Background
Dinsman (Artikel 286, 30/1)
PBT dan Lanskap Minda & Jiwa

PBT atau Pihak Berkuasa Tempatan di sini dimaksudkan ialah Majlis Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya. Tak kiralah di mana pun di Malaysia ini. Ada banyak Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran. Majlis Bandaraya ada beberapa sahaja.

Saya ingin mencadangkan supaya pihak majlis-majlis (PBT) ini menjadi penggerak aktiviti seni-budaya. Sebelum ini pun pernah saya menyatakan idea ini, tetapi kali ini saya ingin berbicara khusus dan fokus kepada perkara ini.

“Lanskap Tanah & Pokok” dan “Lanskap Minda & Jiwa”. Kita pernah bincang mengenai dua jenis lanskap ini (dalam kolum ini). Pihak majlis perbandaran dan bandaraya di seluruh Malaysia didapati sangat prihatin dengan keindahan lanskap taman dan pohon-pohon di sekitar jalan. Pokok-pokok bunga sentiasa dijaga dan sering ditukar yang baru supaya sentiasa kelihatan segar dan tidak nampak layu.

Demikian juga pokok-pokok di pinggir jalan. Mana-mana yang dahannya tumbuh meliar dan memanjang akan segera dipotong dan dirapikan. Entah berapa juta RM diperuntukkan pada setiap tahun bagi mencantikkan “Lanskap Tanah & Pokok” ini. Alhamdulillah, ia tidak menjadi masalah kepada pihak Kewangan Negeri, kerana memang tersedia peruntukannya. Sudah menjadi sebahagian daripada rutin pentadbiran negeri.

Yang menjadi masalah ialah “Lanskap Minda & Jiwa”, iaitu merujuk kepada minda dan jiwa manusia, penduduk dalam daerah PBT berkenaan. Apakah PBT mempunyai program dan peruntukan untuk menjaga minda & jiwa manusianya supaya sentiasa “subur, bersih, indah dan rapi”, tidak kotor dengan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar”, iaitu gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak.

Saya tidak tahu apakah selama ini terdapat pihak PBT yang memikirkan bahawa penjagaan ‘Lanskap Minda & Jiwa’ juga adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab mereka, sepertimana mereka menganggap penjagaan ‘Lanskap Tanah & Pokok’ sebagai tugas dan tanggungjawab mereka. Namun berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, kita dapati belum ada pihak PBT yang memikirkannya demikian.

Apakah atau bagaimanakah yang dimaksudkan dengan menjaga ‘Lanskap Minda & Jiwa’ itu? Maksudnya di sini ialah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti seni-budaya. Sebenarnya ada berbagai-bagai cara lagi yang boleh dilakukan untuk menjaga ‘Lanskap Minda & Jiwa’. Pendidikan formal di sekolah adalah caranya yang utama, di samping pendidikan agama. Itu tidaklah dinafikan. Tetapi seperti yang terbukti realitinya itu sahaja tidak lah mencukupi.

Lalu ada orang yang akan mengatakan kalau yang dimaksudkan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar” bagi Lanskap Minda dan Jiwa itu ialah gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak, maka yang bertanggungjawab membersihkannya ialah pihak polis.

Nampaknya memang demikianlah yang menjadi persepsi umum kita selama ini. Kita membiarkan tugas dan tanggungjawab itu dipikul oleh pihak polis sahaja, padahal pihak polis hanya bertugas membanterasnya apabila ia telah berlaku. Tidak berusaha menjaganya supaya sentiasa subur, bersih, indah, rapi dan tidak kotor.

Manakala pihak agama pula dengan permasalahan mereka sendiri, yang nampaknya memang gagal untuk bertindak seperti yang sepatutnya, dan mereka pula kelihatan selesa dalam keadaan yang tidak sepatutnya itu.

Maka saya jadi amat tertarik apabila bertemu dengan seorang Pengarah Perpustakaan Negeri yang melihatnya dari sudut pandangan yang sama seperti yang disebut itu. Dengan beraninya beliau, Mastura Hj Muhamad, mengemukakan idea itu dalam rasional penjenamaan semula (rebranding) rangkaian perpustakaan di negeri Selangor. Bahawa antara kesan yang menjadi sasaran mereka ialah mengurangkan kadar jenayah dan gejala sosial, yang diterjemahkannya dalam kira-kira ringgit dan sen.

Hanya Mastura, sesuai dengan jabatannya iaitu perbadanan perpustakaan, maka aktivitinya ialah menyediakan kemudahan untuk membaca. Dengan rasional apabila ramai orang menghabiskan lebih banyak waktu untuk membaca maka dengan sendirinya akan mengurangkan waktu mereka untuk aktiviti lain yang kurang berfaedah, dan juga membentuk minda dan jiwa yang lebih suka kepada aktiviti-aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Namun perpustakaan hanya dapat mengisi sebahagian sahaja daripada keperluan ‘Lanskap Minda dan Jiwa’ yang kita maksudkan. Ada banyak lagi ruang “keperluan minda dan jiwa” manusia yang perlu diisi, yang boleh diisikan oleh PBT.

Memang ada sebahagian PBT yang sudah pun ada Jabatan Kesenian dan Kebudayaannya. Hanya selama ini jabatan itu diisi dengan aktiviti muzik, nyanyian dan tarian sahaja. Sedangkan yang kita maksudkan dengan aktiviti seni-budaya di sini ialah aktiviti-aktiviti seperti (1) persembahan puisi dan lagu, (2) persembahan teater, (3) bicara buku, (4) pameran lukisan, (5) kuliah dan seminar ilmu, (6) bengkel seni (penulisan dan sebagainya), dan (7) konsert muzik dan lagu yang berkualiti.

Saya terfikir, kalau idea menjaga ‘Landskap Minda & Jiwa’ manusia (penduduk) agar tidak kotor dengan “sampah-sarap dan tumbuhan meliar” (gejala sosial seperti jenayah, penagihan dadah dan rosak akhlak), seperti yang dikemukakan oleh pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)  itu telah diterima oleh pihak Kerajaan Negeri, mengapa tidak pemikiran yang sama itu juga diperkembangkan kepada majlis perbandaran, majlis bandaraya dan majlis daerah?

Saya telahpun menerbitkan sebuah buku yang boleh digunakan untuk maksud ini, iaitu Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya (156 ms). Sebuah buku yang diterbitkan khas untuk perhatian para pemimpin di Malaysia, agar dapat memperbaiki kefahaman terhadap seni-budaya dan kepentingannya dalam masyarakat, di samping memperbetulkan banyak salahfaham terhadap seni-budaya selama ini.
Dinsman (Artikel 285, 27/1)
Kebenaran Robert Fisk dalam tragedi 9/11

Secara kebetulan saya mengambil buku tebal Robert Fisk dari rak buku, untuk dibaca. Buku tebal 1368 mukasurat yang terbit tahun 2005 itu, The Great War for Civilisation, The Conquest of the Middle East, belum habis saya baca, kerana terlalu tebal. Baca separuh, kemudian simpan.

Bukan tak menarik. Sangat menarik. Cerita pengalaman seorang wartawan yang mengikuti perang di Timur Tengah selama 30 tahun, sejak 1976. Barangkali tidak ada orang yang lebih arif mengenai perang dalam zaman moden ini lebih daripada Robert Fisk, yang lebih suka memanggil dirinya “soldier of journalism” atau kewartawanan tentera, yang “duduk menulis sejarah di sebelah mulut meriam”.

Panjang ceritanya, dan dia bercerita dengan begitu detail sekali, gaya penceritaan novel yang sedap dibaca. Bagaimana dia bertemu dengan Osama bin Laden di gurun Afghanistan dan sebagainya itu. Memang sangat menarik. Hanya terlalu tebal, maka saya terasa agak penat membacanya lalu menyimpannya dulu untuk dibaca semula bila-bila terasa mahu membaca.

Kebetulan saya menyambung bacaan itu di bab 21 (mulai ms 1020), yang diberi judul “Why?”. Bab mengenai peristiwa terkenal serangan ke atas menara berkembar World Trade Center di New York, pada 9 September 2001 itu. Apa yang menariknya sehingga saya mahu mencatatnya dalam ruangan WB ini?

Buku tebal Robert Fisk ini mengenai peperangan demi peperangan di Timur Tengah yang seperti tak akan ada hujungnya. Mengapa pula dimasukkan cerita serangan 9/11 di New York ini? Apa hubungannya?

Sebagai wartawan terkenal, Robert Fisk dihubungi oleh pelbagai pihak media (daripada Britain, Amerika, Perancis, Ireland) sebaik sahaja menara WTC diserang. Pagi itu beliau dalam Airbus, penerbangan dari Brussels menuju ke Amerika, tetapi terpaksa berpatah balik ke Brussels akibat peristiwa tersebut. Sebagai wartawan akhbar Independent, dalam penerbangan itu juga dia perlu mengarang dan menghantar berita untuk akhbarnya.

Ada satu perkara pelik yang diperhatikannya berlaku di kalangan pengamal media antarabangsa waktu itu. Kata Robert Fisk: “Kalau untuk seketika kita bertanya ‘Mengapa’ sahaja, kita akan dianggap sebagai penyokong ‘keganasan dunia’. Israel telah menyempurna-kan logik yang outrageous ini. Kalau kita pro-Palestin saja pun, kita akan dikaitkan dengan pengebom berani mati dan ‘keganasan dunia’.

“Kata George Bush sama ada kamu sokong kami atau kamu menentang kami. Itu hujah yang berhelah dan sangat simplistik, bertujuan untuk tutup mulut kita supaya kita diam dan tidak menimbulkan persoalan Timur Tengah dan peranan Amerika di sana, atau perkara yang dianggap ‘taboo’ iaitu hubungan Amerika dengan Israel.” (ms 1031-1032)

Seterusnya beliau menulis: “Panggilan datang bertalu-talu. Stesen CBS, BBC World, BBC Cardiff, BBC Belfast, Pacifica, NPR, Radio Itali, Radio France International. Semuanya nak tahu apa yang orang belum tahu. Siapa yang buat itu? Macam mana mereka buat? Tak ada siapa pun – tak seorang pun – yang bertanya mengapa ‘mereka’ itu nak buat serangan, kerana itu adalah soalan yang dilarang.”

Sebuah stesen radio di Dublin menginterviu Robert Fisk. Penginterviunya seorang ahli akademik dari Harvard. Fisk cuba berhujah memberi sebab-sebab mengapa terjadinya serangan itu, bahawa jenayah tidak dilakukan semata-mata kerana manusia itu jahat dan tidak suka demokrasi. Penginterviunya terus jadi marah dan menjerit ke arahnya, hingga rancangan itu pun terpaksa dipotong.

“Tetapi saya dapat mesejnya,” kata Robert Fisk. “Hanya satu ayat yang dibenarkan selepas tragedi korban di Amerika itu. Mana-mana penentangan terhadap dasar Amerika – khasnya di Timur Tengah – adalah jenayah dan pro-pengganas…, dan sesiapa di antara kita yang bertanya ‘Mengapa’, dia adalah penyokong keganasan.”

Maka Fisk merumuskan, “bahawa 11 September akan dijadikan satu undang-undang, secebis legislation yang akan digunakan untuk menghalang sebarang perbincangan, menahan sesiapa saja yang disyakki, dan memasuki mana-mana negara.”

Itulah Amerika, yang terjelma dari peristiwa serangan ke atas menara WTC pada 11 September itu, mengikut pemerhatian, pengalaman dan analisa seorang wartawan perang antarabangsa, Robert Fisk.

“Kalau satu jenayah berlaku di Los Angeles atau di London,” kata wartawan yang diarifkan oleh pengalaman 30 tahun di medan perang ini, “perkara pertama yang dilakukan oleh polis ialah mencari motifnya. Tetapi apabila suatu jenayah antarabangsa terhadap kemanusiaan berlaku begitu dahsyat di Amerika, satu perkara yang kita dilarang melakukannya ialah mencari motif.”

Itulah Amerika, yang diuar-uarkan oleh segala media antarabangsa mengatakan ia jaguh kebebasan bersuara di dunia, jaguh demokrasi dan sebagainya. Tetapi itulah wajahnya yang sebenar. Betapa hipokritnya! Betapa karutnya segala propaganda mengenai kebebasan bersuara di Amerika itu. Memang karut!

Dalam konteks kebenaran dan ‘berkata benar’ yang sering saya perkatakan di ruangan ini akhir-akhir ini, maka itulah perspektif globalnya. ‘Berkata benar’ itu seperti menjadi ‘musuh’ kepada golongan yang berkuasa. Amerika itu sendiri, yang menonjolkan dirinya sebagai jaguh demokrasi di dunia, adalah penindas paling jahat terhadap kebebasan bersuara (atau prinsip ‘berkata benar’).

Kematian sekitar 3,000 orang dalam peristiwa 9/11 itu dibesar-besarkan seperti tiada kejahatan lebih dahsyat daripada itu pernah berlaku di dunia. Sedangkan peristiwa kem pelarian Palestin, Sabra dan Chatila pada 16 September 1982, yang memakan korban 17,500 orang Palestin dan Lebanon itu, siapa yang mempedulikannya? Dan Robert Fisk bertanya: Siapakah di belakang peristiwa serangan kejam Israel itu kalau bukan Amerika?



Dinsman (Artikel 284, 23/1)
Cuba tanya mereka makna ‘kebenaran’!

Ada beberapa respon menarik terhadap ucapan saya di Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Sabtu lalu. Azmin Ali Timbalan Presiden KeAdilan agak cepat menyebarkan berita melalui twitter: “Setuju cadangan Dinsman supaya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menganugerahkan Sasterawan Rakyat kepada Allahyarham Azizi Haji Abdullah.”

Terima kasih Azmin. Alhamdulillah, walaupun saya belum pasti apakah itu bermakna beliau juga bersetuju anugerah itu diberikan bersama dengan wang berjumlah RM60,000 seperti yang dicadangkan. Harap-harap demikianlah!

Respon yang lain ialah terhadap teguran kepada Kerajaan Negeri Kedah yang bekerjasama dengan Gapena menganjurkan Hari Sastera 2012 akhir bulan ini. Banyak orang terkejut dengan tindakan Kerajaan Negeri Kedah itu. “Kenapa nak bekerjasama dengan pengampu dan penyokong kuat Umno itu?” Mereka bertanya?

Namun ada yang memberi maklumat tambahan mengatakan ini bukan kali pertama Kerajaan Negeri Kedah berbuat demikian. Sudah acap kali. Seorang kawan memberitahu baru-baru ini Kolej Universiti Insaniah menganjurkan seminar di Langkawi, dan dia dijemput membentang kertas.

“Tahu siapa yang merasmikan seminar itu?” Tanya dia, dan dia juga menjawab: “Dr Mahathir.”

Dr Mahathir bagi saya adalah orang yang bertanggungjawab merosakkan masyarakat Malaysia. Seperti saya sebut dalam ucapan itu: “Mahathir telah membina masyarakat yang rosak – opportunis, materialis, buta kebenaran.”

Tidak cukup lagikah kerosakan yang telah dilakukannya? Apa dia kerosakan itu? Melahirkan manusia-manusia yang tidak berprinsip, yang opportunis, materialis dan buta kebenaran. Inilah jenis manusia yang dimiliki oleh Malaysia hari ini, termasuk para budayawan dan juga ilmuannya. Orang-orang politiknya jangan ditanyalah, sehinggakan di dalam parti PAS sendiri pun, yang para pemimpinnya dianggap sebagai paling kuat berpegang pada prinsip itu, pun hampir-hampir menjadi kucar-kacir juga baru-baru ini.

Sungguhlah menghairankan kalau para pemimpin Pakatan masih tidak dapat membaca kerosakan yang dimaksudkan. Itulah, kalau mereka terlalu asyik dan sibuk dengan berpolitik dan kurang mempedulikan hal-hal seni-budaya, itulah jadinya. Mereka tidak sedar pun kerosakan-kerosakan yang terjadi dalam masyarakat.

Inilah bahayanya. Di kalangan segelintir penulis dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), sejak kami serius dengan prinsip “berani berkata benar” dan cuba menghidupkan perbincangan mengenainya dalam pelbagai kesempatan di mana-mana, kami dapati rakyat Malaysia kebanyakannya tidak lagi memahami erti “kebenaran”.

Faham pun tidak, maka bagaimanakah nak timbul soal “berani berkata benar”? Makna kebenaran itu sendiri pun sudah tidak difahami lagi pada hari ini.

Iya! Kalau anda tak percaya, cubalah anda sendiri tanya. Tanya sesiapa sahaja yang anda temui. Tanya orang-orang di sekitar anda. Tanya pelajar-pelajar sekolah. Apa yang mereka faham bila dikatakan “berani berkata benar”.

Anda akan bertemu dengan pelbagai macam dan ragam pemahaman mengenai makna kata “benar” dan “kebenaran” itu. Anda pun mungkin akan terkeliru dengannya. Barangkali anda baru akan sedar, rupa-rupanya kehidupan sudah berkembang dan berubah sedemikian jauh, sehingga kata “benar” dan “kebenaran” pun sudah mempunyai pelbagai makna dan tafsirannya.

Seorang anak muda boleh tiba-tiba tampil di hadapan khalayak umum, mengadakan sidang media dan mengisytiharkan kepada dunia bahawa dirinya telah diliwat oleh seorang tokoh pemimpim masyarakat yang terkenal, dan dia dikatakan menuntut haknya untuk mempertahankan moral dan kehormatannya, melalui institusi mahkamah, dan dakwaannya itu diraikan oleh segala lapisan masyarakat termasuk para pemimpin politik, pemimpin agama, pemimpin media, juga pemimpin akademik.

Bagaimanakah kita melihat ‘kebenaran’ dalam kes atau situasi tersebut?

Demikianlah gawatnya situasi kehidupan hari ini. Namun terdapat golongan yang langsung tidak merasai wujudnya kegawatan itu. Hari ini ada golongan yang menganggap situasi tersebut sebagai biasa sahaja. Dan mereka tidak mempedulikannya pun. Sebab apa? Sebab mereka menganggap itu bukan masalah mereka, dan bukan urusan mereka.

Kalau ditanya mereka mengenai kebenaran, mereka tak peduli pun.

Sewaktu memulakan bengkel penulisan dalam program Madrasah Seni di surau Kg Banda Dalam, Ahad lalu, seorang peserta bertanya mengenai persamaan antara teater Menunggu Kata Dari Tuhan dengan Waiting for Godot karya absurd yang terkenal itu.

Saya kata tidak ada persamaan antara dua karya tersebut. Menunggu Kata Dari Tuhan adalah penantian yang penuh dengan keyakinan; manakala Waiting for Godot adalah penantian yang tanpa harapan dan penuh kehampaan. Namun saya teringat pada latar kehidupan di Eropah yang melahirkan sastera absurd pada waktu itu, sebagai bandingan kepada latar kehidupan harian kita di Malaysia hari ini, yang masyarakatnya seperti tidak lagi mempedulikan pada ‘kebenaran’.

Maka saya dan Kassim jadi terkejut apabila seorang kawan (yang kami kira memahami makna kebenaran) tiba-tiba memuji seorang menteri Umno kerana tahu menghormati majlis budaya. Apakah kerja jahat menteri tersebut merampas hak rakyat sekian banyak itu boleh dilupakan begitu saja? Amboi! Kebenaran yang kehilangan makna!

Dinsman (Artikel 283, 20/1)
Zaman tak berprinsip dan buta kebenaran

Pertamanya saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Pakatan Rakyat kerana menjemput saya mewakili golongan budayawan, untuk berucap di hadapan khalayak orang-orang politik. Semoga dengan ini hubungan antara orang politik dengan orang budaya akan menjadi bertambah baik.

Persoalan yang ingin saya kemukakan dalam kesempatan yang sangat berharga ini, pertamanya persoalan hubungan dan persefahaman antara orang politik dengan orang budaya. Ada beberapa salah faham dan kekurangpedulian orang politik, khasnya pihak Pakatan Rakyat, terhadap budaya dan orang budaya.

Untuk makluman kita semua, di kalangan orang budaya di negara ini – termasuk penulis, seniman, ilmuan, tidak ramai yang menyertai gerakan Reformasi atau menyokong Pakatan Rakyat sejak daripada meletusnya Reformasi September 1998, hingga kini. Baru-baru ini kami kelompok Seniman Paksi Rakyat (Paksi) cuba membuat anggaran berapa ramaikah golongan budayawan yang menyokong pihak Pakatan Rakyat. Dianggarkan tidak lebih daripada 10 peratus sahaja.

Kita boleh bilang dengan jari siapakah seniman, budayawan, ilmuan dan penulis yang bersimpati dengan pihak yang dizalimi, dan menyatakan dengan berani melalui tulisan ataupun tindakan terhadap pihak yang menzalimi, memfitnah, rasuah dan salahguna kuasa itu.

Di kalangan Seniman Paksi Rakyat kami sangat prihatin perkara ini. Kami jadikan motto perjuangan, yang kami terapkan dalam karya dan aktiviti, iaitu “berkata benar”. Tuan-tuan percaya atau tidak, hari ini sangatlah susah untuk menemui orang yang mahu dan berani “berkata benar”. Kebanyakan orang tidak faham pun apa maksud kebenaran. Tuan-tuan puan-puan semua asyik dan sibuk dengan politik, mungkin tuan-tuan tidak sedar perkara ini. Masyarakat kita hari ini jangankan nak berani “berkata benar”, mereka faham pun tidak.

Zaman ini zaman orang tidak berprinsip, kecuali menjadi opportunis dan materislis. Ini kerja Mahathir. Selama 23 tahun memerintah dia pergunakan segala alat, media dan institusi yang ada, hingga berjaya membentuk manusia di negara ini menjadi opportunis dan materislis. Inilah masyarakat kita sekarang, termasuk di dalamnya orang politik, orang budaya dan juga ahli akademik. Opportunis, materialis, dalam kata lain – munafik. Dan kami perhatikan kebanyakan orang politik PR pun terperangkap dalam kemunafikan ini.

Dalam program-program yang bersifat kempen politik, mereka tahu siapa penyair dan tokoh budaya yang sanggup datang untuk membantu mereka berkempen dalam pilihanraya, walaupun tanpa peruntukan kewangan. Tetapi di luar program kempen ada pelbagai program budaya yang lain, yang memerlukan peruntukan dan yang ada peruntukan, penulis dan tokoh budaya yang diundang adalah daripada sebelah sana, yang nyata mereka itu penyokong Umno, tetapi mereka diundang konon untuk menunjukkan yang kerajaan PR ini adil, tidak diskriminasi, dan tidak mengira fahaman politik.

Akibatnya budayawan yang berani berkata benar tadi, budayawan yang berprinsip, yang faham makna kebenaran, daripada dulu hingga sekarang masih boleh dibilang dengan jari. Sebab apa? Sebab layanan yang diberikan oleh pihak kerajaan PR sendiri. Maksudnya pihak kerajaan PR dalam kesibukannya berpolitik, mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya lebih mengiktiraf dan mengutamakan penulis, budayawan, ilmuan dan terutamanya wartawan yang daripada pihak penyokong Umno-BN, ataupun pihak yang oportunis munafik itu.

Tak lama lagi akan berlangsung Hari Sastera anjuran bersama Gapena dengan Kerajaan Negeri Kedah. Tuan-tuan kenal Gapena itu siapa? Penyokong-penyokong kuat Umno belaka! Mereka tak kenal siapa penzalim siapa dizalimi. Mereka tak peduli pun siapa ambil rasuah siapa seleweng wang rakyat. Mereka tak faham pun makna kebenaran. Tetapi mereka itulah yang terus diiktiraf oleh kerajaan PR. Kalau di bawah Hasan Ali di Selangor dulu lagilah, tak ada seorang pun budayawan dari kalangan kita yang diiktiraf oleh Hasan Ali.

Seni-budaya fungsinya untuk keharmonian hidup, untuk keseimbangan dalam kehidupan. Supaya jangan kita keterlaluan berpolitik. Kita sekarang ini keterlaluan berpolitik. Hampir segala-galanya di negara ini hendak dipolitikkan. Hingga kadang-kadang kita menjadi kurang rasional. Banyak kebijaksanaan dan kearifan dalam hidup ini semakin kita tinggalkan, disebabkan keterlaluan kita berpolitik.

Marilah kita kembali kepada kebijaksanaan dan kepada hidup yang berprinsip. Seniman Paksi Rakyat percaya salah satu perkara yang diperlukan masyarakat, untuk kembali kepada kehidupan yang lebih harmoni, sejahtera dan bijaksana, ialah golongan penulis yang berprinsip. Hari ini semakin ramai orang yang terdidik menjadi penulis. Ada pelbagai program yang membina penulis, tetapi penulis yang bagaimana?

Allah berfirman dalam surah asy-Syu’araa’ (ayat 224-227), maksudnya: “Dan para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (Di sini penyair juga bermaksud seniman, budayawan, penulis). Tidakkah engkau melihat mereka berkelana di lembah-lembah, dan mereka berkata apa yang tidak mereka praktikkan; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan selalu mengingati Allah. Mereka mendapat kemenangan setelah dizalimi.”

Mahathir telah membina masyarakat yang rosak – opportunis, materialis, buta kebenaran. Sekarang marilah kita membina semula masyarakat, membina insan-insan yang berprinsip. Kerana penulis yang tidak berprinsip dan tidak berpegang pada kebenaranlah maka terjadinya fitnah yang berleluasa dalam masyarakat kita.

Seandainya para penulis yang menjadi editor-editor akhbar dan media berita kita adalah penulis-penulis yang berprinsip, yang “allaziina aamanuu wa ‘amilus-solihaati wa zakarullaaha kathiira”, seperti yang ditegaskan ayat al-Quran tadi, nescaya orang-orang politik jahat di pihak Umno takkan berjaya membohongi rakyat dengan segala fitnah yang mereka sebarkan selama ini.

Seniman Paksi Rakyat sedang berusaha membina generasi penulis baru yang berprinsip ini. Kami mengharapkan para pimpinan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sudi membantu. Antaranya kita perlu tonjolkan tokoh penulis atau ikon untuk menjadi ikutan. Saya sebutkan di sini tiga orang tokoh penulis yang jelas memperjuangkan kebenaran, yang patut dijadikan ikutan, iaitu Sasterawan Negara A Samad Said, Prof. Dr Shaharir Mohd Zain, dan novelis yang baru meninggalkan kita, Azizi Hj Abdullah.

Azizi Hj Abdullah, berdasarkan karyanya beliau selayaknya diberi anugerah Sasterawan Negara. Tetapi oleh kerana beliau memilih untuk menjadi sasterawan yang berprinsip, beliau telah dinafikan hak untuk anugerah tersebut. Sekarang beliau telah tiada. Namun kita masih boleh menghargai jasanya. Seniman Paksi Rakyat dengan ini memohon pada kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sudilah menganugerahkan beliau gelaran Sasterawan Rakyat, dengan hadiah antara lainnya wang tunai sebanyak RM60,000, setaraf dengan Sasterawan Negara. Ini boleh dikongsi bersama oleh empat negeri PR – Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Akhirnya saya akhiri ucapan ini dengan sekali lagi ucap terima kasih kepada pihak Pakatan Rakyat dan Kerajaan Negeri Kedah.

(Teks penuh ucapan di Konvensyen Pakatan Rakyat 2012, mewakili budayawan, di Alor Setar, 14 Januari 2012)
MKDT dan gelombang kebangkitan pelajar

Suasana kebangkitan mahasiswa dan anak muda memperjuangkan keadilan dan kebebasan akademik yang marak apinya menjulang tinggi di depan kampus UPSI Tanjung Malim pada awal pagi 1 Januari itu (diabadikan oleh penyair Benz Ali dalam puisinya “Malam Berdarah Itu”), memang tidak saya rasakan kewujudannya ketika berdepan dengan kira-kira 700 orang pelajar di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bangi, pada malam 7 Januari.

Memang suasananya berbeza sama sekali. Saya berhadapan dengan pelajar-pelajar KUIS itu dalam suasana santai menikmati persembahan kesenian, teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) lakonan Sabri Yunus dan muzik oleh Sani Sudin. Tetapi kehangatan respons sebahagian pelajar dan keghairahan mereka bertanya itu-ini selepas tamat pementasan malam itu, adalah luar biasa.

Saya tidak menduga sama sekali yang pelajar-pelajar KUIS itu begitu sekali berminat dengan teater. Soalan-soalan yang mereka kemukakan dalam sesi dialog selepas persembahan itu menunjukkan mereka bukanlah pelajar yang tidak pernah menonton teater. Sebaliknya mereka seperti berpengalaman menonton, berpengetahuan dalam teater dan malah ada yang sudahpun menghasilkan skrip teater.

Misalnya dalam pengalaman pementasan MKDT kira-kira sudah 50 kali, dan berdialog dengan penonton, hanya sekali dua sahaja orang bertanya kepada Sani Sudin bagaimana dia menghayati watak atau peranannya untuk melahirkan muzik yang dipersembahkannya dalam MKDT.

Hanya orang yang betul-betul menghayati persembahan teater itu sahaja, atau orang yang betul-betul meminati muzik secara serius, akan bertanya soalan sedemikian. Dan pada 7 Januari lalu seorang pelajar KUIS bertanya demikian.

Tidak cukup dengan perbincangan dalam sesi dialog itu saya dikerumuni lagi selepas keluar dewan persembahan, oleh beberapa pelajar secara berkumpulan dan bersendirian. Satu lepas satu. Pelbagai soalan dikemukakan, hingga kepada teknik-teknik pementasan dan penulisan skrip yang biasanya hanya ditanya oleh orang yang sudah berpengalaman atau mempunyai minat yang begitu mendalam.

Belum pernah saya dikerumuni demikian dalam pengalaman 50 kali pementasan MKDT. Apakah ini suatu kebetulan atau ada hubungannya dengan gelombang kebangkitan baru mahasiswa kita? Saya tidak pasti. Tetapi saya pasti sahabat saya Kassim akan sangat gembira kalau dia hadir dan menyaksikan bagaimana tema dan mesej ‘berkata benar’ dalam teater ini telah diterima baik dan kelihatannya seperti merangsang sebahagian pelajar untuk mengambil teater dan kesenian sebagai medium berdakwah.

Alhamdulilah, kalau itu yang mereka nampak dan terkesan dari pementasan itu. Malah ada pelajar yang menggesa supaya MKDT diterjemahkan kepada beberapa bahasa agar ia dapat dipentaskan juga di luar negara, bagi menunjukkan bagaimana kita boleh menghasilkan teater yang baik dan menarik berdasarkan pada sebuah Hadith Rasulullah SAW.

Maka pulang dari pementasan itu saya pun mulai berfikir secara serius akan hal tersebut, iaitu mengambil teater sebagai medium berdakwah. Bukanlah sebelum ini tidak pernah idea berdakwah melalui teater itu difikirkan atau ditimbulkan. Pernah. Bahkan selalu juga hal tersebut dibincangkan. Malah ada pihak yang mendakwa mereka berdakwah melalui teater atau teater mereka adalah teater dakwah dan sebagainya.

Teater MKDT sendiri pun. Sudah sekian lama berdakwah, dan dakwah MKDT adalah berasaskan kepada teks sebuah Hadis sohih, dengan tema dan persoalan ‘berkata benar’, yang menunjukkan betapa tingginya nilai berkata benar itu di sisi Allah SWT, hingga Allah SWT sendiri menghadirkan wahyu-Nya bagi menyelesaikan persoalan manusia berkenaan.

Maksudnya, dakwah yang jelas kesahihannya, dan kesesuaiannya dengan syari’at.

Dan apabila melihat keghairahan pelajar-pelajar KUIS itu bertanya itu-ini seolah-olah mereka akan menubuhkan kumpulan teater sendiri dan akan mengaktifkan aktiviti teater sebagai aktiviti dakwah, saya terfikirkan sesuatu yang lebih terorganisasi, atau sesuatu yang perlu diinstitusikan.

Saya sendiri pun belum begitu jelas lagi bagaimana sebenarnya. Tetapi saya dapat merasakan ada sesuatu yang penting di sana, untuk dilanjutkan pemikiran dan usahanya.

Misalnya secara kebetulan Ahad lalu Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bermesyuarat dengan pihak Madrasah Tarbiyah, Kg Banda Dalam, mengenai perancangan untuk menjalankan kelas seni di surau tersebut, secara tetap setiap dua minggu, yang dinamakan “Madrasah Seni”, yang akan kami mulakan pada 15 Januari ini.

Antara pengisian Madrasah Seni atau sekolah seni dalam madrasah ini nanti ialah teater. Mengikut Cikgu Islak Surin, Imam surau tersebut, apabila disebut teater kepada ahli-ahli qariah, kebanyakan mereka masih beranggapan bahawa teater adalah permainan anak muda yang kurang sesuai dengan amalan syari’at Islam.

Jadinya, perlu ada usaha untuk menonjolkan teater jenis yang sesuai dengan syari’at Islam. MKDT adalah satu contohnya.

Pementasan di KUIS itu juga seperti telah menimbulkan kesan keghairahan untuk berteater di kalangan pelajar dan anak muda. Hal yang seperti ini tidak pernah terkesan pada pementasan-pementasan sebelumnya. Ini yang menyebabkan saya berfikir – kenapa terjadi demikian? Apakah ia suatu tanda kebangkitan semangat baru di kalangan pelajar?

Namun apa pun, tidak mengapalah. Mungkin ia suatu kebetulan. Tapi kebetulan yang sangat menggembirakan kita. Alhamdulillah!


Dinsman (Artikel 281, 9/1)
Ke arah masyarakat yang tanpa kemanusiaan?

Februari tahun lalu saya menulis di ruangan ini sebuah tulisan berjudul “12 tahun lebih, di manakah silapnya kita?”. Tulisan itu ditulis kerana saya kebetulan melihat gambar wajah DS Anwar Ibrahim yang kelihatan begitu letih dan penat.

Ya, mengapa tidak? 12 tahun berjuang menghadapi pelbagai halangan, tekanan, fitnah dan pelbagai cubaan untuk memusnahkan dan malah membunuhnya itu, tentulah suatu tempoh yang boleh memenatkan dan meletihkan. Tanpa kesabaran dan kekuatan dalaman tentulah dia sudahpun berserah dan mengaku kalah. Banyak orang pun sudah berserah dan berpaling tadah. ‘Kan?

Dan hari ini, 9 Januari 2012, adalah kemuncak kepada siri tekanan dan fitnah itu. Memang ia suatu perkara yang diserahkan kepada sistem kehakiman dan perundangan kita, yang sepatutnya menjaminkan keadilan dan kebenaran. Dan tidak sepatutnyalah menimbulkan sebarang masalah atau keraguan. Tetapi kenyataannya tidaklah demikian.

Ini pun bukan kali pertama. Ini sebenarnya suatu ulangan. Mereka telah melakukannya dulu, dan mereka telah berjaya menghumbankan Anwar ke dalam penjara, hinggalah apabila Mahathir terpaksa mengundur diri dan Abdullah Badawi menggantikannya, dan Abdullah Badawilah yang dikatakan telah membuat silap “melepaskannya”, hingga mereka terpaksa mengulangi semula proses itu, yang memang mereka percaya boleh menyebelahi mereka lagi.

Itulah bacaan dan tanggapan umum maka terjadinya seperti yang terjadi. Sudah melangkaui 13 tahun kita mengharungi satu situasi kehidupan yang memenatkan dan meletihkan. Dan ini terjadi adalah kerana adanya sistem kebebasan maklumat yang disediakan oleh pencapaian teknologi yang bernama internet itu; yang kita tidak boleh memilih untuk menolak atau menafikannya. Ia sudah sebati masuk ke dalam sistem saraf kehidupan hari ini. Apakah para penasihat Najib dan Rosmah tidak mengambilkira fenomena atau hakikat ini?

13 tahun politik Malaysia seperti tidak ada isu lain yang lebih penting bagi rakyat kecuali isu Anwar Ibrahim atau isu menafikan apa-apa yang ditimbulkan dan dibangkitkan oleh Anwar Ibrahim. Apakah itu tidak memenatkan dan meletihkan dan membosankan?

13 tahun politik Malaysia seperti tidak ada cerita lain selain daripada cerita kotor meliwat dan meliwat yang memenuhi akhbar dan segala media umum di negara ini dan diikuti oleh semua lapisan masyarakat, yang meninggalkan kesannya yang sangat negatif terhadap kehidupan generasi baru kita. Apakah ini tidak memenatkan dan meletihkan dan membosankan dan meloyakan?

Memang. Akibat daripada cengkaman kuasa politik pemerintah yang sedemikian kuat dan zalim itu bukan sahaja terkena ke atas Anwar dan keluarga serta penyokong-penyokongnya, tetapi juga ke atas pelbagai institusi dan nilai yang selama ini jalinannya menguatkan binaan masyarakat kita. Paling merosakkan ialah kesannya ke atas nilai-nilai kemanusiaan sendiri, yang semakin hari semakin terhakis di kalangan kita, tanpa disedari oleh kebanyakan kita.

Ya, pertimbangan kemanusiaan semakin terhakis dalam masyarakat. Orang seperti tidak ada rasa bersalah lagi untuk menipu atau mencuri bahkan merampas dan merompak di depan mata sekalipun, asalkan secara teknikalnya mereka boleh berselindung di sebalik kuasa yang ada di pihak mereka. Demikianlah kuasa itupun menjadi bertambah penting hari ini, iaitu untuk mencipta undang-undang dan peraturan yang boleh menyebelahi mereka walaupun mengikut nilai kemanusiaan dan agama mereka telah membuat salah.

Malah dalam hal dan situasi tertentu, kuasa itu sendiri, yang ada pada sesuatu pihak, boleh mengatasi undang-undang dan peraturan dalam menentukan siapa yang akan didenda dan dihukum, dan siapa yang akan terlepas dari hukuman.

Demikianlah pula walaupun pihak berkuasa itu bertegas menggunakan kuasa yang ada pada mereka secara adil mahupun tidak adil, untuk mengawal tingkah laku dan pergerakan rakyat, namun rakyat yang sudah penat dan letih dengan situasi ketidakadilan mengikut tanggapan mereka itu, yang disokong oleh bukti-bukti dan hujah-hujah yang terdapat dalam media bebas, akan tetap juga menunaikan tanggungjawab kamanusiaan dan keagamaan mereka, tanpa menghiraukan arahan pihak berkuasa.

Memang situasi kita hari ini nampaknya begitu rumit, kelamkabut, kacau dan tidak harmoni lagi. Sejak Perdana Menteri membuat tuduhan aib dan lucah terhadap Timbalannya dan menyingkirkan Timbalannya itu daripada sebarang kekuasaan jawatannya tanpa bukti yang boleh meyakinkan itu, lebih 13 tahun yang lalu. Sejak itulah.

Tetapi sayangnya apabila saya cuba mencari hasil kajian atau analisa yang bersifat ilmiah terhadap situasi atau perkembangan masyarakat Malaysia sejak peristiwa September 1998 itu, seperti yang dimaksudkan di atas, (kerana diminta menulis mengenainya), saya tidak menemuinya. Agak pelik dan menghairankan! Sedangkan perkara itu bukan sahaja menarik sebagai bahan kajian, tetapi ia penting untuk kita memahami masyarakat kita sendiri.

Apakah kejayaan pihak Umno-BN menghalang Anwar Ibrahim daripada mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan menjatuhkan Umno-BN itu, sehingga ini, benar-benar merupakan satu kejayaan Umno-BN ataupun ia bukan satu kejayaan?

Kejayaan sebuah kerajaan tentulah tidak diukur dengan apakah dia boleh menghalang orang lain daripada menjatuhkannya sahaja, ‘kan?

Seperti halnya Malaysia hari ini, hanya sekitar 100 orang sahaja pelajar universiti berkumpul menyambut tahun baru menjelang tengahmalam 1 Januari, di suatu tempat terpencil yang jauh dari ibukota Kuala Lumpur, sambil mereka menyatakan keinginan untuk suasana akademik yang lebih bebas, hanya itu! Dan itu pun pihak pemerintah datang dengan pasukan polisnya, menunjukkan kuasa mereka, dan memaksa pelajar-pelajar itu bersurai.

Itu sahaja. Untuk menyatakan keinginan kepada suasana akademik yang lebih bebas! Memanglah ada akta yang melarangnya. Seperti saya katakan tadilah, apabila ada akta undang-undangnya maka apakah pertimbangan kemanusiaan sudah tidak diperlukan lagi? Tidakkah dengan trend pemerintahan yang seperti ini kita sedang menuju kepada masyarakat yang tanpa kemanusiaan?

Dinsman (Artikel 280, 6/1)
Seperti ada yang belum selesai di Felda itu

Shukur Harun (dalam kolumnya Cetusan Idea, 30.12.11) menganggap himpunan seniman di Felda Sg Tengi, Hulu Selangor pada 23 Disember lalu sebagai himpunan karyawan atau penggiat seni yang terbesar pernah dialaminya. Beliau sendiri hadir sejak petang, sempat sembang-sembang di warong bersama A Samad Said, Ishak Surin dan ramai lagi penulis sebelum menyertai dialog santai ketika hujan renyai-renyai, kemudian ke rumah seorang peneroka untuk rehat dan solat maghrib, dan kemudian turut membaca puisi dalam acara persembahan seni pada malamnya.

Saya tidak pasti apakah benar itu himpunan seniman-budayawan yang terbesar pernah berlaku, atau himpunan sebelumnya di Madrasah Tarbiyah Kg Banda Dalam, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2010 itu yang lebih besar. Oleh kerana Shukur Harun tidak hadir dalam himpunan yang pertama itu, maka bagi dia memang betullah, himpunan di Sg Tengi itulah yang terbesar.

Tidak mengapa. Mana-mana satu yang lebih besar pun tidak mengapa. Kedua-duanya adalah inisiatif dan anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Yang pertama kerana menyokong penduduk-penduduk Kg Banda Dalam (KBD) dan enam buah kampung lagi, berjuang mempertahankan hak untuk mengekalkan status kampung mereka sebagai kampong warisan. Manakala yang kedua kerana menyokong perjuangan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) untuk mempertahankan hak mereka ke atas 360,000 hektar tanah Felda yang akan diapungkan di Bursa Malaysia melalui penyenaraian syarikat Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Memang ramai penulis dan seniman dari genre lain juga hadir di Sg Tengi pada petang dan malam itu, walaupun hujan turun sejak tengahari hingga ke malam. Rahmat Harun dan Yeoh serta kawan-kawannya tiba sekitar jam 3 petang, lalu memulakan aktiviti melukis bersama kanak-kanak, di Dataran Sg Tengi. Dan Rahmat tunggu hingga akhir program, dan dia menjadi pembaca puisi terakhir malam itu.

Seperti pada himpunan pertama di Madrasah Tarbiyah KBD dulu, ada beberapa orang yang sepatutnya membaca puisi telah tidak sempat membaca, dan ada tokoh yang sepatutnya berucap pun tidak sempat dijemput untuk berucap. Bukan tertinggal atau sengaja ditinggalkan, tetapi memang tidak sempat, kerana ramai yang hadir. Dan ini pula adalah program “himpunan”, dimana kita memang menggalakkan supaya ramai yang hadir, dan ramai mengambil bahagian.

Kepada mereka yang ‘tertinggal’ dan tidak sempat dijemput untuk membaca atau berucap itu saya memohon ribuan kemaafan. Saya sendiri pun tidak baca pada malam itu. Pun saya mohon maaf kepada yang mengharapkan saya membaca. Dan kepada Syed Shahir yang datang mewakili pihak Kerajaan Negeri, pun saya mohon maaf kerana gagal memberikan ruang untuknya.

Lebih daripada itu sebenarnya saya amat menghargai Syed Shahir, kerana tanpa mewakili Kerajaan Negeri pun dia memang selalu hadir program-program budaya yang dianjurkan oleh Paksi. Malah dia sendiri telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan program “Merakyatkan Budaya”, sebagai mengimbangi program “Merakyat-kan Ekonomi”. (Dan cadangan yang disuarakannya pada 6 Februati 2010 itu telahpun saya rakamkan dalam buku Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, terbitan terbaru Paksi).

Segala kelemahan itu tentulah kerana kelemahan saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap susunan program, manakala kejayaan keseluruhan program adalah kerana kerja keras yang disumbangkan oleh pihak PAS Kawasan Hulu Selangor dan wakil-wakil penduduk Felda Sg Tengi sendiri. Terima kasih kepada Hj Wahid dan Nahar, yang walaupun terdapat beberapa halangan namun acara tetap berjalan seperti yang dirancang.

Misalnya di saat-saat akhir kontraktor yang berjanji akan memasang pentas telah membatalkan janjinya, kerana diarah oleh pihak lain yang lebih berkuasa di situ. Maka terpaksalah mereka membina pentas itu dengan menyusun tong-tong gas dan sebagainya. Demikian juga acara dialog santai sekitar seni yang dirancang hendak dibuat di sebuah dewan di situ, terpaksa diubah tempatnya kerana pihak lain tiba-tiba mahu menggunanya untuk suatu yang dikatakan program kerajaan pusat.

Ada lagilah beberapa perkara yang sengaja didiamkan, oleh kerana ada gangguan yang sedemikian itu. Maka Hishamuddin Rais pun beberapa kali bertanya dengan suara lantangnya ketika menyampaikan “stand-up comedy”nya – “Mana perginya semua anak-anak muda di sini? Saya tak nampak pun muka anak-anak muda di sini. Mereka pergi mana?”

Di kalangan Paksi pun memang kami tanya-bertanya juga soalan itu, dan masih tidak mendapat jawapannya. Maka ada di kalangan kami yang bercadang untuk pergi lagi ke Sg Tengi, kerana merasakan seperti “masih ada lagi yang belum selesai” di situ.

 Kami melihat kawasan Felda adalah suatu kawasan yang unik tersendiri, yang memerlukan suatu pendekatan tertentu. Misalnya selain bertanyakan di mana menghilangnya anak-anak muda itu, kami juga bertanya kenapa dakwah penghayatan Islam seperti kurang diberikan perhatian. Sedangkan kawasan yang “unik tersendiri” seperti itu sepatutnya adalah dengan sendirinya suatu kemudahan untuk membangunkan masyarakat yang menghayati Islam seperti yang (sepatutnya) menjadi perjuangan PAS. (Atau PAS sendiri pun kini berpolitik melebih-lebih dan kurang berdakwah?)

Apa pun, Mazlan Aliman, Presiden Anak, orang yang memungkinkan terjadinya peristiwa seniman-seniman bertemu dengan masyarakat Felda ini, telah menyatakan hasratnya untuk meneruskan lagi program seumpama di Sg Tengi itu, ke Felda-Felda di tempat lain pula. Yang terdekat ialah di Bera, Pahang, pada 28 Januari ini. Mungkin bukan acara “himpunan” atau “Budayawan Bersama Rakyat” (seperti yang diistilahkan oleh PAS Hulu Selangor), tetapi yang seakan-akan dengan itu.

Maka bagaimanakah pula dengan yang “masih ada lagi yang belum selesai” di Felda Sg Tengi itu? Ke manakah pergi anak-anak mudanya? Apakah di sana memang tidak ada langsung bakat dan minat seni-budaya? Kenapakah tidak dimantapkan penghayatan Islam masyarakat di Felda? dan seterusnya dan seterusnya…

Dinsman
Tiga ratus enam puluh ribu

Tiga ratus enam puluh ribu
Tiga ratus enam puluh ribu hektar luasnya
Seluas-luasnya bumi subur Tuhan ini untuk kita
mencari rezki halaalan thoyyiban – Syukur alhamdulillah
inisiatif ikhlas pimpinan Razak dulu diberkati Allah
Sekian lama peneroka seluruh peneroka menikmati
kemakmuran bumi Tuhan – kebun yang menghijau
kehidupan yang damai menjanji syurga

Bumi Felda adalah embun segar haruman pagi
Angin bersih bertiup lembut burung-burung terbang
Bumi Felda adalah tanah subur ribuan hektar terbentang
Saujana pandangan alam mesra gemersik air mengalir
Janji anak cucu bermain bekerja bersyari‘at di hari muka

Diam-diam ada tangan tamak haloba bersembunyi di belakang
Kenalnya hanya bau ringgitnya warna emasnya selainnya tidak
Kemanusiaan tak mereka peduli keadilan atau hak orang lain
tiada dalam kamus hidup orang-orang kapitalis itu. Malangnya
mereka adalah tangan dan kaki kerajaan memerintah
berselindung topeng bagai pencuri dan lanun yang lapar
bezanya pakaian kemas pegawai koperat tapi keparat
Waduh, cakap mereka pun tebu di bibir manis memujuk
tapi waspadalah tuan-tuan – di pasaran saham sana
mereka memasang iklan melelong tanah-tanah itu
tanah milik Melayu mustadh‘afin

Tiga ratus enam puluh ribu hektar milik mustadh‘afin
berulang lagilah ceritera padi dan beras petani kampung
kini tak lagi kedengaran namanya milik Melayu itu. Hilang!
setelah dikorporat diurusniaga sahamnya di pasaran sana
Mengangkat taraf ekonomi bumiputera Melayu kononnya
seperti mereka mengangkat lembu-lembu ke kondominium
mahu dilembukan saja rakyat Malaysia ini Melayu khasnya
maka jangan dimarahi seorang budak bernama Adam Adli
beraninya menurunkan gambar PM itu adalah isyarat
berani generasi baru yang sedang bangkit!

Tiga ratus enam puluh ribu hektar milik mustadh‘afin
Luasnya bukan kepalang sekadar negeri Melaka, tuan-tuan
tetapi dua kali ganda itu dan tambah lagi setengah
Luasnya itulah bayangan mimpi kekayaan berbilion
dalam kepalaotak pedagang kapitalis tak berhatiperut
tak kenal agama bangsa maupun negara

Ini bukan isu main-main, tuan-tuan, ini persoalan besar
Cerita pengkhianat mahu menjual negeri!

Malangnya
mereka adalah tangan dan kaki kerajaan memerintah
dengan segala alat kuasa dan alat tipudaya di tangan
kelihatanlah gambar-gambar yang indah-indah belaka di layar
janji manis diulang-tayang diulang-tayang berulang-ulang
alat kuasa dan alat tipudaya pinjaman Yahudi itu
berwaspadalah! Isyarat dan pesan Adam berani itu
rakyat Malaysia takkan diam lagi dilembukan
kerana saat ini saat bangkitnya kebenaran rakyat
saat ini saat bangkitnya kebenaran rakyat


(Sempena himpunan seniman-budayawan di Dataran
Felda Sg Tengi, Hulu Selangor, 23 Disember 2011)
Himpunan terbesar karyawan Paksi di Felda

ABD SHUKUR HARUN

Hati berdebar ketika saya dan Nasser, penggiat seni dari Seniman Paksi Rakyat (Paksi), melihat awan menghitam ketika memasuki kawasan tanah rancangan Felda Sungai Tengi Hulu Selangor untuk menyertai Himpunan Seniman di sana.
Ketika sampai di dataran tempat berhimpun itu hujan renyai-renyai dan beransur lebat. Namun semua kerisauan itu menghilang ketika kami memasuki warung di situ dan disambut mesra oleh ramai penulis dan budayawan yang sedang minum dan makan kuih kampung seadanya – jauh dari makan di hotel ternama bersama pembesar negara.
Perhimpunan anjuran Paksi bersama persatuan peneroka (Anak) yang dipimpin oleh saudara Mazlan Alimin itu diselenggarakan oleh PAS Kawasan Hulu Selangor
Sangat terasa segarnya ukhuwah yang dibina atas semangat dan cita-rasa bersama di antara sesama penggiat seni untuk cuba menyelami dan mengertikan perjuangan para peneroka dan tempatnya pula di tengah jantung Felda itu sendiri, yang sangat banyak diperkatakan di masa kini.
Di sana bertemu penyair/dramatis Dinsman, Barajiwa, Razali Endun, wartawan Harakah, Tarmizi Mat Jan, Cikgu Ishak Surin dan lain-lain. Kemudian datang Sasterawan Negara, A. Samad Said dan isteri, Hasni Abas dan lain-lain, berkongsi kopi dan teh panas.
Perbincangan di tengah hujan renyai itu begitu santai sekali. A. Samad Said yang berada di tengah para penggiat seni itu seperti ;penghulu’ di tengah anak buahnya. Dia mengesyurkan kepada saya supaya karya kreatif saya selama ini – cerpen, novel dan drama – dibukukan dan diberi kata pengantar baru.
Demikian juga, katanya, pelbagai rencana saya selama ini sangat wajar dibukukan. Saya menjawab, ‘Insya-Allah’ sedang saya usahakan. Tetapi, kata saya, saya dan Paksi tidak ada wang untuk menerbitkan, justru Paksi sebuah badan penulis yang miskin demikian juga saya. Beliau tertawa dan seorang penulis lain menyambut, “Penulis dan badan penulis yang kayapun tidak banyak karya yang diterbitkan oleh mereka.”
Ketika menjelang Maghrib, para karyawan dibawa berehat, mandi dan solat di rumah peneroka di kawasan berdekatan dan beramah mesra dengan tuan rumah yang begitu ramah dengan menghidangkan minuman. Di ruang tamu di rumah mereka yang besar, bergantungan potret putera puteri mereka ketika menerima ijazah dari pelbagai universiti. Putera Puteri anak peneroka ini adalah generasi kedua dan ketiga Felda yang mungkin berbeza persepsi dengan orang tua mereka. 
Kemudian di tengah hujan renyai juga, selepas Isyak, majlis dimulakan dengan lagu-lagu  Melayu rentak ghazal. Hujan mulai berhenti, seolah-olah mahu memberi laluan kepada persembahan para penyair untuk mendeklamasikan puisi mereka. Pak Saleh Bakar, seperti biasa dengan gelombang suaranya yang bergetar menyampaikan sajak dan pantun yang sangat kritis. Kemudian disusul oleh persembahan puisi pendek saya – Anak-Anak Peneroka Yang Dikasihi - disusuli penyair/dramatis Dinsman, Sasterawan Negara, A. Samad Said, Dr. Irwan Abu Bakar, Dr. Ibrahim Ghafar, juga lagu puisi Anbakri.
Lagu-lagu Ito dari Blues Gang yang berunsur agama sangat menyegarkan ditambah dengan ceramah Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dan malam yang dingin itu disegarkan dengan kata-kata dan aksi Hishamudin Rais.
Dinsman memberitahu saya bahawa Paksi sangat terharu dengan kehadiran begitu ramai peneroka dan anak peneroka Felda, memberi isyarat bahawa mereka menerima baik kedatangan dan persembahan anak-anak seni ini.
Beliau dan beberapa tokoh Paksi – Hasni Abas, Barajiwa - malah A. Samad Said sendiri menganggap himpunan karyawan di tengah jantung Felda malam itu adalah himpunan terbesar para penggiat seni dan ini mencerminkan betapa para seniman dari pelbagai genre ikut serta dalam membina gelombang perubahan untuk rakyat.
Malam Himpunan di Felda itu bukan saja menemukan para seniman dengan masyarakat Felda, tetapi lebih dari itu mereka mendengar sendiri bisikan hati nurani peneroka dalam perbualan dengan mereka sejak petang lagi.
Saya percaya, inilah pertama kali himpunan seperti ini diadakan oleh para karyawan seni dari pelbagai genre di tengah kawasan rancangan Felda yang demikian luas, menunjukkan bahawa kalangan karyawan seni juga memberikan perhatian kepada peneroka.
Memang sejak dulu lagi, beberapa sasterawan rakyat seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Azizi Haji Abdullah dan beberapa orang lagi sentiasa merakamkan perjuangan petani dan peneroka dalam karya mereka dan kini kelihatannya dilanjutkan oleh beberapa karyawan Paksi.
Bagi saya, golongan peneroka ini bukanlah sebuah masyarakat tertutup yang hanya menerima maklumat dari media tradisional – TV dan akhbar – tetapi mereka juga sudah menerima maklumat dari pelbagai sumber maklumat. Anak-anak mereka yang bekerja di bandar member input maklumat yang berbeza dengan apa yang diberi oleh media tradisional.
Dalam pertemuan kami dengan beberapa peneroka, nyatalah perubahan bahawa pemikiran sudah kelihatan di kalangan peneroka, walaupun belum menyeluruh. Dengan kata-kata lain, peneroka ini bukanlah lagi ‘simpanan tetap’ Umno/BN seperti persepsi masa lalu. Dalam hal ini, tahniah kepada Mazlan Aliman yang memimpin Anak, yang memahami dan berjuang membawa perubahan dalam Felda.
Dengan keramahan dan sambutan hangat peneroka pada malam Himpunan tersebut membuktikan bahawa tiada dinding yang boleh memisahkan peneroka dengan golongan karyawan yang turut berjuang ke arah masyarakat adil, demokratik, saksama, bersih dari rasuah dan penyelewengan.
InsyaAllah, Paksi dan Anak akan menganjurkan perhimpunan yang sama secara besar-besaran di Pahang, di Kota Kinabalu dalam masa terdekat dan Paksi mengharapkan karyawan seluruh negara akan bersama-sama Paksi dalam program rakyat untuk rakyat ini.
Paksi dan Anak akan terus mempererat hubungan dan kegiatan bersama, justeru dua badan ini mempunyai citarasa dan aspirasi yang sama untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Pengalaman membaca novel Muktamar

Muktamar, judul novel itu, karya Wan Ahmad Ismail, seorang aktivis teater di Kuala Terengganu yang banyak menghasilkan teater. Barangkali orang yang paling banyak menghasilkan buku drama di Malaysia – 15 buah. Dan Muktamar ini novelnya yang ke-8.

Ada pengalaman menarik membaca novel ini. Maka saya membuat catatan panjang sambil membaca. Ia dimulakan dengan watak Bidin yang bersedia untuk bergaduh dengan Jidin, ekoran perbalahan yang timbul sewaktu mendengar ceramah Tuan Guru, yang kini menjadi Menteri Besar di negeri Serambi Mekah, setelah parti Cahaya menang dan parti Kanun kalah dalam pilihanraya umum lalu.

Negeri Serambi Mekah itu ialah Terengganu, parti Cahaya itu parti PAS, dan parti Kanun itu Umno. Dengan mudah sahaja kita dapat tahu maksud tersebut. Dan Wan Ahmad Ismail menggambarkan dengan agak rinci latar ceramah Tuan Guru itu. Gambaran ceramah parti PAS sekitar tahun-tahun akhir 1990-an dan awal 2000-an seperti yang dimaklumi atau dialami oleh kebanyakan rakyat Malaysia

Menariknya novel ini ialah buat pertama kalinya cerita negeri Terengganu sewaktu diperintah oleh PAS, selepas pilihanraya umum 1999 itu, dengan isu royalti minyak dan wang ehsan serta isu ISA sebagai isu utama, diangkat ke dalam novel. (Dulu ada sebuah novel politik oleh Alias Ali (Krisis), tapi saya tak berapa ingat lagi bagaimana persoalan dalam novel itu).

Saya ingin melihat bagaimana Wan Ahmad Ismail (bekas kakitangan kerajaan dan bukan orang PAS) mengolah cerita Terengganu di zaman pemerintahan PAS itu, dengan pelbagai isunya (yang benar dan yang direka-reka), ke dalam sebuah novel yang setebal 447 halaman. Bukan sahaja isu royalti minyak dan ISA, tetapi banyak isu lain lagi, termasuk isu JKKK dan JSR (Jawatankuasa Syura Rakyat) diolah semula sebagai sebuah fiksyen.

Memang menarik membaca novel ini. Banyak aspek yang menarik. Sambil membacanya kita teringat kepada persoalan yang berbangkit di zaman itu, satu demi satu, digarap oleh pengarangnya.

Sebagai seorang yang meminati pentadbiran kerajaan PAS (di Kelantan, Terengganu dan Kedah), kehadiran novel yang seluruhnya menggarap persoalan, konflik dan krisis yang berlaku dalam pentadbiran sebuah negeri yang dipimpin oleh PAS ini, amatlah dialu-alukan. Apatah lagi pendekatan dan penceritaannya pun boleh dianggap baik dan lancar, walaupun terdapat kesilapan dan binaan ayat yang agak pelik di sana-sini.

Boleh dikatakan ia adalah sebuah rekod sejarah mengenai satu penggal pentadbiran kerajaan PAS di Terengganu, yang ditulis dalam olahan kreatif dan imaginatif. Tumpuan penceritaan ialah pada kehidupan rakyat di dua buah kampung di seberang sungai di depan bandar Kuala Terengganu, iaitu kampung Duyung Kecil dan kampung Hulu Belakang yang bersejarah itu.

Saya merasakan pengalaman membaca novel ini agak berbeza daripada pengalaman membaca kebanyakan novel lain. Ini novel politik. Hanya sesekali sahaja bercerita mengenai watak-watak manusia, selainnya adalah mengenai isu-isu dan persoalan-persoalan politik, yang diceritakan atau dibincangkan oleh watak-watak yang menghidupkan novel ini.

Walaupun tidak semuanya yang timbul sewaktu pentadbiran PAS di Terengganu itu dihidupkan semula dalam novel ini, namun sebagai sebuah novel ia boleh dikatakan agak lengkaplah juga. Maka tidak keterlaluan kalau kita ucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Ismail pengarangnya, kerana usahanya memerhati dan meneliti peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman tersebut dan mengolahnya semula itu bukanlah satu usaha yang mudah.

Maka saya teringat kepada Kelantan yang sudah lebih 20 tahun ditadbir oleh PAS itu, belum lagi ada sebuah novel yang ditulis mengenainya. (Bilakah akan ada seseorang yang akan menulisnya seperti yang dibuat oleh Wan Ahmad Ismail ini?)

Sambil membacanya dari satu bab ke satu bab, hingga ke bab 24 (hal.428), saya terfikir barangkali novel ini boleh membuka fikiran sesiapa yang membacanya untuk memahami dan menilai kebaikan dan keburukan parti PAS dan Umno, khususnya dalam mentadbir negeri Terengganu.

Memang ternampak agak jelas yang pengarangnya lebih memihak kepada PAS (parti Cahaya). Tetapi cara pengolahan cerita yang melibatkan kehidupan watak-watak di sekitar Kuala Terengganu itu, seperti mendedahkan cerita sebenar di sebalik pergolakan politik. Siapakah yang benar-benar berbakti untuk rakyat dan siapakah yang lebih mengutamakan kepentingan diri. Manakah parti yang berjuang untuk kebenaran dan keadilan, dan manakah parti yang berjuang untuk kepentingan diri dan kroni. 

Saya terfikir untuk membawa novel ini kepada pihak pimpinan PAS, bagi menunjukkan bagaimana sebuah novel boleh membantu memperjelaskan ke arah memahami perkara-perkara yang mungkin sukar ditembusi melalui politik. Pendek kata, novel boleh mendedahkan kebenaran dan kepalsuan.

Tetapi apabila bacaan masuk ke bab 25 dan bab Penutup novel ini, ghairah dan semangat itu tiba-tiba jadi terjatuh dan agak terkecewa. Aduh, dia memuji-muji Perdana Menteri pulak dah! Anti-klimaks lah! Maka saya hantar mesej kepada pengarangnya: “Sepatutnya novel kau ini 428 mukasurat saja. Dua bab akhir itu boleh merosakkan keseluruhan novel.”

Nasib baik Wan Ahmad Ismail seorang kawan lama saya yang baik hati, dan dapat memahami sikap berterus-terang itu. Saya pun tersedar, tidak sepatutnya saya bersikap celupar begitu dengannya. Bukankah itu sebuah karyanya yang sudah sempurna! Saya suka atau tidak, itu adalah karya dia, hak dia. Mengapa pula saya melebih-lebih!

Tapi, walau apapun, inilah sebuah pengalaman membaca novel yang ada kelainannya. Saya membuat catatan yang panjang mengenai novel ini. Insya Allah suatu hari nanti kita boleh berkongsi catatan tersebut. Walau apapun, sekali lagi tahniah, Wan Ahmad Ismail! (Lepas ini saya akan baca pula novelnya Pulau Tasik, yang terbit serentak bersama Muktamar itu. Insya Allah.).