Background
Itulah sebenarnya tujuan dan maksud saya apabila menyatakan kekecewaan terhadap beberapa pimpinan PAS yang dijemput menghadiri majlis Bicara Buku di Shah Alam bulan lalu, tetapi tidak seorang pun yang hadir; iaitu kekecewaan dalam konteks usaha untuk menghidupkan budaya menghargai buku dan ilmu.

Maka sengaja saya paparkan respon seorang Ketua Pemuda PAS Kawasan di Lembah Kelang itu dengan tujuan untuk melihat maklum balas daripada pembaca kolum ini – apakah memahami maksud dan tujuan saya itu atau tidak. Alhamdulillah, ramai yang memberi respon dan berkongsi pandangan, kebanyakannya memahami maksud itu.

Di sini saya pun tidak bertujuan untuk memperpanjangkan perkara ini lagi. Sekadar menunaikan harapan pihak pembaca yang inginkan penjelasan sahaja.

Hujah pertama beliau: “Dalam PAS kita berjuang bukan kerana TG Nik Aziz atau TG Hadi dan sebagainya. Kita berjuang kerana mahukan keredhaan Allah SWT, untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini.”

Itu seolah-olah tidak memahami pokok persoalan yang dibangkitkan. Saya mengajak hadir ke suatu majlis ilmu yang membicarakan buku mengenai kepemimpinan rantau ini dan kepemimpinan TG Nik Aziz. Apakah kalau hadir ke majlis itu bermakna kita berjuang untuk TG Nik Aziz, dan tidak berjuang “kerana mahukan keredhaan Allah SWT”?

Itu dua hal yang tidak berhubungan. Langsung tidak kena mengena. Apakah kalau kita berjuang “kerana mahukan keredhaan Allah SWT” maka kita tidak perlu dan tidak boleh hadir ke majlis ilmu yang membicarakan buku mengenai kepemimpinan TG Nik Aziz, oleh dua orang tokoh ilmuan akademik itu?

Tentulah kurang bijaksana kalau kita beranggapan bahawa dengan menghadiri majlis itu maka perjuangan kita sudah jadi perjuangan “kerana TG Nik Aziz”.

Hujah keduanya: “Sesungguhnya pimpinan PAS di semua peringkat memang sangat sibuk. Sibuk kerana melaksanakan kerja-kerja Islam. Sebahagian mereka melaksanakan kerja Islam ini sepenuh masa. Kami yakin kesibukan ini sekadar di dunia, dan Allah SWT akan memberi kelapangan di akhirat nanti. Almarhum Dr Fathi Yakan rh berkata: ‘Tidak layak dikata seorang pejuang Islam kalau sekiranya masa rehatnya lebih banyak daripada masa berjuang.’

Kenyataannya bahawa pimpinan PAS sangat sibuk melaksanakan kerja-kerja Islam itu, seorang pembaca yang menamakan dirinya Ahli Pas berkata: “Saya rasa kita tak perlulah merasakan kita sahaja buat kerja Islam, tetapi semua kita membuat kerja yang sama dan saling kait mengait tanpa merasakan ada yang lebih dan ada yang kurang.”

Manakala seorang dari Port Dickson bertanya: “Apakah dia fikir kalau hadir ke majlis bicara buku itu bukan kerja Islam? Bukankah Islam sangat memberi keutamaan kepada menuntut ilmu, dan majlis itu pengisiannya oleh mereka yang tinggi ilmunya di bidang kepimpinan?”

Beberapa orang memberi komentar terhadap nada sombong dan defensif yang terkandung dalam ayat-ayat Ketua Pemuda tersebut. Seorang pendakwah dari Shah Alam yang menghadiri majlis tersebut memberi reaksinya: “SMS Ketua Pemuda itu bernada defensif. Watak orang defensif akan menyerang orang yang memberi kritikan. Bahkan memperkecil-kan peranan dan sumbangan orang berkenaan. Sifat ini adalah realiti yang harus diakui ada pada kepimpinan PAS.”

Dan ada juga pembaca yang bersetuju dan menyokong pandangan Ketua Pemuda tersebut. Seorang yang tidak memperkenalkan dirinya menulis: “Apa yang dinyatakan Ketua Pemuda PAS Kawasan itu betul dan ana sokong beliau. Pada ana tak perlu dipolemikkan perkara ini. Sdr fokuslah pada perkara lain yang lebih penting.”

Manakala seorang dari Maran, Pahang, tidak menyatakan apa-apa dalam SMSnya, sekadar memaklumkan bahawa Ketua Penerangan PAS Kawasan Maran pun ada hadir dalam majlis Bicara Buku di PPAS Shah Alam itu.

Banyaklah lagi dan macam-macamlah pandangan telah dikemukakan. Saya menghargai semuanya dan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi respon. Tak perlulah pandangan dan hujah-hujah tersebut dibalas. Seperti dikatakan tadi, tujuan saya ialah untuk menghidupkan budaya menghargai buku dan ilmu.

Hal ini saya kira penting diperhatikan kerana banyak kekhilafan dan salah faham agama yang berlaku dalam masyarakat Melayu-Islam adalah disebabkan kelaziman kita menghayati agama berdasarkan ‘kata ustaz’, ‘kata tok guru’, ‘kata ulamak’ dan sebagainya, yang didengar dari seorang ke seorang, bukan yang dibaca dan dirujuk dalam buku (kitab). Makanya kesahihan sesuatu itu pun sering terabai.

Demikianlah saya sekadar menggerakkan usaha kecil-kecilan. Bukanlah tidak memahami kesibukan para pimpinan PAS yang berkenaan itu. Tetapi pun kesibukan juga bukanlah jawapan kepada permasalahan yang perlu dihadapi. Maka pandai-pandailah kita mengajak diri untuk bermuhasabah.

Sementara itu secara diam-diam kita memang menggalakkan dan mendorong kawan-kawan yang berminat untuk mengadakan sesi diskusi atau bicara buku, khasnya buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karya Prof Shaharir Mohd Zain ini.

Misalnya pada 19 November nanti kawan-kawan Pemuda PAS Cawangan Kuala Muda di Seberang Prai akan menganjurkan diskusi buku ini. Manakala kawan-kawan dari KeAdilan Kelana Jaya pula sedang mengatur rancangan yang sama.

Demikianlah kami mengalu-alukan kalau ada mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan majlis diskusi atau bicara buku.

Dinsman (Artikel 260, 21/10)
Bicara halal-haram seni di Kulaijaya

Malam 15 Oktober lalu bersama-sama dengan Bob Lokman, Imam Muda Asyraf dan Dr Muhaimin Sulam, saya berkongsi pentas forum membicarakan topik “Seni: Halal atau Haram?”, anjuran PAS Kawasan Kulai, yang diadakan di sebuah dewan dalam Kelab Golf Palm Villa, Kulaijaya, Johor.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik, dalam suasana yang agak santai disebabkan oleh cara dan gaya Bob Lokman mengendalikannya sebagai moderator forum. Mulanya dijadualkan Muhaimin sebagai moderator, tetapi Muhaimin mencadangkan Bob Lokman kerana Bob Lokman memang seorang pengacara. Dan Bob Lokman pun setuju, memang dia seorang pengacara dan juga pelawak, katanya.

Tahniah kepada PAS Kawasan Kulai kerana menganjurkan forum yang agak lari dari kebiasaan PAS ini. Membicarakan kesenian dan kebudayaan bukanlah satu kebiasaan PAS, walaupun sudah lebih setahun wujudnya Lajnah Kesenian dan Kebudayaan. Dan terima kasih kepada Mazlan Aliman (AJK Pas Pusat) kerana menjemput saya menjadi panelnya.

Forum ini diadakan di dalam dewan yang agak eksklusif. Khabarnya kena bayar tiket. Maksudnya ia bukan dibuat sebagai agenda politik popular untuk orang ramai berhibur dengan Bob Lokman dan Imam Muda Asyraf (secara percuma di tempat terbuka), tetapi ia jelas bertujuan untuk suatu bicara yang serius mengenai seni dan budaya.

Langsung tidak ada injeksi politik di dalamnya. Ucapan perasmian dan penutup pun tidak ada. Mazlan Aliman hadir hanya sebagai penonton, dan mendengar bicara ahli-ahli panel daripada awal hingga akhir, naik pentas hanya untuk menyampaikan ceenderamata kepada panel, dan selepas itu bersambung dengan bual-bicara sambil makan lewat malam di restoran, bersama dengan YDP Hisham Mohd Zin.

Mengapa saya ceritakan hal titik-bengik ini? Saya ceritakannya untuk menunjukkan sifat kesungguhan penganjuran majlis itu, yang tidaklah semestinya diselit atau diganggu dengan agenda politik. Mungkin nampaknya suatu perkara kecil dan remeh, tetapi impak dan implikasinya tidak kecil. Ia penting untuk difahami.

Alhamdulillah, malam itu kita berbicara soal kesenian dan hiburan. Yang manakah yang halal dan yang manakah yang haram di sisi Islam? Saya bawa dan tunjukkan kepada hadirin dua buah buku yanag menjadi rujukan utama saya dalam hal halal-haram seni. “Siapa Bilang Musik Haram? Pro Kontra Masalah Musik dan Nyanyian” karya Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani (terjemahan Indonesia) dan “Seni Dalam Islam” karya Dr Yusuf Qardhawi (terbitan Jakim).

Syeikh Nashiruddin Al-Albani, seorang pakar hadis di zaman mutakhir, yang penilaian sahih dan tidaknya terhadap hadis diterima umum, berhujah dengan hadis-hadis sahih mengatakan bahawa muzik adalah haram di sisi Islam. Manakala Dr Yusuf Qardhawi pula, juga seorang ulama mutakhir yang pendapatnya menjadi rujukan di seluruh dunia, berhujah mengatakan bahawa muzik dan hiburan dibenarkan oleh Islam.

Demikianlah juga ulama Islam sejak zaman sahabat dulu hinggalah sekarang, tidak pernah sepakat dalam soal halal-haram muzik dan seni dalam Islam. Sebahagian berpendapat ia halal manakala sebahagian lagi berpendapat ia haram. Masing-masing berhujah dengan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah. Tidak ada nas yang secara jelas menghalal atau mengharamkannya.

Makanya saya mengambil sikap bahawa muzik dan lain-lain bentuk seni dan hiburan itu, samalah juga dengan pelbagai perkara lain lagi, ada yang halalnya dan ada yang haramnya. Kita perlu merujuknya kepada pelbagai hukum lain yang bersangkutan, misalnya hukum mengenai niat dan tujuan, hukum mengenai aurat dan pergaulan, samada ia mengarah kepada kebaikan atau ia boleh menyebabkan kepada kemungkaran, dan sebagainya.

Jadinya saya lebih suka berbicara mengenai apa yang kita boleh buat dan apa yang kita perlu buat sebenarnya. Tidak ada gunanya kita berbicara soal halal dan haramnya kalau kita tidak buat apa-apa. Maka saya pun menceritakan apa yang telah saya buat, dalam konteks seni dan budaya, sejak di sekolah menengah lagi hinggalah sekarang.

Saya bicara mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat, mengenai peranan yang telah dimainkan oleh seniman dalam gerakan Reformasi sejak 1998 hingga sekarang, dan bagaimana tertubuhnya kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pada Jun 2008, dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankannya hingga sekarang.

Diceritakan juga bagaimana teater telah dipersembahkan di dalam masjid. Teater yang bagaimana yang boleh dimainkan di dalam masjid itu? Ada pihak masjid yang tidak mem-benarkan biola dimainkan di dalam masjid, dan ada pihak masjid yang membenarkananya.

Betapa besar dan pentingnya peranan penulis dalam memperjuangkan kebenaran dan membawa perubahan kepada masyarakat. Hal ini yang sering saya tekankan dalam aktiviti-aktiviti Paksi dan tulisan saya akhir-akhir ini. Betapa kita perlu melahirkan lebih ramai penulis-penulis seperti SN A Samad Said dan Azizi Hj Abdullah, misalnya.

Maka saya mencadangkan kepada PAS Kulai supaya berusaha melahirkan kumpulan penulis dan seni-budaya mereka sendiri, bagi menjalankan aktiviti-aktiviti seni dan budaya yang tidak melanggar syari‘at dan hukum-hukum Islam, sebagai alternatif kepada aktiviti-aktiviti hiburan yang sering dilakukan dan dianjurkan oleh pihak Umno-BN dan penyokong-penyokongnya, yang biasanya tidak mempedulikan syari‘at dan hukum Islam.

Akhirnya, sambil menghadiahkan buku Menunggu Kata Dari Tuhan kepada ahli-ahli panel, saya mencadangkan kepada Bob Lokman supaya membaca skrip cerita Kaab bin Malik tersebut, dan pertimbangkan keinginan dan kepercayaan saya untuk melihat dia berlakon sebagai Kaab bin Malik, dalam pementasan-pementasan MKDT yang akan datang.

Sekarang saya menunggu jawapan daripada Bob Lokman dengan penuh harapan. Insya Allah!

Dinsman (Artikel 259, 17/10)
Ketua Pemuda PAS kawasan jawab Dinsman

Wacana Budaya minggu lalu, “Orang PAS tak minat kepemimpinan Nik Aziz?” mendapat banyak respon. Yang menyokong/bersetuju dan juga yang tak bersetuju. Semuanya saya hargai. Terima kasihlah kerana sudi memberi pandangan.

Walaupun semuanya saya hargai, tapi tak perlulah saya memberi respon balas kepada semuanya. Saya hanya ingin membuat respon kepada satu pandangan sahaja. (Yang lainnya ada yang telah saya respon terus melalui SMS). Satu pandangan ini saya pilih, pertamanya kerana ia datang daripada seseorang pemimpin PAS peringkat kawasan di Lembah Kelang, iaitu Ketua Pemudanya.

Pemimpin Pemuda yang seorang ustaz ini (mengikut nama yang diperkenalkannya melalui SMS), menghantar SMS panjangnya kepada saya pada hari Ahad 9 Oktober. Saya akan salinkan sepenuhnya tulisan beliau itu di bawah. Tujuannya supaya pembaca dapat membaca sendiri pemikiran dan sikap beliau terhadap isu yang saya timbulkan itu.

Saya berterima kasih istimewa kepada Ketua Pemuda kawasan ini, kerana kesudian beliau menulis SMS tersebut. Sebahagiannya saya setuju dengan beliau, manakala sebahagian lagi tidak. Tetapi walau apapun, saya tak akan memberikan jawapan atau respon balas saya terhadap pandangan beliau itu, pada kali ini.

Saya ingin melihat respon daripada anda para pembaca terlebih dahulu. Tak kiralah bagaimana pun anda melihatnya, dan dari aspek mana atau pendekatan apa sekalipun. Samada anda bersetuju dan ingin menyokong beliau dengan hujah-hujah anda tertentu, ataupun sebaliknya.

Saya melihat responnya itu sebagai satu pencetus dialog atau polemik yang sangat baik, dan boleh menyumbangkan beberapa pandangan bernas dan membina (berfaedah) khasnya kepada jemaah PAS.

Berdasarkan pada respon kepada Wacana Budaya minggu lalu, ada pelbagai pandangan. Sebahagiannya cukup menarik, menyentuh soal pemahaman terhadap sikap orang Melayu-Islam terhadap ilmu dan politik, yang saya kira perlu diberi perhatian yang lebih, atau diberi pemikiran semula.

Saya tidaklah kecewa dengan sambutan terhadap majlis Bicara Buku yang berkenaan, kerana sambutannya sangatlah menggalakkan. Yang saya timbulkan isunya ialah para pimpinan PAS yang saya jemput, tidak seorang pun yang hadir. Maka kekecewaan saya bukanlah bersifat peribadi, tetapi mempersoalkan apakah itu menunjukkan bahawa orang PAS tidak dididik untuk menghargai ilmu dan ilmuan?

Berikut ialah mesej yang dihantar oleh seorang Ketua Pemuda PAS kawasan dari Lembah Kelang itu, melalui SMS:

“Assalamualaik tuan Dinsman yang dihormati. Respon terhadap tulisan tuan dalam Harakah

1) Dalam PAS kita berjuang bukan kerana TG Nik Aziz atau TG Hadi dan sebagainya. Kita berjuang kerana mahukan keredhaan Allah SWT, untuk melaksanakan perintah Allah di muka bumi ini.

“2) Sesungguhnya pimpinan PAS di semua peringkat memang sangat sibuk. Sibuk kerana melaksanakan kerja-kerja Islam. Sebahagian mereka melaksanakan kerja Islam ini sepenuh masa. Kami yakin kesibukan ini sekadar di dunia, dan Allah SWT akan memberi kelapangan di akhirat nanti. Almarhum Dr Fathi Yakan rh berkata: ‘Tidak layak dikata seorang pejuang Islam kalau sekiranya masa rehatnya lebih banyak daripada masa berjuang.’

“3) Pemimpin PAS di semua peringkat insya Allah mengenali TG Nik Aziz dan TG Hj Hadi dengan baik, kerana itu kami sangat menghormati mereka.

“4) Sekarang pemimpin PAS semua peringkat memang sangat sibuk, kerana kami ada kerja yang lebih utama untuk dilaksanakan. Sesungguhnya pertembungan program sekarang ini adalah menjadi satu perkara biasa. Bila berlaku demikian perlu diutamakan program yang utama.

“5) Alhamdulillah, kerana sudah ramai ilmuan/cendekiawan yang berminat dengan pimpinan kita. Bagi pandangan saya program diskusi itu lebih sesuai dibentangkan kepada mereka yang di atas pagar, yang berminat kepada pemimpin kita. Jadi, baguslah jika sekiranya ada rakan dari parti lain berminat dengan pimpinan kita.

“6) Politik kami adalah politik Islam, yang di dalamnya ada dakwah, tarbiyah, jihad dan sebagainya. Jadi, biarlah bila ada orang kata PAS ini hanya sibuk berpolitik. Kami yakin Allah SWT meredhai cara politik kami, kerana PAS berpolitik mengikut acuan Allah SWT berdasarkan al-Quran dan Assunnah.

“7) Apabila kita menganjurkan sesuatu program, jika sekiranya tak mendapat sambutan, janganlah kita segera menyalahkan sesiapa. Salahkan diri kita dahulu. Kata Prof Dr Yusuf al-Qardhawi: ‘Orang yang ikhlas, bila gagal dalam sesuatu dia akan menyalahkan dirinya dahulu.’ Maksudnya kita bermuhasabahlah dahulu, mungkin ada kesilapan kita kenapa program kita tak dapat sambutan. Adakan postmortem, insya Allah jumpa penyelesaiannya.

“8) Akhirnya, saya mohon maaf banyak-banyak kepada tuan, saya sekadar nak berkongsi dan respon terhadap tulisan tuan. Diharapkan tuan teruskan kerja-kerja tuan dalam usaha menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam pada seluruh manusia serta berusaha membuka minda manusia.”

Dinsman (Artikel 258, 14/10)
Mengenang Azizi bukan sekadar mengenang

Malam itu kami berkumpul di suatu sudut yang agak terpencil dari kesibukan dan hiruk-pikuk kota, walaupun sudut itu sebenarnya berada di tengah-tengah jantung kota kosmopolitan Kuala Lumpur. Ada sahabat datang khas dari sejauh Merbok, Kedah, walaupun dalam keadaan badannya kurang sihat. Dan ada yang dari Meru, Ipoh. Yang lainnya dari sekitar Lembah Kelang. Kami bertemu di sudut warong di depan bangunan lama DBP, yang kami panggil dengan nama Warong Rakyat.

Kami berkumpul di situ untuk satu tujuan – mengenang seorang sahabat yang seorang seniman dan pejuang rakyat dan pejuang kebenaran – Azizi Hj Abdullah, yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 Ogos lalu.

Cikgu Azmi, yang datang dari jauh, memulakan majlis dengan memimpin bacaan tahlil ringkas dan doa. Diikuti kemudian dengan ceritanya mengenai Azizi, yang banyak berkisar di sekitar cerita-cerita Azizi sewaktu bekerja dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Memang CAP ada peranannya dalam membentuk dan mengubah pemikiran Azizi pada fasa-fasa akhir dalam pengkaryaannya. Cikgu Azmi menceritakan bagaimana mereka menghabiskan waktu bermalam-malam berbincang mengenai isu-isu tertentu, yang kemudiannya menghasilkan buku-buku seperti Air Mata Kerpan, Gaya Hidup Ranggi, Luka Rakyat, Mustadh’afin dan Jiwa Hamba.

Di samping buku-buku tersebut Azizi juga menulis artikel-artikel jenis investigative reporting atau laporan hasil penyelidikan, yang dimuatkan dalam akhbar bulanan CAP, Utusan Pengguna. Kebanyakannya tulisan-tulisan mengenai kemiskinan rakyat, gejala sosial dan penyelewengan tertentu.

SN A Samad Said mengesahkan peranan dan sumbangan CAP terhadap pemikiran dan pengkaryaan Azizi tersebut. Menurutnya novel-novel Azizi mutakhir adalah berdasarkan cerita-cerita sebenar masyarakat atau berdasarkan fakta-fakta sosial, yang turut menjadi trend mutakhir dalam penulisan novel peringkat dunia, dikenali sebagai Nonfiction Fiction. Paling ketara ialah novel Azizi yang berjudul Daerah Beta.

Samad Said telah merakamkan dua pertemuan akhir beliau dengan Azizi yang berlangsung di wad Hospital Umum Pulau Pinang, dalam eseinya berjudul “Percakapan Antara Gunung dan Bukit”. Esei ini akan dimuatkan dalam sebuah majalah baru yang akan diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (110%) tidak lama lagi.

Seterusnya Kassim Muhamad pula mengucapkan versi kenangannya. Kisah perkenalan awalnya dengan Azizi sewaktu mendengar ceramah politik PAS di Sungai Petani. Hujan turun dan mereka basah. Dia bawa Azizi mandi di rumahnya sebelum dia berikan baju-T-nya untuk dipakai Azizi.

Seterusnya hubungan menjadi rapat. Dan sewaktu Azizi hendak menulis novel Sangheeta, dia bersama Azizi pergi ke Johor bertemu dengan pemain gambus, kerana Azizi perlu mendapatkan pengalaman pemain gambus itu, untuk dituangkan ke dalam novel tersebut. Kassim juga menemani Azizi ke Negeri Sembilan untuk melihat sendiri bagaimana miskinnya sebuah keluarga miskin yang dilaporkan dalam sebuah akhbar.

Dan sekarang Kassim sedang membantu anak Azizi menguruskan urusan-urusan Azizi yang perlu diselesaikan dengan pihak-pihak tertentu, termasuk dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, berhubung dengan manuskrip lama novel-novelnya yang diserahkan kepada DBP, dan juga urusan royalti.

Hasni Abas pula mengenali Azizi kerana tugasnya sebagai editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi itu hubungan agak rasmi. Hubungan yang lebih mesra terjadi apabila dia ke Alor Setar untuk urusan ceramah GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) pada awal 2009, dan orang yang sepatutnya mengaturkan program tersebut tidak muncul. Azizilah yang datang menghiburkan hatinya yang sedang marah dan kecewa itu. Membawa dia berjalan-jalan dengan keretanya, hingga ke Perlis.

“Azizi lebih marah kepada orang itu daripada saya,” kata Hasni. “Sepatutnya saya yang marah. Tetapi Azizi lebih lagi marah.”

HMS Abu Bakar tidak bercerita, sebaliknya dia membaca sebuah puisi yang didedikasikannya kepada Azizi.

Dan sebelum Razali Endon memberikan versi perkenalannya, iaitu ketika menghadiri kempen pilihanraya kecil Anak Bukit dan Pendang, (Razali sempat bermalam dua malam di Kampung Raja – rumah saya), terlebih dahulu saya menyatakan bahawa perkenalan saya dengan Azizi telah lama terjalin, tetapi lebih bersifat hubungan yang tidak serius dan ada cerita-cerita nakalnya.

Memang Azizi pun orangnya selalu tidak serius. Kebanyakan orang pun mengenalinya demikian, hingga hal itu turut mempengaruhi tanggapan terhadap karya-karyanya. Kebetulan pula beberapa novelnya waktu itu kurang menarik bagi saya kecuali Orang Tua di Kaki Gunung; maka saya pun kurang memperhatikan karya-karya Azizi secara serius. Dan saya fikir kebanyakan orang pun bertanggapan begitu terhadap Azizi. Hal yang agak malang dan tragis.

Hubungan yang lebih serius dan bermakna terjadi apabila Seniman Paksi Rakyat hendak ditubuhkan, pada Jun 2008. Azizi hadir dalam pertemuan itu, dan seterusnya dia selalu hadir dalam program-program Paksi, termasuk di Kuala Pahang. Malah apabila teater Menunggu Kata Dari Tuhan dipentaskan, dia beberapa kali menjadi pengulasnya, selepas pementasan. Ini termasuk di masjid Batu Caves dan di Johor Bahru.

Diam-diam saya mulai menyedari bahawa Azizi telah lama membawa falsafah dan perjuangan Paksi dalam karya-karyanya. Saya pun mulai melihat semula Azizi dengan lebih serius. Saya melihat keunikan dalam Zikir Rindu. Dan tiba-tiba – ketika saya mulai melihat keseriusannya, dan tanpa disedari hubungan semakin intim – dia pun pergi… inna lillaahi wa-inna ilaihi roji’uun.

Dinsman (Artikel 257, 10/10)
Orang PAS tak minat kepemimpinan Nik Aziz?

Alhamdulillah, majlis bicara buku yang membicarakan dua buah buku kepemimpinan karya Prof Shaharir Md Zain telah berjalan dengan baik sekali pada 4 Oktober lalu, di Dewan Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS), Sham Alam. Dua orang pembicaranya, Dr Zaid Ahmad dan Dr Mat Rofa Ismail (kedua-duanya daripada Universiti Putra Malaysia) telah menyampaikan bicara mereka dengan keistimewaan masing-masing.

Paling mengujakan saya ialah pembentangan oleh Dr Mat Rofa Ismail (tokoh matematik yang pakar di bidang mantik), yang membicarakan buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman”.

Saya tidak menjangka yang dia mempunyai begitu banyak maklumat mengenai Tok Guru Nik Aziz. Rupa-rupanya dia mengikuti TG Nik Aziz sejak dia masih bersekolah lagi, dan minatnya yang besar itu mendorong dia menyimpan pita-pita rakaman ceramah TG Nik Aziz sejak tahun-tahun 70-an.

Pembentangannya selama satu jam itu pula menjadi menarik kerana dibantu dengan gambar-gambar foto yang sebahagiannya mungkin belum pernah kita lihat. Misalnya gambar Tok Guru sedang tidur lena di suatu tempat (bukan bilik tidur) kerana berehat sebentar dalam kesibukannya, sebelum memulakan ceramah atau tugas-tugas lain.

Beliau telah membuka luas lagi maklumat dan pengetahuan mengenai TG Nik Aziz, di samping mengulas analisa Shaharir terhadap ciri-ciri kepemimpinan unggul yang terdapat pada diri Nik Aziz sebagai seorang pemimpin yang boleh dijadikan contoh seorang pemimpin Islam sebenar.

Manakala dari pembentangan Dr Zaid Ahmad pula, paling menarik perhatian saya ialah apabila dia mengatakan kemungkinan berlaku terputusnya perkembangan tamadun Melayu apabila penggunaan tulisan Jawi di’mati’kan, kerana tamadun Melayu berkembang di peringkat awalnya dan mencapai kegemilangannya melalui tulisan Jawi.

Apabila tulisan Jawi dihapuskan penggunaannya dan digantikan dengan tulisan Rumi, maka perkembangan tamadun Melayu pun terhenti sekejap di situ, sebelum diteruskan dengan jalur perkembangan baru yang agak berbeza daripada yang asalnya.

Tentunya ia suatu pandangan yang perlu diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam untuk didapatkan bukti-bukti dan dokumen-dokumen bagi menyokongnya.

Banyak lagilah pandangan-pandangan yang menarik telah lahir daripada majlis bicara buku tersebut. Sambutan daripada khalayak juga agak memuaskan. Kehadirannya hampir 150 orang. Mungkin kakitangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) daripada pelbagai cawangannya turut memenuhi ruang hadirin. Namun peserta awam dari kalangan budayawan, ilmuan dan pelajar juga agak ramai.

Hanya yang sedikit mengecewakan ialah sambutan daripada kalangan orang-orang politik, khasnya orang-orang PAS. Ramai juga kawan-kawan dan tokoh pimpinan PAS yang saya kenal telah saya maklumkan program ini melalui SMS, (di samping berita dalam Harakah). Tetapi mengecewakan sekali tak ada seorang pun yang hadir. Pelik juga tu!

Apakah mereka tidak berminat untuk mengetahui ciri-ciri keunggulan pimpinan Tok Guru Nik Aziz? Atau apakah semua mereka itu berpendapat mereka sudah tahu semua itu dan tak perlu hadir lagi ke majlis yang membicarakan hal tersebut? Atau mereka terlalu sibuk dengan pelbagai tugas dan kerja hingga tak seorang pun dapat meluangkan sedikit masa untuk hadir?

Apabila beberapa orang ilmuan/cendekiawan menunjukkan minat mereka untuk berbicara mengenai tokoh pemimpin kita, (berbeza dengan ribuan profesor dalam Majlis Profesor Negara yang hanya minat Umno/BN), dan dari kalangan kita tidak seorang pun menunjukkan minat untuk menyambut kesudian mereka itu – cubalah anda fikirkan sejenak apakah implikasi maknanya?

Maknanya orang-orang PAS seperti tidak tahu menghargai ilmuan dan cendekiawan, kecuali ilmuan dan cendekiawan yang secara terang dan jelas menyatakan sokongan kepada politik mereka. Maknanya orang-orang PAS hanya dididik untuk berpolitik dan berpolitik sahaja, tiada lain daripada itu.

Beberapa orang daripada hadirin menimbulkan soalan ini kepada saya, dengan nada yang kecewa, sewaktu tamat sesi wacana tengahari itu. Malah seorang daripada Kelang terus menyatakan kekecewaannya melalui SMS panjang kepada saya, mengenai sikap orang-orang PAS yang dilihatnya kurang menghayati budaya ilmu. “Jadi kalau orang kata PAS hanya hendakkan kuasa sahaja, macamana kita nak nafikan?” katanya.

Sebaliknya beberapa orang AJK cabang KeAdilan yang saya kenal di sekitar Shah Alam itu ada juga yang hadir. Seorang daripadanya telah menyatakan minat untuk menganjurkan majlis yang sama, dengan menjemput pembicara yang sama, sebagai aktiviti biro komunikasi partinya.

Atau apakah semua ini terjadi secara kebetulan sahaja? Maka ia tidak boleh dianggap sebagai mereka tidak berminat, atau tidak ada kesedaran budaya ilmu dan sebagainya

Secara kebetulan pula malam 3 Oktober itu di Shah Alam juga ada satu majlis anjuran Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang dipimpin oleh Zulkifli Omar. Malam sambutan Hari Habitat Sedunia. Baguslah, PAS telah menganjurkan sesuatu yang bukan sahaja politik. Tetapi berapa ramaikah yang hadir? Padahal iklannya terpampang dalam Harakah! Dan penceramahnya terdiri daripada Naib Presiden, Salahuddin Ayob.

Yang hadir boleh dihitung dengan jari (walaupun ada persembahan nyanyian oleh Ito).

Nampaknya banyak lagilah yang perlu dilakukan oleh PAS sebelum menghulur tangannya untuk membuka pintu Putrajaya.

Dinsman (Artikel 256, 3/10)
Budaya Malaysia pasca 1997

Berikut ialah beberapa paragraf awal daripada sebuah esei mengenai budaya Malaysia pasca 1997, yang sedang saya siapkan untuk pengisian sebuah buku bersama beberapa penulis lain, yang dijangka akan diterbitkan tahun depan:

Dalam buku Gawat: Gagalnya Formula Mahathir (1998) saya mengatakan bahawa peristiwa Kegawatan atau Gawat Kewangan 1997 itu adalah bukti yang formula Dr Mahathir (Perdana Menteri Malaysia 1981-2003) membangun dan memajukan Malaysia dengan memajukan ekonominya terlebih dahulu dan percaya apabila ekonominya maju hal-hal lain pun akan ikut sama maju, adalah salah. Buktinya ialah peristiwa Kegawatan itu sendiri, yang terjadinya di luar jangkaan dan kawalan mana-mana pihak pun di Malaysia, sebaliknya terjadi disebabkan manipulasi pasaran oleh ‘pemain-pemain’ kewangan di peringkat antarabangsa. Maksudnya pembangunan ekonomi sesebuah negara hari ini adalah sentiasa terdedah kepada ancaman musnah oleh anasir-anasir luar yang di luar jangkaan dan kawalan kita. Perdana Menteri Dr Mahathir sendiri mengaku pada waktu itu bahawa akibat daripada peristiwa Gawat itu ekonomi Malaysia telah mundur kembali 40 tahun ke belakang. Pernyataan pengakuannya itu memang dilebih-lebihkannya untuk tujuan tertentu, tetapi hakikatnya ekonomi Malaysia memang mundur bertahun-tahun ke belakang, bahkan hingga ke hari ini pun kesannya masih belum dapat dipulihkan kembali kepada situasi seperti sebelum peristiwa Gawat itu.

Saya menimbulkan perkara ini dalam buku itu untuk membuktikan kebenaran pendapat bahawa kebudayaan atau seni-budaya juga memainkan peranan yang penting dalam membina dan membangunkan sesuatu masyarakat/negara. Adalah tidak wajar untuk meninggalkan pembinaan budaya dan menumpukan semata-mata pada usaha membina dan memajukan ekonomi. Dr Mahathir berhujah mengatakan bahasa Melayu dengan sendirinya akan dipandang penting dan dihormati serta akan dipelajari oleh masyarakat dunia apabila ekonomi Malaysia maju dan kukuh mencapai tahap yang dihormati oleh dunia suatu hari nanti. Soalnya bagaimana kalau ekonominya gagal dimajukan hingga ke tahap itu? Dan dengan berlakunya kegawatan itu dan ekonomi Malaysia runtuh, bagaimanakah pula dengan kebudayaannya? Kebudayaan tidak runtuh bersama dengan keruntuhan ekonomi tersebut. Tetapi kebudayaan juga tidak berkembang maju disebabkan tidak ada kesungguhan usaha yang dibuat untuk membina dan memajukannya. Cubalah kalau ada kesungguhan usaha untuk membina dan memajukan kebudayaan, serentak dengan usaha membina dan memajukan ekonomi pada waktu itu, tentunya kebudayaan Malaysia akan terus maju (tidak runtuh bersama keruntuhan ekonomi) dan mungkin boleh mengurangkan kesan buruk ekonomi dari kegawatan itu, dan semestinya impak sosio-politiknya (yang memberi kesan pula ke atas ekonominya) tidak akan seburuk seperti yang sedang dialami Malaysia hari ini.

Akibat pertama daripada Kegawatan Kewangan 1997 itu ke atas sosio-politik Malaysia ialah perselisihan pendapat antara Perdana Menteri Dr Mahathir dengan Timbalannya merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menangani krisis kewangan tersebut. Perselisihan itu menyebabkan Dr Mahathir mengambil ‘jalan lain’ bagi menyingkirkan Anwar. ‘Jalan lain’ yang diambil itu ternyata tidak dapat diterima oleh bukan sahaja Anwar Ibrahim tetapi juga ramai rakyat Malaysia, mengakibatkan tercetusnya Reformasi yang dipimpin oleh Anwar dan disokong serta didokong oleh parti-parti politik pembangkang, PAS, DAP dan PRM (dan KeAdilan yang ditubuhkan kemudian). Reformasi ialah gerakan politik untuk perubahan, khasnya perubahan kerajaan yang memerintah.

Dalam usaha bagi menghapuskan pengaruh dan ancaman Anwar (Reformasi) terhadap kekuasaannya, kita menyaksikan pelbagai tindakan Dr Mahathir yang telah merosakkan satu demi satu institusi dan nilai murni (akhlak) dalam masyarakat Malaysia. Misalnya pada 3 September 1998, berikutan penyingkiran Anwar daripada kabinet dan daripada Umno sehari sebelumnya (2 Sept), satu afidavit oleh pihak polis dikemukakan di mahkamah untuk kes Datuk S. Nallakaruppan (seorang sahabat Anwar), yang dituduh memiliki senjata api dan menghadapi hukuman mati. Afidavit itu (untuk memindahkan tempat tahanan Nallakaruppan) menceritakan segala macam kejahatan seksual Anwar, secara agak terperinci, dan ia disiarkan sepenuhnya dalam akhbar Malay Mail keluaran khas petang itu, diikuti dengan akhbar-akbar harian pagi esoknya. (Tidakkah jelas seperti ada konspirasi di belakangnya itu?) Maka bermulalah suatu era baru dalam perkembangan budaya di Malaysia, yang merobah sebahagian besar nilai-nilai murni masyarakatnya. Sesuatu yang sebelumnya tidak disiarkan di dalam media kerana wujudnya nilai akhlak yang menentukannya demikian, iaitu sesuatu yang mengaibkan dan memalukan apalagi yang menyentuh soal seks dan lucah, memang tidak diperkatakan di khalayak umum. Kini nilai akhlak yang mulia itu sudah dicemari dan dimusnahkan, semata-mata bagi membolehkan seorang musuh Perdana Menteri dimalukan, di‘aibkan dan dihancurkan kredibilitinya di khalayak umum agar pengaruh dan ancamannya terhadap Perdana Menteri dapat dihapuskan.

Tindakan akhbar-akhbar berkenaan melanggar tatasusila moral dan akhlak Islami itu adalah tindakan yang agak ‘jahat’, yang tak mungkin terjadi kalau para pengarang/editor akhbar serta editor berita di media elektronik waktu itu terdiri daripada orang-orang yang berprinsip, berakhlak Islami dan sedia mempertahankan nilai-nilai murni warisan bangsa dan agama. Dari sudut yang lain, hal tersebut dapat pula dilihat sebagai berkesannya penerapan nilai-nilai materialistik yang menjadi teras pemikiran dalam dasar kepimpinan dan pentadbiran Dr Mahathir selama 17 tahun menjadi Perdana Menteri (sejak Julai 1981). Nilai materialistik itu mengutamakan pencapaian-pencapaian di bidang ekonomi, kewangan, fizikal dan material, sekaligus menafikan keutamaan dan kepentingan moral dan akhlak serta nilai-nilai keagamaan yang tidak serasi dengan nilai materialistik itu. Demikianlah peristiwa penyebaran maklumat yang melanggar perbatasan moral dan akhlak Islami oleh media pada 3 dan 4 September 1998 itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah sosio-budaya di Malaysia. Bermula tarikh itu secara jelas media di Malaysia mengambil watak dan peranannya yang baru, berbeza daripada watak dan peranan yang dibawa oleh tokoh-tokoh media seperti Syed Sheikh Alhadi, Rahim Kajai, A Samad Ismail dan Said Zahari sebelumnya.

Media selepas itu khasnya akhbar-akhbar harian tidak segan silu lagi menyiarkan berita dan gambar-gambar seperti tilam bertompok air mani yang diusung masuk-keluar mahkamah, melaporkan perbicaraan kes Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat beberapa orang lelaki dan berzina dengan beberapa orang perempuan. Selama beberapa bulan rakyat Malaysia diajak dan diajar bercakap dan berfikir di sekitar hal-hal perlakuan seks melampaui batas dan kelucahan. Keadaan ini menimbulkan satu suasana yang sangaat ‘aib, memalukan dan menjijikkan bagi golongan yang masih berakhlak, hingga kemuncaknya melahirkan sebuah novel SHIT oleh Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara).

Dinsman (Artikel 255, 30/9)
Bengkel penulisan dan keperluan kepada editor

Sebahagian mereka menyebutnya bengkel penulisan kritis. Azizi Hj Abdullah (Allahyarham) yang mula menyebutnya begitu. Memang ia agak menekankan aspek kritis, yakni bahawa penulis itu perlu berfikiran kritis. Tetapi saya rasa kelainan bengkel itu bukan sahaja pada penekanan aspek pemikiran kritis itu. Ada kelainan lain lagi.

Apabila diadakan pertemuan susulan kepada bengkel Titihayun itu pada 23-24 September lalu, di Teras Jernang, Bangi, dan ketika mendengar peserta melaporkan perkembangan diri masing-masing selepas bengkel enam hari dulu itu, saya terasa betul kelainannya. Mereka bercerita hal-hal yang tidak pernah kita dengar demikian dalam pertemuan-pertemuan penulis yang biasa diadakan.

Memang mereka itu demikian. Latar belakang mereka sangat pelbagai. Dan nampaknya sebahagian mereka begitu sekali komited dan dedikasi dengan bidang-bidang mereka, sehingga nampak seolah-olah penulisan tidak begitu penting bagi mereka. Selesai Titihayun masing-masing bertebaran ke merata-rata, ada yang ke luar negeri, menjalankan tugas masing-masing, yang bukan di bidang penulisan.

Tetapi mengapakah mereka menghadiri bengkel penulisan, dan hadir lagi dalam bengkel susulannya? Tentulah kerana minat. Malah sebahagiannya juga sangat berbakat. Ada yang sudah agak berpengalaman dan sudah ada karya yang diterbitkan, termasuk buku. Namun ada juga yang masih tidak menulis walaupun setelah menjalani bengkel enam hari, dan ada yang hanya menumpu pada menulis pantun sahaja.

Tidak tahu di mana kelainan masing-masing itu mencapai titik pertemuan di antara mereka. Atau mungkin tidak ada dan tidak perlu titik pertemuan, kecuali yang terjadi kerana menghadiri satu bengkel, itu sahaja. Dan memang dialog serta perbincangan dalam bengkel itu sangat menjadi, hinggakan soal apakah Ustaz Azizan Razak sebagai Menteri Besar Kedah itu patut dikritik ataupun tidak, pun diperdebatkan agak hangat.

Tumpuan yang diberikan kepada peserta yang masih tidak menulis itu, pun diperdebatkan juga apakah perlu diperpanjangkan soal itu atau dibiarkan begitu saja. Menariknya, ramai yang mengemukakan pelbagai idea dan teknik bagi membantu, agar peserta tersebut boleh menulis, yakni menuliskan idea dan pemikirannya sendiri yang ternyata sering dizahirkannya dengan baik sekali melalui percakapan/lisan.

Ahkarim menimbulkan soal media yang akan menerbitkan karya-karya graduan Titihayun, dan beberapa orang mencadangkan supaya Paksi mewujudkan media sendiri. Saya mengakui keterbatasan kemampuan Paksi untuk mewujudkan media itu, di samping mengimbas kembali pandangan Hishamuddin Rais dalam pertemuan Paksi yang pertama, tiga tahun lalu, bahawa media untuk menerbitkan karya bukan lagi isu pada hari ini. Semua orang boleh mencipta medianya sendiri, katanya, iaitu melalui internet.

Pandangan Hishamuddin itu tidak ditolak tetapi dipersoalkan keberkesanannya. Maka terjadilah perdebatan yang hangat lagi. Apakah kita benar-benar memerlukan media, dan media bagaimanakah yang kita perlukan, dan apakah benar kita tidak mampu mencipta media kita sendiri walaupun secara kecil tetapi berkesan?

Ternyata keghairahannya bukan lagi keghairahan untuk menulis, tetapi untuk peringkat yang selepas menulis. Sepertinya soal menulis itu bukan lagi menjadi masalah (kecuali untuk seorang dua).

Maka secara diam-diam saya teringat pada keazaman seorang Amni Jagat, yang pernah dengan yakin mencalonkan dirinya menjadi orang ke-31 apabila saya mengatakan di Malaysia hari ini hanya ada 20-30 orang sahaja penulis pejuang kebenaran seperti A Samad Said, Prof Shaharir dan Azizi Hj Abdullah. Ini dinyatakannya sebelum hadir ke Teras Jernang. Dan nampaknya tekadnya itu disokong oleh beberapa hasil penulisannya yang semakin rancak akhir-akhir ini.

Memang dia bukan tumbuh di Titihayun. Sama seperti yang lain-lain juga. Asreemoro misalnya sudah menghasilkan ‘Tausug’nya. Hanya mereka hadir untuk bergabung dengan kawan-kawan dan saling mengambil manfaat di situ, untuk terus menjalar, mengalir dan membuka kepak meneruskan kembara masing-masing.

Saya sangat teruja mendengar Nasser Mohamad menceritakan bukunya dalam proses penerbitan. Demikian juga Muharsafa Kirana. Malah Amni Jagat juga akan menerbitkan buku baru. Alhamdulillah!

Bengkel penulisan bukanlah untuk mencipta penulis. Tetapi tentulah ada sesuatu yang istimewa di sana maka penulis yang sudah mempunyai buku kumpulan cerpen sebaik ‘Mou Sumi’ itupun masih sudi menghadirinya, dan hadir lagi bengkel susulannya. Mungkin kerana ingin menimba pengalaman A Samad Said yang bermurah hati hadir tiga hari bercerita pengalaman dan mencurahkan ilmunya di sana.

Atau mungkin ada faktor lain. Saya masih mencuba mencari di mana kekuatan dan di mana kelemahan bengkel tersebut, sebagai panduan untuk yang akan datang. (Paling dekat ialah di Simpang Renggam, 2 Oktober).

Sementara itu mengingat kembali sesi akhir perbincangan di Teras Jernang, saya seperti merumuskan bahawa apa yang seterusnya diperlukan bagi merealisasikan hasrat untuk melihat tampilnya beberapa orang penulis daripada bengkel penulisan CAP-Paksi itu ialah: seorang editor pengasuh, yang bertanggungjawab mengedit/menyunting tulisan-tulisan graduan itu, dan seterusnya menguruskannya hingga diterbitkan.

Barangkali ini rumusan daripada debat hangat yang mempersoalkan masalah keperluan kepada media itu. Ternyata editor juga berperanan penting dalam usaha untuk ‘melahirkan’ penulis. Dan melihat pada banyaknya karya yang perlu diedit dan diuruskan, nampaknya Paksi (dan CAP) seperti memerlukan seorang editor sepenuh masa. Dan barangklai editor inilah yang akan menentukan kejayaan bengkel penulisan itu.