan TG Nik Aziz dengan perbuatan rasuah dulu itu (yang kemudiannya disahkan karut oleh pihak SPRM sendiri). Itu digerakkan oleh pihak yang memang bermusuh dengan PAS.

Di kalangan pimpinan PAS Kelantan sendiri wujud tokoh yang boleh menggerakkan konspirasi bagi menyingkirkan TG Nik Aziz, dan TG Nik Aziz pun berjaya disingkirkan secara konspirasi itu? (Eh, biar betul!..) Ada kemungkinkah begitu? Saya tak percaya ada kemungkinan itu.

Namun disebabkan agak meluas cerita itu tersebar di Kuala Lumpur, termasuk di kalangan kawan-kawan sendiri, saya pun terasa perlu mengesahkan keyakinan, lalu menghubungi beberapa sumber yang layak dipercayai di Kota Bharu, termasuk di kalangan keluarga di Pulau Melaka sendiri.

Memang, sumber-sumber yang mengetahui secara langsung dalam cerita ini pun mengakui – memang wujud cerita-cerita tak betul di sekitar peralihan Menteri Besar daripada TG Nik Aziz kepada Ahmad Yaakob itu. Sebab apa terjadi begitu – biarlah. Yang pentingnya tulisan ini ingin menjelaskan hal yang sebenar.

TG Nik Aziz sudahpun menyatakan hasratnya untuk berundur itu, kepada orang terdekat dengannya, sebelum hari mengundi lagi. Dan di hari mengundi itu selepas membuang undi dan melawat beberapa tempat mengundi, tengah harinya selepas solat Zuhur di masjid Cabang Empat (sempat tazkirah sekejap), Tok Guru pulang ke rumah dan tidak keluar lagi, kerana tidak sihat. Doktor datang ke rumahnya petang itu.

Malam itu semua orang menunggu kehadirannya di Pejabat PAS Negeri untuk membuat pengumuman keputusan, seperti kebiasaan setiap kali PRU. Tok Guru tidak hadir. Bukan dia sengaja tidak hadir sebab dia hendak berundur. “Bukan,” kata anak menantu di Pulau Melaka. “Esoknya saya sendiri tanya Tok Guru mengapa tak datang. Dia kata sebab tak sihat, badan jadi tak larat sangat.”

Namun malam itu TG Nik Aziz memanggil mesyuarat Dewan Harian ke rumahnya pagi-pagi esoknya, pukul 7 pagi. Setiausaha Kerja Dewan Harian yang buat panggilan, melalui SMS, seperti biasa.

Dalam mesyuarat itulah Tok Guru mencadangkan Datuk Ahmad Yaakob untuk mengisi jawatan Menteri Besar, dan mendapat persetujuan semua yang hadir. Selepas mesyuarat itu Tok Guru masuk hospital. Dia bercadang hendak hadir majlis angkat sumpah di istana petang itu, sebab itu dia memesan supaya pakaian khas untuk itu turut dibawa ke hospital. Tetapi keadaan kesihatannya petang itu tidak mengizinkan dia hadir.

Saya meninjau juga pandangan beberapa pihak di Kelantan terhadap tindakan TG Nik Aziz membuat cadangan pelantikan Datuk Ahmad Yaakob itu. Rata-rata mereka bersetuju, “untuk mengelak daripada berlaku perselisihan yang serius dan keadaan yang lebih rumit,” akui seorang YB.