Background
Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)
Kenyataan media
Peristiwa SN A Samad Said dipanggil pihak polis


Bismillaahir rahmaanir rahiim
Dengan nama Allah yang maha pemurah, maha penyayang, maha berkuasa.

Seniman Paksi Rakyat di samping menyatakan kesyukuran dan berbangga kerana puisi sebagai suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum khasnya apabila pihak polis pada 27 Jun lalu mengambil tindakan memanggil seorang Sasterawan Negara ke balai polis untuk disiasat kehadirannya membaca puisi di suatu majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun itu, kami juga berasa kesal dan sedih kerana berpendapat tindakan pihak polis itu agak kurang wajar.

Cuba kita baca dan lihat sekali lagi puisi yang dianggap sebagai boleh menghasut rakyat ke arah yang mengganggu keselamatan negara itu:

            Semakin lara kita didera bara –
            kita laungkan juga pesan merdeka:
            Demokrasi sebenderang mentari
            sehasrat hajat semurni harga diri.
            Lama resah kita – demokrasi luka;
            lama duka kita – demokrasi lara.
            Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
            suara bebas yang utuh, kita idami!
            Dua abad lalu Sam Adams berseru:
            (di Boston dijirus teh ke laut biru):
            Tak perlu gempita sorak yang gebu,
            diperlu hanya unggun api yang syahdu.
            Kini menyalalah unggun sakti itu;
            kini merebaklah nyala unggun itu.

Ia sebuah puisi, karya seorang seniman besar yang sangat dihargai dan dihormati di negara ini, malah juga di peringkat antarabangsa. Dia diangkat sendiri oleh Yang Dipertuan Agong kita untuk anugerah Sasterawan Negara itu. Sebagai sasterawan, seniman, budayawan dan intelektual yang bertanggungjawab, dia sentiasa bersama rakyat bagi merakamkan gerak nadi dan jerit batin rakyat dan menyatakan sikap dan pandangan warasnya apabila difikirkannya perlu, dengan niat untuk menyumbang ke arah kesejahteraan, di samping untuk sama-sama menegakkan yang hak dan adil dalam masyarakat.

Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya. Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (saw) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin.

Maka PAKSI berharap kepada pihak yang berkuasa agar tidaklah menggunakan kuasa yang ada secara sewenang-wenangnya dalam apa pun keadaan, supaya masyarakat kita tidak ditambahkan lagi kekeliruan yang sedia ada, agar yang benar masih tetap benar dan yang salah masih tetap salah, tidak dicampurgaul hingga tidak lagi dapat dibezakan, atau bahkan diubah sesuka hati demi mempertahankan kuasa suatu pihak tertentu.

Sasterawan dan seniman besar yang amanah dan bertanggungjawab setaraf Datuk A Samad Said itu, yang jelas menjadi ikon rakyat kerana kejujuran kata-katanya, biarlah dia terus menikmati kebebasannya berkarya, agar dapat dia menyumbangkan sesuatu yang sangat berharga, yang menjadi idaman semua bangsa di dunia ini. Apakah kita tidak mempunyai idaman yang murni itu?

Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri.


Dinsman dan rakan-rakan
SENIMAN PAKSI RAKYAT
Kuala Lumpur, 28 Jun 2011

Merakyatkan Ilmu:
Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan


(Al-Quran surah al-Baqarah ayat 30-33).

Maksudnya: “Ketika Tuhan berfirman kepada para malaikat, Aku akan jadikan seorang khalifah di bumi; mereka berkata apakah Engkau akan jadikan di sana makhluk yang akan membuat kerosakan dan menumpah darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih, bersyukur dan mensucikan Engkau? Tuhan berkata Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu tidak mengetahui.

“Tuhan pun mengajarkan Adam nama-nama kesemuanya, kemudian dibawa kepada malaikat dan Tuhan berfirman: Sebutkanlah kepada-Ku nama-nama semua itu, sekiranya kamu di pihak yang benar.

Para malaikat berkata: Mahasuci Engkau, kami tidaklah berilmu melainkan apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang maha berilmu dan bijaksana.

“Tuhan berfirman: Hai Adam, sebutkan nama-nama itu. Apabila Adam sebut semua nama-nama itu, Tuhan berkata: bukankah Aku telah katakan kepada kamu – Aku mengetahui yang ghaib di semua langit dan bumi, dan Aku mengetahui semua yang nyata dan yang tersembunyi.”

Ayat al-Quran yang saya baca sebagai membuka bicara pertemuan kita yang sangat bermakna hari ini – Allah Ta’ala menceritakan kisah ketika Dia mula mencipta manusia. Para malaikat makhluk yang ada pada waktu itu mempersoalkan apa perlunya lagi Tuhan mencipta makhluk lain, sedangkan mereka adalah makhluk yang sentiasa bertasbih sentiasa memuji dan sentiasa membesarkan Allah. Ketika itu Allah menzahirkan apa kelebihannya makhluk yang bernama manusia ini.

Wa-‘allama aadamal asmaa-a kullahaa. Tuhan mengajarkan Adam nama-nama seluruhnya, yang apabila diminta malaikat menyebut nama-nama itu malaikat gagal menyebutnya, tetapi Adam menyebutnya dengan sempurna. Itulah kelebihan makhluk bernama manusia – ilmunya. Manusia adalah makhluk berilmu. Kerana berilmunya itulah maka para malaikat sujud hormat kepada manusia. Tetapi pada ketika itu juga, iblis mengisytiharkan permusuhannya yang berterusan terhadap manusia.

Demikianlah kisahnya bagaimana Allah menetapkan asas kejadian dan kehidupan manusia. Ilmu adalah asas terpenting. Manusia itu fitrahnya adalah berilmu. Kalau tidak berilmu, dia tidak menepati fitrahnya sebagai manusia.

Maka tepatlah hari ini kita berkumpul di sini bagi menyambut Hari Ilmu. Dan tepat serta bijaksanalah pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dan pihak Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif mengadakan sambutan Hari Ilmu pada setiap tahun. Syabas dan tahniah! Selangor mendahului negeri-negeri lain!

Kita menyambut Hari Ilmu, dan seperti yang saya sebut tadi secara tidak langsung kita juga mengingat kembali dan menyegarkan semula ingatan kita kepada kisah asal mulanya penciptaan manusia oleh Allah SWT. Bagaimana ilmu diletakkan di tempat yang begitu tinggi dan mulia dalam fitrah kejadian manusia. Dan bukan itu sahaja.

Menyambut Hari Ilmu juga mengingatkan kita kepada ilmu itu sendiri – bagaimanakah ilmu itu terjadi, bagaimanakah ilmu itu berkembang, bagaimanakah ilmu itu sampai kepada kita, bagaimanakah kita boleh menjadi orang berilmu? Soalan-soalan ini tentunya membawa kita berfikir mengenai penulis, kerana penulislah yang bertanggungjawab dan berjasa merakamkan ilmu, memeliharanya dan menyebarkannya.

Tanpa penulis ilmu takkan berkembang, takkan tersebar dan takkan dapat diwarisi zaman berzaman. Tanpa penulis juga ilmu takkan dapat dimajukan dan dimanfaatkan oleh manusia, dan tanpa penulis juga dunia dan tamadun manusia takkan terjadi atau mencapai ke tahap seperti keadaannya hari ini.

Maka sekali lagilah kita berterima kasih kepada pihak Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan kerana memilih tema yang sungguh tepat dan relevan untuk sambutan Hari Ilmu tahun ini. Memberi penghargaan yang sungguh bermakna kepada golongan penulis.

Mengadakan pertemuan dan konvensyen penulis dalam suasana yang mendapat perhatian pihak kerajaan negeri sendiri, dengan promosinya yang begitu gah dan heboh – ini tidak pernah berlaku sebelum ini – walaupun kehadiran tidak begitu ramai seperti yang dirancangkan pada mulanya. Tetapi memang beginilah realitinya hari ini. Golongan penulis – dan apabila disebut penulis maksudnya termasuklah juga para seniman, budayawan, ilmuan, intelektual – golongan ini sudah lama dipinggirkan dan sudah lama terpinggir.

Orang sudah lama lupa kepada jasa dan peranan penting golongan ini. Masyarakat hari ini sudah lama meminggirkan golongan penulis, seniman, budayawan, ilmuan dan intelektual. Termasuk pihak kerajaan juga, sudah lama meminggirkan golongan budaya.

Dan apabila saya sebut begini, apabila saya katakan masyarakat hari ini termasuk kerajaan juga sudah lama meminggirkan golongan penulis, budayawan dan intelektual; jangan ingat saya hanya maksudkan kerajaan Umno-BN sahaja. Kerajaan Pakatan Rakyat pun sama, malah dalam hal ini mungkin kerajaan Umno-BN lebih baik sedikit.

Maaf kerana saya berterus-terang di sini. Dan sebelum saya berlarutan dengan banyak lagi menyebut hal-hal yang agak kurang enak didengar – biarlah saya cuba memberi sedikit analisa mengenai perkara ini.

Tetapi sebelum itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih istimewa kepada Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selanagor, Puan Hjh Mastura Muhamad, kerana memberi kepercayaan penuh kepada Paksi (Seniman Paksi Rakyat Malaysia) untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan sambutan Hari Ilmu tahun ini, khasnya Konvensyen Penulis, dan secara tegas meminta supaya saya sendiri selaku Presiden Paksi menyampaikan ucapan pembuka bicara ini.

Saya tanya juga kenapa. Katanya kerana Paksi mempunyai banyak pengalaman dikecewakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN dan juga Pakatan Rakyat dalam usaha untuk menghidupkan, mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya khasnya di negeri Selangor. Jadi, katanya, biar kesempatan ini digunakan untuk berdialog secara terus terang dengan Menteri Besar sendiri, kerana hanya Menteri Besar yang boleh menyampaikan hasrat dan hajat Paksi untuk mengaktifkan dan merakyatkan seni-budaya yang bernilai tinggi, bernilai ilmu, di negeri Selangor yang makmur ini. Dan supaya selepas ini kalau Menteri Besar bersetuju agar seni-budaya dimajukan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk rakyat, seniman-seniman dan budayawan Paksi sudah ada dan bersedia untuk melaksanakan dan menjayakan persetujuan Menteri Besar nanti.

Alhamdulillah, Paksi akhirnya bertemu juga dengan orang yang memahami aspirasi, cita-cita dan perjuangan serta tekad budaya atau cultural will-nya. Dan komitmen serta kepercayaan pihak Puan Mastura ini teruji keberkesanannya yang pertama apabila kami berbincang dengan YB Exco Dr Halimah Ali bagi mewujudkan anugerah Tokoh Penulis Selangor. Tanpa banyak bicara YB Exco bersetuju, dan hari ini kita dapat menyaksikannya. Dengan bukti pertama ini, kami percaya insya Allah seni budaya dan keilmuan akan dapat diangkat untuk diletakkan di tempatnya yang sepatutnya dalam masyarakat kita – masyarakat yang semakin hari semakin bercelaru dan tidak seimbang.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan yang dihormati,
Secara umumnya kita semua tentu faham dan bersetuju apabila dikatakan masyarakat kita hari ini berada dalam keadaan yang penuh pancaroba, bercelaru, haru-biru dengan pelbagai penyakit dan gejala sosial yang tak terbendung, atau dengan kata lain – masyarakat yang tak seimbang dan tak harmoni.

Pandangan Paksi, begini: Penulis, seniman, budayawan dan ilmuan mempunyai peranannya dalam kehidupan masyarakat. Dan sejarah membuktikan perkara ini. Peranan penulis-penulis hadis Nabi misalnya, sangat besar, sampai ke hari ini. Islam terpelihara selepas kewafatan Nabi (saw) adalah kerana penulis-penulis yakni penyusun Hadis ini. Begitu juga peranan imam-imam mazhab yang menulis seperti Shafi’e, Ahmad bin Hambal, Imam Malik, dan tokoh-tokoh pemikir seperti Ibn Khaldun, Al-Ghazali, Ibn Taimiyah, Iqbal dan banyak lagi. Yang dekat dengan kita seperti Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari, Hamka. Dan dalam tamadun Barat misalnya siapa yang tidak kenal Shakespeare. Penulis-penulis ini mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat.

Sampai ke hari ini setelah ratusan tahun bahkan ada yang lebih seribu tahun, orang masih ingat nama mereka. Kenapa? Kerana peranan mereka, kerana kesan daripada karya mereka terhadap masyarakat dan terhadap manusia. Orang membaca tulisan al-Ghazali misalnya sampai ke hari ini, untuk mendapat panduan bagaimana mencari kedamaian dalam hidup. (Lepas ini barangkali Paksi patut mengadakan majlis sambutan untuk Al-Ghazali. Tahun ini genap 900 tahun dia meninggal, mengikut kalendar Masehi).

Di sini saya tak bertujuan untuk bersyarah mengenai peranan dan jasa tokoh-tokoh tersebut. Cukuplah kalau saya menganalisa satu peristiwa yang paling dekat dengan kita, iaitu peristiwa Reformasi September 1998. Ini suatu waktu dan ketika yang sangat penting, dan genting, yang seharusnya seniman-budayawan-ilmuan-penulis kita menyatakan sikap, kerana ia menyentuh soal kebenaran dan keadilan. Tetapi di manakah penulis, budayawan dan ilmuan kita ketika itu?

Di negara kita awal abad 20 dulu golongan penulislah yang paling aktif menggerakkan dan memimpin perubahan dalam masyarakat. Orang-orang seperti Syed Sheikh Alhadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ahmad Rashid Talu, Rahim Kajai dan Za’ba adalah penulis, budayawan, ilmuan di zamannya. Mereka yang memulakan gerakan pembaharuan atau sekarang kita sebut Reformasi.

Tetapi apabila seorang Perdana Menteri memfitnah Timbalannya pada Septrmber ‘98 itu dan memecatnya, sebagai usaha untuk mengekalkan kuasanya, apa reaksi daripada golongan penulis? Kebanyakannya membisu, manakala yang bertugas di media mereka seperti berpakat membuat pembohongan demi pembohongan, membantu pihak berkuasa mempertahankan kuasa, walaupun pihak berkuasa itu jahat, zalim dan dimarahi rakyat.

Di situlah bermulanya zaman pancaroba di negara ini, yang merosakkan satu demi satu nilai-nilai murni dan institusi-institusi penting dalam masyarakat, hingga hari ini keadaannya sudah menjadi begitu parah sekali.

Sdr-sdr,
Keadaan tentunya tidak akan terjadi begini parah sekiranya para penulis-budayawan- ilmuan kita terdiri daripada mereka yang berpegang pada prinsip menjulang dan menegaskan kebenaran. Tetapi mereka telah bersikap dan berperanan yang sebaliknya, bersekongkol dengan pihak berkuasa dan agen-agennya, dengan menghasilkan tulisan-tulisan dan ucapan propaganda yang penuh dengan fitnah dan pembohongan.

Itulah maka terjadinya apa yang telah terjadi dan sedang terjadi di negara kita – kacau-bilau, hura-hara, bercelaru, hingga rakyat menjadi bengong tak dapat nak membezakan mana yang benar dan mana yang bohong.

Keengganan para penulis, budayawan dan ilmuan, termasuk ulama kita memainkan peranan memihak kepada kebenaran, telah mengakibatkan kehidupan masyarakat kita menjadi tidak seimbang. Yang berperanan aktif menentukan corak dan rentak kehidupan hari ini adalah orang-orang politik dan orang-orang bisnes yang berkepentingan diri.

Maka lihatlah apa yang sedang berlaku. Segala-galanya dalam kehidupan kita hari ini telah dipolitikkan oleh orang-orang politik, dengan orang-orang bisnes berdiri di belakang, memberi sokongan dan menentukan arah bagi menambahkan kekayaan masing-masing. Rakyat sekadar diperalatkan dan menjadi mangsa kepada kerakusan mereka. (Ini yang sedang diusahakan oleh Tan Sri Khalid untuk membetulkan semula beberapa perkara yang melibatkan hak rakyat, sehingga terpaksa ke mahkamah – kes dengan Syabas misalnya, dan yang terakhir dengan Alam Flora).

Okey - Kenapakah golongan penulis sekarang tidak lagi memainkan peranan seperti dulu? Paling jelasnya golongan penulis mulai terpinggir dan meminggir dari kelompok yang memimpin dan menentukan kehidupan masyarakat ialah – apabila pengaruh materialisme dan kapitalisme mulai mendominasi kehidupan. Dan di zaman Mahathir, khasnya melalui dasar Malaysia Incorporated dan program penswastaannya, pengaruh materialisme dan kapitalisme ini semakin kuat meresap dan mencengkam jiwa orang Melayu.

Serentak dengan itu jugalah tumbuh dan dengan cepatnya menjadi berleluasa amalan rasuah dan penyelewengan kuasa di kalangan tokoh-tokoh politik dan pegawai-pegawai kerajaan, kerana nilai kebendaan sudah diletak di tempat paling atas dan semua orang berebut-rebut untuk menjadi kaya dan mengejar kehidupan mewah.

Dalam masa sama juga nilai moral dan akhlak yang diajar oleh agama tidak lagi dipedulikan. Maka berlakulah keruntuhan akhlak dan pelbagai gejala sosial yang seperti tak dapat dibendung lagi. Soalnya siapa yang hendak membendungnya? Sebenarnya tak ramai pun orang yang benar-benar mahu mengambil tanggungjawab melakukan perkara baik dan makruf ini, walaupun ia dituntut oleh Islam.

Inilah perspektifnya, dan inilah hakikatnya. Maka saya sering menegaskan bahawa bukan politik sahaja yang kita perlukan untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Kita juga perlukan seni budaya. Bukan political will sahaja yang kita perlukan, tetapi kita juga perlukan cultural will. Bukan tekad politik saja yang kita perlukan. Kita juga perlukan tekad budaya.

Apa maksud tekad budaya atau cultural wiil? Orang selalu mengatakan kalau kita hendak membuat perubahan kita perlukan political will, maksudnya mesti ada keberanian politik untuk melakukan tindakan yang diperlukan. Dan keberanian politik itu semestinyalah dimaksudkan pada orang politik. Kita sudah lupa pada cultural will atau tekad budaya; sedangkan seperti saya jelaskan tadi, yang memulakan perubahan dalam masyarakat kita, yang menggerakkan kesedaraan rakyat untuk kemerdekaan, adalah orang-orang budaya, dengan kesedaran dan dorongan budaya.

Baru-baru ini, rakyat yang dikecewakan oleh tindakan pimpinan politik Melayu Umno yang lupa pada budaya sendiri, hingga sanggup hendak membunuh bahasanya sendiri melalui program PPSMI itu, dengan kesedaran budaya, dan digerakkan oleh orang-orang budaya seperti Sasterawan Negara A Samad Said, Datuk Hassan Ahmad, Profesor Shaharir dan Hasni Abas (Setiausaha Paksi) – kita menyaksikan 100 ribu rakyat turun ke jalanraya menuntut dimansuhkan PPSMI itu. Itulah cultural will, atau tekad budaya – keberanian budaya.

Jadi kita bukan sahaja perlukan political will, tetapi kita juga perlukan cultural will – keberanian budaya. Masyarakat kita sebenarnya perlukan kepada budaya.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan yang saya hormati,
Sekarang izinkan saya bercakap sedikit mengenai lanskap. Kalau sdr rajin berjalan di sekitar Shah Alam ini, juga di Subang Jaya, sdr mungkin akan terpesona dengan kebersihan dan keindahan lanskapnya. Pokok-pokoknya dijaga dengan baik, dipotong dengan rapi, sampah-sarapnya dikutip dan dibuang ke tempat yang khas. Belanjanya pun tidaklah kecil. Puluhan juta atau ratusan juta setahun. Kalau ditambah dengan kos penjagaan sungai, parit dan longkang. Jumlahnya tentulah sangat besar. Tetapi alhamdulilah, Kerajaan Negeri dan majlis-majlis perbandaran, bandaraya dan majlis daerah sanggup berbelanja walaupun besar, demi untuk kesejahteraan dan kesihatan, dan juga untuk memujuk pelancong.

Itu lanskap yang kita panggil lanskap taman, atau mudahnya saya panggil lanskap tanah. Ada satu lagi lanskap yang penting di negara kita, iaitu lanskap minda. Berbeza dengan lanskap tanah yang mudah dilihat, lanskap minda agak sukar untuk dilihat. Tetapi sebenarnya tidaklah begitu sukar untuk kita melihat kesannya kepada tingkah-laku manusia. Apa yang kita panggil gejala sosial itu adalah sebahagian daripada kesannya. Jenayah juga adalah sebahgian daripada kesan lanskap minda yang tidak terurus.

Sdr-sdr,
Seni-budaya dan penulisan ada peranan dan haknya dalam kehidupan manusia. Cuma haknya itu tidak kelihatan jelas apabila dilihat dengan mata kasar. Maka itu orang lebih memahami akan keperluan menjaga lanskap tanah daripada menjaga lanskap minda. Memotong ranting dan dahan pokok besar yang telah tumbuh meliar, dengan mudah dibelanjakan seribu ringgit bagi satu pokok misalnya, tetapi untuk menjemput seorang penulis sepenting Sasterawan Negara untuk membaca puisi atau bercakap mengenai buku dan ilmu, tidak berjumpa dicari di mana peruntukannya.

Akibatnya pertumbuhan lanskap tanah sentiasa dijaga agar kelihatan indah dan sedap mata memandang, tetapi pertumbuhan lanskap minda terjadi tanpa penjagaan. Akibatnya itulah dia – berleluasa gejala sosial, jenayah, rasuah, salahguna kuasa, penagihan dadah, keruntuhan akhlak, anak luar nikah, buang bayi dan sebagainya.

Orang tidak nampak apa hubungannya antara permasalahan sosial itu dengan seni-budaya dan penulisan. Memang sukar melihatnya dengan mata kasar. Ia perlu dilihat dengan mata fikir dan mata hati, perlu dianalisa dan dikaji. Ia memerlukan waktu untuk melihatnya. Orang yang selalu terkejar-kejar dengan waktu dan enggan memperuntukkan waktunya bagi memahami masalah minda dan jiwa ini, yakni masalah budaya, tak akan dapat ‘melihat’nya. Ini yang sedang berlaku.

Kami dalam Paksi dan Budayawan Bertindak telah perhatikan – itulah masalah yang dihidapi oleh pimpinan politik baru atau orang politik yang baru memegang kuasa, khasnya di negeri Selangor. Sentiasa sangat sibuk – hingga tidak ada masa langsung untuk bercakap mengenai budaya. Hinggakan Exco Kebudayaan sendiri pun tidak ada masa untuk berjumpa dengan orang budaya, khasnya kami dari kumpulan Paksi, untuk berbincang mengenai pelaksanaan program-program seni budaya.

Sebaik sahaja Exco kebudayaan diwujudkan, iaitu dengan menambahkan portfolio Kebudayaan kepada Exco yang sedia ada waktu itu, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, kami membuat perjumpaan, dan kemudian menyiapkan 14 program untuk dilaksanakan dalam tahun 2009. Akhir tahun itu, didapati hanya sebahagian saja daripada satu sahaja program dapat dilaksanakan, walaupun kesemua yang kami kemukakan itu diterima dan disetujui untuk dilaksanakan.

Kita pun tunda ke tahun 2010. Orang politiknya semakin sibuk. Maka Sasterawan Negara yang bersedia hendak membincangkan sumbangannya untuk seni-budaya di Selangor, pun memutuskan untuk menarik diri. Dan Paksi pun akhirnya terpaksa melupakan 14 program tersebut, untuk mengalihkan fokusnya kepada pihak lain, supaya luka dari kekecewaan itu tidak sampai membunuh niat baik kami untuk menyumbang kepada pembinaan jiwa dan minda umat, sesuai dengan tuntutan Islam.

Saya tidaklah berhasrat untuk membentangkan program-program seni budaya yang saya maksudkan 14 program itu dan juga yang lain-lain yang kami fikir perlu dilaksanakan di negeri Selangor, pada saat ini, kerana ia akan mengambil masa yang terlalu panjang. Kurang sesuai di sini. Namun saya dan kawan-kawan Paksi sangat berharap untuk membentangkannya dalam sesi yang lain, khas kepada Menteri Besar YAB Tan Sri, kerana kami percaya aktiviti politik dan pemikiran politik yang keterlaluan sekarang, perlu diseimbangkan dengan seni budaya – aktivitinya dan juga pemikirannya.

Kesibukan berpolitik yang keterlaluan itu perlu dikurangkan. Dalam setahun dua ini, apa yang berlaku ialah – apabila kita kemukakan program budaya kepada pimpinan politik, kita selalu terima jawapan:  Ah, sekarang ni kita sibuklah, dengan pilihanraya kecillah, dengan mesyuarat partilah, dengan itulah, inilah. Akhirnya dia kata: “Beginilah! Tunggu habis pilihanraya kecil ni, kita bincang.”

Maka tunggulah kita. Habis satu pilihanraya kecil, ada satu lagi pilihanraya kecil, dan timbul pula benda lain. Begitulah – hingga tahun pun habis, masuk tahun baru diulang lagi perkara yang sama, hinggalah tahun baru pun habis lagi – program seni budaya tidak juga dapat dibincangkan. Masa berlalu – dua tahun menunggu.

Mereka fikir – program seni budaya ni, kalau kita dah tak ada kerja lain nak buat, bolehlah kita tengok untuk kita fikirkan.

Sdr-sdr para penulis dan budayawan.
Rasanya elok kalau bicara saya ini sampai di sini saja dulu – dalam kesempatan yang sangat bermakna ini. Terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada Tan Sri Khalid, Menteri Besar, kerana sudi duduk mendengar celoteh saya yang mungkin agak kasar sedikit tadi, saya minta maaf. Terima kasih sekali lagi kepada Dr Halimah dan Puan Mastura.

Hari itu saya sudah tulis sekali pasal perhimpunan dan konvensyen penulis Selangor 26 Jun, sempena sambutan Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2011, di Pusat Konvensyen Shah Alam. Sejak itu ada beberapa perubahan berlaku dalam proses pelaksanaannya, seperti yang dimaklumkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

Pertama, peristiwa ini tidak akan direkodkan ke dalam buku Malaysia Book of Records (MBoR) seperti yang dirancang pada mulanya. Tahun lalu perhimpunan lebih 10,000 orang membaca buku di tempat terbuka sekitar taman tasik Shah Alam, sempena Hari Ilmu 2010, telah dicatatkan dalam buku MBoR. Maka dirancangkanlah supaya peristiwa perhimpunan seribu orang penulis menulis sempena Hari Ilmu 2011 ini pun dimasukkan juga ke dalam MBoR.

Tetapi dalam proses mereka membuat persiapannya, entah bagaimana, rancangan itupun telah dibatalkan. Tidak ada lagi penglibatan MBoR. Maka proses pendaftaran dengan mengisi borang yang menghendaki penulis supaya menunjukkan salinan muka depan karya, sebagai syarat untuk menyertai perhimpunan ini pun, turut dibatalkan.

Sekarang tak ada syarat apa-apa lagi. Datanglah! Acara bermula pukul 9 pagi, dengan acara menulis esei untuk Buku Mega Perdana. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tiba jam 10 pagi. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah PPAS, diikuti oleh ucapan Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pukul 10.45 hingga 11 pagi acara istimewa: “15 minit Reading Break” atau “Berhenti Sebentar, Jom Baca!” Secara konsepnya acara membaca selama 15 minit ini sepatutnya dibuat serentak di seluruh negeri, pada pukul 10.45 hingga 11 pagi itu. Tidak ada aktiviti lain di seluruh negeri. Semua orang berhenti daripada aktiviti lain untuk membuat satu aktiviti sahaja, iaitu membaca, serentak, pada waktu itu.

Bagaimana mereka akan melaksanakannya, saya pun kurang pasti. Kita tunggu sahajalah saat itu nanti.

Selesai acara istimewa 15 minit “Reading Break” itu, Menteri Besar pun membuat ucapan perasmiannya. Diikuti dengan satu lagi acara istimewa – penyampaian anugerah Tokoh Penulis Selangor, yang julung-julung kali diadakan. Siapakah penulis yang telah dipilih untuk dianugerahkan penghargaan tersebut? Sama-samalah kita tunggu pengumuman rasminya oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Program Konvensyen Penulis akan bermula pukul 12 tengahari. Entah bagaimana, sebagai Presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi) saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ucapan pembuka bicaranya.

Kata Mastura yang mewakili Dr Halimah, Paksi telah mengalami pelbagai masalah, halangan dan liku-liku pahit maung perjuangan dalam usaha mengangkat seni-budaya menjadi aktiviti yang dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, sambil menerapkan kesedaran kepada pimpinan masyarakat terhadap pentingnya aktiviti seni-budaya bagi menyuntik keseimbangan kepada kehidupan hari ini yang semakin tidak seimbang.

Disebabkan pengalaman itulah, dan sebagaai menghargai usaha Paksi, maka Paksi dipilih untuk membuka gelanggang bicara, dengan tema “Merakyatkan Ilmu: Peranan Penulis dan Tanggungjawab Kerajaan”.

Dan disebabkan Paksi yang dipilih untuk membuka bicara, saya percaya tentulah mereka dapat menjangka yang bicara saya itu antara lain akan memaparkan pelbagai persoalan dan permasalahan seni-budaya yang selama ini, berdasarkan pengalaman Paksi, tidak mendapat dokongan seperti yang sepatutnya daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Selepas ucapan pembuka bicara itu, majlis akan dibuka untuk dialog atau soal-jawab dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Ini yang menariknya. Sangat-sangat menarik. Menteri Besar hadir dalam satu majlis yang sepenting Hari Ilmu Selangor itu, yang dibuat terbuka kepada sesiapa saja untuk hadir, khasnya golongan penulis, budayawan dan ilmuan, dan bersedia untuk menjawab apa saja soalan yang akan dikemukakan kepadanya.

Memang ini sesuatu yang sangat menarik. Dan agak mengkagumkan saya apabila Mastura dan Dr Halimah begitu yakin menyediakan majlis soal-jawab seperti ini untuk dihadapi secara terbuka oleh Menteri Besar. Menunjukkan betapa yakinnya mereka kepada sikap dan fikiran terbuka Menteri Besar ini.

Maka saya fikir para penulis, budayawan, ilmuan dan intelektual di negara ini, khasnya yang berada di sekitar Selangor, tidak sepatutnya melepaskan peluang ini. Bukan kerana saya yang akan berucap membuka bicara, tetapi kerana Menteri Besar Selangor (negeri yang paling kaya di Malaysia dan kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat) akan mendengar apa saja pandangan kita, dan memberikan responnya.

Datanglah ke majlis ini, dan ucapkanlah atau nyatakanlah pandangan anda. Apa yang anda mahu dari sebuah kerajaan negeri, untuk memajukan bidang penulisan, keilmuan dan seni-budaya kita. Marilah kita berdialog secara langsung dengan orang yang memegang kuasa di negeri yang paling kaya di negara kita hari ini.

Turut sama dalam majlis ini ialah dua orang Sasterawan Negara – A Samad Said dan Anwar Ridhwan. Mereka akan menyampaikan pandangan mereka, bersama dengan Tokoh Penulis yang akan menerima anugerah hari itu, sebagai lanjutan daripada majlis dialog dengan Menteri Besar tadi.

Dalam sesi dialog kedua ini Menteri Besar sudah meninggalkan majlis, tetapi Exconya yang berkenaan akan mewakilinya untuk mendengar pandangan-pandangan penulis, yang kini memfokus kepada persoalan pelaksanaan. Bagaimanakah langkah-langkah pelaksanaan yang patut dijalankan oleh Kerajaan Negeri, sesuai dengan aspirasi golongan penulis, budayawan, ilmuan dan intelektual.

Seingat saya rasanya inilah julung-julung kalinya majlis yang seumpama ini pernah diadakan di negara kita. Berjaya atau tidaknya majlis ini terpulanglah kepada golongan penulis, budayawan, ilmuan/cendekiawan dan intelektual kita. Pihak yang berkuasa atau kuasawan (mengikut istilah Samad Said) sudahpun membuka ruangnya. Marilah kita menyambut baik usaha yang diinisiatifkan oleh pihak Exco Pendidikan dan Pembangunan Modan Insan, dan pihak Perpustakaan Selangor ini.

Ya, apa dia peristiwa besar menjelang Tanah Melayu diisytiharkan Merdeka pada akhir Ogos 1957?

Kebanyakan kita, saya percaya, tentu tak pernah fikirkan pun perkara ini. Apa dia peristiwa besar menjelang Ogos 1957 itu? Peristiwanya ialah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, di Johor Bahru, sebagai menyahut resolusi Kongreas Bahasa II yang diadakan pada tahun tersebut.

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, sebagai satu persediaan penting untuk mengisi kemerdekaan yang sedang hangat diperjuangkan pada waktu itu.

Orang sekarang mungkin terkejut dengan kenyataan saya ini. Apa? Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu agenda besar dan penting menjelang Merdeka 1957?

Ya! Kalau anda tak percaya, cubalah anda sebut apa agenda lain yang besar dan penting waktu itu, yang menjadi sebahgian daripada perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan? Tak ada. Dan Kongres Bahasa 1956 di Johor Bahru itu adalah perhimpunan orang Melayu yang besar dan terpenting, bertaraf nasional, selepas perhimpunan tahun 1946 (yang merumuskan penubuhan Umno) di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Bharu, Kuala Lumpur.

Memang ramai orang sekarang akan berasa pelik dan hairan – eh, kongres bahasa jadi satu perhimpunan nasional yang terpenting menjelang kita Merdeka tahun 1957? Ya! Kenapa, tak percaya?

Kita tak percaya sebab hari ini kita tak pernah terfikir pun yang soal bahasa itu satu soal penting dalam pengisian merdeka dan pembinaan bangsa dan negara berdaulat. Inilah hasil daripada sistem pendidikan kita yang pincang dan dasar kebudayaan kita yang cacat itu. (Atau kita pun sebenarnya tak pernah ada dasar kebudayaan?)

Inilah dia situasi kebangsaan dan kenegaraan kita hari ini. Satu institusi sepenting itu yang ditubuhkan menjelang kemerdekaan telah tidak dianggap penting oleh generasi hari ini, bukanlah satu perkara pelik. Ada yang lebih pelik daripada itu. Bank Bumiputra yang ditubuhkan hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputra awal 1970-an, pun sudah tidak dianggap penting lagi.

Kehilangannya kerana ditelan oleh sebuah bank yang lebih kecil daripadanya, tidak pernah dipedulikan oleh sesiapa pun. Sedangkan soal ekonomi itu, bagi orang sekarang ia dianggap lebih penting daripada soal bahasa dan budaya. Jauh lebih penting. Itu pun tidak dipedulikan. Inikan pula soal bahasa dan budaya.

Jadinya – apa sebenarnya yang dipedulikan oleh orang-orang sekarang?

Tak tahulah. Terlalu banyak masalah (yang lebih urgent) agaknya, hingga apa sebenarnya yang diperlukan dan dipedulikan oleh masyarakat kita hari ini pun tak ada siapa yang nak pedulikan. Masing-masing sibuk dengan hal/masalah/urusan/kepentingan masing-masing. Hinggakan orang yang sepatutnya jadi pemimpin masyarakat pun tidak faham lagi apa yang sepatutnya dia buat. Dan masyarakat pun terus juga tak peduli. Aduuuh! (Boleh sesat dalam permasalahan yang gawat begini).

Tak mengapalah. Mari kita balik kepada tajuk wacana kita. Seniman Paksi Rakyat (Paksi) bersama dengan Gerakan Darurat Bahasa (GDB) akan menganjurkan majlis baca puisi khas sempena menyambut tarikh penubuhan DBP, 22 Jun ini (Rabu), bertempat di warung rakyat, depan bangunan DBP, Kuala Lumpur.

Ini kali kedua bacaan puisi diadakan di warung tersebut. Kali pertama ialah pada 15 Mac lalu, iaitu bacaan Yasin dan baca puisi “Selamatkan DBP”, anjuran GDB yang dipengerusikan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid (Presiden Teras Pengupayaan Melayu). Baca puisi “Selamatkan DBP” selepas itu diadakan juga di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam (KBD), Kuala Lumpur, pada 30 April.

Kalau anda masih ingat lagi catatan saya mengenai majlis baca Yasin dan puisi 15 Mac di warong rakyat itu, satu perkara yang menarik ialah jamuannya. Satu lepas satu dihidangkan. Tak tahu siapa yang menyediakannya. Apakah kali ini pun akan ada lagi hidangan demi hidangan seperti itu? Tak tahulah. Harap-harap ada-lah nanti ya!

Tapi itu bukanlah acara penting. Acara penting kita ialah mengingati peristiwa besar menjelang Ogos 1957 itu. Mengingati bagaimana agenda mendaulatkan Bahasa Melayu melalui satu tindakan yang tegas dan jelas, mendirikan sebuah institusi besar waktu itu, sebagai faktor penting dalam perjuangan dan pengisian kemerdekaan, dan seterusnya dalam pembinaan dan pembangunan negara-bangsa.

Mengikut Setiausaha GDB, Hasni Abas, ini bukanlah sekadar satu acara untuk bernostalgia mengingati kegemilangan zaman lampau yang telah berlalu. Tidak. Sama sekali tidak. Tetapi ini adalah acara untuk mengingatkan para pemimpin umat hari ini, betapa kita telah jauh menyeleweng daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita, hinggakan umat hari ini telah menjadi umat yang keliru, sesat dan ada juga yang sudah bangsat.

GDB sudahpun menghantar memorandum kepada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengemukakan tuntutan-tuntutan yang munasabah, pada 27 April lalu. Tetapi hingga hari ini belum ada jawapan daripada pihak menteri itu.

Hal ini telah dibincangkan dalam satu pertemuan eksklusif GDB dengan tokoh-tokoh bahasa seperti Datuk Hassan Ahmad dan Prof Shaharir Mohd Zain baru-baru ini. Dalam pertemuan itu Prof Shaharir menyatakan beliau sangat bimbang dengan suatu gerakan oleh sekumpulan orang yang sedang mendesak supaya bahasa Inggeris digunakan semula dalam pengajaran sains dan matematik.

Persoalan bahasa Melayu hari ini bagi Prof Shaharir adalah satu persoalan besar dan penting bagi rakyat Malaysia. Tetapi di manakah hilangnya para pejuang bahasa Melayu? Apa yang sebenarnya sudah terjadi kepada jiwa Melayu?

Barangkali Hishamuddin Rais akan memberi jawapannya, dari perspektifnya sendiri, pada malam 22 Jun ini. Kassim Muhamad juga sudah berjanji dengan sajak barunya.

Ya, apa pun, Hasni berharap para pejuang bahasa Melayu dan budaya Melayu akan hadir pada 22 Jun ini, di warong rakyat, untuk sama-sama duduk merenung akan nasib bahasa Melayu yang sedang tidak dipedulikan oleh bangsanya sendiri. “Makan-minum jangan bimbang,” kata Hasni, “sudah ada orang yang berjanji.”

Jangan pedulikan media mereka. Kita tahu dan kita selalu menjerit-jerit dalam ceramah di sana sini mengatakan media mereka penipu, pembohong, putar-belit berita dan sebagainya; tapi kita masih juga membeli, membaca dan memberi respon kepada laporan berita mereka.

“Ha ha ha, kita pun macam orang bodoh juga,” kata seorang sahabat saya.

Ya memang sakit hati mendengarnya. Tapi direnung-renung dan difikirkan semula, betul juga kata sahabat saya itu. Kita sendiri yang mengatakan media mereka itu penipu, pembohong, putar-belit berita, alat propaganda Umno-BN dan macam-macam lagi. Sudah bertahun-tahun. Bukan baru. Kita pun pernah buat kempen boikot media meraka.

Tapi cubalah fikir-fikir dan renung-renung semula. Kalau betullah kita memboikot media mereka itu, mereka bukan lagi arus perdana pada hari ini. Yang jadi media arus perdana pada hari ini ialah media kita.

Tetapi kenapa tidak terjadi begitu? Kenapa kita masih lagi menyebut mereka sebagai “media arus perdana”? Kenapa media kita tidak mendapat jumlah pembaca (jualan) 400 ribu atau 500 ribu naskah setiap keluaran? Sedangkan ahli PAS sahaja dikatakan lebih daripada satu juta orang! Kenapa?

Dan kenapa kita masih lagi heboh-heboh nak menjawab setiap kali apabila ada sedikit sahaja pun laporan di dalam media mereka itu yang menyinggung kita? Bahkan pimpinan atasan kita pun tanpa sedar tiba-tiba bertelagah sama sendiri semata-mata disebabkan oleh laporan berita dalam media mereka yang kita selalu kata penipu-pembohong-putarbelit itu.

Janganlah biarkan sahabat saya itu mengulangi lagi kata-katanya yang sangat menyakitkan hati itu - “Ha ha ha, kita pun macam orang bodoh juga.” Ya, memang menyakitkan hati.

Kerana ia terkena ke atas batang hidung kita sendiri! Kalau kita yang mengatakan orang lain bodoh, kita tak terasa sakit hatinya itu, ‘kan? Tapi kalau orang mengata kita demikian, memang terasa di hati sakitnya. Apatah lagi kalau sahabat kita sendiri yang mengatakannya. Aduuuh, nak melenting marahnya.

Makanya marilah kita bertenang-tenang dan berfikir semula dengan rasional. Betul atau tidak kenyataan dan hujah di atas itu? Kalau bukan kerana kita yang terus meng‘arus-perdana’kan media-media mereka, bolehkah media-media itu terus menjadi ‘arus-perdana’ pada hari ini?

Jawapannya tentulah sangat pasti. Tak mungkin media-media mereka itu terus menjadi ‘arus-perdana’. Sebaliknya media kitalah yang menjadi ‘arus-perdana’ itu. Sepatutnya!

Memang mereka boleh ambil tindakan kalau dilihatnya media kita akan menjadi arus-perdana. Tetapi kita pun takkanlah nak sebodoh itu. (Lihat! Jangan biarkan sahabat saya ucapkan lagi kata-kata kesatnya itu.) Kalau kita tahu bahawa itulah kemungkinannya, bersedialah awal-awal lagi untuk mengelak kemungkinan itu.

Menjadi media ‘arus-perdana’ tak bermakna hanya Harakah sahaja yang akan kita gerakkan ke arah itu. Ada banyak lagi yang boleh kita lakukan. Persoalannya, kesedaran mestilah terlebih dahulu dihidupkan di kalangan orang-orang kita sendiri, terutamanya di kalangan pemimpin-pemimpin kita di pelbagai peringkat.

Berhenti terus. Jangan pedulikan lagi media mereka.

Ya, jangan pedulikan lagi media mereka. Jangan peduli! (Faham maksud saya?) Sebab itulah saya kurang bersetuju nak buat demo di hadapan bangunan syarikat akhbar yang suka membuat fitnah itu. Tindakan itu bermakna kita mengiktiraf bahawa media itu sangat penting. Tentulah mereka sangat suka dengan tindakan kita itu. Walaupun kita bertujuan untuk “mengajar” mereka dan memberitahu orang ramai akan jahatnya mereka.

Tidak perlu. Jangan buang masa kita dengan kerja-kerja yang tak perlu itu. Sebaliknya lebih baik kita tumpukan pada usaha untuk membina kekuatan media kita sendiri. Tak kiralah media cetak atau media internet atau apa pun bentuknya. Yang penting kita mesti berusaha membina kekuatan media kita sendiri. Jangan mengharapkan pada media orang. Dan jangan pedulikan media mereka.

Biarkan saja mereka nak lapor apa pun. Biarkan saja mereka nak putar-belit apa pun. Mereka nak fitnah pemimpin kita kah? Biarkan mereka. (Melainkan apabila ada yang benar-benar boleh memudaratkan kita). Dan dalam masa yang sama itu kita janganlah pula sekadar berdiam diri sahaja. Kita mesti tumpu pada usaha membina, memperkuatkan dan meng‘arus-perdana’kan media-media kita sendiri.

Dan kerja atau usaha ini bukannya boleh dibuat dalam tempoh sebulan dua, lalu mengharap-kan mencapai tujuan atau sasarannya. Ia memerlukan proses, dan prosesnya memerlukan masa yang agak panjang. Setahun belum mencukupi untuk mencapai tujuan/sasarannya. Biasanya ia memerlukan masa lebih daripada tiga tahun.

“Alahai lamanya. Pilihanraya sudah dekat sangat ni! Kita tak boleh buang masa kepada benda lain. Kita mesti tumpu pada pilihanraya. Target kita: mesti menang pilihanraya, mesti ambilalih Putrajaya.”

Itulah hujah yang saya selalu dengar, yang akhirnya beberapa program dan agenda penting ditangguh dan ditangguh dan akhirnya tak dipedulikan. Tersingkir begitu saja. Dilupakan begitu saja, disebabkan nak mengejar pilihanraya, tanpa peduli rasionalnya. Dan hal ini berulang-ulang dan berulang-ulang, begitulah…

Ya, begitulah juga yang terjadi dengan hal kebudayaan. Sesuatu yang memang sifatnya tidak pernah ‘urgent’, maka ia pun diketepikan dulu dan terus diketepikan begitu saja. Tak sempat pun mereka nak fikir mengenainya. Apakah dalam hal media ini pun begitu juga?

Masa untuk berfikir mengenainya sentiasa diletakkan tersepit di celah-celah kesibukan hal-hal lain yang sentiasa kelihatan lebih ‘urgent’. Hanya sesekali ia terlihat seperti ‘urgent’. Dan oleh kerana ia sukar dilaksanakan sebagai ‘sesuatu yang urgent’, maka ia sentiasalah bernasib malang, diberikan layanan sebagai yang paling akhir dalam senarai awlawiyat (prioriti).

Cubalah fikirkan: kalaulah Tok Guru Nik Aziz berfikir demikian, bilakah dia akan ada masa dan kesempatan untuk mentarbiyah rakyatnya, kerana mentarbiyah itu memerlukan proses yang sangat panjang. Setelah lebih 20 tahun pun dia terus juga dengan tekunnya melakukan kerja mentarbiyah itu; dan tugas-tugasnya yang lain pun tetap dilaksanakan.

Tok Guru Nik Aziz tak peduli. Dia buat saja apa yang dia fikir perlu dia buat, seperti yang dipelajarinya dari sirah Rasulullah saw.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408). Artikel ini tersiar di dalam Harakah, 30 Mei 2011.

Ahad pagi 22 Mei saya menghadiri seminar “Membina Negara Sejahtera” anjuran Pemuda PUM (Persatuan Ulama Malaysia) di Dewan Sivik, Petaling Jaya, dengan satu tujuan: Hendak melihat bagaimana pemikiran para pembicaranya mengenai “Negara Sejahtera”. Apakah ada di antara mereka merujuk kepada Kelantan ataupun tidak.

Saya percaya “Negara Sejahtera” itu adalah istilah lain yang digunakan oleh penganjurnya, kerana sebab-sebab tertentu, untuk maksud “Negara Islam”. Dan ternyata memang betul. Itulah maksud mereka.

Sesi paginya suatu forum yang pembicaranya terdiri daripada Datuk Nakhaie Ahmad (bekas Pengerusi Yadim), Dr Rumaizuddin Ghazali (pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia) dan Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak). Seorang lagi pembicara ialah Dr Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, yang baru tiba ketika pengerusi forum selesai memperkenalkan para pembicara yang lain itu.

Walaupun baru tiba, dia diminta memulakan bicara (kerana dia akan meninggalkan majlis lebih awal, untuk hadir ke program ketiganya pula selepas itu). Dr Dzulkifli berbicara dalam aspek ekonomi. Ternyata dia memang menguasai topik bicaranya.

Apabila dia memilih untuk berbicara dengan pendekatan realiti semasa, yakni tidak hanya berlegar di sekitar teori, tentulah kita menjangka dia akan mengkritik amalan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh pimpinan Najib. Itu biasalah, walaupun dia memilih untuk berbicara dengan ungkapan-ungkapan yang bernada intelektual, bagi membezakannya dengan ceramah-ceramah politiknya.

Dan di akhir bicara 20 minitnya itu (semua pembicara dihadkan demikian), selepas menyebut Ibn Khaldun sebagai tokoh yang pemikirannya mengenai ekonomi jauh mendahului dan lebih unggul daripada pemikir-pemikir ekonomi Barat seperti Adam Smith dan John Meynard Keynes dan lain-lain, Dr Dzul merujuk kepada Buku Jingga. (Dia antara yang terlibat secara langsung dalam menyiapkan buku itu).

Dan saya menunggu untuk mendengar walaupun sedikit dia merujuk kepada amalan ekonomi yang dilaksanakan oleh pentadbiran Islam pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan, sebelum dia mengakhiri bicaranya. Dan akhirnya dia menutup bicaranya tanpa merujuk walau sedikit pun kepada Kelantan.

Saya pun tertanya-tanya lagi – kenapa? Dan soalan ini tak sempat saya nyatakan dalam majlis itu, juga sewaktu bersalaman dengannya ketika dia berjalan keluar dewan. Maka demikianlah saya terfikir untuk timbulkannya dalam ruang ini.

Ada banyak perkara, pada fikiran saya, yang boleh diangkat oleh Dr Dzul daripada amalan pentadbiran Kerajaan PAS di Kelantan itu, bagi menjelaskan ciri-ciri ekonomi Islam (Negara Islam) yang berbeza dengan amalan ekonomi bukan Islam, baik namanya Kapitalis, Sosialis, Komunis atau apa jua pun.

Sekurang-kurangnya Prof Shaharir Mohd Zain telah menganalisa amalan ekonomi di bawah pentadbiran Tok Guru Nik Aziz di Kelantan itu dengan menyebutnya sebagai “Ekonomi Kebahagiaan”, yang berbeza dengan “Ekonomi Pembangunan”. Dalam bukunya Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman (Edisi Kedua, 2011), dia mengatakan:

“Nik Aziz sebenarnya mempunyai pemikiran ekonomi keIslamannya yang tersendiri, selain daripada mengutamakan ekonomi kebahagiaan daripada ekonomi pembangunan (yang diperolehnya menerusi tafsirannya sendiri terhadap beberapa ayat al-Quran sesuai dengan taraf ulamanya), yang setengahnya telah cuba dilaksanakan dengan batas-batas kudrat politik, kewangan dan ilmu yang ada padanya. Pemikiran ekonominya yang agak berlainan dengan sarjana-sarjana ekonomi Barat dan bahkan sarjana Islam lain sekalipun, ialah tentang konsep pembangunan, takrif ekonomi serta konsep kemiskinan dan strategi memperbaiki keadaannya.” (hal.34)

Mengikut Prof Shaharir, semua hal itu telahpun dihuraikan oleh Surtahman dan Norfadzilah, dalam tulisan mereka yang disiarkan oleh Jurnal Usuluddin (2004), berjudul “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ekonomi”.

Dalam hal takrif ekonomi, kata Prof Shaharir, “takrif Nik Aziz cukup berbeza dengan takrif Barat yang diterima umum (seolah-olah sudah tiada salahnya lagi!), kerana katanya sumber ekonomi itu tidak terhad; pengurusan yang menyeleweng daripada kehendak Islam sahajalah yang menyebabkan sumber itu terhad.” (hal.35)

Mengikut Prof Shaharir, pandangan ekonomi Nik Aziz itu jika dikembangkan oleh sarjana ekonomi, tentunya akan mengubah hampir semua teori ekonomi kini.

Di situlah terkilannya saya. Kenapakah para sarjana ekonomi kita tidak memberi perhatian kepada perkara ini? Dr Dzulkifli Ahmad adalah seorang sarjana di kalangan pimpinan PAS yang menguasai ilmu ekonomi, (walaupun dia diamanahkan mengetuai Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS). Tulisan-tulisannya menganalisa ekonomi semasa, selalu dapat kita ikuti dalam akhbar ini (edisi English).

Forum di Dewan Sivik Petaling Jaya Ahad lalu saya fikir sangatlah sesuai sekiranya Dr Dzul menarik perhatian khalayak umum kepada pemikiran ekonomi Nik Aziz dan juga amalan ekonomi itu yang berlaku di Kelantan sepanjang pemerintahan PAS di sana selama 20 tahun. Rujukan itu dengan sendirinya juga akan membuktikan kewibawaan PAS untuk mentadbir negara ini, bukan sahaja dalam hal keagamaan tetapi juga dalam hal ekonomi.

Apakah Dr Dzul tidak membuat rujukan ke Kelantan itu kerana dia menganggap dasar dan amalan ekonomi di bawah pantadbiran Nik Aziz itu tidak membawa apa-apa kejayaan atau kebaikan kepada rakyat Kelantan selama ini?

Saya tidak fikir itu alasannya. Saya percaya Dr Dzul tentu mempunyai alasan tersendiri yang munasabah untuk dia tidak membuat rujukan tersebut. Maka ingin jugalah saya mengetahui alasannya itu.

Sesungguhnya Kelantan adalah satu kejayaan PAS yang telah terbukti dan boleh dilihat sendiri oleh semua orang. Kenapa orang-orang PAS tidak mahu berbangga dan memanfaatkannya dalam kempen untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN?

Mohon maaflah kerana saya menimbulkan lagi persoalan begini. (Saya pernah menimbulkan-nya sekali sebelum ini). Dan saya fikir saya akan terus timbulkan lagi persoalan seperti ini di masa akan datang, sekiranya tidak ada orang membuktikan yang pandangan saya mengenai Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz ini adalah salah.

Dinsman
Terharu sokongan berterusan Samad Said di Titi Hayun

Antara perkara paling menarik dalam Bengkel Penulisan CAP-Paksi di Chalet Titi Hayun, Yan, Kedah, 13-18 Mei ialah kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said mendampingi 21 orang peserta bengkel selama 3 hari, dan menyampaikan kuliahnya selama dua jam setiap hari sambil berdialog dengan peserta.

Banyaklah cerita dan pesan yang diungkapkan kepada peserta yang terdiri daripada penulis-penulis baru dari seluruh Malaysia. Bukan sahaja pada kuliahnya di hari ketiga dia menyam-paikan pesan dan nasihatnya hati ke hati, sesuai dengan tajuk kuliahnya “Pesan dan kesan kepada penulis baru: Dialog hati ke hati”, tetapi juga pada dua kuliahnya yang lain pun kejujuran dialog hati ke hatinya itu dapat dirasakan.

Saya pun menjadi sangat terharu dan hampir sebak sewaktu menyatakan penghargaan dan terima kasih Paksi kepadanya, di akhir sesi bicaranya di hari ketiga itu. Tambahan pula pesan dan nasihatnya yang pertama kepada para peserta ialah: “Menjadi penulis, menulislah dengan jujur.”

Hubungan Samad Said dengan Paksi selama ini pun memang akrab. Kesediaannya untuk berlakon teater Menunggu Kata Dari Tuhan, dan menjalani latihannya bersendirian di rumah di depan isteri selama berbulan-bulan, dan akhirnya berpindah membuat latihan di Stor Teater DBP, dia kemudiannya dia memutuskan untuk membatalkannya. Mengapa?

Ada beberapa sebab, barangkali. Antaranya, seperti pernah beberapa kali dinyatakan kepada saya, dia bimbang kalau-kalau dia memasuki daerah orang lain dan menyebabkan orang lain itu kurang senang. Dan faktor ini diceritakannya lagi ketika berbicara kepada peserta bengkel di Titi Hayun, sewaktu dia menyatakan bahawa penulis perlu juga meneroka ke bidang seni yang lain di samping menulis.

Samad juga memuji Paksi sebagai badan penulis dan budaya yang bersikap. Hanya satu kelemahan Paksi, katanya, iaitu tidak mempunyai dana untuk membiayai aktiviti-aktiviti seninya, kerana dalam masyarakat kita tidak ada filantropis (dermawan) yang bersedia memberi dokongan biaya kepada badan-badan seni-budaya seperti Paksi.

Jawab saya: “Apa pun, Paksi bersyukur kerana walaupun tidak ada filantropis yang sudi menghulur dana, namun Paksi mempunyai sesuatu yang tidak kurang nilainya, iaitu seorang Sasterawan Negara yang sentiasa sudi berdiri bukan sahaja di belakang, tetapi juga di depan Paksi, bagi memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan.”

Tiga hari kehadirannya mendampingi para peserta bengkel anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara itu, adalah sesuatu yang sangat berharga. Dan saya juga terharu kerana tidak menjangka yang beliau akan membicarakan buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz…” karangan Prof Shaharir itu, dalam bengkel tersebut.

Katanya dia sudah membaca berulang kali buku tersebut, dan dia amat tertarik dengan idea “Ekonomi Kebahagiaan” yang dilaksanakan oleh Tok Guru Nik Aziz dalam pentadbirannya di Kelantan, yang berbeza dengan “Ekonomi Pembangunan” yang dilaksanakan oleh hampir semua pemimpin lain di dunia.

Dalam sesi akhir bicaranya itu juga Samad menyatakan akhir-akhir ini bacaannya tertumpu kepada buku-buku Islam, khasnya yang mengenai kematian, memandangkan umurnya sudah melepasi 76 tahun. Dan dia berdoa agar umurnya dilanjutkan Allah 20 tahun lagi, agar dia sempat “meninggalkan khazanah seni yang akan terus bercakap,” sepertimana Boris Pasternak telah meninggalkan karya agungnya Dr Zhivago.

Selain Sasterawan Negara A Samad Said, CAP juga mengundang tokoh penulis muda yang terkenal dari Indonesia, Herry Nurdi, menyampaikan kuliah mengenai penulisan pada bengkel 6 hari itu. Herry bukan seorang penulis novel, tetapi dia banyak menulis buku-buku hasil penyelidikannya mengenai persoalan umat Islam di beberapa negara yang sedang bergolak hari ini. Antaranya, yang diterbitkan di Kuala Lumpur ialah Perjuangan Muslim Patani, (terbitan Alam Raya, 2010).

Herry sahabat baik Azizi Hj Abdullah (tidak dapat hadir walaupun dialah yang memulakan kerja-kerja persiapan bengkel, kerana masih kurang stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang), hadir di Titi Hayun selama dua hari, dan sempat menyampaikan cerita bagaimana di umur yang masih muda dia telah berjaya menghasilkan lebih 20 buah buku. Antara lain, katanya, dia membaca 30 buah buku dalam sebulan, dan dia mendisiplinkan dirinya menulis 10 muka surat pada setiap hari.

Menariknya juga mengenai penulis prolifik ini, di sisi yang lain, ialah seperti Cikgu Azmi Abdul Hamid (Pengerusi Teras, orang kuat CAP yang berusaha memastikan bengkel penulisan ini dapat berjalan dengan lancar), Herry Nurdi juga tidak memakai seluar seperti kebanyakan kita, tetapi memakai kain sahaja ke mana-mana pun dia pergi. (Cikgu Azmi pun begitu. S.M.Idris Presiden CAP pun begitu.)

Lain-lain tokoh penulis yang hadir menjadi pembimbing peserta bengkel ini ialah A Shukur Harun, Razali Endun, Kassim Muhamad, Hasni Abas dan Dinsman. Semua mereka daripada Paksi. Manakala daripada CAP ialah Presidennya S.M.Idris, dan Cikgu Azmi Ab Hamid.

Turut hadir sebagai peserta bengkel walaupun telah menghasilkan kumpulan cerpen yang baik ialah Ahkarim daripada Kedah. Dengan kumpulan cerpennya Mou Sumi (mengandungi 27 buah cerpen, diterbitkan oleh eSastera Enterprise, 2009) saya menganggapnya sebagai salah seorang penulis cerpen terbaik di Malaysia hari ini.

Seorang lagi peserta yang telah menghasilkan buku ialah Amni Jagat. Bukunya Siapa Lebih Firaun? baru saja diterbitkan (oleh Paksi). Ia sebuah kumpulan sajak-sajak perjuangan. Kalau Ahkarim seorang pesara (pernah menjadi Pengarah JPJ Kedah dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Amni Jagat pula adalah seorang anak muda yang baru berusia 27 tahun.

Sebenarnya profil peserta bengkel ini sangatlah menarik, menjadikan bengkel ini, seperti kata sebahagian mereka yang berpengalaman menghadiri bengkel, lain dari yang lain. Ia sangat interaktif, dan sentiasa rancak dengan dialog apabila tiba sesi dialog.

Namun walau apa pun, tujuan kami ialah untuk menghasilkan penulis yang benar-benar menulis. Apakah tujuan ini akan tercapai? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

(Tersiar dalam Harakah Isnin 23 Mei 2011, kolum Wacana Budaya)