Background

Dinsman (Artikel 317, 28/5)
Berdakwah di sana sini, tetapi…

Hari itu sebenarnya bercakap tentang teater. Ada seminar mengenai pemikiran Sasterawan Negara Noordin Hassan, di Dewan Bahasa dan Pustaka. Noordin Hassan ialah Sasterawan Negara satu-satunya yang berkarya hanya di bidang teater. Dia tidak menulis novel, tidak menulis cerpen (kecuali sebuah), tidak menulis puisi (kecuali yang di dalam teaternya) dan hanya sesekali menulis esei. Antara karya teaternya yang terkenal ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Tiang Seri Tegak Berlima, 1400, Jangan Bunuh Rama-rama, Sireh Bertepok Pinang Menari, Demi Zaiton, dan yang terakhir dipentaskan ialah Di Mana Setangginya.

Sempena seminar dua hari itu, sebagai acara penutupnya pada 23 Mei diadakan satu forum bertajuk “Teater sebagai wahana seni atau dakwah?” Saya dijemput menjadi ahli panel forum tersebut bersama S.M.Zakir dan Ismail Kasan. Tokoh pengkritik filem dan pengarah teater terkenal A Wahab Hamzah menjadi moderatornya.

Teater sebagai wahana seni atau dakwah? Memanglah, bagi saya teater bukanlah sekadar wahana seni semata-mata. Di peringkat awal berkarya mungkin ia wahana seni, sebab pada peringkat awal itu yang paling penting sekali ialah menghasilkan karya. Tetapi setelah berjaya menghasilkan karya, kita perlu pula memikirkan pengisian karya seterusnya. Ketika inilah penulis akan membentuk personaliti atau perwatakan dirinya, melalui pemilihan bahan bagi mengisi karyanya.

Dan ketika inilah teater tidak lagi semata-mata wahana seni buat saya. Teater juga adalah wahana dakwah. Tetapi saya berasa kurang senang untuk melabelkan teater saya sebagai teater dakwah. Juga teater Noordin Hassan, bukan teater dakwah. Seperti Noordin sendiri telah menamakan teaternya sebagai Teater Fitrah – itu memang nama yang cukup sesuai untuk teater Noordin Hassan. Teater Fitrah. Bukan teater dakwah.

Kenapa saya kurang senang melabelkan teater saya, dan juga teater Noordin Hassan, sebagai teater dakwah? Sebab saya tidak mahu kita terperangkap atau disalahfahami dengan istilah yang telah disalahguna dan diguna secara berlebih-lebih itu. Bukan sahaja istilahnya disalahguna dan diguna secara berlebihan, tetapi gerakan dan aktiviti dakwah itu sendiri pun telah dilakukan secara sewenang-wenangnya, secara berleluasa, hingga hilang kredibilitinya – atau hilang bisa dan kesannya.

Hari ini negara kita boleh dikatakan telah melimpah-limpah dengan dakwah. Barangkali mereka hendak berlawan dengan hiburan, yang juga melimpah-limpah aktivitinya. Di mana saja, ke mana saja, siang malam kita akan berjumpa dengan orang berdakwah. Hingga televisyen pun ada beberapa stesyen yang seperti berlawan menyiarkan rancangan dakwah. Dari satu segi, baguslah! ‘kan? Kerana dakwah memang dituntut oleh Islam.

Tetapi apabila memikirkan situasi dan realiti sosial dalam masyarakat kita hari ini, kadang-kadang terlintas dalam fikiran saya – orang Islam ni tak ada kerja lain kah? Asyik bercakap dan mengajar agama tak habis-habis, di merata-rata. Orang agama lain tidak macam tu pun.

Mereka tidak mengajar agama melalui televisyen seperti kita pun. Mereka tidak berceramah agama di pejabat-pejabat seperti kita pun. Di kalangan mereka tak ada pun tokoh-tokoh yang begitu ramai dikenali sebagai penceramah agama yang popular dan masyhur namanya, seperti di kalangan kita masyarakat Islam.

Tetapi dalam masa yang sama siapakah yang paling ramai menjadi penagih dadah? Siapakah yang membuang bayi? Siapakah yang banyak mengambil rasuah? Orang-orang Islam kita! Padahal kitalah yang paling banyak berdakwah.

Kenapa terjadi begitu? Kenapa kesannya terbalik begitu?

Tempat ibadat (solat) orang Islamlah yang paling banyak di negara ini. Di mana-mana pun ada tempat solat. Bukan saja bangunan masjid dan surau ada di mana-mana. Bahkan di setiap shopping complex, di setiap stesyen petrol dan di setiap RnR lebuhraya – ada surau. Bagi penganut agama lain tidak ada pun tempat “solat” mereka seperti itu.

Dan kitab suci orang Islam (al-Quran) menegaskan bahawa solat itu mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran!

Tetapi kenapakah realitinya tidak demikian? Di manakah salahnya orang Islam? Kita tidak boleh mengatakan di manakah salahnya agama Islam. Kerana agama Islam tidak salah. Yang salah ialah penganutnya, iaitu orang-orang Islam. Kita. Di manakah salahnya kita?

Kebetulan seorang kawan saya terlibat dengan satu kumpulan pengkaji yang baru selesai membuat kajian mengenai tanggapan masyarakat Melayu di Selangor terhadap beberapa orang tokoh agama yang sering “berdakwah” itu. Hasil kajian itu agak memeranjatkan. Mereka didapati tidak menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang sepatutnya, atau seperti yang mereka sendiri dakwahkan.

Memang ini satu perkara yang sangat menyedihkan. Sudah lama pun saya memikirkan perkara ini. Tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk mengatasinya, atau menyelesaikannya. Maka saya fikir tidak eloklah saya menyuarakannya begitu saja.

Tetapi dalam forum Rabu lalu itu, walaupun mengenai teater, saya berasa enggan mengakui yang saya berdakwah melalui teater; walaupun teater saya Menunggu Kata Dari Tuhan itu telah dipersembahkan dalam beberapa masjid. Saya lebih selesa mengatakan bahawa teater saya adalah Teater Perjuangan.

Dalam forum itu juga timbul persoalan tidakkah teater juga satu hiburan? Maka saya tegaskan bahawa saya juga enggan teater saya dianggap sebagai hiburan. Sebab apa? Sebab kita sudah ada terlalu banyak hiburan. Hinggakan amalan berdakwah pun sering juga dijadikan hiburan. Maka janganlah teater pun dijadikan hiburan.

Namun Istana Budaya sudah sekian lama menjadikan teater sebagai hiburan. Itulah yang saya anggap sebagai suatu jenayah kesenian.

Dinsman (Artikel 316, 25/5)
Razali dan kreativiti novel kelapannya

Razali Endun baru saja selamat menjalani rawatan angioplasty, sekali lagi, terhadap saluran jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini, tak lama selepas menyambut ulang tahun kelahirannya ke-70 pada 7 Mac. Dia menyatakan hasratnya ingin bersama saya ke Dataran Merdeka pada 28 April, untuk ‘Duduk Bantah’ bersama A Samad Said dan ratusan ribu rakyat Malaysia, tetapi terpaksa membatalkannya kerana tahap kesihatannya belum mengizinkan waktu itu.

Namun dalam diam-diam itu dia telahpun menyiapkan bab pertama novel terbarunya, iaitu yang kelapan sejak daya kreativitinya diaktifkan semula oleh gelombang Reformasi 1998, setelah berehat dari dunia penulisan begitu lama kerana menumpu pada perniagaan. Sejak Perpindahan sebagai novel pertamanya dalam era kebangkitan semula ini, dia telah menghasilkan tujuh buah novel, dan sekarang dalam proses melahirkan yang kelapan.

Agak menarik juga proses penulisannya kali ini. Novel terbarunya ini katanya novel biografi mengenai A Samad Said, dengan tumpuan kepada era Sasterawan Negara itu terjun ke lapangan perjuangan, bermula dengan perjuangan untuk menamatkan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris) hinggalah kepada Bersih 3.0 dan yang terkini. Itulah makanya dia teringin sangat juga hendak menyertai peristiwa 28 April itu. Untuk meresapi pengalaman Samad Said memimpin gerakan rakyat, dan mendapatkan gambaran suasana sebenar pada hari itu.

Sementara itu dia meminta kerjasama kawan-kawan untuk memberikan info tertentu mengenai aktiviti SN itu kepadanya, di samping menjadi editor novelnya ini. Saya pun termasuk dalam kelompok kawan-kawan yang dimaksudkannya. Maka saya pula mengambil kesempatan itu mengajak dia berkongsi pengalamannya menulis novel dan cerpen, kepada peserta-peserta Bengkel Penulisan bulanan Paksi bagi bulan Mei, di Masjid Nurul Iman, Rawang.

13 Mei itu Razali Endun hadir bersama dengan naskah manuskrip bab pertama novelnya yang belum diberi judul itu, sepanjang sembilan halaman, dibagikan kepada setiap peserta bengkel untuk ditelaah dan kemudian masing-masing menyatakan pandangan. Peserta bengkel yang sedang mengasah bakat untuk menjadi penulis itupun sempatlah menimba pengalaman seorang penulis novel, sambil berdialog mengenai proses penulisan dan disiplin yang harus dijalani oleh penulis novel.

Bukan selalu terdapat peluang seperti itu. Seorang penulis novel berpengalaman datang berbincang mengenai novel yang sedang ditulisnya, bersama-sama dengan bakal-bakal penulis baru, dan juga seorang dua lagi penulis berpengalaman. Memang menarik.

Dan Razali Endun ternyata seorang yang berlapang dada dan berfikiran terbuka. “Kalau ada yang hendak beri pandangan, atau mengkritik saekalipun, silakan!” katanya. Memang ada. Yang baru sedang belajar menulis pun, apabila diberi peluang mengemukakan pandangan dan mengkritik, ada-ada sajalah idea mereka. Razali mendengar semua idea dan pandangan itu dengan tenang. Barangkali dia pun mendapat manfaat daripada sesi tersebut.

Saya pun tertanya-tanya juga pada mulanya apabila dia memberitahu akan menovelkan kehidupan SN A Samad Said – bagaimanakah dia akan melakukannya, apakah teknik penulisan yang akan digunakan, apakah pendekatannya dan sebagainya. Saya tertanya-tanya begitu kerana novel yang akan ditulis ini bukannya novel biasa, tetapi sebuah novel yang dicipta berdasarkan fakta kehidupan seorang seniman tersohor yang masih hidup dan bergerak dalam lingkungan yang sama dengan penulis.

Maka apabila membaca manuskrip bab pertama novel itu, sebahagian daripada persoalan itupun terjawablah sudah. Memang saya tidak menduga Razali akan memulakan rayauan imaginasi dan penerokaan kreativitinya terhadap kehidupan seorang seniman besar kita itu sedemikian:

“Dinihari itu Pak Samad bangun bersolat tahajud. Kebelakangan ini dia kerap bangun pada waktu dinihari untuk bermunajat kepada Allah SWT. Pada pagi yang hening dan dingin itu dia seolah-olah dapat mendekatkan dirinya pada Allah. Dia tahu zat Allah tidak sama dengannya. Sifat Allah tidak serupa dengannya. Namun dengan bertahajud dia merasakan semakin hampir pada Allah. Dan dinihari itu dia bukan saja bertahajud, tetapi ditambahnya dengan solat Syukur dan Hajat.”

Cantik! Dan sungguh menarik paragraf pertama pembuka ceritanya itu. Bagaimana pengarang memperkenalkan watak utamanya Pak Samad, dan seterusnya bagaimana dia menggambarkan suasana hening malam di kediaman rumah pangsa tiga bilik di Bangsar itu.

Membacanya, imaginasi saya lalu menggambarkan kediaman Samad Said di Bangsar, dengan suasana malamnya, yang memang saya kenal benar kerana saya pernah merakamkannya untuk sebuah dokumentari video – “A Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman Malaysia”. Saya seperti terlupa bahawa yang sedang dibaca itu adalah sebuah novel, yang tidak semestinya serupa tepat dengan gambaran sebenar. Novel, walaupun ditulis berdasarkan fakta, ia tetap sebuah fiksyen dengan ciri-ciri kreatif dan imaginasinya.

Maka bertambah segarlah rasa ingin tahu kita untuk bab-bab yang seterusnya. Kassim Muhamad pula mencadangkan supaya Razali Endun membuat sedikit kelainan berbanding novel-novelnya yang lepas, iaitu dengan membuat sorotan dan penerokaan ke dalam diri wataknya. Tidak hanya gambaran luaran seperti kebiasaan novelnya. Dengan demikian novelnya ini akan menjadi lebih berkualiti.

Penulis prolifik - Razali Endun (gambar ihsan: www.esastera.com)


Saya pun bersetuju dengan Kassim. Karya-karya Razali sebelum ini tidak banyak membuat sorotan ke dalam. Dan Razali pun mengakui dan menyatakan untuk berbuat demikian adalah suatu cabaran kepadanya.

Semoga Razali bersedia menyambut cabaran tersebut. Usia 70 tahunnya barangkali akan menjadikan dia lebih melihat ke dalam, lebih bertafakur, lebih merenung dan meditatif. Dia memang sudah membuktikan dirinya seorang pencerita yang baik. Dengan novel kelapan ini hendaknya dia membuktikan pula sesuatu yang lebih daripada itu. Insya Allah!

Dinsman (Artikel 315, 21/5)
Pemikiran dan perancangan seni-budaya

Itu tajuk buku saya. Mengenai seni-budaya, atau aktiviti seni-budaya. Akan diperkatakan oleh empat orang ahli panel, atau lima orang termasuk moderatornya Razali Endun, pada pagi Sabtu 26 Mei ini, bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda atau Perpustakaan Negeri Selangor, Shah Alam (sebelah Kelab Golf, Seksyen 13).

Buku itu mengandungi 29 esei pilihan, dipilih daripada hampir 300 esei yang pernah keluar dalam kolum Wacana Budaya ini, daripada seawal Jun 2008 hingga yang terakhirnya akhir 2011. Dipilih istimewa yang sesuai untuk diminta perhatian daripada para pemimpin di Malaysia dan khususnya Menteri Besar Selangor.

Bukanlah semata-mata diterbitkan buku itu untuk dipersembahkan kepada Menteri Besar dan para pemimpin sahaja. Tidaklah begitu. Ia diterbitkan untuk bacaan umum, sesiapa sahaja yang berminat. Tetapi siapakah sebenarnya yang dikatakan “berminat dengan seni-budaya” ini? Khasnya dengan pemikiran dan perancangan seni-budaya! Ha, di sinilah salah satu persoalannya.

Sebut “seni-budaya” – sesekali rasa macam ramai orang yang berminat. Tetapi apabila kita hendak mengadakan apa-apa aktiviti seni-budaya, sering pula terjadi yang kita begitu sukar hendak bertemu orang yang berminat itu. Macam sedikit sangat pula yang berminat. Kadang-kadang terasa pelik juga!

Maka saya mengumpulkan esei-esei pilihan dalam sebuah buku yang sengaja dicatatkan di halaman depannya (bukan kulit luar) kata-kata: “Untuk perhatian Menteri Besar Selangor dan semua pemimpin di Malaysia” – sebab apa? Sebab rasa-rasanya para pemimpin di Malaysia ini, baik pemimpin politik mahupun pemimpin agama atau akademik, dan apatahlagi pemimpin di bidang ekonomi dan perdagangan, sangat jauh daripada pemikiran dan aktiviti seni-budaya, kecuali dalam acara-acara penghias majlis. (Dan itu bukanlah yang dimaksudkan seni-budaya itu di sini).

Memang tujuannya untuk menarik perhatian para pemimpin di Malaysia. Pemimpin dalam pelbagai bidang dan lapangan (termasuk anda yang membaca tulisan ini). Untuk apa menarik perhatian mereka? Menarik perhatian mereka supaya mereka memberi perhatian kepada seni-budaya. Mengapa perlu memberi perhatian kepada seni-budaya? Kerana seni-budaya itu penting dalam kehidupan kita. Kerana seni-budaya boleh menyumbangkan kebaikan kepada kehidupan manusia.

Bagaimana tu? Betulkah? Anda berminat nak tahu? Kenalah baca bukunya. Bukan tebal mana pun, 156 muka surat sahaja. Baca sekejap sahaja habis. Mudah faham. Cerita biasa-biasa saja. Bunyinya macamlah berat – “pemikiran dan perancangan”. Isinya biasa-biasa saja. Tidak berat. Tetapi membawa isi dan mesej yang penting. Bukan penting dari segi pemikiran dan perancangan sahaja, tetapi penting untuk dilaksanakan. Untuk direalisasikan pemikiran dan perancangan itu.

Terdapat banyak salah faham terhadap maksudnya. Banyak sekali! Salah faham terhadap maksud “seni-budaya” itu sendiri. Dan yang parahnya salah faham itu berlaku di kalangan orang-orang yang sepatutnya sangat memahaminya, iaitu di kalangan orang-orang yang sepatutnya bertanggungjawab melaksanakan aktiviti atau program seni-budaya itu sendiri. Bahkan hingga ke peringkat exco, dan lebih tinggi daripada itu pun.

Anda bayangkanlah betapa parahnya salah faham itu, dan betapa parah jadinya kesalahan itu – tersebar dan menular di kalangan masyarakat menjadi budayanya. Fahaman seni-budaya yang salah itu yang jadi budaya. Bayangkanlah. Bukan “seni-budaya” yang sebenarnya itu yang jadi budaya.

Bahawa yang tersebar dan menular itu adalah yang ‘salah faham’ itu, iaitu ‘salah faham’ yang dianggap sebagai betul itu. Lihat sajalah misalnya tajuk-tajuk artikel dalam buku ini, seperti “Aktiviti seni bukan mohon bantuan baiki rumah”, “Bajet potong pokok banyak, seni tak ada”, “Macamlah nak naik ke bulan”, “Teater genre baru seperempat dari satu dalam 14”, dan “Salah-faham seni atau salah apa pun tak taulah…”.

Itulah sebahagian daripada persoalan seni-budaya yang diwacanakan dalam buku yang akan dibicarakan 26 Mei ini, yang sudah menjadi budaya yang salah dalam masyarakat kita. Empat orang panel yang akan membicarakannya itu ialah Dr Abu Hassan Hasbullah, Dr Mohd Nor Manuty, Senator Mumtaz Md Nawi dan Zohdi Hj Saad.

Tiga nama yang awal itu barangkali sudah tidak asing lagi di kalangan kita – seorang pengkaji masadepan (future studies) yang menjadi pensyarah bidang media di Universiti Malaya, dan baru saja berpindah ke Universiti Malaysia Kelantan; seorang ahli akademik di bidang agama yang berkecimpung dalam arena politik, kini sebagai Ketua Biro Penerangan; dan seorang peguam muda lulusan UIA yang mendapat kepercayaan Tok Guru Nik Aziz untuk dilantik menjadi senator di Dewan Negara.

Yang keempat, Zohdi Hj Saad ialah seorang pentadbir, iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Kedah. Kenapa YDP Majlis Perbandaran dari Kulim ini dijemput oleh Seniman Paksi Rakyat bagi membincangkan buku mengenai seni-budaya? Sebab kami percaya Majlis Perbandaran (juga Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya) adalah agen atau institusi yang penting dan berkesan dalam memajukan seni-budaya yang dimaksudkan oleh buku ini.

Kenapa YDP dari Kulim? Kerana dia dianggap oleh Paksi sebagai antara YDP yang telah menunjukkan kefahamannya dalam menghargai dan melaksanakan aktiviti seni-budaya. Paksi pernah bekerjasama dengannya, misalnya menganjurkan Wacana Azizi Hj Abdullah, di Kulim, pada 26 November 2011.

Apa pun, anda sudilah hadir menyertai Wacana Ilmu ini, yang dianjur bersama oleh Paksi dengan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). 9 pagi hingga 1 tengahari. Percuma. Bagi memudahkan urusan – sila hubungi 019-9592408.

Dinsman (Artikel 314, 18/5)
Menunggu bom seni diletupkan

Betul. Macam itulah! Macam pesta polis memukul rakyat, atau pesta polis membantai rakyat. Apabila membaca tajuk berita dalam akhbar Harakah dan Suara Keadilan beberapa hari selepas peristiwa 428 (28 April), dan melihat gambar-gambar yang tersebar dalam akhbar-akhbar tersebut, juga akhbar-akhbar Cina dan melalui pelbagai laman internet, kita rasa memang tepatlah apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari itu – memang polis macam berpesta memukul rakyat.

Tapi – macamana boleh jadi gitu? Atau kenapa ia boleh terjadi sampai ke tahap itu? Apakah polis-polis itu (ada orang syak sebahagiannya bukan polis) memang sengaja dilatih untuk bertindak kasar dan ganas begitu, khas bagi menghadapi peserta Bersih 3.0?

Tak kiralah. Apa pun, berdasarkan gambar-gambar yang tersebar itu, memang nampak polis macam berpesta sakan memukul peserta Bersih 3.0. Dan TG Haji Hadi Awang Presiden PAS mempersoalkan kenapa. Kenapa polis bertindak melampaui batas, memukul peserta yang tidak berbuat apa-apa dan sedang beredar untuk pulang, di luar kawasan yang dilarang mahkamah? 

Dan kenapa pula kemudiannya media-media kawalan Umno-BN menyiarkan gambar-gambar mereka yang dikatakan dikehendaki polis kerana terlibat dalam himpunan 428 itu? Haji Hadi juga bertanya – kenapa hanya rakyat yang ditangkap dan disiasat (dan dipukul) sedangkan anggota polis yang bertindak kasar memukul, menumbuk, menyepak dan menendang rakyat itu dibiarkan begitu saja tanpa diambil apa-apa tindakan?

Betullah tu, soalan Hj Hadi itu. Yang nampak jelas memukul dan berkerumun hingga 10 orang dan lebih polis pakat membelasah seorang peserta yang tak bersenjata dan tak melawan itu – siapa? Polis. Tetapi kenapa mereka itu dibiarkan begitu saja? Peruntukan undang-undang dan peraturan mana yang membenarkan mereka? Ataupun mereka memang dibenarkan bertindak tanpa mempedulikan peruntukan undang-undang? Demi menjamin keselamatan pemimpin parti yang sedang memerintah negara sekarang.

Maka kita pun teringatlah akan ikrar seorang Perdana Menteri yang berjanji kepada ahli-ahli partinya bahawa dia akan mempertahankan Putrajaya menjadi milik mereka hingga ke titisan darah yang terakhir. (Barangkali ikrar itu akan tercatat dalam sejarah dunia sebagai Perdana Menteri pertama di kalangan negara-negara demokrasi di dunia yang pernah berikrar demikian).

Dan yang terbaru pula dia memperbaharui ikrarnya itu dalam bentuk yang lain sedikit. Dalam bentuk maki hamun pula. “Haram jadah!” Itulah katanya, yang disaksikan secara ‘live’ oleh barangkali jutaan rakyat Malaysia yang menonton televisyen siaran langsung ucapannya yang mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada para peneroka Felda itu.

Inilah sebahagian daripada kecelaruan dan huru-hara yang sedang berlaku di negara kita hari ini, menjelang PRU13 yang menjadi teka-teki rakyat Malaysia bilakah ia akan diumumkan, padahal lapan tuntutan Bersih masih tidak dipedulikan. Maka kemungkinan akan dianjurkan pula Bersih 4.0 pun semakin menjadi buah mulut di sana sini.

“Kita tengok kali ini berapa ratus ribu pula rakyat akan turun ke jalan raya, dan kita perhatikan betul-betul kali ini siapakah yang akan memulakan aksi ganas dan menghuru-harakan perhimpunan aman?” Ujar sebahagian mereka yang tidak puas hati dengan cara kerajaan sekarang menangani kebangkitan rakyat, hingga wartawan dan jurukamera media pun lebih 10 orang dibelasah.

“Dah terang dan nyata tu, polis yang mengganas. Apa yang nak disiasat lagi?” Tanya anak muda yang marah-marah.

“Dah tu lantik pula bekas ketua polis yang tuduh peserta Bersih sebagai komunis tu jadi ketua panel penyiasat. Apa mereka ingat rakyat semua ni bodoh dan bangang sangat ke?” Kawan anak muda itu nampaknya lebih marah lagi.

Apa tidaknya! Sekarang ini segala-galanya dalam masyarakat kita ini seperti sudah kehilangan nilai diri. Dengan fitnah yang tak habis-habisnya, disiarkan di muka depan akhbar pula – gambar foto lucah yang tak mungkin tergambarkan oleh orang-orang yang masih punya nilai diri. Dan orang sepenting bekas Ketua Polis Negara pula tak semena-mena mengatakan Tok Guru Nik Aziz itu ‘bapa kafir’ – dan disiarkan oleh akhbar sepenting NST.

Apa lagi selepas ini – yang lebih hebat dan lebih dahsyat daripada itu semua? Maka seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, saya pun sedang menunggu bilakah salah seorang jurucakap majlis fatwa kebangsaan kita akan mengumumkan fatwa baru yang mengharamkan orang Islam daripada mengundi calon parti pembangkang dalam PRU13 nanti.

Memerhati pada trend yang sedang terjadi dalam masyarakat kita sekarang – dengan para muftinya yang sedemikian, dengan para profesornya yang sedemikian (ilmu dan agama pun sudah dipermain-mainkan) – hanya orang-orang bodoh dan bangang sahajalah yang akan terkejut sekiranya ada mufti kita yang membuat pengumuman fatwa sedemikian.

Dan yang lebih-lebih lagi saya tunggu-tunggu sekarang ialah saat akan lahirnya sebuah karya seni yang setaraf novel SHIT oleh Shahnon Ahmad (walaupun Shahnon dikatakan tidak mahu mengakuinya kini) sebagai hasil seni yang merakamkan semangat keliru dan hodohnya gelagat penguasa yang sedang terkial-kial mempertahankan saki-baki kekuasaannya sekarang.

Kalau di zaman Reformasi 1998-99 dulu telah lahir novel SHIT yang sangat menggemparkan pada waktu itu, merakamkan semangat kotornya permainan kuasa oleh PM waktu itu, apakah tidak mungkin akan lahir pula karya seni setaraf SHIT itu sebelum PM sekarang mengumum-kan pembubaran Parlimen, setelah dia mengumumkan “durian runtuh” di sana-sini?

Siapakah di kalangan sasterawan dan seniman kita yang akan tampil meletupkan bom seninya itu? Ataupun sebenarnya bom itu sudahpun diletupkan oleh Sasterawan Negara kita yang tidak asing lagi dengan rakyat hari ini – satu-satunya yang kita hormati dan kasihi itu?



Dinsman (Artikel 313, 14/5)
Pilihanraya dan sembang budaya di kampung

Ketika wacana ini ditulis, suasana sudah mulai terasa lain. Beberapa sms yang diterima membawa mesej mengatakan Parlimen akan dibubar minggu depan, bahkan ada yang yakin pada hari Isnin 14 Mei. Salah seorang tokoh yang dijemput menjadi panel pembicara untuk Wacana Ilmu Paksi bagi bulan Mei (buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya), yang dijadualkan pada 26 Mei, menerimanya dengan beralas: “Kalau Parlimen belum bubarlah.”

Kawan di sebuah perbadanan pula memberitahu segala tempahan untuk beberapa dewan di perbadanannya pada tarikh 8 Jun telah diarah supaya dibatalkan. “Kalau deposit sudah dibayar, kembalikan deposit itu.”

Wah, ini nampaknya serius. Teringat pula yang Najib baru saja mengumumkan bayaran sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka Felda yang berjumlah hampir 113,000 keluarga di seluruh negara, ekoran penyenaraian FGVH yang kontroversial itu. Barangkali betullah kali ini. Para pemfatwa kebangsaan pun sudah nyaris-nyaris memfatwa bahawa mengundi pembangkang itu tidak digalakkan Islam. (Aduh!)

Maka apakah 300,000 mereka yang turun membantah dan menuntut pilihanraya bersih dan adil pada 28 April itu tidak mempunyai kesannya terhadap keputusan Najib untuk mengadakan pilihanraya umum pada Jun ini? Dan kalau betul Parlimen dibubarkan minggu ini, pilihanraya yang akan diadakan ini tentulah pilihanraya yang tidak bersih dan tidak adil. Bagaimana jadinya itu?

Ah, apakah Wacana Budaya ini pun perlu berspekulasi mengenai agenda politik licik yang penuh dengan kekaburan, kecelaruan, tipu-daya dan kemunafikan itu? Atau tidakkah lebih wajar kalau saya terus saja memberi fokus kepada soal seni-budaya, seperti yang saya ungkapkan kepada sekumpulan kecil kawan-kawan di sudut sebuah kampung di Pertang, Jelebu, pada Ahad 6 Mei lalu?

Ya, biarlah urusan politik itu kepada orang-orang politik. Mereka pun sudah terlalu ramai di situ, dan masyarakat kita pun sudah keterlaluan berpolitik. Maka saya fikir sangat wajarlah kalau kita kekalkan sedikit ruang untuk seni-budaya, walaupun di saat-saat seperti ini. Seni-budaya itu sebenarnya sentiasa mempunyai peranannya. Maka haruslah ada pula orang yang mahu berdegil bagi menunjukkan keperluannya ini.

Sebenarnya saya sudahpun membuat sedikit catatan budaya yang saya maksudkan itu. Begini:
  
Tiga jam perjalanan kereta dari Kuala Lumpur ke Jelebu. Di Kampung Gelang, Pertang, kira-kira 35 km selepas pekan Kuala Kelawang. Kami lima orang daripada Seniman Paksi Rakyat – Razali, Kassim, Hasni, Nasser dan saya. Manakala di sana Dr Alinor, Nazri dan beberapa orang lagi yang meminati seni-budaya. Tujuannya: dialog budaya atau sembang-sembang petang mengenai seni-budaya.

Apakah sejauh itu kami menempuh perjalanan, hanya untuk duduk sembang-sembang di suatu sudut kampung bersama seorang kawan dan beberapa orang kenalan baru? Ya, itu pun satu soalan yang agak menarik juga untuk dilihat jawapannya. Dan jawapannya pun memang ya, kami menempuh perjalanan sejauh itu pada tengahari dan petang itu, memang untuk bersembang-sembang.

Namun bukanlah sembang-sembang sekadar mengisi masa lapang ketika tiada sesuatu yang penting hendak dilakukan. Tidak demikian. Sebaliknya sembang-sembang ini membincang-kan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan, dalam konteks mengisi kehidupan dan tanggungjawab sebagai insan yang prihatin dengan masyarakatnya.

Kira-kira begitulah. Mudah cakapnya, perjalanan kami itu adalah sebahagian daripada usaha bagi memajukan aktiviti seni-budaya. Kebetulan ada kawan-kawan di Pertang itu yang berminat untuk beraktiviti bersama, dan kami merasakan itu munasabah untuk diberi galakan, maka kami pun sanggup menempuh perjalanan sejauh itu untuk bersembang-sembang berbincang dan merancang apa-apa yang boleh dibuat.

Teras kepada aktiviti Paksi setakat ini ialah penulisan. Maka itulah yang saya nyatakan dalam sembang-sembang petang itu. Alinor sendiri misalnya seorang ilmuan akademik yang minat menyelidik dan minat juga menulis. Mungkin dia belum menulis yang kreatif setakat ini. Tetapi penyelidikannya sudah masuk jauh ke dalam dunia kreatif.

Manakala Nazri pula seorang pemuzik dan penyanyi. Saya belum tahu apakah dia juga menulis atau tidak. Itu tak mengapa. Yang pentingnya dia juga seorang aktivis budaya yang mampu mengurus persembahan. Dan dia mempunyai kumpulan muziknya sendiri. Dalam rumahnya ada bilik yang dikhaskan untuk kumpulannya membuat latihan. Dan ternyata dia juga suka membaca buku.

Makanya saya optimis, aktiviti seni-budaya akan hidup dan bersemarak di Pertang. Ada pula anak muda yang baru graduan universiti, dan telah menunjukkan bakatnya mengacara majlis budaya. Dan hadir juga seorang editor berpengalaman di sebuah syarikat penerbitan besar di Kuala Lumpur, yang setiap minggu pulang ke kampung, dan bersedia untuk menghulurkan bantuan dan bimbingan.

Maka kami dari Paksi pun sanggup menempuh perjalanan sejauh itu dan malah lebih jauh daripada itu pun apabila ada kawan-kawan yang ingin sama-sama beraktiviti seni-budaya, dan bersama menyatakan yang benar.

Petang itu hadir juga di pertemuan itu seorang aktivis dari daerah berjiran di sebelah Pahang, iaitu Simpang Pelangai, yang menyatakan hasratnya hendak mengatur pula program Paksi di Pelangai, sekitar hujung Mei atau awal Jun. Insya Allah, kalau dikurniakan kesihatan kita akan terus berpuisi dan kita akan terus menulis!

Ketika orang sering teruja dengan kerumunan yang ramai, baik dalam acara politik mahupun acara agama dan apatah lagi acara hiburan, kita tidaklah memerlukan keramaian sedemikian. Empat lima orang sahaja pun memadai, untuk menjadi penggerak aktiviti seni-budaya. Yang pentingnya kita faham dan tahu apa yang perlu dibuat.