Background

Dinsman (Artikel 331, 23/7)
Tahukah sheikh itu apa yang dicakapnya?

Entah untuk kali ke berapanya, mereka membawa lagi sheikh atau ulamak dari negeri Arab untuk berfatwa di negeri ini. Dan fatwa yang terbaru dibuat di Terengganu, Selasa lalu. Seperti yang dapat diduga, ia bertujuan mengukuhkan lagi ‘fatwa’ yang sedia dibuat oleh para mufti kita di sini: Jangan melawan kerajaan yang sedia ada, yakni “haram jatuhkan kerajaan negara Islam”, dengan merujuknya kepada kerajaan Malaysia sekarang.

Itulah usaha mereka untuk mengekalkan kerajaan yang ada. Dengan mempergunakan faktor agama. Sedangkan amalan agama mereka sendiri pun penuh dengan persoalan sahih atau tidaknya, betul atau sesatnya. Sedangkan para mufti mereka sendiri pun tidak betul amalan agamanya. Membisu tanpa suara apabila melihat fitnah bermaharajalela di sekeliling mereka, dan hanya bersuara apabila dikehendaki mengiyakan kehendak majikan. Betulkah itu sifat mufti yang dikehendaki Islam?

Maka dibawalah pula tok syeikh dari Arab untuk berfatwa, dengan harapan rakyat negara ini akan patuh mengikut fatwa tok syeikh tersebut seperti di zaman dulu-dulu. Maka akan terselamatlah mereka dengan segala kemungkaran mereka itu. Seandainyalah rakyat di negara ini masih jahil belaka dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Tetapi apakah rakyat di negara ini masih jahil?

Jawabnya tidak! Maka rakyat negara ini pun bertanyalah beberapa soalan. Tahukah tok syeikh itu dengan apa-apa yang dicakapnya itu? (Minta maaflah kalau ana terkasar bahasa sedikit ya!). Apa yang tok syeikh itu tahu tentang negara kita ini khasnya tentang politiknya? Daripada mana dia mendapat maklumat mengenai politik dan pentadbiran negara ini? Apakah dia menganggap kerajaan negara ini sekarang ditadbir mengikut hukum-hukum Islam? Dan tahukah dia apakah bezanya di antara perjuangan parti PAS dengan perjuangan parti Umno?

Sudah tentulah tok syeikh itu tak boleh menjawabnya. Kita pun bukanlah hendak merendah-rendahkan kewibawaan dia, dengan jawatannya yang sangat terhormat itu. Tetapi dia pun terlebih dahulu sebagai seorang ulamak yang berwibawa patutlah tahu juga menghormati kita di sini. Janganlah mentang-mentang dia dijadikan tetamu kehormat oleh pihak kerajaan di sini maka dia pun tak perlu terlebih dahulu berkenalan dan melihat ke kiri dan ke kanan sebelum membuka mulutnya melepaskan fatwa yang berbisa itu.

Patutnya dia kena tahulah dulu keadaan dan apa-apa yang ada di sini. Kalau dia seorang yang berminat dengan politik umat Islam hari ini, dan kalau dia seorang yang mencintai ilmu (seperti yang dia memperlihatkan dirinya itu), sepatutnya dia tahulah bahawa di sini ada sebuah negeri yang namanya Kelantan, dan bahawa di Kelantan itu pentadbiran Islamnya antara yang terbaik di dunia hari ini, dan di situ terdapat seorang ulamak yang disamping berjaya menghasilkan tafsir al-Quran, juga telah berjaya mentadbir negerinya mengikut kehendak al-Quran dan Sunnah selama lebih 21 tahun.

Tok syeikh itu tentulah tak ada maklumat ini, ‘kan. Dan dia tentulah terkejut besar kalau diberitahu bahawa pentadbiran negeri yang bernama Kelantan itu mungkin jauh lebih menepati kehendak Rasulullah s.a.w dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan di dunia Arab yang dia kenal dan tahu itu; barangkali termasuk negerinya sendiri.

Diberitakan oleh akhbar itu bahawa tok syeikh ada menyebut sebuah hadis sohih untuk menguatkan fatwanya.

Katanya, “Hadis itu ialah ‘sekiranya datang kepada kamu orang yang mahu memecah-belah kesatuan kamu sedangkan ketika itu kamu bersatu, maka hendaklah kamu pancung tengkuknya,’ dan daripada hadis itu hukumnya jelas adalah haram menyokong kumpulan yang mahu memecahkan kesatuan yang sedia ada iaitu kerajaan Islam.”

Pertamanya, apakah tok syeikh ini faham akan makna dan maksud ‘kesatuan’ itu; padahal umat Islam di negeri-negeri Arab tempat dia bermastautin itu pun tidak pernah bersatu? Bahkan Arab Saudi sendiri pun rela bernaung di bawah telunjuk Zionis dan Amerika, demi keselamatan dari ancaman negara-negara jiran seIslam sendiri. Apa yang tok syeikh ini telah nasihatkan kepada kerajaannya? Halalkah membiarkan umat Islam Palestin dan Iraq dibunuh oleh Israel, Amerika dan sekutunya itu? Dan halalkah kerajaan negaranya sendiri itu bersekutu dengan Amerika?

Untuk menyebut sebuah hadis itu tidaklah sesusah mana. Tetapi apakah dengan menyebut sebuah hadis itu maka segala-galanya menjadi sahih, betul dan tepat? Tidaklah semudah itu. Kalau konteks masyarakat dan negeri ini pun tok syeikh tak kenal, macamana tok syeikh boleh yakin yang hadis itu sesuai disebutkan dengan fatwa itu?

Sekali lagi saya mohon maaf kerana saya memang tak kenal tok syeikh. Tetapi kehadiran tok syeikh dengan begitu mudah mengeluarkan fatwa itu, menyebabkan ana pun hilang rasa hormat, walaupun kepada seorang ahli majlis fatwa Masjidil Haram. Samalah seperti ana pun sudah lama hilang rasa hormat kepada para mufti kerajaan-kerajaan negeri di sini

Saya pun bukanlah risaukan yang umat Islam di negara ini akan terpengaruh dengan dakyah suratkhabar berkenaan dan dengan fatwa tok syeikh Arab itu. Tidak! Kerana saya percaya majoriti umat Islam di negara ini sudahpun meninggalkan zaman jahiliyah mereka. Ternyata mereka lebih mempercayai ulamak-ulamak di dalam PAS daripada para mufti kerajaan Umno dan juga pensyarah dan pendakwah yang ‘sewaktu’ dengan mufti-mufti Umno itu.

Jadi saya tidaklah bimbang dan risaukan kesan daripada penyiaran berita fatwa tok syeikh tersebut. Hanya saya berasa sedikit tersinggung dan marah melihat bagaimana mereka cuba mempergunakan agama untuk kepentingan murahan seperti itu. Seolah-olah agama itu barang dagangan yang begitu murah harganya. Itu saja.

Selain itu – saya hendak menegaskan bahawa pencapaian yang telah dicapai oleh pimpinan Tok Guru Nik Aziz itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya. Jauh lebih tinggi daripada nilai pemikiran para tok syeikh yang diimport untuk berkata-kata seperti burung tiong itu. Tok Guru Nik Aziz ‘menghidupkan’ kerajaan Islam itu. Dia bukan sekadar pandai berkata-kata saja. Dia seorang pejuang yang berani dan bijaksana. Wallahu-a’klam!


Dinsman (Artikel 330, 20/7)
Muzik MKDT Sani Sudin sungguh mengesankan

Kira-kira sebulan lebih yang lalu Pyanhabib memberitahu saya ada sebuah masjid di Ampang, Kuala Lumpur, berhasrat hendak mengadakan persembahan kesenian. Dia mencadangkan buat pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), dan mengajak saya berbincang dengan pihak masjid itu. Kebetulan dia kenal dengan mereka dan dia pun pernah baca puisi di masjid itu.

Kami pun berjumpa di Melawati dan berbincang, dan bersetuju. Pihak masjid juga akan menjemput seorang Ustaz untuk mensyarahkan hadis yang berkenaan, iaitu hadis Kaab bin Malik (yang saya olahkan menjadi skrip MKDT). Selang beberapa hari kemudian pihak masjid, yang kebetulan juga aktivis PAS cawangan Ampang Indah, juga kebetulan menulis puisi dengan nama Lobaiman (seorang daripada 56 penyair yang puisinya mengisi buku Antologi Puisi 56 Penyair), mencadangkan sedikit perubahan. Mereka tak jadi buat di masjid, tetapi akan buat di dewan Taman Ampang Indah, anjuran PAS cawangan.

Mereka juga mencadangkan perubahan pada bentuk pengisian persembahan. Bukan persembahan teater MKDT lakonan Sabri Yunus atau Bok Lokman, tetapi akan diisi dengan “Bicara Hadis Dari Teater MKDT”. Saya dicadangkan menjadi panel pembicaranya bersama dengan Ustaz Farhan (pensyarah di Universiti Kuala Lumpur), manakala Pyanhabib akan membaca puisi.

‘Bicara Hadis dari Teater’? Saya mulai berfikir. Biasanya saya mengatakan teater MKDT itu ‘Teater dari Hadis Nabi’. Ini sudah jadi yang sebaliknya pula. Bukan teaternya yang dipersembahkan, tetapi Hadisnya yang akan dibicarakan. Tentulah Ust Farhan akan membicarakannya dari sudut pandangan seorang Ustaz, yang mengetahui hadis berkenaan itu dengan mendalamnya, dan saya akan membicarakannya dari sudut pandangan seni.

Kalau begitu, fikir saya lagi, mengapa tidak saya bacakan saja skrip teater itu? Barangkali itu lebih baik. Sebab, Ust Farhan akan membicarakan hadis itu, maka eloklah saya menunjukkan terus bagaimana hadis itu saya olahkan menjadi sebuah persembahan teater. Saya bacakan sahaja skripnya, kalau tidak keseluruhannya pun sebahagiannya. Tengok kepada suasana dan respon penonton. Dan kalau Sani Sudin setuju, boleh ajak Sani main biola bagi mengiringi bacaan skrip sebagaimana dia selalu mengiringi lakonan Sabri atau Bok Lokman.

Sani setuju. Wah, ini satu perkembangan yang baik. Dan Lobaiman juga setuju. Nah, maka jadilah persembahan itu pada malam Sabtu 14 Julai lalu, di pekarangan dewan Taman Ampang Indah. (Dibuat di pekarangan sebab di dalam dewan ruangnya agak sempit).

Tidak ada persiapan apa-apa. Saya tanya Sani – bagaimana? Dia kata, “tuan buat saja, saya akan ikut tuan.” (‘Tuan-bertuan’ itu memang gaya kami bercakap, sejak lama dulu pun. Nordin Kardi yang mulakan gaya itu. Terus melekat di kalangan kami.)

Tiang mikrofon hanya ada satu. Sani perlukannya untuk gesekan biola. Maka terpaksalah sebelah tangan saya memegang mikrofon dan sebelah lagi memegang buku. Dan dengan sedikit ucapan pengenalan saya pun memberi isyarat kepada Sani untuk memulakan gesekan biolanya, seperti kebiasaan pada persembahan teater MKDT yang sudah lebih tiga tahun kami persembahkan di merata-rata itu, (sudah lebih 50 kali sejak 26 Mac 2009).

Saya pun membaca skrip teater itu, sepertimana kebiasaan saya membaca puisi. Bezanya kali ini saya membaca sebuah cerita, yang olahan skripnya dibina di atas emosi yang dialami oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w dalam kehidupannya yang mempunyai hubungan begitu intim dengan Rasulullah s.a.w dan juga dengan Tuhan Allah SWT sendiri.

Rupa-rupanya permainan muzik biola oleh Sani Sudin itu sungguh berkesan dan mengesankan. Tidak lama selepas memulakan bacaan, emosi saya pun mulai terbina dan menjadi kian tertumpu kepada jiwa cerita itu, apatah lagi apabila mendengar humming daripada Sani.

Humming ialah bunyian yang lahir bukan dari alat muzik, tetapi dari mulut dan hidung pemuzik itu sendiri, yang biasanya tanpa bahasa (kata), tetapi boleh juga mengandungi kata, dan boleh membangkitkan mood dan emosi. Kamus menterjemahkannya sebagai bunyi dengung, atau bersenandung. Tetapi ia tidak semestinya bunyi dengung. Kami biasa menyebutnya sebagai humming (haming) sahaja.

Sani Sudin membina bunyian humming ini sedikit demi sedikit sambil dia menggesek dan memetik biolanya mengiringi persembahan MKDT. Mula-mula sedikit dan kemudian bertambah dan bertambah. Mula-mula humming biasa sahaja, kemudian dia memasukkan juga irama-irama tertentu, dan seterusnya dimasukkan pula zikir, istighfar dan selawat, menjadikannya sangat berkesan dan mengesankan.

Demikianlah malam itu, sambil membaca skrip cerita Kaab bin Malik itu, terutama ketika bermunajat dan bertaubat, dan terdengar suara humming Sani yang seperti orang berselawat dan beristighfar itu, menyebabkan penumpuan dan emosi saya lebih terfokus dan lebih menghayati jiwa Kaab di saat dia paling keseorangan lalu berpasrah kepada Tuhan.

Mulanya ingin membaca sehingga adegan itu sahaja. Tidak bercadang untuk menghabiskannya. Waktu diambil pun sudah kira-kira 30 minit. Tetapi melihatkan reaksi penonton yang seperti begitu khusyuk memberi tumpuan dan Sani Sudin pun meneruskan muzik dan hummingnya, saya pun membaca sehingga akhir.

Rupa-rupanya ada penonton yang selepas itu menyatakan air matanya tertumpah sewaktu Kaab bergembira mendengar khabar Allah telah menerima taubatnya. Dan beberapa orang mencadangkan versi baca skrip ini patut diteruskan, kerana ia boleh dipersembahkan lebih banyak lagi, disebabkan keperluan persediaannya pun sangat kecil dan minima. Terima kasih Lobaiman kerana mencetuskan inisiatifnya.

Saya bersyukur alhamdulillah, kisah taubat Kaab bin Malik dan hadis berkenaan dapat terus disebarkan walaupun tanpa lakonan pelakon ternama dan tanpa persiapan yang ‘agak besar’. Hanya kesudian dan kesediaan Sani Sudin sahaja diperlukan. Dan Sani Sudin pun elok mulai berfikir bagaimana kebolehan istimewanya itu dapat dikembangkan juga kepada orang lain yang mungkin juga menyimpan bakat seni itu.

Dinsman (Artikel 329, 16/7)
Definisi baru ‘Menteri Besar’

Saya sedang menyemak tulisan-tulisan untuk sebuah buku yang akan diterbitkan mengenai Kelantan dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz yang mentadbir Kelantan selama lebih 21 tahun. Ada satu perkara yang sangat menarik perhatian saya mengenai Tok Guru Nik Aziz, sebagai seorang pemimpin (Menteri Besar) yang ternyata berbeza dengan pemimpin lain.

Sudah lebih daripada sekali saya menulis mengenai pemimpin-pemimpin politik kita yang selalu sibuk, dan tersangat sibuk, hingga tak ada masa untuk berjumpa rakyat. Perkara ini sangat menonjol dan semakin menonjol saya perhatikan pada pemimpin-pemimpin kita. Maksud saya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Tetapi Nik Aziz berbeza. Dia walaupun sibuk juga, tetapi kita dapati dia selalu ada masa untuk rakyat. Tidak susahlah bagi rakyat kalau hendak berjumpa dengan dia.

Mengapa demikian? Saya cuba mencari jawapannya. Antaranya saya melihat pada pembahagian tugas atau potfolio yang dipegang oleh para Exco, khasnya yang dipilih oleh Nik Aziz untuk dipegangnya sendiri sebagai Menteri Besar. Kita perhatikan potfolionya selama lima penggal mentadbir, daripada 1990 hingga sekarang, ialah Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli.

1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 itulah potfolionya – Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Kecuali penggal pertamanya, 1990-1995, Nik Aziz juga memegang potfolio Perancang, Kewangan dan Pentadbiran, di samping Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Hanya satu penggal sahaja. Selepas itu tidak ada lagi yang lain kecuali Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli.

Saya percaya ini adalah antara faktor pentingnya kenapa TG Nik Aziz tidak sesibuk pemimpin lain. Dia memilih hanya tugas-tugas mengenai Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli, yang tentunya di dalamnya termasuk hal ehwal mengenai tanah, kawasan balak dan pembalakan, serta air.

Mengenai tanah pun barangkali setakat hal ehwal pemilikan tanah sahaja, kerana urusan pembangunan tanah dan wilayah diserahkan kepada orang lain untuk bertanggungjawab. Sejak 1999 Timbalan Menteri Besar sendiri yang bertanggungjawab mengenainya. Bahkan sejak 2004 Timbalan Menteri Besar hanya khusus tumpu pada potfolio Pembangunan Tanah dan Wilayah sahaja (di samping tugas-tugas membantu Menteri Besar secara umumnya).

Dengan demikian saya melihat Nik Aziz secara sengaja memilih untuk tidak menyibukkan dirinya dengan hal-hal yang selalu menyibukkan para Menteri Besar dan Ketua Menteri di Malaysia, iaitu hal-hal kewangan, perniagaan dan projek-projek pembangunan, yang selalunya menjadi tumpuan para peniaga, pengusaha dan pemaju serta pelobi-pelobi mereka, dan selalunya pula akan mengurangkan tumpuan Menteri Besar terhadap usaha untuk mengubah minda rakyat dan memperbetulkan aqidah hidup rakyat sesuai dengan ajaran Islam.

Dan dengan bertindak demikian, Nik Aziz sebenarnya telah memberi definisi baru kepada tugas dan tanggungjawab seorang Menteri Besar. Orang lain melihat tugas-tugas mengatur hal ehwal kewangan dan pembangunan fizikal dan material sebagai paling penting dan utama, kerana melaluinya mereka boleh mengawal harta dan kekayaan negeri, dan boleh membina pengaruh ke atas orang-orang penting dalam struktur kuasa pemerintahan.

Nik Aziz tidak melihat demikian. Baginya urusan kewangan dan pembangunan fizikal/ material itu boleh diserahkan kepada orang lain menguruskannya, kerana itu bukanlah tugas utama dan terpenting baginya. Tugas utama dan terpenting bagi seorang ketua pemimpin rakyat dan ketua pentadbir negeri (atau negara) ialah mengubah minda dan memperbetulkan aqidah hidup rakyat, sesuai dengan tuntutan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Dengan kata lain, tugas utama dan terpenting seorang Menteri Besar ialah mentadbir pelaksanaan hukum Allah di dalam wilayah kekuasaannya secara bijaksana, sambil mentarbiyah rakyatnya dengan tujuan mengubah minda dan sikap mereka, bagi memperbetulkan aqidah dan amalan hidup mereka, sesuai dengan ajaran Islam.

Berbeza sekali. Sangat berbeza dengan fahaman dan tanggapan orang mengenai tugas, tanggungjawab dan tujuan diadakan jawatan Menteri Besar (atau Ketua Menteri atau Perdana Menteri atau Presiden) sesebuah negeri/negara.

Namun begitu, secara formal dan strukturalnya potfolio Dakwah, Pendidikan, Pembangunan Islam dan Pembangunan Insan tetap juga diwujudkan, dan ada Exco yang bertanggung-jawab ke atasnya. Mereka menjalankan tugas-tugas pentadbiran dalam bidang-bidang berkenaan seperti biasa, dan Nik Aziz juga terus melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, yang sebenarnya telahpun dilakukannya lama sebelum dia menjadi Menteri Besar.

Dengan demikian TG Nik Aziz pun kelihatannya selalu ada masa untuk rakyat dan untuk agama. Dia tidak kelihatan dan tidak memperlihatkan dirinya “selalu sibuk”, seperti yang selalu diperlihatkan atau kelihatan pada kebanyakan pemimpin kita yang lain. Bukan sahaja Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri, bahkan pemimpin-pemimpin yang di peringkat bawah daripada itu pun selalu saja sibuk, hingga begitu sukar untuk rakyat berjumpa.

Entah apalah yang mereka sibukkan, atau apalah yang menyebabkan mereka jadi begitu sibuknya! Padahal Nik Aziz seorang Menteri Besar, dan sudah lebih 21 tahun menjadi Menteri Besar. Sudah lebih 21 tahun juga Umno/BN diketuai oleh Perdana Menteri, berusaha untuk menjatuhkannya, tetapi dia berjaya menggagalkan mereka. Menunjukkan betapa berjaya dan berkesannya kepemimpinan Nik Aziz sebagai Menteri Besar.

Dan dia tidak perlu pun menyibukkan dirinya seperti pemimpin-pemimpin yang “selalu sibuk” itu. Dan dia masih mempunyai waktu untuk beribadat dengan Allah, dan untuk melayan rakyat marhaen yang selalu datang menemuinya. Bukanlah dia tidak pernah sibuk. Dia pun sibuk juga dengan tugas-tugasnya. Tetapi secara perbandingan, begitulah!

Barangkali inilah definisi baru bagi jawatan Menteri Besar yang sesuai dengan falsafah dan kehendak Islam.

Dinsman (Artikel 328, 13/7)
Said Zahari Tokoh Penulis Selangor 2012

Sempena perasmian Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu 2012 pada 30 Jun lalu, di Pusat Konvensyen Shah Alam, Kerajaan Negeri Selangor telah memilih seorang wartawan veteran yang pernah menjalani kehidupan dalam penjara di Singapura selama 17 tahun kerana perjuangannya, untuk diberikan anugerah Tokoh Penulis Selangor 2012.

Wartawan berani dan berprinsip itu ialah Said Zahari (lahir 1928), yang pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu, dan memimpin satu peristiwa penting dalam sejarah persuratkhabaran kita, iaitu peristiwa yang dikenali sebagai Mogok Utusan. Itulah perjuangannya bagi mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini, apabila kuasa politik Umno mulai hendak menguasai suratkhabar tersebut, pada tahun 1961.

Said Zahari dipilih sebagai Tokoh Penulis Selangor 2012 bukanlah kerana banyak menghasilkan buku/karya, atau kerana banyak menyumbangkan hasil tulisannya kepada khazanah persuratan tanahair, tetapi adalah juga kerana perwatakannya yang berprinsip dan berani ‘berkata benar’, atau berjuang untuk menegakkan kebenaran yang diyakininya.

Sewaktu di dalam penjara dia telah menghasilkan sebuah buku kumpulan puisi – Sajak Dari Penjara – yang diusahakan penerbitannya oleh Usman Awang.

Beliau ditangkap pada 2 Februari 1963 sebagai tahanan ISA di Singapura, dan baru dibebaskan pada 22 Ogos 1979. Mulai 1989 dia menetap di Subang Jaya, dan pernah menjadi Penulis Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1996-1999).

Meniti Lautan Gelora adalah memoir politiknya yang pertama. Buku keduanya Dalam Ribuan Mimpi Gelisah dipilih memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bahagian biografi, 2006/2007. Kini dia sedang menyiapkan jilid ketiga dari memoirnya.

Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, selaku Pengerusi Panel Penilai yang bertanggungjawab memilih Tokoh Penulis Selangor, menyatakan seramai lima orang penulis yang bermastautin di negeri Selangor telah diangkat untuk penilaian peringkat akhir.

“Walaupun penulis-penulis lain menghasilkan lebih banyak karya,” katanya, “kita memilih Said Zahari kerana kita juga mempunyai pertimbangan lain selain daripada sumbangan karya, iaitu penglibatan penulis dengan persoalan masyarakat dan menunjukkan sikap yang boleh diteladani oleh golongan muda.”

Dr Halimah telah banyak bekerjasama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan pelbagai aktiviti seni-budaya di Selangor, termasuk sesi Wacana Ilmu setiap bulan, siri Bengkel Penulisan dan persembahan teater.

Seperti pemilihan Tokoh Penulis Selangor yang pertama tahun lalu, iaitu Prof Dr Shaharir Mohd Zain, ia tidaklah berakhir dengan pemberian hadiah wang tunai RM10 ribu dan sebuah iPad sahaja. (iPad disumbangkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor – PPAS). Pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Exco PPTPMI itu akan berkesinambungan dengan beberapa bentuk penghargaan lain, yang boleh memberi manfaat kepada tokoh-tokoh berekenaan dan juga kepada masyarakat.

Antaranya Seniman Paksi Rakyat (Paksi) akan menganjurkan Wacana Ilmu yang membicarakan buku-buku tokoh tersebut. Buku Dr Shaharir yang telah diwacanakan misalnya ialah Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman, dan Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum.

Disamping itu suatu seminar antarabangsa bagi membincangkan buku Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantaum di peringkat antarabangsa, juga sedang dirancangkan. Ini akan dibuat dengan kerjasama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Dijangka pada akhir tahun ini.

Demikian jugalah yang akan dilakukan dengan karya-karya Said Zahari, Tokoh Penulis Selangor yang kedua ini.

Paksi sangat bersetuju dengan pemilihan Said Zahari, dan berharap akan bekerjasama dengan pihak Dr Halimah bagi mempromosi dan memperkenalkan tokoh ini bersama karya-karyanya kepada khalayak umum, khasnya kepada masyarakat penulis.

Walaupun tidak banyak buku yang telah diberikannya kepada masyarakat, tetapi dia telah memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada kebanyakan buku yang banyak dihasilkan oleh penulis-penulis lain. Dia adalah contoh penulis yang tidak sekadar menulis tetapi juga bertindak seperti yang ditulisnya.

Tidak ramai lagi di kalangan kita penulis yang seperti itu. Boleh dibilang dengan jari. Kebanyakan penulis hari ini kalau kita membaca tulisannya – wah, dialah orang yang mengerti kebenaran dan petah berwacana mengenai kebenaran, tetapi apabila dilihat pada realiti diri dan kehidupannya – seolah-olah dua orang yang berbeza sama sekali.

Maka kita dapati tidak ramai di kalangan penulis hari ini yang menghargai apa yang dilakukan oleh A Samad Said, misalnya, yang terjun ke tengah-tengah masyarakat dan berjuang bersama-sama dengan rakyat yang menentang kezaliman dan memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Hari ini kebanyakan penulis kita adalah golongan manusia yang amat tidak sensitif (peka) dengan persoalan di sekeliling mereka. Mereka tidak peduli lagi pada kemungkaran dan kejahatan yang berlaku di sekeliling. Mereka hanya menulis, dan mengharapkan pihak-pihak tertentu akan memilih mereka untuk dianugerahi dengan pelbagai anugerah, khasnya anugerah “Sasterawan Negara”.

Semoga penghargaan untuk Said Zahari ini akan merangsang sedikit pemikiran penulis-penulis kita terhadap perwatakan tokoh ini.