Background
Dinsman (Artikel 254, 26/9)
Acara tetap Bicara Buku setiap bulan di PPAS

Selasa 4 Oktober ini bermulalah, suatu agenda budaya yang baru, di sebuah perpustakaan negeri yang baru, di Shah Alam. Agenda yang dimaksudkan ialah “Bicara Buku” – sebuah agenda atau program yang sudah lama dikenali oleh masyarakat kita, tetapi kurang diberi perhatian.

Mengapa saya katakan ia suatu agenda budaya yang baru? Saya katakan demikian kerana ia akan dijadikan suatu acara tetap. Setiap bulan, akan ada satu program Bicara Buku di perpustakaan tersebut – Perpustakaan Raja Tun Uda, atau lebih dikenali dengan PPAS (Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor).

Ini suatu budaya yang baru. Atau akan memulakan suatu budaya yang baru. Memang saya sangat teruja dengan keputusan yang dibuat oleh Pengarah PPAS, Mastura Muhamad ini. Ia bukanlah sesuatu yang hebat mana pun. Hanya sebuah majlis bicara buku sahaja. Sebuah majlis biasa sahaja. Cuma yang tak biasanya ialah ia dijadikan acara tetap pada setiap bulan. Inilah yang barunya.

Setahu saya, belum pernah lagi program Bicara Buku dijadikan satu acara tetap bulanan oleh mana-mana pihak pun di negara kita. Tak tahulah kenapa. Mungkin kerana orang tidak pernah memikirkan faedah atau manfaatnya.

Ya, untuk apa? Ada orangkah nak datang? Berapa orang yang minat nak dengar orang bercakap tentang buku? Usahkan nak dibuat setiap bulan, yang dibuat sekali-sekala itu pun hanya beberapa orang saja yang hadir. Boleh dikira dengan jari.

Itulah yang selalu dikatakan atau dihujahkan apabila kita cuba timbulkan perkara ini. Jangankan nak buat setiap bulan! Kita cadangkan supaya dibuat sekali saja pun, macam-macam soalan yang seperti itu akan dihunjamkan ke muka kita. Kononnya ia suatu acara yang khas, yang hanya sesuai dibuat di kalangan peminat-peminat buku sahaja. Dan kebanyakan orang itu (yakni pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan) beranggapan bahawa dalam dunia ini hanya ada beberapa kerat manusia sahaja yang berminat dengan buku.

Itulah masalahnya. Salah tanggapan di pihak yang sepatutnya berfikir untuk memajukannya. Hal ini sangat banyak terjadi dalam masyarakat kita. Bukan sahaja dalam perkara budaya ilmu dan khasnya program Bicara Buku, tetapi juga dalam perkara-perkara lain. Tapi tak mahulah saya bercakap pasal perkara-perkara lain itu di sini. (Lain kalilah). Di sini saya nak bicara pasal Bicara Buku sahaja dulu.

Anda fikirkanlah. Kalau orang-orang yang sepatutnya berfikir bagi memajukan budaya ilmu itu sendiri beranggapan salah seperti itu, apa akibatnya? Akibatnya ialah seperti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari inilah. Yang terus dipupuk dan terus dimajukan ialah budaya pop murahan itulah!

Kemudian dalam masa yang sama orang-orang dalam kelompok yang sama itu juga sesekali kedengaran mereka bercakap soal merebaknya gejala sosial negatif yang sukar dibendung dalam masyarakat kita dan seumpamanya. Alangkah lucu dan kelakarnya ya! Tetapi itulah realitinya, kalau saja kita rajin merenunginya, dengan tidak menggunakan tanggapan yang salah tadi.

Memang, seperti telah saya katakan sebelum ini pun, acara Bicara Buku ini bukanlah satu acara atau agenda yang besar. Ia suatu acara kecil-kecilan sahaja. Tetapi faedah dan manfaatnya sangatlah besar. Ia suatu wadah untuk dakwah, untuk menyebarkan ilmu, untuk membina masyarakat yang cinta buku dan gemar membaca, dan untuk memajukan budaya ilmu.

Dan apabila masyarakat kita menjadi masyarakat yang cinta buku, gemar membaca dan suka ke perpustakaan, kata Mastura Muhamad, (yang saya suka mengulanginya): “dengan sendirinya akan berkurangan gejala sosial dan kadar jenayah di negara kita.”

Tetapi orang jarang melihatnya dengan kacamata yang dilihat oleh Mastura itu. Apatah lagi untuk melihat peranan budaya ilmu itu sendiri, yang lebih luas, seperti saya sebut dalam keluaran lalu: “dapat meningkatkan kematangan manusia dan menyuntik kewarasan kepada pemikiran dan tindak-tanduk manusia, sekaligus menjernihkan iklim dan suasana dalam masyarakat.”

Tak mengapalah. Apa pun, sekarang marilah kita cuba perbetulkan tanggapan salah kita (khasnya pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan) supaya tidak terus terperangkap dalam lingkaran setan pemikiran popular yang terus-terusan memupuk dan memajukan budaya pop murahan seperti yang 24 jam dipromosikan oleh pelbagai saluran media televisyen yang terdapat dalam rumah kita itu.

Kita mulakan dengan perkara sekecil Bicara Buku ini sahaja dulu. PPAS telahpun memulakannya sebagai agenda tetap bulanan. Maka hendaknya pihak-pihak lain pun akan turut memikirkan perkara ini. Tidak perlulah sebagai acara tetap bulanan. Hanya sesekali pun tidak mengapa.

Agenda ini perlu dipupuk. Ia tidak akan tumbuh dan berkembang sendiri kalau ia tidak dipupuk. Dan untuk memupuknya tidaklah susah. Hanya pilih sebuah buku atau beberapa buah buku yang sesuai, dan dapatkan orang yang berkemampuan untuk membicarakannya, dan hebahkanlah kepada orang ramai, serta jemputlah kawan-kawan dan orang-orang yang dikenali sebagai peminat buku dan ilmu, supaya hadir.

Kali pertama mungkin tidak ramai yang hadir. Tidak mengapa. Kita pun tidak perlu berbelanja besar untuk menganjurkan majlis Bicara Buku ini. Apalah sangat belanjanya. Hanya sediakan tempat yang dikira sesuai untuk majlis diskusi atau perbincangan, yang muat sekitar 50 orang. Lebih kecil pun boleh, sekitar 20-30 orang pun boleh. Apa salahnya? Untuk permulaan. Dan sedikit bayaran kepada orang yang dijemput menjadi pembicara. Serta sedikit minum ala kadar.

Tetapi kalau nak buat secara agak besar sedikit seperti yang disediakan oleh PPAS ini, lagi baguslah. Kali pertama kita buat dulu hadirinnya tidak kurang 200 orang. Memang bagus. Kita harap pada 4 Oktober ini pun akan seramai itu jugalah yang hadir. Tambahan pula ini buku mengenai kepemimpinan, dan kepemimpin Tok Guru Nik Aziz. Kita mengharapkan ramai kalangan pemimpin PR, peringkat tinggi, sederhana dan rendah, akan hadir.

Pertemuan Iseng-Iseng di Palembang


Oleh  RAZALI ENDUN

          Pertemuan Penyair Nusantara ke-V selama tiga hari di Palembang Julai lalu sebenarnya tidak menepati pengisian kelesuan dunia sastera di Nusantara. Tiga hari hanya diisi dengan pembicaraan puisi secara iseng-isengan, walaupun pertemuan itu mendapat restu pemerintah wilayah Sumatera Selatan. Malah pembentangan kertas kerja yang sepatutnya berlangsung pada hari kedua tidak dimanfaatkan dengan bijaksana.

        Acara dimulai dengan majlis perasmian oleh Gabenor Sumatera Selatan (Sumsel) bapak Ir. H. Alex Noerdin di Griya Agung, Jalan Demang Lebar Daun, Palembang. Selain ucapan perasmian oleh bapak gabenor, majlis juga diisi dengan pelancaran buku, ‘Akulah Musi,’antologi puisi Nusantara hasil karya para penyair dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand. Pelancaran disempurnakan oleh isteri gabenor, Nyonya Alex Noerdin.

       Seramai kira-kira 500 orang menyertai Pertemuan ini dengan Indonesia menghantar paling ramai peserta, kira-kira 300 orang. Malaysia menghantar kira-kira 100 peserta terdiri  dalam dua kelompok, sekitar 70 orang di bawah Pena dan 30 orang di bawah E-Sastera. Selebihnya disertai oleh peserta Singapura, Brunei dan Thailand.

          Hari kedua sebelah pagi ialah acara pembentangan kertas kerja yang bertemakan, “Potret Puisi Nusantara Mutakhir.”  Empat orang tokoh penyair masing-masing dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia diberi tugasan berat ini. Dr. Jeffri Arif dari Brunei membicarakan, ‘Estetika dan gaya puisi Nusantara,’ Jamal Tukimin dari Singapura membicarakan, ‘Menempuh obsesi dalam pencarian dan proses kreatif,’ Prof. Dr. Muhamad Hj. Salleh wakil Malaysia dengan, ‘Ke manakah hilang kritikan puisi,’ dan Taufik Ismail dari Indonesia dengan tajuk, ‘Model pengajaran puisi yang ideal.’

         Sayangnya majlis wacana ilmu yang sangat signifikan dengan dunia sastera telah tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penganjur dan para pemakalah. Pembentangannya sangat hambar malah kandungannya tidak membawa kepada kecenderungan untuk berfikir. Tambah menyulitkan apabila kertas kerjanya tidak diedarkan kepada para peserta untuk ditelaah. Ditokok lagi oleh Taufik Ismail yang tidak membentangkan kertasnya, sebaliknya membacakan puisi panjangnya sebagai ganti.

       Kertas Prof. Muhamad Hj. Salleh mungkin menarik perhatian yang memberi tumpuan kepada lenyapnya kritikan sastera di Nusantara. Kekhuatiran beliau terhadap kerancakan kritikan sastera semakin pudar harus diberi perhatian oleh khalayak sastera seluruh Nusantara. Kepupusan kritikan sastera semakin ketara bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di Indonesia sendiri kelesuannya semakin terasa apabila H.B Yasin, Mokhtar Lubis, W.S. Rendra sudah meninggal dunia.

         Di Malaysia dunia kritikan sastera semakin parah apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menghapuskan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, yang diberi tugas khusus bersangkutan dengan  teori  dan kritikan sastera Melayu. Semenjak ketiadaan Bahagian ini, tidak lagi berlangsung seminar berkaitan Teori dan Kritikan Sastera diadakan oleh DBP. Malah bicara tokoh seperti ‘Pemikiran Sasterawan Negara’ sudah tidak begitu rancak lagi dalam susun atur acara sastera DBP. Akibatnya, dunia kritikan sastera semakin lesu dan lembab menjurus ke arah kepupusannya.

        Ini ditambah lagi dengan ketiadaan ruangan kritikan sastera dalam media cetak seperti dalam Utusan/Mingguan Malaysia dan Berita Harian/Minggu. Ruangan ulasan cerpen dan sajak dalam Majalah Dewan Sastera terbitan DBP juga sudah lama ditiadakan. Fenomena ini menjurus kepada kerancakan dunia kritikan sastera semakin hilang pengaruh dan peranannya dalam jagat sastera tanah air.

         Sudah tidak terdengar lagi kritikan dan polemik sastera dalam media utama negara. Kalau ada pun sesekali disiarkan dalam akhbar tabloid seperti Siasah dan Harakah. Namun kerancakan dan ketajaman kritikannya semacam sudah hilang taringnya. Justeru kerana itu Prof Dr. Muhamad Hj Salleh menyarankan supaya peranan ini diambil oleh dunia siber. Beliau telah meminta Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, pengasas e-Sastera supaya mengambil insiatif ini sebagai alternatif agar peranan kritikan tidak terus pupus.

           Apabila ruangan kritikan tidak disediakan, maka pastinya aktiviti kritikan akan terbantut. Inilah yang terjadi dalam dunia sastera tanah air sekarang, di mana tidak terdengar lagi kritikan sastera secara rinci dan serius dibincangkan dalam dada akhbar-akhbar tempatan. Oleh kerana itu kita sudah tidak punya pengkritik sastera yang berwibawa seperti Kassim Ahmad, Yahaya Ismail, Shahnoh Ahmad dan yang lain  yang berani mengkritik secara terbuka karya-karya para pengarang sastera.

           Tahun depan Jambi telah dipilih sebagai tuan rumah Pertemuan Panyair ke-VI. Pertemuan tahun depan seharusnya diperluaskan lagi skop pembicaraannya iaitu dunia sastera secara keseluruhannya, mencakupi semua bidang termasuk novel, cerpen, puisi, drama dan sastera tradisional. Teori dan kritikan serta kajian sastera juga seharusnya dimasukkan dalam agenda perbincangan. Puisi hanya segmen sastera yang luas lapangannya. Apa juga bentuk segregasi sastera adalah suatu tindakan yang tidak  bijaksana.   

          Khalayak sastera telah maklum, sebelum istilah sastera digunakan secara meluas, istilah persuratan telah lama digunapakai dalam dunia karang mengarang. Pendita Zaaba merupakan pelopor persuratan Melayu moden, malah buku kaedah karang mengarang beliau menjadi teks di sekolah-sekolah Melayu suatu ketika dulu.

        Kini ada saranan supaya kita kembali kepada penggunaan istilah persuratan kerana ada beberapa pihak berpendapat istilah sastera tidak menepati makna sebenar persuratan  yang antara kriterianya karya-karya seharusnya mengandungi ilmu sebenar. Manakala sastera hanya lebih tertumpu kepada keindahan bahasa tanpa ilmu sebagai paksi, maka dengan demikian ianya diklasifikasikan sebagai karya picisan.

         Dua pendapat bertentangan ini seharusnya didebat dan dibincangkan dalam upacara pertemuan sebesar ini, iaitu Pertemuan Sasterawan Nusantara pada tahun depan di Jambi.  Skop sastera tidak seharusnya dikotak-kotakkan dalam kelompok-kelompok  berasingan. Ianya mesti dilihat dalam kerangka yang lebih luas agar dapat dicari suatu rumusan yang konkrit sebagai landasan membina falsafah kesusasteraan Nusantara.

         Isu antara Persuratan dan Sastera seharusnya menjadi titik tolak untuk mencari serta mencungkil pengertian ilmu sebenar  di dalam karya-karya sastera/persuratan. Mungkin Gagasan Persuratan Baru yang diperkenalkan oleh Mohd Affandi Hassan boleh dijadikan landasan perbincangan secara telus, jujur dan akademik oleh para sarjana sastera Nusantara. Pertemuan tahun depan boleh dimanfaatkan dengan perbincangan gagasan ini.
.
Perginya seorang sasterawan rakyat

ABD SHUKUR HARUN
shukurharun@yahoo.com

Kepergian sasterawan rakyat, Azizi Abdullah pagi 21 Ogos lalu dalam usia 69 tahun amat terasa bukan saja di kalangan penulis, tetapi juga di kalangan rakyat prihatin yang sedang mengharapkan kemunculan ramai penulis yang bersedia berada di barisan depan dalam memperjuangkan hak rakyat.

Rakan-rakan di dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan juga rakan penulis yang lain merasakan kepergian Almarhum Azizi sebagai kehilangan yang sukar dicari ganti.

Beliaulah antara penulis yang membela rakyat miskin, selain dari Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan yang terdahulu, Ishak Haji Muhamad, Ruhi Hayat, Usman Awang dan penulis dari Angkatan Sasterawan 50. Justeru dengan kehadiran karya Almarhum menyebabkan ia menjadi seorang sasterawan yang akan terus diingati.
Walaupun karya Almarhum Azizi membela rakyat miskin dan mengkritik pemerintah yang dilihatnya angkuh dan tidak mempedulikan hak rakyat, namun beliau tidak berkompromi dengan nilai estetika di dalam karyanya itu, ertinya karyanya masih sarat dengan nilai seni yang tinggi dan sama sekali tidak terasa sebagai tulisan propaganda. Inilah bakat kesenimanan Almarhum yang menyebabkannya menjadi sasterawan besar.

Kebanyakan novel yang dihasilkannya serta beberapa eseinya yang dibukukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) – tempatnya bertugas selepas bersara - bernafaskan perjuangan kemanusiaan seperti novelnya Sangeeta, Daerah Beta dan lain-lain.

Seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Almarhum Azizi yang tumbuh dan berkembang di tengah suasana jelapang padi di Kedah  sangat rapat dengan kehidupan petani dan nelayan, justeru kehidupan golongan ini digarapnya dengan amat hidup dan mengesankan.

Beliaulah novelis yang sangat berjaya melukiskan watak petani miskin yang bergelut dengan lumpur, lintah, burung-burung dan sebagainya. Almarhum melukiskan bagaimana petani miskin makan bersama isteri di bawah teduhan pohon di sawah dengan keringat membasahi sekujur tubuh. Sebab itu ketika penyair/dramatis Dinsman dan teman lain menghantar SMS kepada saya di pagi 21 Ogos itu, menyampaikan khabar Azizi telah kembali mengadap Ilahi, saya merasa sangat pilu tidak terkatakan. Saya mengenal Azizi sejak lebih 30 tahun lalu dan pernah menumpang bermalam di rumahnya ketika kempen pilihan raya kecil Lunas, lama dulu.

Kali terakhir ketika kami, teman penulis di dalam Paksi - beberapa bulan lalu - berbincang dengannya, merancang untuk mengadakan kursus penulisan selama enam hari di resort Titi Hayun, Yan Kedah di mana A. Samad Said turut memberikan bimbingan bersama Dinsman, saya sendiri, Hasni Abas, Bara Jiwa, Razali Endon, dan Herry Nurdi dari Indonesia.

Sungguh sedih ketika program itu berlangsung, Almarhum Azizi yang sepatutnya memimpin program tersebut sudah dimasukkan ke hospital Pulau Pinang. Namun kami meneruskan juga program itu.

Ketika saya membaca cerpennya ‘Monyet Dan Lebuh Raya’, sebuah cerpennya di tahun 80-an, begitu mengesankan. Ia mengangkat tema rakyat dengan amat hidup dan segar. Kisahnya bagaimana warga monyet dan haiwan yang lain membayar dengan mahal harga pembangunan – terutamanya ketika pembinaan lebuh raya. 

Haiwan ini bukan saja kehilangan tempat tinggalnya di rimba itu, tetapi juga sesetengahnya mati bergelimpangan dilanyak oleh buldozer dan kenderaan lain ketika pekerja rancak membina lebuh raya.

Demikian juga dengan novelnya ‘Seorang Tua di Kaki Gunung’ kisah petani tua yang meneruskan hidup miskinnya sebagai petani. Ia melakarkan keluh kesah dan harapan petani untuk keluar dari kemiskinan di utara tanah air, suatu harapan yang hanya tinggal harapan.

Almarhum Azizi tidak hanya menjadi jurubicara rakyat pedalaman, pesawah dan nelayan, tetapi juga membela golongan miskin di kota, di kawasan gelandangan, kawasan rumah pangsa murah yang sempit, kotor dan melemaskan, didiami oleh golongan miskin di tengah kota. Ini diungkapkannya menerusi bukunya ‘Luka Rakyat’ terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

‘Luka Rakyat’ bukan sebuah cerita, tetapi ia adalah sebuah esei panjang mengemukakan kritikan sosial yang berbentuk satira. Ia mengkritik pemerintah dan golongan kaya yang mengabaikan kehidupan rakyat, justru ‘Luka Rakyat’, katanya, adalah ‘pesakit’ yang menunggu sembuh, malangnya ‘bomoh’ dan ‘doktor’lah sebenarnya pula yang luka parah.’

Perjuangan rakyat memugar tanah untuk sekadar melanjutkan hidup buat disambung oleh anak cucu, diungkapkannya dalam ‘Luka Rakyat’ ini. Betapa atas nama pembangunan, katanya, rakyat miskin dipaksa memberikan laluan. Kuasa dan akta menjadi senjata perampas tanah daripada golongan lemah sehingga ahli politik hanya menjadi petualang meminggirkan rakyat untuk kemudiannya melahap keuntungan di atas derita rakyat.
Katanya, untuk melihat kemiskinan yang menghimpit orang kampung bukannya susah. Kemiskinan ada di mana-mana. Di kampung-kampung memang kaya dengan kemiskinan. Kita juga tidak sukar mencari orang miskin, apalagi untuk mengenali mereka. Yang sukar kita temui ialah usaha daripada pihak yang bertanggungjawab meringankan kemiskinan mereka.
Mereka, katanya, tidak tahu politik apalagi hendak berpolitik. Tetapi politiklah yang sering menekan mereka, menjadikan mereka tidak mendapat keadilan dalam kehidupan.
Lebih 30 novel, ratusan cerpen dan puluhan esei yang dihasilkannya dengan memenangi pelbagai anugerah serta hadiah sastera termasuk SEA Write Award di Bangkok, menunjukkan ia adalah penulis besar rakyat yang berjejak di bumi nyata, walaupun tidak dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Seperti kata Ahmad Lutfi Othman, kalaulah Almarhum Azizi tidak mempunyai pegangan politik yang berbeza dengan pemerintah, nescaya Almarhum sudah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Almarhum Azizi sangat ‘serasi’ dengan perjuangan Paksi, sebuah badan penulis dan penggiat seni bernafaskan rakyat  pimpinan Dinsman. Almarhum sering saja bersama kami di program Paksi baik di utara tanah air, mahupun di Kuala Lumpur.

Pada pendapat saya, Almarhum Azizi yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan pernah bertanding sebagai calon PAS dan kalah dalam pilihanraya 2004 di Kedah, telah melaksanakan tugasnya sebagai seorang Muslim melalui karyanya, menyeru kepada yang makruf dan menentang kemungkaran.

Almarhum Azizi tidak hidup dalam sebuah bayangan dan terapung-apung dalam sebuah khayalan intelektual yang akhirnya terhempas di lembah kekeliruan, tetapi ia sasterawan yang benar-benar berada di tengah realiti masyarakat dan sekaligus menjadi jurubicara mereka.

Seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Azizi hadir dan mengalir, dengan berani mengungkapkan mengenai hak-hak rakyat, mengkritik golongan yang difikirkannya tidak amanah dan menyalahgunakan kuasa. Semuanya ini menyebabkan Azizi bukan jenis penulis yang kata A. Samad Said, semata-mata golongan ‘Carma’ – cari makan.

Kini Almarhum Azizi tidak lagi bersama kita. Paksi kehilangan seorang teman karib, namun karyanya akan terus hidup, dibaca dan dihayati serta dikenang lama.

Al-Fatehah untuk Almarhum.

Dinsman (Artikel 252, 19/9)
Anugerah Sasterawan Rakyat untuk Azizi Hj Abdullah

Dalam suasana politik yang sedang hangat bercelaru disebabkan isu Mat Indera dan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong yang berlarutan dengan Majlis Profesor Negara pun tersasul mengumumkan negara ini tak pernah dijajah (padahal hingga hari ini pun kita masih lagi melihat saki-baki penjajahan itu terlekat kuat pada sebahagian pemimpin Umno dan profesornya), saya memilih untuk berwacana lagi mengenai sasterawan Azizi Hj Abdullah.

Ramai pembaca meminta saya meneruskan lagi wacana perihal minda pemimpin Umno yang terjajah itu. Saya mohon maaf. Biarlah kali ini saya bicara dulu mengenai Azizi, supaya jangan semuanya kita tumpu pada berpolitik sahaja, hingga melupakan budaya. Politik penting, budaya pun penting juga.

Ya, ramai orang setuju dengan pandangan Ahmad Lutfi Othman terhadap Azizi Hj Abdullah, seperti yang disebut di hujung kolumnya Catatan Hujung, Harakah 29 Ogos: “..jika pegangan politiknya tidak diambil kira, beliau tentu telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.”

Tetapi seperti yang diungkapkan S.M.Idris dalam pertemuan penulis kritis anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), di Pulau Pinang akhir Februari lalu, di hadapan Azizi sendiri: “Apa perlunya anugerah itu? Perlukah? Tak perlulah.”

Kita hormati S.M.Idris dalam banyak pendiriannya. Tetapi dalam hal ini kita mungkin kurang setuju dengan pandangan Pengerusi CAP itu. Kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sudah lama bercakap mengenai perlunya kita menganjurkan seminar atau yang seumpamanya bagi membicarakan sumbangan besar Azizi terhadap kesusasteraan, dan mengangkatnya sebagai seorang Sasterawan Rakyat. Namun hasrat itu terpaksa ditunda dan terus ditunda disebabkan Paksi belum menemui sumber kewangan yang diperlukan. 

Dan setelah dia dijemput Ilahi pada Ahad 21 Ogos lalu, kawan-kawan dalam Paksi kembali bercakap lagi soal itu. Amni dari Johor pun bertanya apakah yang akan dibuat oleh Paksi untuk Azizi? Kassim dan Hasni cadang buat acara mengenangnya di Warong Rakyat, 7 Oktober ini. Anuar Asmadi cadang buat di Masjid Batu, Permatang Pauh. Saya cadangkan buat bicara buku terakhir Azizi, sebagai mengisi slot Bicara Buku di Perpustakaan Selangor, untuk bulan November; disamping kita merancangkan satu seminar dua hari untuk bincang secara menyeluruh karya-karya Azizi, mungkin awal tahun 2012.

Namun dirasakan itu tidaklah mencukupi. “Tak bolehkah kita minta kerajaan negeri Pakatan Rakyat bagikan dia anugerah Sasaterawan Rakyat? Tak sempat bagi masa dia masih hidup, bagi setelah dia meninggal pun tak mengapa.” Beberapa orang menyuarakan cadangan begitu.

Yang saya fikirkan ialah: macamana nak buat supaya keempat-empat negeri Pakatan Rakyat (PR) bersetuju mengeluarkan peruntukan untuk anugerah itu? Bukan satu negeri, tetapi keempat-empat negeri sekali – Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Ada orang kata sepatutnya Kedah yang mengambil inisiatif ini, kerana Azizi memang selama hidupnya tinggal menetap di Kulim, Kedah. Pun ada juga yang mengatakan kerajaan Pulau Pinang pun patut, sebab dia lama bekerja di Pulau Pinang (dengan CAP).

Apa pun, yang paling pentingnya ialah: kita buat apa-apa yang boleh menunjukkan yang kita menghargai sumbangannya, kita menghargai dan menghormati seniman yang berbakat besar seperti Azizi itu.

Saya suarakan perkara ini kepada Shukur Harun, minta pandangannya, bagaimana supaya empat negeri PR bersetuju mengeluarkan peruntukan bagi mewujudkan anugerah “Sasterawan Rakyat”. Dia juga tidak tahu bagaimana caranya, maka dia mencadangkan saya menulis perkara ini dalam Wacana Budaya, mengharapkan kalau-kalau ada pihak-pihak tertentu yang akan menyambut cadangan ini.

Cadangannya mudah saja. Kerajaan Umno-BN sekarang memberi penghormatan tertinggi kepada sasterawan yang difikirkannya atau yang disetujuinya layak menerima anugerah tersebut, yang dinamakan Anugerah Sastera Negara, dan penerimanya diberi gelaran “Sasterawan Negara”. Mereka yang telah menerima anugerah tersebut ialah Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Muhammad Hj Salleh, Noordin Hassan, Arenawati, Abdullah Hussein, dan Anwar Ridhwan.

Ramai kalangan penulis menjangkakan Azizi Hj Abdullah adalah sasterawan yang paling layak untuk menerima anugerah tersebut, sekiranya kerajaan bercadang untuk terus memberikannya lagi pada tahun ini. Nama-nama lain yang turut disebut ialah Siti Zainon Ismail dan Baha Zain. Namun kebanyakan orang sudah menjangkakan yang nama Azizi Hj Abdullah tidak akan terpilih, disebabkan dia tidak tergolong sebagai penyokong kerajaan Umno-BN, walaupun novelnya “Sangeetha” seperti telah mengesahkan bahawa dialah yang paling layak untuk menerima anugerah tersebut.

Tetapi apabila pengumuman dibuat, bukan sahaja Azizi tidak terpilih tetapi nama yang dua lagi juga tidak dipilih, sebaliknya yang lain yang dipilih.

Tak mengapalah. Barangkali S.M.Idris sudahpun menjangkanya demikian. Sebab itulah dia bertanya begitu – “Perlukah anugerah itu? Tak perlulah.” Ya, kerana sebab-sebab yang kita maklum, memang kita tak perlu mengharapkan kerajaan Umno-BN memberikan anugerah tersebut kepada sasterawan Azizi Hj Abdullah. Tetapi kita sangatlah berharap pada kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, untuk memberikan penghargaan yang sewajarnya kepada Azizi.

Sekadar membuat dakwaan bahawa kerajaan negeri Kedah “telah lama serta lebih awal mengenang jasa-jasanya” begitu sahaja tidaklah bermakna. Apatah lagi diikuti pula dengan mengatakan “kita berharap anugerah yang selayaknya wajar diberikan kepada Allahyarham di peringkat nasional samada dari kerajaan pusat mahupun NGO.”

Tengoklah tu Pak Shukur. Belum pun kita membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk memulakan inisiatif mengeluarkan sejumlah dana bagi mewujudkan Anugerah Sasterawan Rakyat untuk diberikan kepada Azizi Hj Abdullah, pihak kerajaan negeri Kedah sudahpun menepisnya terlebih dahulu, dengan menghalakan harapan tersebut kepada “kerajaaan pusat mahupun NGO”. Macamana tu?

Itu belum lagi kita menyuarakan cadangan supaya dibina sebuah perpustakaan kecil di Kulim untuk dedikasi kepada Azizi, dan diisikan dengan koleksi lengkap karya-karya Azizi serta kajian-kajian mengenainya, dan apa-apa saja yang berhubungan dengannya. Wallahu-ak’lam!

Dinsman (Artikel 251, 16/9)
Pemimpin Umno-BN mindanya masih terjajah


Alhamdulillah, rakyat Malaysia kini semakin hari semakin sedar akan perkara-perkara mana yang benar dan perkara-perkara mana yang salah di negara tanahair mereka ini. Selama ini mereka hanya fikirkan di negara-negara seperti Palestin dan Afghanistan sahaja ada pemimpin yang diangkat oleh penjajah bagi mengawal kepentingan penjajah supaya berkekalan, dan dalam masa yang sama mengelirukan rakyat tentang siapakah pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat di negara berkenaan. Rupa-rupanya di negara kita inipun ada juga perkara demikian.

Alhamdulillah, tentunya Mohamad Sabu sendiri pun tidak menjangka yang ucapannya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos yang menyentuh soal tragedi di Bukit Kepong itu akan berlarutan hingga sampai ke peringkat seperti sekarang ini. Pelbagai pihak cuba menggali dan membongkar semula segala khazanah sejarah yang berkaitan, untuk melihat dan memikirkan semula yang manakah yang benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat negara ini dan yang manakah yang sebaliknya.

Hinggakan seorang profesor dari Majlis Profesor Negara itu pun boleh tersasul dengan bangganya mengumumkan bahawa negara kita ini sebenarnya tidak pernah dijajah. Amboi, macam nak berlawan pula dia dengan Mat Sabu, nak tunjuk siapa lebih hebat memberi tafsiran baru kepada sejarah Malaysia.

Negara kita tak pernah dijajah, katanya. Maka apabila negara tak pernah dijajah, dengan sendirinya terbatallah segala dakwaan yang mengatakan golongan tertentu menentang agen-agen atau talibarut penjajah, kerana penjajah itu sendiri tidak ada. Maksudnya, dalam tragedi di Bukit Kepong itu, dakwaan yang mengatakan Mat Indera berjuang untuk negara dan dia bukannya menyerang polis yang menjaga keselamatan negara tetapi dia menyerang polis yang menjadi agen dan talibarut penjajah British, itu adalah tidak sah, kerana British tidak pernah menjadi penjajah di negara ini.

Dan dengan sendirinya juga, apabila negara ini tidak pernah dijajah, maka segala upacara dan acara menyambut Merdeka yang dirayakan pada setiap tahun selama 54 tahun yang lalu itu pun semuanya adalah tidak sah, semua itu adalah salah faham semata-mata, dan semua itu adalah menunjukkan kebodohan pemimpin-pemimpin kita selama ini.

Masya Allah!... Demikianlah bercelarunya pemikiran mereka yang dianggap sebagai orang-orang cerdik pandai kita itu. Aduuh… saksikanlah itu, peristiwa yang sedang terjadi di negara kita sekarang. Betapa bercelarunya! Haru biru tonggang langgang porak peranda habis segala nilai dan pemikiran. Apakah pertandanya ini wahai Mamak Bendahara! Apakah ini alamatnya negeri akan dilanda sang garuda raksaksa?

Tetapi mengapakah pula gerangan menteri perdananya kelihatan asyik sahaja bersanggama dengan sang permaisuri yang asyik pula mengelus-elus jemarinya yang disaluti cincin berlian berharga puluhan juta itu?

Ah, eloklah tu! Mohamad Sabu mengejutkan semua yang sedang lena diulet mimpi. Hoi, bangun, bangun! Mari kita perkemaskan semula negeri kita ini. Sekian lama kita didodoikan dengan cerita-cerita mitos dan khurafat itu, sekarang mari kita baca semula sejarah kita. Akan para professor yang masih mamai itu biarkanlah mereka bermamai di sana. Kita di sini ada alim ulamak dan pujangga kita sendiri.

Ya, Alhamdulillah, Allah memang sentiasa menang dengan perancangan-Nya. Dia maha bijaksana mengatur kehidupan manusia. Setiap sesuatu itu terjadi tepat pada waktu dan ketikanya. Teringat saya kepada surah Yusuf (al-Quran surah ke-12), bagaimana Allah menegaskan dan menunjukkan dengan jelasnya bahawa Dia-lah (Allah) yang mengatur segala kejadian, Dia-lah yang berada di sebalik segala kejadian yang terjadi.

Maka demikianlah pula kita sangat berharap, dalam keadaan yang sangat baik dan berpihak kepada kita ini, agar para pemimpin kita berhati-hati dan bijak mengatur langkah. Saya menerima banyak sekali respons daripada pembaca (melalui sms, telefon dan emel) yang menyatakan sekarang mereka baru sedar dan nampak siapakah yang berada di pihak yang benar dan siapakah di pihak yang salah; siapakah sebenarnya yang berjuang untuk bangsa, agama dan negara dan siapakah yang berjuang untuk kepentingan diri dan kroni.

Kepada mereka yang bertanya dan memohon untuk mendapatkan novel Tulang-Tulang Berserakan (TTB) karya Usman Awang yang saya perkatakan dalam keluaran lalu itu, saya mohon maaf kerana belum berjaya mendapatkan novel tersebut. Khabarnya ia tidak terdapat lagi dalam pasaran dan perlu dicetak semula. Insya Allah saya akan rundingkan dengan pihak yang berkenaan untuk mencetak-ulangnya.

Sementara itu ada seorang pembaca yang memberi maklumat, katanya: “Nak tahu lebih lanjut tentang peranan polis zaman British, selain Tulang-Tulang Berserakan sila baca novel TUGU karya Hasan Ali. Kisah mata-mata yang menjaga estet orang putih di Kota Tampan, Lenggong. (Kampung Ong Ka Teng).”

(Hasan Ali yang dimaksudkan ini juga menulis novel Musafir). Dan pembaca itu juga mencadangkan dalam sms-nya: “Kalaulah sdr boleh buat kajian kerjasama Force 136 dan PKM dalam perang gerila MPAJA.”

Saya tidak tahu apa maksudnya dalam cadangannya itu. Dan saya pun tidaklah bercadang untuk membuat kajian tersebut buat masa ini.

Ada pula pembaca yang mengemukakan satu soalan mudah: “Orang yang menjadi agen dan talibarut Jepun kita marah dan tuduh mereka sebagai pengkhianat bangsa. Tetapi mengapa orang yang menjadi agen dan menjaga kepentingan British di negara kita tidak kita anggap sebagai talibarut British dan pengkhianat bangsa?”

Tentunya saya tak perlu menjawab soalan mudah tersebut. Walau bagaimanapun dalam memikirkan perkara ini saya teringatkan pada isu PPSMI dan ketaksuban sebahagian orang-orang kita kepada penggunaan bahasa Inggeris. Bukankah itu bukti bahawa para pemimpin Umno-BN adalah orang-orang yang minda dan jiwanya masih “terjajah”.

Dinsman (Artikel 250, 12/9)
Usman Awang simpati komunis dalam novelnya TTB


Ketika ditimbulkan isu siapakah sebenarnya berjuang untuk negara, antara kumpulan Mat Indera dengan pasukan polis dalam tragedi pertempuran di Bukit Kepong dalam zaman darurat itu, saya teringat pada novel Usman Awang satu-satunya itu, iaitu Tulang-Tulang Berserakan (TTB).

Saya telah beberapa kali membaca novel ini, dan pernah menulis beberapa ulasan mengenainya. Memanag saya ingat betul ceritanya. Sebab itu bila ada beberapa orang pembaca sms saya minta penjelasan mengenai isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Mohamad Sabu itu, saya jawab mudah saja. “Itulah sebabnya Usman Awang berhenti jadi polis waktu itu. Nak tahu lebih jelas ceritanya, baca novel Tulang-Tulang Berserakan.”

TTB adalah buku (novel) atau dokumen yang terbaik yang menjelaskan keadaan di zaman darurat sebelum merdeka, khasnya hal-hal yang menyentuh soal kedudukan polis, perjuangan kemerdekaan, nasionalisme, dan soal keselamatan negara waktu itu. Ia ditulis oleh orang yang berpengalaman secara langsung di dalam kancah persoalan itu. Dan orang ini pula bukannya sebarang orang, dia adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh negara ini – Sasterawan Negara Usman Awang.

TTB adalah sebuah novel autobiografi Usman Awang. Novel yang di dalamnya terdapat beberapa keping gambarfoto Usman Awang sewaktu dia berkhidmat sebagai polis di Melaka, seolah-olah mengatakan bahawa watak Leman di dalam novel itu adalah penulis sendiri, yang dibuktikan dengan kehadiran gambar-gambar tersebut.

Leman seorang anggota polis biasa. Masih muda. Belum berkahwin. Dia seperti kawan-kawannya, polis-polis yang lain, menjalankan tugas mengikut arahan pihak atasannya, tanpa memahami situasi atau pergolakan politik yang turut menentukan tugas-tugas yang diarahkan supaya mereka laksanakan.

Diarah bersiap sedia untuk keluar menjalankan tugas, mereka pun ikut arahan, keluar menaikki jip atau lori polis, tanpa terlebih dahulu mengetahui ke mana tujunya dan apa tujuannya. Kalau tugas untuk menangkap orang, tugas pun dilaksanakan tanpa mengetahui siapa orang itu dan kenapa dia perlu ditangkap. Namun pengalaman yang tak difahaminya itu tidak pula menghalang perasaannya bersimpati dengan keluarga yang suaminya atau ayahnya ditangkap itu.

Apabila rumah-rumah pekebun Cina diarah supaya dibakar, dengan anjing, kucing dan ayam-itik terpaksa berlari ke sana-sini menyelamatkan diri, hati Leman menjadi terguris juga, dan bertanya-tanya mengapa semua itu perlu dilakukan.

Beberapa kali juga digambarkan peristiwa mereka dikejarkan ke rumah pengurus besar estet, orang Inggeris, untuk menembak musuh yang dikatakan sedang mengancam keselamatan orang Inggeris itu bersama keluarganya di dalam rumah besar mereka.

Kemuncak peristiwanya ialah apabila mereka bertempur dengan kumpulan komunis. Bacalah novel ini dan perhatikan bagaimana Usman Awang menggambarkan lelaki-lekaki dan wanita-wanita yang dikatakan komunis itu. Keberanian mereka, dan muka mereka yang tenang dan penuh keyakinan. Kasih saying di kalangan keluarga mereka dan sebagainya.

Contohnya, dia menggambarkan seorang wanita komunis yang telah ditawan mereka, begini: “Pada wajahnya tidak kelihatan sebarang kengerian atau rasa cemas menghadapi pasukan polis. Dia tetap tenang dan agung dalam kesederhanaannya. Dia kelihatan lembut bagai air tetapi daripada matanya kelihatan suatu sinar keberanian dan ketabahan yang tahan uji.” (ms 239)

Antara dua pasukan yang bertempur itu, Usman membuat perbandingannya begini: “Mereka harus bertembak-tembakan dan saling merebahkan pada suatu tempat dan daerah tertentu; suatu pihak berjuang kerana keyakinannya dan satu pihak lain melakukan kerana tarikan kehidupan nafkahnya.” (ms.235)

Bandingkanlah gambaran yang diberikannya kepada keluarga komunis dan kepada keluarga polis. Kepada keluarga komunis digambarkannya: “Dan mereka sentiasa memikul tugas itu dengan rela dan ikhlas, walaupun dengan memberikan seluruh kepunyaan mereka yang paling disayangi.” (ms.243)

Manakala kematian anggota polis pula digambarkannya: “Dia telah mengakhiri hidupnya. Suatu pengakhiran hayat yang tidak direlakannya sama sekali, juga oleh isterinya, oleh anak gadisnya, oleh kawan-kawannya, malah oleh undang-undang.” (ms.259)

TTB adalah sebuah novel. Ditulis pada tahun 1962, mengisahkan kehidupan di zaman darurat sebelum merdeka. Dalam kata Pendahuluan untuk buku “Koleksi Terpilih Usman Awang” (1995, DBP) saya catatkan begini mengenai TTB:

“…melalui dilema yang dihadapi oleh watak Leman, Usman mempersoalkan apakah maknanya ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh anggota-anggota pasukan polis itu. Apakah benar mereka itu telah ‘gugur sebagai bunga bangsa’ seperti yang sering disifatkan oleh pihak-pihak tertentu, atau tidakkah mereka itu hanya ‘mati katak’ sahaja? Apakah mereka telah berjuang untuk bangsa dan negara ataupun untuk mempertahankan kepentingan golongan penjajah?” (ms.xlii)

Demikianlah sebuah novel yang baik. Ia terus berkata-kata, merentasi zaman, sambil membuka intepretasinya. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk ‘membacanya’ kembali, dari semasa ke semasa.

Dan janganlah pula hari ini kita tiba-tiba memandang serong pula kepada penulisnya yang telah kita anugerahkan Sasterawan Negara itu, apabila situasi hari ini dapat ‘membaca’ sesuatu yang baru dari novelnya ini.

Untuk berlaku adil, saya anjurkan supaya kita membaca semula novel ini. Baca sendiri, dan buatlah interpretasi serta penilaian sendiri. Usman Awang telah lama menceritakan pengalamannya. Tentunya dia sedikit pun tidak berniat hendak mempolitikkan pengalamannya itu. Semoga kita mendapat manfaat darinya.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408)
Dinsman (Artikel 249, 9/9)
Selepas Datuk Hassan siapakah meneruskan GMP?

Berita kematian Datuk Hassan Ahmad tengahari 2 Syawal (31 Ogos) itu memang sebuah berita mengejut. Tak semena-mena seorang kawan yang di luar lingkungan sahabat-sahabat yang biasa bersama dengan Datuk Hassan menelefon saya memberitahu. Saya pun menghubungi kawan-kawan yang biasa bersama. Kebanyakannya dalam suasana berhari raya. Semua mereka terkejut mendengar berita itu.

Baru sahaja sepuluh hari yang lalu, 21 Ogos, Azizi Hj Abdullah meninggal. Beritanya tidaklah begitu mengejutkan kerana dia sudah berbulan-bulan dirawat di hospital. Berbeza dengan Datuk Hassan yang sehari sebelumnya, di pagi raya, masih saya menerima SMS daripada dia. Masih seperti biasa. Dan tiba-tiba pada 2 Syawal tanpa berita dia sakit atau apa-apa, tiba-tiba dia dikatakan sudah meninggal.

“Datuk Hassan kita?” Begitulah reaksi daripada beberapa orang kawan yang terkejut dan macam tidak percaya apabila disampaikan berita itu.

Demikianlah kematian. Saat tibanya boleh pada bila-bila masa sahaja. Kita bersedia atau tidak, kita percaya atau tidak, dia tiba-tiba sahaja boleh berada di depan kita, dan kita tak bisa berpaling lagi. Segala-galanya pun berakhirlah di situ. Begitu saja.

Namun kita yang masih hidup, perlu juga meneruskan kehidupan seperti biasa. Maka apabila orang seperti Datuk Hassan diangkat keluar meninggalkan alam ini, ada beberapa perkara yang bersangkutan dengannya, yang langsung memberi kesan kepada kita.

Pertama, kita akan kehilangan hujah-hujah yang sangat bernas yang selalu dikemukakan olehnya bagi mempertahankan kedaulatan dan kemunasabahan penggunaan bahasa Melayu, melalui tulisan-tulisannya dalam Dewan Masyarakat dan lain-lain, menentang dasar-dasar pelaksanaan bahasa yang berkaitan, yang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa walaupun ia tidak munasabah tetapi dilaksanakan juga disebabkan kuasa yang ada pada mereka.

Bacalah tulisannya berjudul “Perjuangan Bahasa Melayu yang tidak sudah-sudah. Mengapa?” dalam buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (hal.74-86), terbitan Paksi, 2010. Atau bacalah buku terbarunya, kumpulan tulisan-tulisannya dalam majalah Dewan Masyarakat, iaitu Kaca di Jendela (DBP).

Memang masih ada beberapa orang lagi tokoh bahasa yang boleh berhujah, tetapi nilai hujahnya tidaklah sama. Datuk Hassan bukan sahaja berhujah tetapi dia juga bertindak menyatakan penentangannya terhadap pihak kerajaan. Dalam hal inilah sebenarnya yang pemergiannya ke alam baqa itu menyebabkan kita sangat terasa kehilangannya. Siapakah lagi selepas dia, tokoh bahasa, yang berkalibar dan berpengaruh (di kalangan menteri-menteri pun) tetapi sanggup turun ke jalanraya bagi menyatakan penentangan?

Datuk Hassan (bekas Pengarah DBP, dan bekas ketua saya di situ) ialah Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Di bawah kepemimpinannyalah lebih 100 ribu rakyat Malaysia telah turun ke jalanraya Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris) pada 7 Mac 2009. Dan kerana tindakan beraninya itulah maka ‘dasar gila’ yang dipaksakan pelaksanaannya oleh Perdana Menteri Dr Mahathir itu telah disemak semula dan dijanjikan pemansuhannya pada tahun hadapan.

Tetapi baru-baru ini menteri berkenaan yang berkuasa itu mencuba pula untuk memanipulasi janji tersebut, dengan membayangkan kemungkinan akan menggunakan juga bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Maka Datuk Hassan pun memanggil mesyuarat GMP pada 24 Ogos lalu. Saya kebetulan bertembung dengan program lain, maka tak dapat hadir. Jadi tak tahu apa yang telah dibincangkan.

Apa pun, persoalannya sekarang ialah siapakah yang akan menggantikan Datuk Hassan sebagai Pengerusi GMP, dan meneruskan perjuangan yang mendapat sokongan rakyat seperti yang terbukti pada peristiwa 7 Mac 2008 itu?

Dalam GMP sekarang Timbalan Pengerusi ialah Prof Shaharir Mohd Zain, Setiausaha ialah Hasni Abas, dan penasihat ialah Sasterawan Negara A Samad Said. Ketiga-tiga mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing, yang memang melayakkan mereka untuk mengambil tanggungjawab itu. Memanglah ada beberapa keistimewaan Datuk Hassan, selain daripada kewibawaannya sebagai pakar bahasa, yang tidak ada pada tiga tokoh tersebut. Namun itu tidaklah menjadi kelemahan pada mereka, kerana mereka pun ada keistimewaan sendiri.

Tetapi walau apa pun, ruangan ini bukanlah tempatnya untuk saya membicarakan soal itu. Saya menimbulkannya sekadar menyatakan kita kehilangan seorang pemimpin yang penting, sehingga Samad Said membisikkan kewajaran disemadikan jenazahnya di Makam Pahlawan; kerana yang pahlawan itu jangan hanya difikirkan orang politik sahaja. Saya sangat bersetuju dengannya.

Selain itu saya juga teringat, Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sudahpun membuat persetujuan dengan Datuk Hassan, untuk sama-sama menganjurkan wacana ilmu dalam bentuk seminar, bicara buku dan syarahan, berdasarkan buku-buku karya agung yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan, yang dia menjadi Pengerusi dan ketua pentadbirnya.

Kami sudahpun merancangkan aktiviti budaya ilmu ini, dengan Hasni Abas sebagai penggerak utamanya. Acara pertama yang dirancang agak menarik, iaitu syarahan budaya yang akan disampaikan oleh Datuk Hassan sendiri, membicarakan mengenai orang Melayu hari ini, berdasarkan pada pesan-pesan dan falsafah mengenainya yang dikutip dan disarikan daripada beberapa buku karya agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain.

Sayang sekali rancangan itu tak kesampaian.

Dalam kolum ini juga pernah saya tulis bahawa kita hanya mempunyai sekitar 30-40 orang sahaja penulis/seniman yang berani berkata benar di negara ini. Pada 21 Ogos lalu telah pergi seorang Azizi Hj Abdullah, kemudian pada 31 September pergi pula seorang Datuk Hassan Ahmad. Sebelum itu pada 30 Julai kita kehilangan seorang seniman berani menyatakan kebenaran apabila meninggalnya pelukis Syed Ahmad Jamal. Maka semakin berkuranganlah penulis/seniman kita yang pejuang kebenaran.

Pemergian tiga orang tokoh budayawan kita yang penting itu dalam satu tempoh waktu yang begitu dekat, apakah hikmahnya? Tentu ada hikmahnya. Dan tentunya kekurangan ini perlu kita atasi. (Takkan kita nak merintih dan tangisi saja!) Soalnya, bagaimana?