Background

Dinsman (Artikel 354, 16/11)
Kejayaan IBBR dan kesilapan ilmuan

Bagaimanakah kita mengukur kejayaan aktiviti seni-budaya seperti Jelajah Budaya 1 (Ilmuan Budaya Bersama Rakyat – IBBR) di Klang, 10-11 November lalu? Bagi saya ukurannya ialah keberkesanannya, dilihat dalam perspektif tujuan dan matlamat yang ingin dicapai ketika sesuatu program itu dirancang.

Apakah tujuan dan matlamat diadakan program IBBR? Pertama, untuk mengaktifkan atau mengadakan program seni-budaya itu sendiri, secara berskala agak besar, agar kehadirannya disedari oleh orang ramai pelbagai peringkat dan golongan. Tujuan dan matlamat ini rasanya memang tercapai.

Kedua, menyatakan penghargaan kepada para budayawan tempatan atas sumbangan mereka, dan memilih seorang daripada mereka untuk dinobatkan sebagai Tokoh Budaya Daerah berkenaan. Tujuan dan matlamat ini pun tercapai. Dan pemilihan Ruminah Sidek atau Mak Mah sebagai tokoh berkenaan, tentunya menarik perhatian orang ramai. Kebetulan pula malam sebelumnya dia juga dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama) dalam Anugerah Skrin 2012.

Tiga orang aktivis seni-budaya daerah Klang telah diangkat untuk penilaian akhir oleh jawatankuasa khas pemilihan. Mereka ialah Ismas Saring, Ibrahim Ghaffar dan Ruminah Sidek. Mengapakah Ruminah Sidek yang akhirnya dipilih sebagai Tokoh Budaya Klang? Apakah pelakon wanita veteran ini sumbangannya lebih besar daripada dua orang tokoh penulis berkenaan?

Tentulah jawatankuasa khas pemilihan mempunyai alasan dan hujah yang kukuh kenapa mereka memilih Ruminah Sidek. Seperti saya sebut sebelum ini, ia “suatu keputusan yang berkemungkinan akan dipersetujui oleh orang ramai dan kemungkinan juga akan dipertikaikan. Agak kontroversi. Di kalangan panel pun nampaknya mereka berdebat agak lama. Pelbagai kriteria diperhalusi pada tiga orang tokoh yang diangkat ke penilaian akhir, hinggakan definisi intelektual sendiri pun diperdebatkan.”

Jadi tak perlulah saya perpanjangkan lagi hal itu. Anugerah itu pun telah disampaikan kepada wakilnya oleh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri Selangor. Ruminah tak dapat hadir pada malam 10 November itu kerana sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar. Insya Allah mungkin beliau akan hadir dalam majlis Anugerah Budaya Daerah lain selepas ini.

Itu dua kejayaan. Kejayaan lain? Saya secara peribadi sangat tertarik dengan kuliah yang disampaikan oleh Prof Shaharir Mohd Zain di Masjid Darul Muttaqin, Sg Udang, pada pagi 11 November. “Bagaimana kini al-Quran menjadi sumber ilmu?” – tajuk kuliahnya. Sangat menarik, dan sangat penting isi kandungannya.

Memberi kesedaran kepada umat Islam hari ini tentang betapa bodohnya kita selama ini, maksudnya para sarjana dan ilmuawan kita, yang cuba mencari dan mengemukakan ayat-ayat al-Quran bagi membenarkan banyak penemuan-penemuan sains yang dibuat oleh para saintis dunia yang bukan Islam (kebanyakannya tidak percaya kepada Tuhan – atheis).

Pelik ‘kan? Para ilmuan dan sarjana Islam berusaha dan membuat kajian ayat-ayat Quran untuk membuktikan kebenaran apa-apa yang ditemui melalui kajian oleh para saintis bukan Islam. Tak pelikkah? Kita mengiyakan kebenaran para saintis bukan Islam, dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran. Ertinya kita menggunakan al-Quran untuk mengakui kebenaran ilmu-ilmu bukan Islam itu.

Kononnya kita hendak mengatakan bahawa al-Quran itu benar, kerana kajian-kajian para saintis bukan Islam pun membuktikan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Sedangkan, tegas Prof Shaharir dalam kuliahnya yang menjadi sebahagian daripada acara Jelajah Budaya (IBBR) itu – penemuan-penemuan oleh para saintis dan sarjana Barat bukan Islam itu belum pasti benar.

Para sarjana di Barat sendiri pun mempertikaikan kebenaran penemuan-penemuan itu. Shaharir sendiri membuat kajian dan menerbitkan bukunya “Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum” untuk mempertikaikan kebenaran ilmu yang dikemukakan oleh saintis Barat termasuk Einstein itu.

Ini saya anggap satu kejayaan dari agenda budaya IBBR atau Jelajah Budaya I di Klang itu. Paksi akan terus bawa kuliah Shaharir ini ke tempat-tempat lain lagi dalam siri Jelajah Budaya.

Kejayaan IBBR Klang seterusnya? Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan di masjid Darul Muttaqin – itu saya anggap suatu aktiviti seni-budaya yang biasa. Begitu juga pertandingan mewarna di kalangan 100 kanak-kanak yang dibuat di Sek. Ren. Agama Sg Udang itu. Juga persembahan nasyid oleh kumpulan Safiya dan Dhuha. Juga pembacaan puisi oleh A Samad Said, Zurinah Hassan, Pyanhabib, Ismas Saring dan Ibrahim Ghaffar.

Acara Dialog Budaya isu-isu semasa dengan dua orang Sasterawan Negara A Samad Said dan Anwar Ridhwan pada petang Sabtu itu pun menarik. Begitu juga dengan persembahan gamelan, cempuling dan silat seranteh. Rasanya persembahan muzik tradisional pimpinan Mois Subari dan Zuha Hj Suhadi itu pun patut juga dibawa dalam Jelajah Budaya di daerah-daerah lain akan datang.

Satu perkara yang saya suka dengan Jelajah Budaya di Klang ini ialah melihat gambar A Samad Said dengan rambut dan janggutnya yang istimewa unik itu tersenyum dalam bunting dan sepanduk yang bergantungan di tiang-tiang lampu di kiri-kanan jalan dan di beberapa simpang di sekitar Sg Udang. Terasa suasana dan kesan seni-budaya itu menular kepada khalayak yang luas.

Juga saya gembira dengan penglibatan beberapa orang dari pihak Majlis Perbandaran Klang, pejabat Adun Selat Klang, Sekolah Rendah Agama Sg Udang, dan Masjid Darul Muttaqin, dalam menjayakan aktiviti seni-budaya ini. Semoga mereka akan terus aktif menganjurkan program seni-budaya.  



Sebuah wacana sastera yang begitu rapi disusunatur pun sanggup dirampas oleh pecacai yang rabun dan tidak sedar tentang perubahan yang telah berlaku dalam dunia politik dan sosial.

            Kerapkali kita mendengar dan membaca  di media arus-perdana ulasan dan analisis dangkal oleh profesor kangkong yang menjadi doktor pintal (spin doctor) sambil menyerang pemimpin dan pentadbiran negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Tetapi apabila ini berlaku dalam sebuah majlis wacana intelektual sastera maka ianya amat mengejutkan.

Itulah yang berlaku pada majlis Wacana Karya-Karya Affifuddin Haji Omar pada 14 Jun lalu di Alor Setar. Majlis anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah Darul Aman dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)  pada penghujungnya dicemarkan oleh seorang pembicara yang merampas (hijack) dan menukar wacana  persuratan intelektual menjadi kuliah menghentam pemimpin dan kerajaan pakatan pembangkang dan menghina SN A Samad Said.

Wacana yang dihadiri sekitar 300 orang yang terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli persatuan sejarah dan penulis serta pelajar sekolah, pada mulanya begitu bererti apabila Dato Wira Dr Affifudin sendiri mengkisahkan proses penciptaan karyanya dan diikuti dengan pembentangan makalah oleh Dr Sakinah Abu Bakar dari USM yang amat bernas mengupas secara akademik `Konfliks Individu Dan Masyarakat Dalam `Paradoks` karya Affifudin Haji Omar.

Affifudin, bekas politikus yang melikui lorong dan lebuh politik UMNO-BN selama hampir 20 tahun dengan jawatan tertinggi  sebagai Timbalan Menteri, dengan tiba-tiba menerjunkan diri dalam alam penulisan kreatif menghasilkan enam buah buku dalam masa 3 tahun. Sewajarnyalah beliau dijulang dan karyanya diwacanakan dalam satu majlis yang penuh seri bertatahkan keilmuan dan keintelektualan sesuai dengan taraf akademik, pengalaman dan kedudukannya.

Lewat enam buah bukunya itu Affifudin melakarkan dengan penuh rinci kisah-kisah laluan rencah politik watak-wataknya yang penuh dengan intrig, konspirasi, penipuan, fitnah, skandal seks, rasuah dan segala macam kemungkaran yang memang diketahui umum yang diamalkan oleh pengamal politik mungkar. Walaupun isu dan latar ceritanya merupakan klise yang melatari banyak karya sastera tanah-air, namun  apabila Affifudin sendiri mengakui bahawa sembilan-puluh peratus dari kisah-kisah tersebut adalah berasaskan kejadian sebenar maka karya-karya beliau sekadar mengesahkan kebenarannya yang boleh dianggap `from the horse`s mouth`

Malah beberapa buah bukunya seperti PARADOKS, GETIR DAN DENDAM boleh dianggap sebagai novel separa autobiografi (semi-autobiographical novel)  Affifudin sendiri. Affifudin berjaya meletakkan dirinya dalam klas tersendiri   terpisah dari penulis kreatif bersolok `tukang cerita` yang banyak sekadar mereka-reka berdasarkan imaginasi dan akhirnya mengharap karya mereka memenangi sayembara.

Ada pula hasil kajian sejarah sebenar yang dibuatnya dan dinovelkan seperti dalam  Mujahid Agung dan Odisi Anak Kampar.

 Sebelum terjun dalam  dunia penciptaan ini,  dia mengakui banyak membaca hasil karya agung khususnya yang memenangi hadiah nobel dan mendalami ilmu falsafah dan psikologi. Beliau menghalusi bagaimana karya kreatif agung dicipta sehingga membolehkan dia merakamkan pengalamannya dalam bentuk karya kreatif juga.

 Hasil gabungan pengalaman sebagai teknokrat , politikus yang berhempas-pulas dalam karung politik UMNO-BN, latarbelakang akademik yang cemerlang  dalam bidang sains pertanian dan ekonomi politik  sehingga Phd di Kentucky dan Cornell, beliau dapat menerapkan nilai dan falsafah yang kejap dan kemas dalam karyanya. Hampir setiap peristiwa yang dilakarkannya pasti  dilandas dan dirumus dengan falsafah dan psikologi. Ini sukar didapati dalam karya sastera kita kerana Affifuddin tidak perlu menggunakan kaedah berkhutbah.

Affifudin menjelaskan mengapa dia memilih genre kreatif daripada fakta: `…saya bertekad pada tahun lalu untuk menulis karya yang suka dibaca oleh masyarakat umum, di mana saya cuba menyelit sedikit cebisan ilmu ekonomi, sains, psikologi dan lain-lain lagi…..`(ms 61, kertas kerja wacana karya Affifudin—Profesor Emeritus Dato` Dr Mohd Yusof Hasan)

Tetapi semua ini hilang begitu saja di wacana tersebut. Kecemerlangan Affifudin yang seharusnya terlekat di hati  dan menjadi tauladan dan dorongan kepada yang hadir, terbang lesap dirampas oleh pembicara   yang rabun realiti sehingga sudah tidak nampak dunia sudah berubah dan Kedah sudah bukan diperintah oleh UMNO lagi!

Cikgu ini mengambil masa hampir dua jam mendera khalayak yang sepatutnya hanya 45 minit. Dan hampir satu jam dia hanya menghentam pemimpin pakatan pembangkang yang tidak ada kena mengena dengan kertas kerja dan tajuk wacana. Amat kesian kepada Affifudin dan hadirin yang dipaksa mendengar seranah beliau. Dan amat sedih sekali apabila dia menghina SN Samad Said dan memperkecilkan perjuangan SN tersebut.

Seolah-olah dia pekak dan bisu kerana hampir semua novel Affifudin yang dia sendiri membicarakannya menceritakan wajah paradoksikal pemimpin UMNO-BN yang keji. Disinilah paradoks yang amat besar: sementara Affifudin menceritakan tentang kebobrokkan pemimpin UMNO-BN (dalam buku-bukunya dan dalam ceramahnya tentang proses pengkaryaan) si Cikgu ini pula mengajak audiens terus menyokong UMNO-BN !.Satu kontradiksi dan paradoks yang amat jelek.

 Tanpa silu malu berkali-kali dia menyatakan bahawa apa yang diperkatakannya adalah sealiran dengan pemikiran Utusan Malaysia. Begitulah tahap pemikiran  pakar dalam bidang Pemikiran ini!

Dan yang amat menjelekkan sekali ialah kertas kerjanya yang sudah cukup bernas setebal 64ms itu di letakkan sisipan berlipat  keratan akhbar Utusan Malaysia yang tidak berkaitan dengan tajuk wacana bertajuk`PAS IKUT TELUNJUK DAP``, satu tulisan dangkal oleh pembaca  yang pasti  ahli UMNO di Kampung Napor dan Hosba sendiri rasa malu dek kerana terlalu rendah pemikirannya diajukan untuk pembacaan peserta wacana yang rata-rata sudah cerdik politik.

Kesanggupan   berbuat begitu menunjukkan wajah sebenar orang berfikiran UMNO yang celupar dan tanpa maruah menggunakan apa saja kesempatan untuk berkempen, seperti si guru sekolah tinggi ini yang hanya sekadar doktor pintal UMNO sepanjang zaman.

Tidak pula menghairankan kerana mungkin dia sudah terlalu lama dalam menjana pemikiran jumud ala kursus BTN. Kangkong yang menjalar hingga pucuk tua lagi keras mahu saja terus menjalar melingkar tiang menara gading menggapai awan yang disangka sentiasa biru hingga sudah tidak sedar lantai akarnya  yang asal tumbuh di selut sudah ditumbuhi rumput hijau.

Demikianlah sebuah Wacana yang dibiaya dengan mahal  dan disusun rapi oleh Arkib Negara telah dirampas hingga memalukan penganjur. Sewajarnyalah dia meminta maaf di atas keceluparannya kepada Arkib Negara, Affifudin, Persatuan Sejarah dan ASASI(?) dan terlebih lagi kepada SN A Samad Said kerana kehadiran ramai penulis yang menyanjung perjuangan  Pak Samad.

Malah, untuk berlaku adil kepada Affifudin  seharusnya karya-karyanya dibicarakan di peringkat nasional (anjuran GAPENA?) dan buku-bukunya menjadi bacaan wajib pemimpin politik dan khasnya penyokong parti Affifuddin dahulu  sebagai bahan rujukan tentang realiti rencah pimpinan mereka yang penuh dengan dosa dan noda. Begitu juga bagi pemimpin dan pendokong  Pakatan Rakyat sebagai bahan kempen dan pencegahan  dalam menghadapi politik negara yang penuh dengan pemimpin songsang dan paradoksikal seperti yang dikisahkan melalui wahana penulisan kreatif begitu rinci oleh bekas Menteri UMNO sendiri.

Ahkarim …15Jun 2012, Jitra. Kedah

Dinsman (Artikel 351, 26/10)
Teater Ibnu Sina pakar perubatan

Ketika saya sedang berfikir bahawa teater kanak-kanak adalah satu aktiviti yang patut diaktifkan, terutama di kawasan-kawasan kediaman yang sesak seperti di rumah pangsa dan sebagainya, tiba-tiba seseorang mencadangkan kepada saya untuk menghasilkan sebuah teater mengenai ilmuan Islam di zaman kegemilangannya dulu.

Segeralah saya menjawab bahawa memang saya telah menulis skrip mengenai Al-Ghazali, beberapa tahun dulu, tetapi tergendala kerana sebab-sebab tertentu. Barangkali saya boleh hidupkan semula usaha itu. Tetapi nampaknya ‘seseorang’ itu kurang berminat dengan Al-Ghazali. Dia mencadangkan Ibnu Sina. Apakah kerana kebetulan dia seorang doktor dan Ibnu Sina pun terkenal di bidang kedoktoran dan perubatan, saya tak pasti, dan tak penting pun hal itu.

Yang pentingnya selepas itu saya pun membaca beberapa buah buku mengenai Ibnu Sina, dan saya pun terus bersetuju untuk mengusahakan sebuah teater mengenainya, dan langsung saya membayangkan teater itu adalah teater kanak-kanak.

Memang sesuai untuk teater kanak-kanak. Barangkali kalau ‘seseorang’ itu bersetuju dengan teater Al-Ghazali, ia tentulah tidak sesuai sebagai teater kanak-kanak. Sebab apa? Sebab cerita kehidupan tokoh-tokoh itu sendiri. Menariknya kehidupan Al-Ghazali ialah konflik dalaman dirinya sebagai seorang pencari kebenaran yang hakiki. Manakala Ibnu Sina pula menariknya kerana dia telah menjadi doktor ketika berumur 16 tahun dan menjadi ‘doktor pakar’ ketika berumur 18 tahun.

Saya katakan ‘doktor pakar’ kerana dia dijemput oleh dua orang doktor diraja yang adalah gurunya sendiri di bidang perubatan, untuk merawat raja yang sakit. Memang Ibnu Sina seorang yang genius. Kecerdasan otaknya luar biasa. Disamping belajar sendiri dengan membaca buku, dia juga berguru dengan dua orang doktor yang bertugas di istana raja waktu itu. (Nuh bin Mansur nama raja itu, di Bukhara, dalam Uzbekistan sekarang).

Bayangkan, kedua-dua orang doktor diraja itu, yang adalah guru kedoktoran Ibnu Sina sendiri, tidak mampu menyembuhkannya, dan mereka percaya yang Ibnu Sina boleh menyembuhkannya. Menunjukkan betapa hebatnya kecerdasan Ibnu Sina. Dan memang betul, dia berjaya menyembuhkan raja itu.

Apabila raja hendak memberinya hadiah sebagai balasan menyembuhkannya, dia memohon agar dibenarkan dia bebas membaca buku-buku yang terdapat dalam perpustakaan diraja. Khabarnya perpustakaan itu sebuah perpustakaan yang besar dan penuh dengan buku-buku dalam pelbagai bidang.

Bayangkan seorang anak muda yang gembira dibenarkan membaca buku-buku dalam sebuah perpustakaan besar waktu itu. Satu demi satu buku-buku ilmu itu dibacanya dengan penuh minat; dan diberitakan bahawa dia bukan sahaja membaca buku-buku yang banyak itu tetapi dia juga menghafal kebanyakannya.

(Memang Ibnu Sina gila membaca. Dalam suatu catatan peribadinya dia mengaku membaca buku Metaphysics karya Aristotle itu sebanyak 40 kali, kerana tidak dapat memahaminya, hinggalah dia membaca tulisan Al-Farabi mengenai buku tersebut, barulah dia faham.)

Dan sejarah mencatatkan bahawa perpustakaan itu kemudiannya terbakar. Habis semua buku-buku itu terbakar. Tetapi kebanyakan ilmunya sudah selamat tersimpan dalam ingatan Ibnu Sina. Maka adalah orang yang menuduh Ibnu Sina sendiri yang membakarnya. Dan ada pula yang mengatakan itu adalah fitnah orang-orang yang dengki dengan keistimewaan Ibnu Sina itu.

Bagi kita, itu bukanlah hal yang penting. Saya berbincang dengan Ladin Nuawi, orang yang akan mengarah teater ini (memang dia seorang yang ahli dalam teater kanak-kanak), apakah peristiwa perpustakaan terbakar itu sesuatu yang menarik untuk diungkapkan dalam teater kanak-kanak?

Boleh, kata Ladin, boleh dibuat dengan menarik. Tetapi secara umumnya kita mengelak daripada mengungkapkan hal-hal yang negatif. Elok kita utamakan peristiwa-peristiwa yang boleh memberi kesan positif kepada jiwa anak-anak, katanya.

Memang banyak peristiwa yang boleh memberi kesan positif dalam sepanjang kisah hidup tokoh perubatan Islam ini. Bahawa dia merupakan seorang tokoh perubatan di zamannya (980 – 1037 M), yang diiktiraf oleh Eropah hingga beberapa abad lamanya, dikenali dengan nama Avicenna – itu sahaja pun satu perkara yang positif.

Tidak banyak orang kita sendiri pun yang tahu mengenai kejayaan dan pencapaian orang yang bernama Abu Ali al-Husayn ibn Abdullah ibn Sina ini. Dia bukan sahaja seorang ilmuan di bidang perubatan, tetapi juga di bidang falsafah, logik, sains, fizik, agama dan puisi. Dia menulis lebih daripada 200 buah buku, dan sebahagian besarnya masih tersimpan dalam perpustakaan-perpustakaan di Eropah dan Timur Tengah.

Bayangkan di zaman yang belum ada mesin taip itu, dia menulis sebanyak 50 muka surat pada satu hari. Memang luar biasa kebolehan para ilmuan Islam di zaman itu. Maka inilah yang kami akan cuba kemukakan kepada umat kita hari ini, melalui teater ini.

Persembahan teater kanak-kanak biasanya dibuat sekitar 75 minit sahaja, kata Ladin. Kalau lebih panjang daripada itu ia akan menimbulkan rasa jemu dan gelisah di kalangan kanak-kanak yang menonton. Walaupun sasaran teater ini bukan sahaja kepada khalayak kanak-kanak, tetapi kepada golongan remaja dan dewasa juga, namun faktor kanak-kanak itu perlu diberi perhatian.

Latihan dijadualkan akan dimulakan pada awal November, dan persembahan dijangka akan mulai dibuat pada pertengahan Disember. Beberapa peristiwa menarik daripada kehidupan tokoh ini sudahpun kami pilih, misalnya bagaimana dia mengesan pesakit yang mengalami tekanan perasaan akibat rindu yang kuat, bagaimana dia mengatasi kegilaan seorang kerabat diraja yang merasakan dirinya seekor lembu yang mahu disembelih, dan sebagainya.

Semoga Allah mempermudahkan usaha ini. Amiin!