Background

Dinsman (Artikel 372, 8/4)
Berkempen atau berekspresi seni?

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak pada 3 April disambut dengan begitu bersahaja oleh rakyat Malaysia yang telah letih menunggu. Tidak ada kejutan dan tidak ada keceriaan. Sesuailah agaknya dengan wajah suram-muram yang ditunjukkan oleh Najib sendiri sewaktu membuat pengumuman itu.

Kenapa muka Najib begitu suram-muram? Ia menjadi bahan perbualan kawan-kawan ketika minum-minum selepas acara “Santai Seniman Rakyat” di Flat Seri Angsana, USJ1, Subang Jaya, pada malam itu. Senator Syed Shahir antara yang perasan dengan warna wajah Najib sewaktu membuat pengumuman itu.

“Seolah-olah ada tekanan supaya dia bubar.” “Macam bukan kehendak dia sendiri.” Itu antara pandangan. Namun apa pun biarlah hal itu begitu. Sampingan saja. Yang pentingnya parlimen telah dibubar. Dan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia menarik nafas lega setelah sekian lama menunggu dan berteka-teki bodoh.

Sekurang-kurangnya sudah berlalulah suatu musim yang penuh kedunguan, kekarutan dan kebengongan itu. Lama sungguh kita dipaksa berteka-teki hal yang sebenarnya tak perlu itu. Dan kebetulan pula ia bersesuaian sangat dengan tema Malam Jelajah Budaya Selangor (JBS-6), yang dipilih oleh Syed Shahir iaitu “Malam Santai Seniman Rakyat”. Memang suasana santai itu terasa sepanjang persembahan yang diisi dengan bacaan puisi, lagu dan muzik dan celoteh serta ceramah pendek.

Sengaja Paksi (Seniman Paksi Rakyat) memilih kawasan flat, dan membuat persembahan di kawasan letak kereta di tengah-tengah antara bangunan-bangunan flat, bagi program Jelajah Budaya Selangor ke-6, di daerah Petaling. Sebahagian besar rakyat Selangor memang tinggal di rumah flat. Dan suasana tempat itu memang patut dimanfaatkan dengan persembahan seperti yang dibuat pada 3 April lalu itu (konsep persembahan santai).

Ia dimulakan dengan persembahan muzik oleh kumpulan band yang dianggotai oleh orang-orang muda yang tinggal di flat itu sendiri (diketuai Jalani Hussin). Memang mereka bukan pemuzik profesional. Peralatan mereka pun, termasuk sistem bunyinya juga tidaklah bertaraf profesional. Tetapi cukuplah, untuk memeriahkan suasana dan menarik perhatian penghuni-penghuni flat yang lapan menara (blok) 12 tingkat itu.

Selepas band itu memainkan dua lagu, ditampilkan seorang pemuda tempatan juga, yang membaca sebuah ‘warkah’ (katanya). Kemudian S/U Paksi sendiri, Kassim Muhamad, menyampaikan beberapa buah pantun dan sajak. Dan kemudian tampil penyanyi lagu-lagu reformasi yang pernah saya perkenalkan di ruangan ini akhir Februari lalu – Nik Jidan.

Saya perkenalkannya begini: “Setelah mendengarnya berulang kali dan berulang kali, saya jadi bertambah yakin – inilah album untuk PRU13. Nik Jidan – “Dendang Anak Muda”. Album wajib. Mesti diperdengarkan ke seluruh negara. Nik Jidan mesti dibawa ke seluruh negara untuk memperdengarkan jeritan-laungan-dendangannya melalui enam lagu reformasi ini.”

Memang tujuan kami hendak menggemakan protes, jeritan dan pernyataan fakta kejahatan penguasa Umno-BN yang terkandung dalam lagu-lagu Nik Jidan itu. Kami fikir inilah cara paling berkesan bagi menyampaikan mesej ke arah perubahan yang kita hasratkan. Kita gemakan di tengah-tengah ruang letak kereta itu. Sebahagian mereka hadir di depan pentas. Lebih ramai lagi yang menjenguk atau mengintai di balik tingkap rumah mereka.

Apa pun kedudukan mereka, kita pasti mesej itu sampai ke pendengaran mereka. Dan memang ada suara jerit-pekik mereka yang nakal cuba mengganggu perjalanan persembahan santai itu. Tak mengapa. Kita pun sudah biasa dengan gangguan nakal begitu. Asalkan tidak berebihan, ia menambahkan suasana meriah sahaja.

Kemudian tampil pula anak muda berambut panjang dari Johor, yang memang sudah dikenali di pentas-pentas politik dan seni-budaya alternatif, dengan serak suaranya yang tinggi dan sedap itu. Siapa lagi? Amni Jagat. Dengan sajaknya “Satu Malaysia Sia Sia” yang sudah tiga kali saya dengar dia membacanya, tapi masih lagi saya mahu mendengarnya.

Maka barulah Bob Lokman naik ke pentas. Sepatutnya dia naik sejak awal lagi sebagai pengacara. Tetapi dia memaklumkan akan sampai agak lewat sebab selepas solat maghrib tadi dia menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Puchong. Tugasnya sebagai pengacara digantikan sementara oleh seorang pemuda berbakat di situ, Azmarul Ab Aziz.

Setelah berceloteh, bercerita mengenai lagu-lagu Melayu yang tercipta dari kehidupan lelaki dan perempuan, dia kemudian menjemput Rozan Azen membaca puisi. Selepas Rozan membaca beberapa buah puisi, Senator Syed Shahir pula dijemput “membaca 15 puisi” – kata Bob Lokman berjenaka.

Syed Shahir selaku tuan rumah menyampaikan ucapan aluan yang ringkas sahaja dan kemudian melafazkan sebuah puisi spontan bertajuk “Musim Apakah Ini?” Kemudian saya membaca sebuah puisi “yang mudah difaham”, kata saya, berjudul “Bangun Pagi Setiap hari”; membuatkan Prof Shaharir (duduk di kerusi depan) tergelak mendengar judul yang mudah difaham itu.

Dan malam santai itu diakhiri dengan penampilan Nik Jidan sekali lagi. Kali ini dia bergabung kreativiti dengan kumpulan band Flat Seri Angsana, menyampaikan lagu “Subhanallah” dan “Asal Bukan Umno”. Memang riuhlah jadinya apabila lagu “Asal bukan Umno, kami ikut” itu didendangkan dengan jeritan blues oleh Nik Jidan.

Mesejnya terus menusuk ke dalam minda dan jiwa. Anda bersetuju atau tidak, terpaksa dengar. Terus terang tanpa selindung. “Umno memerintah cara kuku besi!” Bersetuju atau tidak, tapi itulah kata Nik Jidan. “Umno membunuh imam di Memali,” jeritnya lagi.

Adakah kami sudah mula berkempen untuk Pakatan Rakyat pada malam itu, sempena pengisytiharan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri siangnya? Iyakah? Berkempenkah itu? Atau itu sekadar ekspresi seni para seniman rakyat? Syed Shahir dan Prof Shaharir tentu boleh menyimpulkan jawapannya.

Dinsman (Artikel 370, 22/3)
Nik Aziz, teater dan artis hijrah 


Agak lama juga saya tak muncul di ruangan Wacana Budaya ini. Beberapa orang kawan bertanya – mengapa? Penyair Puzi Hadi dari Alor Setar sms: “Eh sibuk-sibuk PRU13, Harakah beri cuti untuk ruangan sdr dan halaman Sastera.”

Saya jawab Puzi: “Bukan Harakah suruh saya cuti, tapi saya yang kebetulan sibuk siapkan teater yang baru dipentaskan di Kota Bharu kemarin dulu, 15 Mac. Akan datang akan tulis semula, insya Allah.”

Kali terakhir saya tulis kira-kira sebulan lalu, mengenai album 6 lagu Nik Jidan; dan sebelum itu saya menyentuh sedikit mengenai teater yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz – “Pengisytiharan Abul ‘As, Menantu Nabi”.

Ya, kesibukan menyiapkan teater itulah, yang cetusan awal perancangannya dibincangkan dengan Wan Nik (Setpol MB) di sebuah hotel di Chow Kit pada awal Januari, dan baru pada 4 Mac pertemuan pertama dengan para artis pelakon dapat diadakan, untuk mulai latihan, dan pementasannya dijadualkan di Kota Bharu dalam tempoh 10 hari daripada situ.

Dan alhamdulillah, pementasan itu pun telah berjaya dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan, 15 Mac, bertempat di hotel Grand Riverview Kota Bharu, dengan pelakon-pelakon utama terdiri daripada Zack Idris, Abby Abadi, Abu Bakar Juah, Aishah, Bob Lokman dan Nizam Yamin.

Sani Sudin memimpin muzik yang dimainkan bersama dengan tiga orang pelajar berbakat dari Aswara. Nor Amani (pelajar Universiti Malaya) menyiapkan rekaan set, bersama kawan-kawannya. (Saya menjemputnya kerana suka dengan set rekaannya untuk teater Tamu Dari Medan Perang, Disember 2012). Zali Sapiin menyediakan sistem bunyi dan pencahayaan.

Pementasan yang memakan waktu satu jam itu dikatakan sebagai suatu pratonton yang akan diikuti dengan beberapa pementasan pula selepas ini. TG Nik Aziz yang hadir menonton malam itu, dan kemudian memberikan komennya dalam ucapan selepas pementasan, rupa-rupanya telah mengejutkan ramai penulis dan orang teater di Kota Bharu. (Mereka hadir kerana malam itu juga ada acara anugerah untuk karyawan seni Kelantan).

Apa yang mengejutkan ramai penulis dan orang teater Kelantan itu? Kata mereka, inilah pertama kali mereka melihat TG Nik Aziz menonton teater dan menontonnya dengan penuh penghayatan sehingga boleh memberi komen yang agak terperinci.

Sebenarnya ini bukanlah pertama kali TG Nik Aziz menonton teater. Sebelum ini misalnya pementasan perdana Menunggu Kata Dari Tuhan pun dibuat di hadapan beliau (dan Sultan Kelantan), pada 30 Mac 2009. Dan kalau tak salah saya TG Nik Aziz juga pernah menonton teater yang dipentaskan oleh tokoh teater terkenal di Kota Bharu, Hasan Jali.

Tak mengapalah. Tapi apabila aktivis teater di Kota Bharu seperti Jihan Megha itu pun beranggapan TG Nik Aziz tidak pernah menonton teater begitu sebelum ini – saya rasa macam ada sesuatu yang perlu diperhatikan di situ. Ada perkara yang perlu dibuat di kalangan aktivis seni-budaya di Kelantan, supaya mereka mendapat maklumat yang sepatutnya mereka dapat.

Apa pun, berbalik kepada persembahan teater “Pengisytiharan Abul ‘As Menantu Nabi” itu, ia memang satu peristiwa penting dalam perkembangan seni-budaya kita. Sebab apa penting? Sebab pertama kali TG Nik Aziz sebagai seorang ulamak yang berwibawa di negara ini bersetuju membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas pentas yang ditonton orang ramai, lelaki dan perempuan. Bahawa lakonan yang demikian itu dibenarkan oleh Islam.

Itulah sebenarnya antara soalan pertama saya kemukakan kepada Wan Nik, apabila beliau menyampaikan pesan TG Nik Aziz supaya saya menulis skrip dan membuat pementasan ini. Bolehkah pelakon perempuan berlakon bersama pelakon lelaki? Jawabnya: “Boleh, asalkan dijaga batasan adab sopannya, dan tidak ada bersentuhan.”

Sebelum ini, ketika sambutan 50 tahun PAS diadakan di Putik, Kota Bharu, saya pernah menguruskan satu pementasan teater yang diarah dan ditulis oleh Faisal Chal, kisah kezaliman akta ISA. Pada waktu itu PAS tidak membenarkan penglibatan pelakon wanita. Maka adegan yang melibatkan pelakon wanita terpaksa dirakamkan dalam video, dan ditayangkan video itu.

Ketegasan TG Nik Aziz membenarkan penglibatan pelakon wanita (Abby Abadi dan Aishah) dalam teater “Pengisytiharan Abul ‘As” itu adalah satu titik tolak yang penting dalam perkembangan seni-budaya Islam di negara ini. Itu satu hal yang sangat baik.

Ada beberapa lagi hal baik dapat saya perhatikan pada pementasan ini. Satu daripadanya mengenai kewangan. Daripada awal lagi saya memilih untuk tak mahu fikirkan soal kewangannya. Sebab, sudah banyak saya mendengar cerita mengatakan artis-artis hijrah yang terkenal itu mengenakan bayaran yang tinggi setiap kali mereka dijemput untuk berceramah, bersantai dan sebagainya.  

Bagaimanakah produksi teater ini akan membayar mereka? Saya cuba congak-congakkan (walaupun saya memilih untuk tak mahu fikirkan hal itu) dan saya jangka ia akan melibatkan jumlah yang terlalu besar. Rupa-rupanya jangkaan saya tidak meleset. Dan di situ rupa-rupanya terdapat beberapa lagi persoalan besar yang perlu ditangani oleh pihak PAS. (Nanti kita bincang dalam kesempatan lain).

Dan pihak Kerajaan Negeri Kelantan pula, yang saya jangka mempunyai sumber kewangan yang terhad itu, rupa-rupanya sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berkenaan. Demikianlah akhirnya segalanya dapat ditangani dengan baik. Kebijaksanaan Kerajaan Negeri Kelantan menguruskan hal kewangan amat saya sanjungi.

Namun soal teater ini menjangkaui lebih jauh daripada soal kewangan. Tentu ada sebabnya maka TG Nik Aziz sendiri turut terlibat. Kita menunggu perkembangan selanjutnya.