Background

Dinsman (Artikel 363, 15/1)
Jelajah Budaya di Kuala Kubu akhir Januari

Alhamdulillah, ketika program Jelajah Budaya Selangor menjelang siri ketiganya di Tanjung Karang hari itu, seorang aktivis budaya dari Kuala Kubu Baru (kumpulan Seni dan Sastera – ‘Sesama’) menghubungi saya, menyatakan hasratnya hendak membawa teater MKDT ke Kuala Kubu Baru. Kali kedua. (MKDT pernah dipentaskan di situ pada 6 Ogos 2010).

Saya katakan kepada dia, Redzuan Idris namanya, elok buat terus program Jelajah Budaya Selangor (JBS), kerana JBS itu satu daripada acaranya ialah pementasan teater MKDT. Redzuan bersetuju. Maka sejak itu kami pun telah berjumpa dan berbincang tak kurang lima kali. Tarikh pun telah ditetapkan, iaitu pada 29 – 31 Januari.

Saya memang menanti-nanti untuk buat JBS di Kuala Kubu Baru. Sebab apa? Pertama, kerana bandar di kaki Bukit Frazer itu sendiri sangat mempesonakan. Ternyata apabila Kassim ke bandar itu untuk perjumpaan pertama dengan YDP Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), dia pun terus jatuh hati dengannya. Tambah-tambah pula Redzuan menyatakan: “Di sini kita boleh buat 10 perkara pada satu pagi.”

Waduh, boleh buat 10 perkara dalam satu pagi. Bayangkan itu! Betapa mewahnya waktu. Tidaklah terkejar-kejar kerana kesuntukan waktu seperti kehidupan di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Tetapi bukan keadaan “waktu yang bergerak lambat” itu yang menyebabkan bandar Kuala Kubu Baru itu menarik. Ada beberapa faktor lain lagi. (Kita bincang hal itu dalam kesempatan lain, kalau ada).

Atau sebaiknya anda datanglah pada 29 – 31 januari. Malam persembahan puisi dan penyampaian anugerah Tokoh Budaya akan dibuat di tengah-tengah bandar, di atas jalanraya yang di kirinya barisan kedai-kedai dan di kanannya barisan kedai-kedai. Di tengah-tengahnya akan didirikan pentas untuk acara utama JBS, yang akan berlangsung pada hari pertama.

Biasanya acara kemuncak ini dibuat pada hari kedua, tetapi di sini ia dibuat pada hari pertama kerana kebetulan malam itu ada pasar malam di bandar KKB. Memang tema JBS pun “ilmuan budaya bersama rakyat”. Di mana terdapat rakyat ramai berkumpul di situlah kita menghadirkan seni-budaya. Di tengah-tengah bandar yang mempunyai perwatakan tersendiri ini. Biarlah seni puisi dan muzik bergetar dan mengalir bersama keriuhan rakyat di pasar malam itu.

JBS pertama di Klang ia dibuat di laman sekolah. JBS kedua di Rawang ia dibuat di laman masjid dalam suasana riuh karnival. JBS ketiga ia dibuat bersama kenduri kahwin di sebuah kampung di Tanjung Karang. Kali ini ia dibuat pula dalam suasana pasar malam di tengah-tengah sebuah bandar yang istimewa.

Oh ya, saya tadi bercerita mengenai sebab mengapa saya menanti-nanti untuk buat JBS di Kuala Kubu Baru. Itu tadi sebab pertamanya, kerana bandar KKB itu sendiri. Sebab kedua, kerana saya ingin bekerjasama dengan Yang Di-Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor itu.

Sudah lama saya menyimpan keinginan demikian. Sejak menyertai satu majlis dialog mejabulat mengenai seni-budaya yang dianjurkan oleh MDHL dan Sesama, kira-kira tiga tahun lalu, diadakan di Rumah Rehat KKB, dan YDP Tukiman bin Nail itu menjadi pengerusi majlis tersebut.

Selepas itu pada pertengahan tahun lalu saya berjumpa pula dia dalam majlis penyampaian hadiah peraduan menulis puisi dan cerpen anjuran PAS Hulu Selangor, yang diadakan di Rumah Seni Sesama, KKB. Dia hadir sebagai peminat sastera dalam majlis itu.

Berapa kerapkah kita boleh bertemu dengan seorang YDP majlis daerah atau majlis perbandaran hadir dalam majlis atau aktiviti seni-budaya? Apatah lagi mempengerusikan satu majlis dialog mejabulat mengenai seni-budaya!

Orang mungkin tidak merasakan kepentingannya, tetapi saya sangat merasakannya. Mengapa? Sebab bersama kawan-kawan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kami sekian lama mencari-cari pimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang faham kepentingan seni-budaya dan mahu menganjurkan program seni-budaya. Kami tak berjumpa kecuali seorang di Kulim, Kedah; dan seorang di Kuala Kubu Baru.

 Ruangan Wacana Budaya inipun pernah berbicara mengenai pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh Majlis-majlis Daerah, Perbandaran dan Bandaraya dalam memajukan aktiviti seni-budaya di negara ini. Tak perlulah ia diulangi lagi di sini. Program JBS pun dianjurkan, satu daripada tujuannya ialah untuk menggerakkan PBT supaya turut sama terlibat menganjurkan aktiviti seni-budaya di daerah masing-masing.

YDP Tukiman Nail nampaknya sangat memahami maksud Paksi itu. Awal-awal lagi beliau bersedia berbincang mengenai JBS dengan kami. Dan melihat pada pemahaman dan komitmen beliau itulah barangkali Redzuan pun berani membuat pengakuan dalam mesyuarat yang dipengerusikan YDP itu minggu lalu: “Saya nak jadikan Jelajah Budaya di Kuala Kubu Baru ini sebagai yang terbaik di antara 9 daerah yang menganjurkannya di Selangor.”

Alhamdulillah! Sepertimana syukurnya kami dapat bekerjasama dengan YDP Tukiman Nail bagi memajukan aktiviti seni-budaya di daerah-daerah di Selangor, begitulah juga syukurnya kami dapat bekerjasama dengan aktivis seni-budaya yang berdedikasi seperti Redzuan Idris.

Beberapa acara tambahan, yang tiada dalam JBS sebelum ini, akan diadakan di Kuala Kubu Baru, atas inisiatif Redzuan dan Tukiman. Acara-acara tersebut ialah pameran lukisan, bicara buku, dan pertemuan beberapa etnik rumpun Melayu yang terdapat di Hulu Selangor. Acara pertemuan rumpun Melayu ini akan diadakan pada hari ketiga, 31 Januari.

Manakala acara-acara JBS yang lain seperti teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), kuliah ilmu Prof Shaharir, peraduan mewarna kanak-kanak, dan dialog budaya, tetap akan diadakan seperti biasa.

Dinsman (Artikel 362, 11/1)
Nik Aziz mahu artis manfaatkan bakat

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan mencadangkan satu agenda baru untuk dibuat di Kota Bharu, iaitu agenda yang belum pernah dibuat sebelumnya bagi menyambut hari mulia itu, dan agenda baru ini melibatkan artis-artis dan selebriti yang ramai menyertai parti PAS akhir-akhir ini.

Telah beberapa kali disuarakan oleh beberapa pihak mengenai artis-artis pelakon dan penyanyi yang apabila masuk PAS mereka disambut dan diraikan di sana sini, dan mereka diminta berceramah atau bersyarah di depan umum, tidak berlakon atau menyanyi, seolah-olah mereka sudah meninggalkan bidang yang bakat mereka di bidang itulah asalnya menyebabkan mereka menjadi mereka, iaitu insan seni yang dikenali dan diminati ramai.

Demikianlah selalunya. Banyak orang atau pihak yang menyuarakan atau menyatakan tak puas hati terhadap sesuatu. Tetapi jarang ada orang atau pihak yang mahu tampil menganjurkan atau melakukan sesuatu yang relevan dengan apa yang disuarakan itu, termasuklah hal artis-artis yang ramai menyertai PAS ini. Rupa-rupanya Tok Guru Nik Aziz jugalah yang tampil dengan idea dan cadangan melakukannya.

Bagi memanfaatkan kehadiran ramai golongan artis pelakon dan penyanyi itu, Tok Guru Nik Aziz mencadangkan supaya dilakonkan suatu kisah atau peristiwa di zaman Nabi, dan Tok Guru Nik Aziz sendiri telah memilih peristiwa yang difikirkannya sesuai untuk tujuan tersebut, iaitu peristiwa menantu Rasulullah saw, Abul ‘As (yang berkahwin dengan Zainab puteri sulung baginda) yang pada mulanya enggan menyahut seruan Islam tetapi kemudian telah membuat kejutan di kalangan orang-orang kafir Quraisy dengan mengisytiharkan dirinya memeluk Islam di hadapan mereka.

Mendengar rancangan ini diceritakan oleh Wan Nik (Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan) di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya jadi terharu. Tidak menduga bahawa perkara seperti ini pun harus datang daripada ‘orang tua’ itu juga. Mengajak artis-artis berkumpul bagi menjayakan sebuah program yang boleh ditonton oleh orang ramai. Pun tidak ada orang lain yang boleh menggerakkannya. Mesti Tok Guru Nik Aziz juga yang melakukannya!

Saya terharu, sangat gembira dan dalam masa yang sama berasa sedih juga. Sangat gembira kerana Tok Guru Nik Aziz mengemukakan suatu idea yang begitu berani dan bererti dalam dunia seni-budaya yang menjadi bidang perjuangan saya.

Juga sangat gembira kerana saya boleh menganggapnya sebagai suatu sokongan dan dokongan daripada Tok Guru Nik Aziz terhadap perjuangan saya dan rakan-rakan dalam Seniman Paksi Rakyat, lebih-lebih lagi pada waktu yang Paksi sedang berasa direndahkan oleh pihak pimpinan politik tertentu (yang membuat keputusan semula mengurangkan bajet ke atas keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya).

Dan dalam masa yang sama saya berasa sedih juga kerana masih tidak ada orang lain selain Tok Guru Nik Aziz yang mampu tampil dengan idea seni-budaya yang begitu berani dan radikal. Sepatutnya idea yang berani begitu datangnya daripada orang muda. Apalagi ini bidang seni-budaya, yang menyentuh dunia artis-artis di kalangan orang muda. Di mana perginya tenaga-tenaga muda di dalam PAS dan Pakatan Rakyat?

Tidak mengapalah. Apa pun, saya bersyukur dengan perkembangan terbaru ini. Mengikut cerita Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Tetapi katanya Tok Guru Nik Aziz sudah menyebut nama-nama seperti Bob Lokman, Hairi Othman, Abby Abadi, Aishah dan beberapa orang lagi, bahkan juga Sasterawan Negara A Samad Said, yang diharapkannya boleh menyumbang ke arah menjayakan rancangan tersebut.

Saya tidaklah begitu teruja sangat dengan kemungkinan akan menonton artis-artis tersebut berlakon teater. Pada tahun 80-an dulu lagi saya sudahpun terlibat dengan artis-artis berlakon teater apabila pelakon-pelakon asal filem “Esok Untuk Siapa” semuanya melakonkan semula watak-watak mereka dengan cara dan gaya teater, dalam pementasan “Esok Untuk Siapa – dari filem ke teater”.

Artis-artis yang terlibat dalam teater arahan saya waktu itu ialah Jins Shamsuddin, Noor Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Latiff Ibrahim, Norizan, Umi Kalthum dan S Romai Noor.

Sekarang apa yang menjadikan saya teruja ialah penglibatan Tok Guru Nik Aziz itu sendiri dalam dunia teater. Seorang tokoh politik dan tokoh ulamak. Dalam usianya yang begitu lanjut pula! Dan dia bercakap mengenai perkara ini, perkara seni-budaya ini, pada waktu orang-orang lain khasnya orang-orang politik tengah sibuk bercakap soal politik dan pilihanraya umum ke-13, dan soal Pakatan Rakyat akan menawan Putra Jaya.

Ketika orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai tokoh-tokoh pembawa masadepan Malaysia yang baru itu sedang sibuk dengan hal-hal politik dan ambilalih kuasa sebuah negara, sehingga tidak ada waktu walaupun sekejap untuk bercakap atau berbincang soal seni-budaya, tiba-tiba Tok Guru Nik Aziz seorang yang dari kalangan tokoh-tokoh itu juga, mengajak para artis, seniman dan budayawan untuk sama-sama bekerja menjayakan sebuah pementasan teater, sempena sambutan Maulidur Rasul.

Oh alangkah absurdnya, dan Avant-garde sungguh! Apakah teater yang dirancangkan itu akan menghasilkan sebuah karya yang hebat atau tidak – itu satu soal lain. Apabila saya menceritakan perkara ini kepada Kassim Muhamad, dia juga teruja dan bertanya bagaimana Paksi mungkin dilibatkan? (Saya pun tak tahu).

Ya, seperti yang diceritakan oleh Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal perancangan. Namun kita maklum Maulidur Rasul tarikhnya sekitar 24 Januari. Tidaklah lama lagi. Hanya dua minggu sahaja lagi. Mungkinkah dihasilkan sebuah “teater yang teater’ berdasarkan kepada cerita di kalangan anggota keluarga Rasulullah saw itu?

Sama-samalah kita nantikan perkembangannya!