Background

Dinsman (Artikel 343, 21/9)
Pesta makan apa pula kita selepas ini!

Dalam satu hari sampai lima-enam atau tujuh-lapan jemputan untuk majlis rumah terbuka Hari Raya Eidul Fitri. Itu untuk orang biasa. Untuk orang yang tergolong dalam kalangan tokoh pemimpin atau VIP, banyak lagilah. Dan yang mengadakannya atau penganjurnya pula termasuk masjid-masjid dan surau-surau. Pun buat rumah terbuka. Parti-parti politik tak usah kiralah. Semua berlumba-lumba, untuk mendapatkan pengunjung yang lebih ramai. Sampailah ke hari-hari terakhir bulan Syawal. Dan barangkali ada yang terlajak ke bulan berikutnya.

Maka tiba-tiba saya pun terfikir –amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Asyik dengan pesta makan tak habis-habis. Lepas satu, satu. Sudahlah bulan Ramadan yang sepatutnya kita kurangkan makan-minum selama sebulan itu telah kita ubah menjadi pesta membeli-belah makanan pada setiap petang. Bulan Syawal pula kita sambut dengan pesta makan yang lebih besar lagi.

Amboi hebat sungguhlah kita orang Islam hari ini. Sudah jadi umat yang kaya-raya. Berbeza sekali dengan umat di zaman Rasulullah saw dulu, yang tidak pernah kenal pun dengan pesta makan-minum seperti yang menjadi kegemaran kita hari ini. Seolah-olahnya kita sudah tak ada perjuangan yang perlu kita lakukan lagi.

Maka marilah kita berpesta makan dan minum. Lepas satu pesta ke pesta yang lain pula. Kita makan dan makan, jangan risau. Kita memang ada banyak duit untuk dibelanjakan. Marilah mari, kita berpesta! Kita eratkan silaturrahim sesama kita dan bersama orang bukan Islam juga. Kita umat yang baik dan suka menjamu tetamu.

Baguslah. Mengeratkan silaturrahim sambil bermaaf-maafan, baguslah. Bagi orang politik pula dapat meluaskan dan memperbaharui pengaruh, memang bagus. Bagi orang bisnes pun sama, dapat meluaskan jaringan dan mengembangkan pengaruh. Bagi orang agama pun begitulah juga agaknya.

Bagi masjid dan surau? Bolehkah jamuan hari terbuka raya itu menarik orang yang tak pernah datang ke masjid/surau supaya datang menunaikan solat berjemaah di masjid/surau slepas mereka menghadiri jamuan hari terbuka raya itu? Kita harap-harapkan begitulah.

Tetapi dalam pada itu apabila saya sendiri diajak kawan-kawan dan pihak tertentu supaya hadir ke majlis demikian pada suatu hari itu sampai beberapa tempat, saya terfikir – apakah kita tidak melakukan pembaziran dalam perayaan yang seperti ini?

Menyambut Hari Raya Eidulfitri itu memang tuntutan agama. Laa raiba fihi. Tidak ada sebarang keraguan pun di situ. Buatlah berapa banyak majlis jamuan pun pada Hari Raya itu sendiri, tidak mengapa. Tetapi apabila satu hari raya dirasakan tidak mencukupi, maka ditambah pula beberapa hari, dan terus ditambah dan ditambah hingga penuh satu bulan Syawal, nak puasa sunat enam hari Syawal pun sudah jadi susah – maka itulah saya terfikir: Apakah yang sedang kita raikan ini sebenarnya?

Kita sedang meraikan kemenangan kerana berjaya melawan nafsu pada bulan Ramadan, ataupun kita sedang meraikan kemenangan nafsu itu sendiri? Kita sedang memperbaharui silaturrahim sesama ummah, ataupun kita sedang lagha dan melupakan perjuangan yang sebenarnya wajib kita lakukan? Kita sedang meraikan tuntutaan Islam agar menjamu tetamu, ataupun kita sedang melakukan pembaziran?

Makan bukannya kerana perlu makan, tetapi makan kerana dijemput dan meraikan kawan-kawan; sedangkan pada masa yang sama ramailah lagi kawan-kawan kita yang sedang bergelut dengan masalah kemiskinan dan tidak cukup makan, di sana dan di sini. Mereka itu tidak kita pedulikan pun sedangkan mereka itulah yang wajib kita pedulikan.

Selama satu bulan kita sibuk dan menyibukkan diri dengan majlis-majlis jamuan makan-minum ini – kalau dikumpulkan sudah berapa banyakkah wang yang boleh dibelanjakan untuk agenda perjuangan ummah yang lebih perlu dan mendesak?

Berapa banyakkah masa dan tenaga yang telah kita bazirkan di situ, yang sepatutnya boleh kita tumpukan dan sumbangkan ke arah perjuangan yang lebih diperlukan, demi mengangkat maruah ummah yang sedang terbenam dalam lumpur kehinaan akibat dipijak oleh musuh-musuh Islam itu?

Lihatlah bagaimana orang Islam hari ini berbelanja untuk makan-minum dan lain-lain perbelanjaan untuk hiasan diri, rumah dan kenderaan! Siapa kata orang Islam miskin dan tidak cukup kewangan untuk mempersiapkan perjuangan bagi menuntut kemenangan ke atas orang-orang bukan Islam? Bagi merealisasikan janji bahawa al-Islam ya’luu wala yu’laa ‘alaihi. Bahawa Islam itu paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

Demikianlah saya terfikir – barangkali kita sudah terlanjur tanpa kita sedari. Kita begitu ghairah mungkin hendak mencari pengaruh politik parti masing-masing hingga tak sedar kita telah terlanjur sampai ke hujung garis sempadan yang sewajarnya dan bahkan hingga melampaui sempadan lalu masuk ke daerah membazir, lagha dan melupakan perjuangan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan agenda hidup Muslim hari ini.

Dan tak lama lagi akan tibalah pula musim korban. Maka sekali lagilah kita akan berpesta dan berlumba-lumba – masjid manakah yang lebih banyak menumbangkan lembu. Para pemimpin pun akan bersaing untuk menyumbangkan lebih banyak lembu untuk disembelih oleh rakyat. Syarikat-syarikat korporat pun akan turut sama berlumba. (Entah bilalah pula agaknya ada hukum yang mewajibkan atau mensunatkan syarikat-syarikat korporat dan masjid-masjid membuat korban menyembelih lembu!)

Para ustaz semakin hari semakin ramai memberi kuliah agama, hingga tak kurang yang mencapai taraf selebriti dan diminati puluhan ribu orang apabila berceramah. Majalah-majalah agama pun tumbuh satu demi satu begitu subur sekali. Televisyen pun sudah ada beberapa saluran yang memfokus kepada dakwah Islam. Sekolah-sekolah agama pun tumbuh dan dibuka di sana-sini. Maka apakah ini sebahagian daripada fenomenanya?


Dinsman (Artikel 342, 17/9)
Latihan teater kanak-kanak dalam masjid

Secara kebetulan, barangkali, teater kanak-kanak adalah antara perkara yang menghuni dalam fikiran saya sejak beberapa bulan lalu; khasnya sejak membuat bengkel penulisan bulanan di Unisel, yang kebetulan kebanyakan pelajar yang menyertainya adalah pelajar-pelajar kursus pra-sekolah, maka saya terfikir adalah wajar diperkenalkan penulisan skrip teater kanak-kanak kepada mereka.

Kemudian minggu lalu pula saya menemui sejenis kelompok masyarakat rumah pangsa yang menyebabkan saya terfikir juga kepada keperluan teater kanak-kanak. Sekitar masa yang sama juga seorang peserta bengkel penulisan di Rawang menyatakan kepada saya bahawa dia bersama jawatankuasa masjid dalam qariahnya sedang merancang untuk memulakan latihan teater kanak-kanak di masjid mereka, sebagai satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda ke masjid.

Jadi nampaknya pemikiran mengenai teater kanak-kanak akan terus menemani saya untuk beberapa waktu ini. Cadangan daripada masjid di Rawang itu misalnya, perlu diperhatikan, kerana mereka meminta kerjasama kita untuk melaksanakannya.

Perkara pertama yang difikirkan apabila hendak mengadakan teater kanak-kanak ialah – siapakah yang akan menyertai atau mengambil bahagian bagi menjayakan teater itu?  Tentulah kanak-kanak.  Betul, tetapi umur mereka mungkin dari kelompok sekolah Tadika atau sekolah rendah atau mungkin juga kelompok sekolah menengah. Atau campuran ketiga-tiga kelompok tersebut.

Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalahnya ialah campuran peserta lelaki dengan peserta perempuan. Kalau setakat kelompok anak-anak Tadika, mungkin tak menjadi masalah, kerana mereka masih anak-anak kecil. Tetapi kalau kelompok anak-anak sekolah rendah dan menengah, ia menjadi masalah. Takkan anak-anak yang bercampuran lelaki-perempuan itu nak dibuat latihan di dalam masjid?

Kebiasaannya teater kanak-kanak memang bercampur lelaki dan perempuan. Sama seperti teater dewasa jugalah. Kebiasaannya memang ada percampuran lelaki dan perempuan. Hanya sesekali ada kekecualiannya, sesuai dengan keperluan skrip. Tetapi teater kanak-kanak agak berbeza, kerana pelakonnya ramai.

Apakah untuk keperluan teater kanak-kanak yang akan dibuat latihannya di masjid ini maka pesertanya hanya diambil dari kelompok anak-anak lelaki sahaja, atau kelompok anak-anak perempuan sahaja?

Kalau program ini dibuat di tempat-tempat biasa, maksudnya bukan di masjid, tentulah perkara percampuran lelaki-perempuan ini tidak timbul. Misalnya waktu saya berfikir untuk menubuhkan kumpulan teater kanak-kanak di rumah pangsa yang dibincangkan dalam WB keluaran lalu, saya tidak terfikir pun masalah ini. Hanya apabila memikirkan ia akan dibuat di dalam masjid maka perkara ini timbul, dan perlu difikirkan penyelesaiannya.

Maka apakah penyelesaiannya? Ada orang mungkin bertanya apakah ini persoalan hukum bagi aktiviti berlakon (dan latihannya) secara umum, ataupun ini hukum khusus bagi aktiviti berlakon (dan latihannya) di dalam masjid sahaja? Kerana setakat ini rasanya belum pernah ditimbulkan lagi masalah lakonan bercampur antara lelaki dan perempuan – boleh atau tidak (mengikut hukum Islam)?

Kerajaan Negeri Kelantan dan Tok Guru Nik Aziz pun nampaknya ada menganjurkan aktiviti yang meraikan pelakon dan filem-filem yang ada percampuran lelaki-perempuan (dari Indonesia dan Iran), iaitu filem-filem yang lakonannya dianggap tidak melanggar hukum akhlak Islam. Ertinya bercampur lelaki dan perempuan dalam lakonan itu dibolehkan, asalkan tidak melanggar batas-batas tertentu.

Apakah pula batas-batas tertentu itu? Saya tidak mahu lanjutkan lagi perbincangan ini di sini, sehingga saya mendapat jawapannya daripada orang yang lebih berwibawa.

Sementara itu hasrat pihak masjid berkenaan itu akan saya sambut dengan usaha-usaha yang sesuai, sementara menunggu fatwa berkenaan. Sekurang-kurangnya pun kita bolehlah mulakan dengan kelompok anak-anak lelaki sahaja dulu, buat sementara. Dan kalau fatwanya tidak boleh ada percampuran lelaki-perempuan, maka akan berterusanlah kumpulan teater kanak-kanak masjid itu dengan kelompok anak-anak lelaki sahaja.

Tidak ada masalah, kalau memang itulah hukumnya. Kita boleh beraktiviti dalam batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT itu. Gunakanlah imaginasi dan kreativiti kita, setakat yang termampu.

Manakala idea dan hasrat pihak masjid tersebut hendak menganjurkan aktiviti seni-budaya berkenaan itu sebagai satu pendekatan untuk menarik anak-anak muda datang ke masjid – amatlah saya alu-alukan dan hormati. Bagi pihak Seniman Paksi Rakyat (Paksi) saya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak masjid berkenaan. Ini suatu pengiktirafan yang mulia kepada seni-budaya!

Walau bagaimanapun, oleh kerana sifatnya teater kanak-kanak ini tidak sama dengan teater dewasa, misalnya dengan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) yang sudah banyak kali dimainkan dalam masjid itu, saya akan lebih berhati-hati melakukannya. Misalnya suasana dan mood teater kanak-kanak biasanya adalah mood yang riang; yang mungkin melibatkan muzik yang riang juga. Apakah itu sesuai dibuat di dalam masjid? Dan sebagainya.

Ada orang bertanya – kenapa perlu lakukan perkara-perkara seperti ini? Maksudnya, kenapa sampai perlu membawa hal-hal aktiviti seni-budaya yang tidak pasti hukum halal-haramnya ini, ke dalam masjid – tempat yang mulia khusus untuk beribadat kepada Allah SWT? Dulu dibawa teater dengan iringan muzik biola (MKDT) ke dalam masjid, sekarang hendak bawa teater kanak-kanaklah pula!

Jawapannya – bukanlah saya begitu sekali mengagung-agungkan aktiviti seni-budaya itu sehingga hendak mencemarkan kesucian masjid dengannya, tetapi saya hendakkan kepastian dan kejelasan hukum mengenainya, samada ia dibuat di luar masjid mahupun di dalam masjid. Ramai orang Islam yang terlibat dengan aktiviti seni-budaya. Maka biarlah kita jelas dengan hukumnya!  

Dinsman (Artikel 341, 14/9)
Bawa teater kanak-kanak ke rumah pangsa

Ahad lalu teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dipentaskan lagi buat kali yang entah ke 50-berapa, saya pun tak berapa pasti. Dilakonkan oleh Bob Lokman, bersama Sani Sudin dengan biolanya. Dan seperti biasa, kami juga membawa aktiviti sampingan, iaitu menjual buku.

Sudah lama aktiviti sampingan ini kami lakukan. Bukan sahaja sebagai sampingan kepada pementasan teater, tetapi juga sebagai sampingan kepada aktiviti-aktiviti lain seperti bicara buku, persembahan puisi, seminar, bengkel penulisan dan sebagainya. Sebab apa? Sebagai khidmat membawa buku kepada pembaca, promosi budaya membaca buku kepada masyarakat, menggalakkan orang membaca buku, dan menolong mereka yang kebetulan inginkan buku-buku berkenaan tetapi sukar mendapatkannya di kedai-kedai buku biasa.

Tidaklah banyak judul buku yang dibawa. Biasanya yang ada kena mengena dengan aktiviti utamanya, di samping buku-buku yang diterbitkan oleh Paksi dan Kaab, seperti Menunggu Kata Dari Tuhan, Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, Antologi Puisi 56 Penyair, Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya; juga buku-buku karya SN A Samad Said, Shaharir Mohd Zain, Azizi Hj Abdullah, Syed Husin Ali, Ahmad Lutfi Othman dan Zaaba.

Semestinyalah tidak ada buku-buku kisah cinta remaja yang digemari oleh anak-anak muda itu. Kami mempromosi buku-buku yang kira-kira ada kaitannya dengan ideologi dan perjuangan Seniman Paksi Rakyat (Paksi); yakni buku-buku seni-budaya yang kami percaya patut dibaca oleh masyarakat.

Dalam konteks inilah saya sudah beberapa kali menyebut bahawa masyarakat di sekitar Masjid Batu di Permatang Pauh itu agak unik dan istimewa, kerana mereka paling banyak membeli buku apabila kami membuat promosi buku di sana. Sudah beberapa kali.

Dan pada Ahad lalu kami bertemu pula satu lagi kelompok masyarakat yang unik dan istimewa, tetapi berbeza dengan masyarakat di sekitar Masjid Batu. Kalau masyarakat sekitar Masjid Batu itu suka dengan buku, kelompok masyarakat yang kami temui sewaktu mementaskan MKDT Ahad lalu adalah sebaliknya. Mereka langsung tidak berminat. Langsung tidak menunjukkan minat.

Daripada sekitar hampir seribu orang yang hadir untuk menonton dan berhibur dengan persembahan artis-artis pujaan mereka itu (termasuk Bob Lokman), tidak seorang pun mampir ke meja buku. Mereka sekadar memandangnya dari jauh dan melintas sahaja di depan meja buku. Langsung tidak menunjukkan ada minat kepada buku.

Kami sampai ke kawasan rumah pangsa itu sejurus sebelum maghrib. Melihat kepada suasana dan orang-orang yang ditemui di sekitar kawasan lapang dan padang mainan di antara blok-blok rumah pangsa itu, serta orang-orang yang mulai datang ke tempat pementasan, pihak petugas yang akan menjual buku pun mulai khuatir, apakah ini tempat yang sesuai untuk mempromosi buku?

Demikianlah akhirnya tanpa menunggu selesai pementasan, buku-buku yang dipamerkan itupun segera dikemaskan ke dalam kotak untuk disimpan ke dalam kereta.

Pulang dari pementasan itu otak saya asyik terfikirkan persekitaran hidup masyarakat di kawasan perumahan rumah pangsa itu. Dengan anak-anak kecil yang masih berkeliaran walaupun waktu sudah malam, anak-anak muda lelaki perempuan yang berpeleseran, beberapa orang lelaki yang menghampiri kami dalam keadaan seperti orang mabuk dan sebagainya itu. Dan saya pun terfikirkan visi dan gagasan seni-budaya Paksi. Apakah yang wajar dibuat dalam situasi yang seperti itu?

Tiba-tiba pagi Isnin itu ADUN kawasan tersebut, yang menjemput kami membuat persembahan MKDT itu dan dia juga turut menonton pada malam itu, menelefon saya dan menceritakan keadaan kelompok masyarakat di mana MKDT dipersembahkan itu. Rupa-rupanya tepat seperti yang sedang saya fikirkan.

“Sebutlah apa saja yang kita katakan gejala sosial itu, semuanya ada di situ,” kata YB tersebut. “Dan di situlah anda membuat persembahan cerita Kaab bin Malik itu. Saya tak pasti mereka yang menonton itu dapat memahaminya atau tidak. Sebahagian daripada mereka itu orang India bukan Islam. Saya tengok mereka menonton juga…”

Rupa-rupanya ADUN  berkenaan sangat maklum dengan situasi yang tidak menyenangkan itu. Dia sengaja membawa teater Islam kisah sahabat Nabi yang bertaubat setelah membuat kesalahan itu ke tempat begitu – tentulah ada sebab dan alasannya. Tetapi pagi Isnin itu dia menelefon saya untuk berbincang perkara lain.

Apa pun, yang pentingnya dia telah mengesahkan jangkaan saya mengenai sekitaran hidup masyarakat yang langsung tidak berminat dengan buku itu, lalu memudahkan saya untuk terus memikirkan apakah yang boleh dibuat oleh seni-budaya di situ.

Melihat kepada ramainya anak-anak muda yang berkeliaran di situ, saya segera terfikirkan kepada teater kanak-kanak. Barangkali sesuai dan ada faedahnya kalau sebahagian kanak-kanak itu diajak menyertai kumpulan teater kanak-kanak yang boleh ditubuhkan di situ, dengan dibimbing oleh orang yang pakar atau tahu mengenai teater kanak-kanak.

Tidak ramai orang yang tahu dan pakar mengenai teater kanak-kanak di Malaysia hari ini. Boleh dibilang dengan jari. Itu pun, yang ada seorang dua itu pun, tidak dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang sebenarnya sangat memerlukan tenaga pakar mereka. Saya harap kali ini (sekurang-kurangnya) kita boleh mencuba menghidupkan aktiviti seni ini, bagi memanfaatkannya kepada situasi hidup di rumah pangsa yang kurang menyenangkan itu.

Dinsman (Artikel 340, 10/9)
Merdeka kali kedua

Orang yang buruk akhlak dan berkelakuan jahat seperti musyrikin di zaman Jahiliyah itu sememangnya ada. Barangkali sentiasa ada di dalam masyarakat. Hanya kelihatan atau tidak kelihatan saja. Dan itu tidaklah bermakna yang masyarakat itu keseluruhannya sudah rosak. Tidak. Yang rosak hanya sekumpulan kecil beberapa orang itu sahaja. Namun kadang-kadang yang sekumpulan kecil itu pula mempunyai pengaruhnya yang besar, hingga kelihatan seolah-olah seluruh masyarakat sudah kembai ke zaman Jahiliyah.

Yang sebenarnya tidaklah begitu. Tetapi masalahnya hari ini teknologi komunikasi dan media sudah begitu canggih-manggih, dan perkembangannya pula berlaku dengan begitu cepat sekali hingga seolah-olah mesin (machine) itu yang mengambilalih dan menguasai serta mengawal manusia; bukan lagi manusia yang mengawal mesin. Dan kalau manusia yang masih mengawal mesin pun manusia itu biasanya terdiri daripada golongan mereka yang juga menguasai kewangan. 

Kebenaran pun sudah lama terbenam, dan kelihatannya amatlah sukar untuk dibangunkan semula. Masyarakat seolah-olah tidak berminat lagi dengan kebenaran. Apatah lagi bila ia sudah berjaya diubah dan ditransformasi hingga kehilangan bentuk dan wajahnya, kecuali yang keliru dan mengelirukan serta bercelaru (haru-biru) atau kabur dan tidak jelas. Dan apabila demikian, bagaimanakah kebenaran boleh berfungsi?

Pemandangan kini menjadi kabur dan berdebu. Memerlukan kacamata istimewa, atau hanya mereka yang mempunyai mata batin yang bersih sahaja yang mungkin dapat melihat pemandangan dengan jelas.

Inilah situasinya. Ramai orang mengambil sikap tidak peduli sahaja, dan mereka terus sahaja menjalani kehidupan biasa hinggalah sesuatu terjadi ke atas mereka. Kalaulah terjadi. Kalau tidak pun tidaklah, dan mereka pun teruslah tidak peduli.

Memang, dari sudut tertentu suasananya adalah suasana perang. Sebahagian orang melibatkan diri secara aktif di dalam peperangan ini. Sebahagiannya dengan senjata yang canggih dan ketangkasan berlawan, manakala sebahagian lagi tidak.

Tak tahulah bagaimana keadilan boleh dicapai, kerana mereka yang bertugas di mahkamah pun nampaknya terdiri daripada manusia yang sama-sama terperangkap dalam pemandangan yang berdebu dan mengelirukan itu juga – di mana lagi? (Zunar memberikan gambaran yang jelas. Seorang hakim dibaling kasut, dan seorang hakim dibaling seguni wang. Bagaimanakah reaksi mereka? Semua orang tahu.)

Penipuan dan pembohongan pun sudah lama menguasai cara hidup kemenangan di bumi ini. Penipuan dengan segala alat dan mesin canggih yang ada pada hari ini tidak lagi mempeduli-kan orang mengetahuinya ataupun tidak. Pedulikan orang tahu! Asalkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa, biarlah mereka melalak. Yang pentingnya kemenangan terjamin di pihak kita. Itu saja.

Dan apabila suasana sudah bercelaru dan bercampuraduk antara yang benar dan yang salah, antara yang baik dan yang jahat, antara yang cantik dan yang hodoh, antara yang lucah dan yang sopan, antara yang tipu dan yang sah, dan macam-macam lagi – maka mudahlah kerja mereka untuk memanipulasi dan mentransformasi. Memang. Belajarlah daripada mesin Transformer yang berbagai-bagai itu. Hebat!

Dan di pihak yang lain pula seperti hukum rimba pula jadinya. (Teringat pada aksiom Cakravantin itu). Mereka yang kuat – dialah berkuasa. Tak kira bagaimana pun caranya. Rasuah pun satu daripada kepandaian. Matlamat menghalalkan segala. Apa saja, asalkan menang – selamat dan tidak ditawan.

Kalau kalah, akan merengkoklah di dalam penjara kesengsaraan  Kerana memang semua orang tahu siapa yang bersalah. Hanya selama ini kuasa di tangan mereka itu sahaja yang membenarkan mereka dan memenangkan mereka. Jatuh kuasa itu jatuhlah semuanya. Maka itulah mereka berikrar akan mempertahankan Putrajaya itu hingga ke titisan yang terakhir.

Itu ikrar yang begitu memang tidak pernah ada dalam mana-mana buku pun kecuali buku penjajahan. Itulah maka mutakhir ini tiba-tiba kedengaran di sana sini orang bercakap pasal penjajahan dan kemerdekaan kali kedua. Seolah-olah sedang masuk ke suatu fasa baru perjuangan.

Bukan perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi perjuangan untuk memerdekakan negara dari cengkaman penjajahan bangsa sendiri. Mereka itu menjajahlah itu namanya kalau begitu cara mereka memerintah negara. Menjadikan negara seperti khazanah harta pusaka mereka, sedangkan mereka hanya diberi amanah untuk mentadbir sahaja. Apabila mengecap nikmat kuasa, mereka lupa segala amanah.

Ya, sekarang kita berjuang untuk kemerdekaan kali kedua. Melihat SN Samad Said dan Maria Chin keluar dari Balai Polis Dang Wangi petang tadi (Khamis), kerana dipanggil untuk siasatan kes di malam Janji Demokrasi 30 Ogos lalu – ya, itulah sebahagian dari perjuangan untuk kemerdekaan kali kedua.

Dinsman (Artikel 339, 7/8)
Dah pergi ke Pameran Kartun Zunar?

Saya dah pergi. Awal-awal lagi. 1 September. Pameran dibuka pada 1 hingga 9 September. Saya pilih pergi awal sebab ada perasmian oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pada jam 11 pagi. Lagipun, kuratornya sendiri, Nur Hanim Khairuddin, menjemput saya datang ke majlis perasmian. Di samping SMS daripada Zunar.

Memang kita tahu Zunar telahpun mengadakan pamerannya di luar negeri, sebelum ini. Di Bilbao, Sepanyol pada tahun 2011 dan di London pada awal tahun ini. Pameran di Galeri Shah Alam Selangor ini ialah pamerannya yang pertama di Malaysia, negaranya sendiri. (Zunar dilahirkan di Pendang, Kedah pada tahun 1962 dan diberi nama Zulkiflee SM Anwar Ulhaque).

Kita juga tahu yang Zunar telah menerima beberapa anugerah atau award, di luar negara, kerana keberaniannya mengkritik dan menyindir pihak berkuasa dengan menggunakan bakatnya melukis kartun-kartun yang sangat kreatif dan imaginatif itu – seperti anugerah Courage in Fighting Censorship oleh Festival Against Censorship, di Bilbao, Sepanyol, 2011; dan Courage in Editorial Cartoon (Keberanian dalam Melukis Kartun Editorial) oleh Cartoonists Rights Network International (CRNI), Washington, Amerika, pada Julai 2011.

Begitulah lumrahnya kita. Apabila orang luar memberi pengiktirafan kepada mana-mana individu di kalangan kita maka barulah kita pun sibuk nak buat ini atau itu untuk menunjukkan yang kita pun tak mahu tertinggal mengiktirafnya. Padahal memang dah ketinggalan pun, ya? Tapi, dalam hal Zunar ini barangkali berbeza. Kita mungkin tidak ketinggalan. Hanya pihak luar itu yang agak cepat mendahului kita.

Apa pun, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini, atau berdasarkan cerita Tan Sri Khalid ketika merasmikan pameran ini adalah inisiatif beliau bersama Setiausaha Akhbarnya Arfa’ezah Ab Aiz, memanglah patut dipuji dan dihargai. Pameran lukisan kartun solo seperti ini memang jarang-jarang kita dengar pun. Saya tak pastilah, tapi rasa-rasanya macam tak pernah ada pun.

Namun apa pun, kita memang sudah lama kenal Zunar, khasnya melalui Harakah, sejak zaman awal Reformasi dulu. Dia antara orang yang memberi pengisian kepada semangat Reformasi 1998. Bukan sahaja melalui kartun-kartunnya yang selalu disiar dalam Harakah, tetapi juga melalui aktivitinya menganjurkan atau mengisi majlis-majlis seni-budaya yang membawa semangat Reformasi, termasuk menganjurkan pementasan teater Tok Ampoo karya Hishamuddin Rais.

Tapi akhir-akhir ini dia nampaknya memfokus hanya kepada melukis, dan meninggalkan arena persembahan. Ini bagi saya agak merugikan dunia seni-budaya kita, kerana saya masih ingat lagi beberapa majlis persembahan yang saya bersama dengan dia, seperti di Kota Bharu (di Dataran MPKB yang sekarang sudah tiada) dan di Kampung Raja, Besut, Terengganu. Dia melukis kartun sambil berceloteh. Suatu persembahan (show) yang sangat menarik.

Setakat ini hanya dia sahaja yang boleh melakukan begitu. Tak ada orang lain yang boleh buat begitu. (Atau ada seorang lagi iaitu Lat). Sambil melukis karikatur Mahathir atau karikatur Pak Lah, misalnya, dia melontarkan komen-komen yang sangat pedas, berani dan tepat mengena ke muka orang-orang itu. Dia melakukannya dengan begitu bersahaja. Dan penonton pun ketawa dengan rasa puas dapat berkongsi luahan perasaan yang sama.

Itu hanya nostalgia sayalah. Lama tak lihat Zunar beraksi demikian. Maka apabila menerima jemputan ke pamerannya ini saya terfikir – apakah sebenarnya yang akan saya saksikan dalam pameran Zunar ini? Lukisan-lukisan kartunnya itu barangkali semuanya atau hampir semuanya sudah saya lihat. Akan adakah kartunnya yang baru, yang special, khas untuk pameran ini, yang berbeza daripada kartun-kartun yang pernah kita lihat selama ini?

Nur Hanim pula yang menjadi kuratornya. Nur Hanim bukanlah sekadar seorang kurator yang terkenal, yang antara lain pernah menjadi kurator pameran-pameran berbeza seperti karya Sulaiman Esa, Raja Shahriman, A. Samad Said (Kata Luhur) dan ‘Mea Culpa’ dari cerpen-cerpen Amirul Fakir, tetapi beliau sendiri juga adalah seniman Reformasi yang tentunya sangat mengerti dan menghayati roh dan semangat karya-karya Zunar.

Lalu, apakah yang istimewanya Pameran Kartun Zunar ini?

Ya, kita mungkin sudah pernah melihat kesemua atau sebahagian besar daripada 147 karya yang dipamerkan itu. Tetapi kita melihatnya dalam suasana dan sekitaran yang berbeza. Kita melihatnya terpisah-pisah, satu dan kemudian satu dan seterusnya, dalam akhbar atau internet. Atau kita melihatnya di dalam buku. Suasananya berbeza.

Di sini kita berdiri dalam ruang yang luas dan di sekeliling kita adalah kartun-kartun Zunar (sebahagiannya lebih besar daripada yang biasa kita lihat) yang berbicara mengenai pelbagai isu, khasnya isu politik mutakhir negara kita, dengan ‘suara’ yang sangat berani, sinis, lantang dan kelakar. Beraninya bukan setakat ‘mengata’ Perdana Menteri dan isterinya, tetapi juga hakim di dalam mahkamah pun.

Lakaran-lakaran visualnya pula begitu kreatif dan imaginatif, yang sebahagiannya tak pernah terjangkau oleh otak kita. Tak pernah pun kita membayangkan demikian. Tetapi Zunar membawa kita ke dimensi yang begitu. Dimensi fikiran seorang kartunis, yang mengikut Ahmad Lutfi Othman - seorang yang genius.

Anda bersetuju atau tidak dengan Ahmad Lutfi Othman itu terpulanglah kepada anda. Tetapi satu perkara saya bersetuju dengan TS Khalid – bahawa kartun-kartun Zunar bukan sahaja mudah difahami mesejnya, ia bahkan boleh membantu orang-orang yang tak faham isu-isu penting negara, untuk memahaminya. Makanya beliau bercadang untuk membawa karya-karya Zunar menjelajah.

Akhirnya saya mencadangkan kepada anda yang belum datang, eloklah datang. Galeri Shah Alam terletak di pinggir tasik Shah Alam, tidak jauh dari kompleks PKNS. Lokasinya pun cantik. Hari Sabtu ini, 8 September, pukul 2 hingga 6 petang ada majlis dialog dengan Zunar. Juga ada demonstrasi melukis karikatur oleh kartunis dari Kelab Kartunis Independen (KKI).

Dinsman (Artikel 337, 31/8)
Halusnya dakwah dalam filem Mohabbatein

Nak kata minat sangat, tidaklah. Tetapi minat jugalah filem-filem tertentu. Memang ada beberapa filem Hindustan yang bagus. Dan ada beberapa orang pelakonnya yang saya minat. Sejak daripada zaman Dev Anand, Shammi Kapoor dan Asha Parekh dulu lagi. Sekarang pula antara pelakon yang diminati ialah Shah Rukh Khan, Amitabh Bachan dan Kajol.

Kebetulan baru-baru ini ada saluran televisyen yang tayang filem Mohabbatein, sempena Hari Raya. Tak pasti Hari Raya yang ke berapa. Dan saya berkesempatan menontonnya. Sebelum ini pun sudah pernah menonton filem lakonan Shah Rukh Khan, Amitabh Bachan dan Aishwarya Rai itu. Saya menonton kali kedua ini, sebab apa?

Pertamanya kerana memang ada di rumah, kerana kurang sihat; dan saja nak rehatkan minda. Kebetulan pula, seperti kata tadi, minat jugalah. Teringat adegan-adegan bagaimana S.R. Khan dengan gesekan biolanya itu secara halus membawa pembaharuan ke dalam institusi pengajian Gurukul yang ditadbir dengan penuh disiplin ketat oleh Amitabh Bachan itu.

Filem ini dengan para pelakonnya yang hebat itu memang antara filem Hindustan yang popular masakini dan diminati ramai. Dengan beberapa buah lagunya dan muziknya yang mengasyikkan itu, dan tak kurang juga tariannya yang mengghairahkan.

Apa hukumnya kita menonton filem seperti ini? Nah, ini satu persoalan yang agak rumit untuk dibincangkan. Secara mudahnya barangkali lebih baiklah kalau tidak menontonnya. Tetapi ada beberapa perkara yang mendorong saya masih menontonnya. Bukan sekadar kerana nak rehatkan minda dan kerana kebetulan berada di rumah disebabkan kurang sihat yang saya sebut tadi itu. Ada beberapa faktor lagi.

Filem itu sendiri. Kehadiran atau kewujudannya hari ini adalah sesuatu yang tak mudah untuk dikesampingkan atau dipinggirkan begitu saja. Pengaruhnya ke atas masyarakat terlalu kuat dan terlalu besar. Kita mungkin boleh mengambil sikap tak mahu pedulikannya atau menafikan kewujudannya. Tetapi filem tetap wujud dan hadir dalam masyarakat dan persekitaran hidup harian kita.

Wajarkah untuk kita tidak mempedulikannya dan menafikan kewujudannya? Ini tentulah satu soalan yang mengundang banyak persoalan pula dan akan menimbulkan perbahasan yang berpanjangan. Makanya eloklah kita tinggalkan dulu soalan dan persoalan itu. Hakikatnya – hari ini saya masih menonton filem, melalui televisyen (sudah lama tidak ke pawagam), dan filem serta drama di televisyen adalah sesuatu yang kewujudannya tidak dapat dinafikan.

Lalu kita kembali kepada filem Mohabbatein itu. Kenapa saya menulis mengenai perkara ini? Kerana saya percaya di sana masih ramai orang yang masih menonton filem (dan drama di televisyen), seperti saya, bahkan lebih ramai lagi yang menontonnya lebih  kerap daripada saya. Ia boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup orang sekarang.

Kalau demikian, kalau ia sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup orang sekarang, apakah kita masih ada pilihan untuk mengkesampingkannya daripada hidup kita atau tidak mempedulikan kewujudannya? Saya kira, buat masa ini, kita tidak ada pilihan. Kita tidak boleh mengkesampingkannya, kerana kita tidak ada alternatif. Apakah alternatif yang kita ada? Atau pernahkah kita memikirkan alternatif untuknya? Setahu saya, tidak ada.

Kembali kepada filem Mohabbatein itu. Ia sebuah filem Hindustan. Seperti kebanyakan filem Hindustan, filem ini pun berkisah mengenai cinta. Bukan sekadar berkisah biasa, tetapi mengagungkannya. Meletakkan cinta itu di tempat yang begitu tinggi dan mulia.

Barangkali itulah antara daya tarikannya di kalangan anak-anak muda. Cinta selalu menang dan dimenangkan di dalam filem-filem Hindustan. Tidak ada kuasa yang boleh mengalahkan cinta. Ia sentiasa menyokong orang-orang bercinta.

Dalam Mohabbatein, watak yang dilakonkan oleh S.R.Khan (saya tak ingat namanya, Aryan atau apa) bercinta dengan anak perempuan Amitabh Bachan. (Maaf, saya tak ingat nama-nama wataknya. Baik yang dipegang oleh Amitabh Bachan mahupun oleh Aishwarya Rai yang melakonkan watak anak perempuan itu).

Amitabh Bachan, orang yang digambarkan sebagai mahaguru atau pengetua kolej itu yang sangat tegas, kuat berpegang pada disiplin, dan tidak pernah senyum itu, tidak merestui cinta antara dua anak muda itu. Dia cuba menghalang percintaan tersebut. S.R.Khan disingkirkan dari kolej. Lalu apa terjadi?

Anak perempuannya mengambil keputusan membunuh diri. Manakala si lelakinya, S.R.Khan atau Aryan terus bercinta dengan kekasihnya itu walaupun telah mati, tetapi dia sentiasa merasai kewujudannya. Kekasihnya yang mati itu sentiasa hadir di dalam hidupnya, seolah-olah tidak mati. Demikianlah hebatnya cinta di dalam filem-filem Hindustan.

Maka kita pun bersimpati dan menyebelahi/menyokong hero dan heroin filem ini dan tanpa menyedarinya kita pun menerima jalan yang diambil oleh heroin itu yang membunuh diri kerana membantah tindakan ayahnya menghalang cintanya. Bunuh diri sudah menjadi satu tindakan yang tidak salah, malah menjadi satu pilihan yang betul dan mulia.

Filem ini ialah mengenai pertentangan antara hidup bercinta (yang dibawa oleh S.R.Khan) dengan hidup tanpa cinta (yang dibawa oleh Amitabh Bachan). Siapa yang akan menang? Tentulah hidup bercinta yang dibawa oleh Aryan itu. Tetapi siapakah dia Aryan atau watak lelaki yang dibawa oleh S.R.Khan itu?

Dia ialah seorang yang sangat percaya kepada kata hatinya. Bagi dia itulah Tuhan yang wujud di dalam dirinya. Dia tidak menerima kewujudan Tuhan yang lain. Dan itulah fahaman yang dibawa dan diajarnya kepada pelajar-pelajar di kolej Gurukul itu.

Dan akhirnya filem ini memberi kemenangan kepada hero itu. Amitabh Bachan sendiri mengaku dia bersalah dalam hidupnya dan menyerahkan kolej kebanggannya itu kepada Aryan, untuk disebarkannya ajaran dan fahaman hidupnya yang tak percaya Tuhan itu. Betapa halusnya dakwah mereka melalui filem. Apakah orang-orang filem kita juga mempunyai kesedaran sedemikian?



Dinsman (Artikel 336, 27/8) 13
Hanipa, terokai lagi hujah Hudud itu

Betul Hanipa! Saya setuju dengan garis hujahan Sdr dalam kolum Prima Facie 13 Ogos, berkenaan undang-undang Hudud dan penentangan Karpal Singh terhadapnya. Sdr kelihatannya tidak berputus asa dengan sikap keras dan tegar yang ditunjukkan oleh Karpal, bahkan sdr menunjukkan sikap yang sangat positif pula terhadap kemungkinan bagi Karpal untuk menerima kewajaran undang-undang Hudud, lambat laun, suatu hari nanti.

Keluaran berikutnya juga Hanipa masih meneruskan wacananya mengenai hudud. Tambah meriah lagi isu hudud ini dengan Nasharuddin yang meracau dan disambut Karpal itu. Tapi itu semua tidak menarik buat saya, apatah lagi dalam suasana Eidul Fitri. Wacana Prime Facie 13 Ogos itu lebih menarik.

Kali kedualah ini saya menulis dalam Wacana Budaya bagi menyokong tulisan Hanipa Maidin. Dia pakar dan fasih dan tahu serba-serbi selok-belok undang-undang. Ada hal-hal yang kita terpaksa berhenti kerana terasa sudah sampai ke sempadan dan tak boleh nak berhujah lagi, tetapi Hanipa masih boleh, dan dia tolong mengubah sempadan itu untuk kita.

Demikianlah saya percaya ramai orang sudah melihat tertegaknya pagar sempadan harapan untuk Karpal Singh menerima kewajaran atau bersetuju untuk undang-undang Hudud dilaksanakan di negara ini. Tak boleh nak berhujah lagi dengan dia. Pegangannya terhadap kewajaran undang-undang sekular begitu kuat sekali. Kita hanya boleh berharap pendirian DAP terhadap hukum Hudud akan berubah apabila Karpal Singh sudah tiada nanti.

Tetapi berbeza dengan Hanipa. Dia masih mempunyai hujah dan rasional yang dapat dikemukakannya lagi kepada Karpal. Menggunakan rasional dan dalil-dalil yang pernah diterima oleh Karpal sendiri, yang mungkin Karpal pun tidak menyedari hubungannya dengan kewajaran dalam undang-undang Hudud, seperti dia pernah membela seorang wanita Islam untuk berpurdah, dan juga membela Sukma Darmawan untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Kata Hanipa: “Mungkin ramai yang tidak tahu semasa membela Sukma, Karpal pernah membangkitkan hujah di depan hakim Mahkamah Sivil supaya kes liwat Sukma dibicarakan di Mahmakah Syariah atas alasan kesalahan liwat adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hujah Karpal tersebut menunjukkan Karpal mengiktiraf kewujudan kesalahan jenayah liwat dalam Islam, sekaligus mengiktiraf Mahkamah Syariah untuk mengadili orang Islam yang dituduh dengan kesalahan tersebut.

“Justeru menggunakan hujah yang sama, Karpal sepatutnya melebarkan pengiktirafan beliau untuk kesalahan-kesalahan jenayah yang lain seperti jenayah zina, minum arak, qazaf, hirabah (merompak) dan jenayah murtad untuk diadili juga di Mahkamah Syariah.”

Demikianlah – paling pentingnya, saya melihat jalan yang diterokai oleh Hanipa Maidin itu. Masih ada jalan! Atau tetap ada jalannya! Hanya kita perlu terus meneroka, perlu mencari ikhtiar-ikhtiar baru, perlu mendapatkan alat-alat baru untuk menganjak sempadan lama.

Maka saya pun terfikir – apakah selama ini kita berusaha ke arah itu? Maksud saya, berusaha secara terancang dan berterusan meneroka kemungkinan-kemungkinan baru, strategi-strategi baru, agar dapat membuka minda, kefahaman dan kesedaran pihak-pihak yang selama ini menolaknya.

Dalam masa yang sama kita juga harus sedar bahawa penolakan terhadap Hudud itu juga adalah sebahagian daripada kempen dakyah dan fitnah pihak-pihak tertentu bagi memburukkan dan menempelkan warna negatif terhadap Islam keseluruhannya, di peringkat negara kita dan juga di peringkat dunia. Bukan sahaja dalam bab Hudud tetapi dalam hal-hal lain juga, termasuk seni-budaya dan hiburan.

Maka Hanipa patut meneruskan usaha ini. Bukan sekadar bersendirian, tetapi bersama dengan satu kumpulan yang pakar dalam bidang berkenaan, bagi meneroka strategi-strategi dan hujah-hujah baru ke arah membina kefahaman baru terhadap hukum-hukum Islam.

Barangkali istilah “hudud” itu sendiri mempunyai stigmanya, yang menyebabkan orang langsung berprasangka negatif terhadapnya. Maka kalau demikian barangkali istilah itu tidak perlu ditonjolkan dulu buat masa ini, sebaliknya kandungannya sahaja perlu diungkapkan secara beransur-ansur ke dalam sistem perundangan yang sedia diterima umum. Barangkali.

Cara dan pendekatan yang diambil oleh Hanipa terhadap Karpal Singh itu menunjukkan bahawa di sana terdapat banyak lagi kemungkinan usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan. Dan dalam konteks ini saya juga melihat kemasukan atau penghijrahan ramai golongan artis ke dalam parti PAS akhir-akhir ini adalah juga satu kemenangan penting kepada Islam.

Betapa golongan aktivis seni dan hiburan boleh berubah sikap dan pandangan mereka terhadap kedudukan seni dan hiburan dalam Islam. Bahawa Islam tidak lagi dilihat sebagai anti-hiburan dan anti-kesenian. Walaupun ada hal-hal yang nampaknya masih kabur, tidak menentu dan agak mengelirukan di sana sini, namun fenomena ini adalah sesuatu yang menunjuk arah kepada kemenangan untuk Islam. Terpulanglah caraa kita menyambutnya.

Kena caranya kita menyambut dan meladeninya, baiklah ia. Dan kalau kita tersalah cara menyambut dan meladeninya, akan rosaklah ia.

Demikian juga saya membaca kenyataan baru yang diucapkan oleh bekas seorang menteri Umno yang kita pun tak pernah terfikir dia akan berubah fikirannya terhadap PAS – iaitu Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Katanya sekarang orang Melayu yang terbaik ada dalam PAS. Manakala dalam Umno tidak ada lagi orang Melayu yang layak untuk menjadi pemimpin.

Nampaknya ada satu gelombang baru yang sedang membentuk untuk suatu perubahan penting di negara ini, yang berkaitan dengan PAS dan Islam. Apakah Karpal Singh dan mereka yang sependirian dengannya akan terus bersikap keras menolak pelaksanaan undang-undang Hudud di negara ini?

Saya sangat optimis dengan hujah dan usaha yang dibuat oleh Hanipa Maidin. Bayangkanlah apabila Karpal Singh mengubah pendiriannya terhadap Hudud!